Home Novel Komedi/Romantik Komedi Aku Alergik Cinta
Aku Alergik Cinta
Ilyana Hani
12/11/2012 22:50:11
200,034
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
bab 7
AIFA bangun awal pagi itu. Dia harus bersemangat pada hari pertama bekerja. Seusai solat, Aifa terus sahaja bersiap. Baju kurung berwarna kuning lembut menjadi pilihannya dipadankan pula dengan tudung hitam, memang sesuailah dengan kulitnya yang putih itu. Dia menapak turun ke dapur. Sebiji cawan dicapai lantas dia menyediakan milo panas dan membawanya ke meja makan. Hari pertama bekerja dia mengenakan baju kurung, baru nampak aura gadis Melayunya! Dia menghirup air milo, menghilangkan resah di hati. Hatinya sudah hilang rentak, dia terlalu berdebar untuk menghadapi hari pertama bekerja.

“Wah, semangat nampak hari pertama bekerja!” Tanpa salam Aizam menegur Aifa. Tersembur air milo yang diminum Aifa, lemah semangat dibuatnya!

“Lain kali bagilah salam dulu. Terkejut tahu tak?”Aifa bangun untuk mengambil kain. Dilapnya air milo yang tumpah tadi.

“Maaf, abang tak sangka Aifa terkejut.”

“Aifa tengah gementarlah, agak-agak bos Aifa garang tak?” Ditanya soalan cepu mas kepada abangnya.

Aizam tertawa kecil. “Tak adalah. Rasanya sepanjang abang kerja, tak ada pula abang dengar bos makan anak buah dia. Aifa jangan risaulah. Malam ni abang belanja makan ya.”

“Boleh aje!”

“Kalau bab makan percuma cepat aje dia jawab. Bulan depan abang nak Aifa belanja steamboat.” Aizam menjongketkan keningnya kepada Aifa sekadar ini mengusik adiknya itu. Biar hilang sikit gementarnya itu.

“Aifa bagi bot yang ada kat laut bagi abang makan.” Aifa memberi jawapan untuk bergurau juga, pantang dia andai kalah dalam medan loyar buruk.

“Banyaklah Aifa punya bot. Marah tuan dia nanti. Okey abang gerak dulu.” Aizam menghadiahkan senyuman buat Aifa. Langkahnya diatur untuk mengambil kunci kereta yang tergantung di dinding dicapainya.

“Ibu, Zam pergi dulu.” Aizam menyalami dan mencium tangan ibunya yang baru turun dari bilik.

“Abang pergi dulu.” Selepas memberi salam dan berpamitan dengan Aifa, terus sahaja Aizam memboloskan diri ke dalam perut kereta.

“Ibu, Aifa pergi dulu.” Aifa menyalami dan mencium tangan ibu dan ayahnya yang kebetulan juga baru turun dari bilik.

Aifa melangkah keluar dari rumah dengan lafaz Bismillah. Dia harus tenang di hari pertama ini.

“Awalnya kau pergi kerja minah gengster.”

Belum sempat Aifa masuk ke dalam kereta, Hakimi telah menegurnya.

“Kau ingat aku ni malas macam kau ke mamat sengal! Kalau masuk kerja pukul 9 pagi, pukul 8.59 baru kau nak bertolak.” Aifa menjeling geram. ‘Pagi-pagi dah nak menambah dosa aku!’

“Sempat aje kalau aku merempit ke pejabat.”

“Merempit aje kerja kau. Malang betul bos kau dapat anak buah kaki rempit macam kau ni. Sudahlah aku pergi dulu.” Tanpa pamitan Aifa terus sahaja meninggalkan Hakimi. Ditekan minyak berkali-kali, mengaum-ngaum enjin keretanya. Sebelum dia mengubah gear parking ke gearundur,dia sempat menghadiahkan jelingan maut buat jirannya itu.

MZ Holding dipandangnya. Boleh tahan tempat kerjanya ini Dengan lafaz bismillah, Aifa melangkah masuk ke dalam bangunan tersebut. Dia berjalan ke arah kaunter pertanyaan.

“Selamat pagi. Boleh saya tolong Cik?” Petugas di kaunter pertanyaan melemparkan senyuman.

“Selamat pagi. Saya baru nak mendaftar kerja di sini. Ke mana saya harus pergi?”

“Cik perlu daftar di Jabatan Sumber Manusia di tingkat satu dahulu, kemudia dari situ mereka akan bantu Cik.”

“Terima kasih.”

Aifa melangkah ke lif. Hatinya sudah berdetak kencang.

AIFA dibawa ke jabatannya oleh Amira, seniorsatu fakulti sewaktu di universiti dahulu. Amira adalah antara senioryang banyak menolongnya dahulu. Dia benar-benar terhutang budi dengannya. Tidak sangka pula dia berkongsi pejabat dengan Amira.

“Akak kenalkan Aifa dengan rakan-rakan baru Aifa dulu ya.”

Aifa menghadiahkan senyuman buat rakan-rakan barunya. Selepas dikenalkan dengan rakan-rakan barunya, Amira menunjukkan meja yang akan menjadi tempat kerja Aifa.

“Sebelum terlupa tadi Hakimi tak ada di mejanya, lepas ni akak akan kenalkan Aifa dengan dia. Lagipun tadi Encik Fitri letakkan Aifa bawah pengawasa Hakimi. Sebagai senior engineerdi sini, dia akan membimbing Aifa terutamanya mengenai projek. Dia juga akan bawa Aifa ke tapak projek terbaru kita di Cyber Jaya sebab mulai sekarang projek itu di bawah pengawasan Aifa dengan dia.” Amira memberi penerangan. Aifa hanya mengangguk, tidak sabar untuk berkenalan dengan Hakimi, senior engineernya. Sewaktu berkenalan dengan rakan-rakan yang lain tadi, mereka begitu teruja mendengar dia berada bawah pengawasan Hakimi. Kata mereka Hakimi itu boleh tahan!

“Jangan nanti jatuh hati pada ketua sendiri ya.” Amira mematikan lamunan Aifa.

“Kenapa, akak cemburu ke?” Aifa sengaja mengusik Amira.

“Tak ada maknanya!” Amira tertawa. “Kimi, sini kejap!” Amira menggamit tangannya ke arah lelaki yang dipanggil Kimi itu.

“Kenapa? Rindu aku sangatlah tu?”

“Banyaklah kau punya rindu. Ini aku kenalkan Aifa Nabila, engineer baru di sini. Encik Fitri letakkan dia bawah kau. Jangan kau nak buli dia pula lepas ni!” Amira memperkenalkan lelaki itu. Senyuman manis Aifa mati di situ sahaja, terkejut dibuatnya dia melihat wajah itu, terasa dunianya kelam! Jantungnya seakan-akan berhenti berdegup. Wajahnya pasti pucat, andai ditoreh juga pasti tidak berdarah.

“Ini Ikmal Hakimi. Kami panggil dia Kimi aje.” Amira beralih kepada Aifa pula.

Hakimi tersenyum sinis, melihat senyuman sinis di wajah Hakimi membuatkan hati Aifa panas bagai disimbah minyak.

“Boleh tahan comel juga budak bawahan aku ni!” Sengaja Hakimi menekan pada perkataan budak bawahan, dia tahu hati Aifa kian berapi.

“Kau ni tak baiklah!” Amira menegur Hakimi.

“Okey akak nak sambung kerja ni. Aifa, kalau ada masalah tanya aje pada si kacak Kimi ni.” Amira meninggalkan pasangan yang ‘baru’ berkenalan itu.

“ Si kacak Kimi.” Lelaki itu kembali mengulang kata.

Aifa sudah membuat aksi termuntah apabila Hakimi menyebut ayat itu.

“Kau buat apa tadi? Kau jangan nak melebih, di rumah mungkin kau boleh gangster dengan aku tapi di sini kalau di sini aku report dekat bos cakap kau tak boleh diharap, siap kau! Tamat riwayat hidup kau di sini!” Hakimi membuat aksi sedang menyembelih lehernya menggunakan jari telunjuk. Aifa hanya menjuihkan bibir, dia sudah malas untuk bertekak dengan Hakimi.

“Petang ni pukul 2.30 kita pergi ke tapak projek. Tepat 2.30 aku nak kau tunggu terpacak depan kereta aku. Faham tak?”

“2.30 petang ke pagi? Kereta kau yang mana?” Sengaja Aifa bertanya soalan yang sudah ada jawapannya. Mana mungkin mereka akan ke tapak projek pukul 2.30 pagi dan sudah acap kali dia melihat kereta jirannya itu. Malahan pagi tadi dia sudah melihat kereta milik Hakimi.

“Aku peliklah macam mana orang macam kau ni boleh lepas kursus kejuruteraan, jam pun kau dah kantoi inikan pula nak belajar engineering subject? Mesti kau meniru waktu exam? Takkan aku nak ajak kau ke tapak projel pukul 2.30 pagi? Fikirlah! Lagi satu, kereta aku Honda Civic warna silver, kau nak tahu nombor pendaftaran kereta tak? Nenek betul baru pagi tadi kau tengok kereta aku. Matilah aku nak latih nenek yang sudah nyanyuk macam kau ni!” Panjang lebar Hakimi berleter. Muka Aifa sudah merah, itulah tanya lagi bukan-bukan pada mamat sengal.

“Yalah, aku tanya sikit pun tak boleh!”

“Bukannya tak boleh, tapi tanyalah yang logik akal sikit, betul tak sayang?” Hakimi merenung geram Aifa. Mendengar perkataan sayang sudah membuatkan jantung Aifa bagaikan berhenti berdegup.

‘Kalau betullah aku ni jadi sayang dia, mahunya demam setahun aku!’ Pantas sahaja hati Aifa mengambil peranan mengutuk Hakimi.

“Okey aku buat kerja dulu, pukul 2.30 kau tak ada di kereta, tahulah nasib kau!”

Previous: bab 6
Next: bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.