Home Novel Komedi/Romantik Komedi Aku Alergik Cinta
Aku Alergik Cinta
Ilyana Hani
12/11/2012 22:50:11
200,104
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 13
Aizam mengetuk pintu bilik adiknya. Selepas mendapat kebenaran daripada Aifa, barulah dia memulas pintu bilik dan melangkah masuk ke dalamnya. Entah mengapa malam ini dia begitu skema! Kalau selama ini dia hanya menerjah masuk bilik adiknya tanpa mengetuk pintu tapi kali ini dia bagaikan orang yang paling skema.

Sepanjang perjalanan pulang ke rumah selepas menghantar Mazliana pulang, hatinya diterjah pelbagai perasaan. Gembira, khuatir dan perasaan yang dia sendiri tidak tahu untuk diertikan!

Tanpa sebarang kata Aizam terus sahaja duduk di atas sofa, di sebelah adiknya. Aizam melepaskan keluhan berat, dia sendiri susah untuk melahirkan rasa hatinya kini. Dia gembira dengan keputusan ibunya untuk mempercepatkan pernikahannya dengan Mazliana tetapi bukanlah secepat ini! Mazliana sendiri terkejut dengan keputusan ibunya.

Aifa hanya memandang wajah kelat abangnya itu, bagai teh yang tidak dimasukkan gula sahaja gayanya. Tumpuannya kini bukan lagi kaca TV.

“Abang dah hantar kak Maz balik rumah ke?” Aifa cuba memecahkan kesunyian yang hadir antara mereka. Dia berasa pelik kerana selama ini andai mereka bersama-sama pasti sahaja bergegar rumah ini gara-gara mereka tapi kini abangnya itu diam seribu bahasa.

Aizam hanya mengangguk. Tiada jawapan yang keluar dari mulutnya itu, gayanya bagai sedah kehilangan suara.

“Peti suara abang rosak ke?” Aifa cuba untuk bergurau. Opss baru dia teringat secara tidak sengaja dia telah terpinjam kata-kata Ikmal Hakimi! ‘Aduh, tiba-tiba aje terpinjam kata-kata dia! Ah, dia bukan tahu pun!’ Desis hatinya. Bayangan Hakimi cuba diusir jauh, diberi perhatian kepada abangnya kini.

“Tadi abang cari klinik peti suara tapi tak ada, Aifa tahu tak klinik mana yang ada perkhidmatan peti suara?” Aizam turut sama melayan keletah adiknya, terubat jua hatinya yang sedang runsing.

“Ada pun suara ingatkan tadi peti suara dah hilang.”

Aizam hanya tertawa kecil cuba menyembunyikan gelisah yang kian bersarang di hati. Aifa pelik melihat sikap abangnya itu, suruh kahwin pun muka dah macam jemput-jemput pisang digoreng petak-petak. ‘Aduh, macam-macam betullah abang ni!’

“Abang setuju ke nak kahwin hujung tahun ni?” Aifa cuba berbincang dengan abangnya. Selama ini mereka berdua sememangnya rapat, Aifa merupakan tempat Aizam bercerita dan meluahkan perasaan. Aifa juga begitu, Aizamlah tempat dia meluahkan rasa hatinya ketika suka mahupun duka. Malah sewaktu dia putus tunang dulu acap kali sahaja bahu abangnya menjadi mangsa. Waktu itu sapu tangan Aizam acap kali sahaja basah apabila dipinjamkan kepada Aifa. Biarpun jarak umur yang jauh dan berbeza jantina, namun ini sama sekali tidak menghalang dua beradik ini agar saling memahami.

“Entahlah Aifa, abang rancang nak kahwin hujung tahun depan.”

“Apa yang abang nak risaukan? Lagipun semua persiapan ibu dan ayah yang sediakan. Sempat aje kalau nak langsung hujung tahun ni. Perkara yang paling penting sekarang ni adalah diri abang sendiri. Abang perlu bersedia fizikal dan mental. Lepas abang kahwin tanggungjawab dah bertambah, abang perlu bertanggungjawab pada isteri abang. Aifa rasa abang berkemampuan, gaji abang lebih dari cukup untuk keperluan abang dan kak Maz.” Lembut sekali Aifa memberi nasihat. Lagaknya seolah-olah dia sudah berkahwin.

Aizam hanya diam, dia cuba untuk memamah setiap butir nasihat adiknya. Aifa memandang abangnya sekilas sebelum menyambung ‘ceramah’nya.

“Lagipun ada hikmah ibu nak cepatkan pernikahan abang dengan kak Maz. Sekurang-kurangnya lepas ni abang tak tanggung dosa keluar berdua-dua dengan anak dara orang. Hari-hari main mata dengan anak dara orang, hari-hari makan berdua-duaan dengan dia. Sekarang ni Aifa nak tahu abang ada masalah ke kalau kahwin hujung tahun ni?” Aifa memandang abangnya, merenung anak mata milik lelaki itu, cuba mencari sinar keikhlasan daripada jawapan yang bakal diberikan.

“Abang takut susahkan ayah dan ibu. Mesti ayah dan ibu perlu rushing untuk persiapan perkahwinan tu.”

“Abang ni, kalau Aifa cakap abang ni kurang cerdik rasa macam tak patut pula sebab doktor pakar macam abang mesti cerdik. Sebelum ibu buat keputusan, ibu dah fikir baik buruknya. Abang tak perlu risaulah. Ibu yakin dia sempat buat persiapan untuk majlis perkahwinan abang, lagipun itu yang ibu cakap pada Aifa semalam, dengan bantuan ayah, abang dan Aifa, rasanya insya-Allah kita sempat.”

“Oh, Aifa dah bincang dengan ibu semalam tapi tak cerita pada abang pun!” Aizam pantas mencubit geram lengan Aifa. Adiknya mengaduh dek cubitan Aizam itu. Dia tidak peduli, semakin adiknya mengaduh semakin kuat pula cubitannya. Dia benar-benar geram kerana Aifa menyembunyikan perbincangannya dengan ibu semalam.

“Sakit, janganlah!” Tangan Aifa pantas sahaja menghalang Aizam daripada terus-menerus mencubitnya.

“Kenapa rahsiakan daripada abang? Seronok-seronok aje Aifa bincang dengan ibu tapi rahsiakan daripada abang.” Protes Aizam. Selama ini tiada rahsia antara mereka berdua, tapi kini?

Aifa menjuihkan bibirnya. “Aifa dah janji dengan ibu supaya rahsiakan daripada abang. Amanah tu, mana boleh beritahu abang. Lepas aje abang cakap nak bawa kak Maz, terus aje ibu beritahu pelan ibu. Lagipun ada baiknya ibu cepatkan pernikahan abang, takkanlah kita nak biarkan pisang berbuah dua kalikan?”

Berkerut dahi Aizam memikirkan maksud tersirat di sebalik kata-kata Aifa.

“Aifa dulu pernah putus tunangkan? Ibu tak nak benda yang sama jadi pada abang.” Aifa menarik nafas dalam sebelum meneruskan percakapannya. Dia cuba menenangkan hatinya yang kian berkocak hebat. “Lagipun tak elok bercinta lama-lama macam-macam boleh jadi. Abang ambil Aifa sebagai contoh pun dah cukup. Bercinta daripada sekolah tapi baru aje bertunang setahun waktu belajar di universiti dah putus. Tak elok bercinta lama-lama abang, banyak dugaannya.” Aifa kian sebak, suaranya kian serak. Empangan air matanya tidak dapat ditahan lagi, titisan air mata kian merembes di pipinya. Kesabaran yang dia cuba tahan dari tadi akhirnya pecah jua. Sedih memikirkan kisah silamnya, pedih yang tercipta benar-benar meruntun jiwanya.

Pedih yang ditanggung kian lama semakin meruntun jiwanya. Mengapa dia yang harus melalui semua ini? Cinta yang dibelai penuh kasih selama ini akhirnya dikhianati. Benteng kekuatan Aifa akhirnya pecah jua, dia menangis sepuas-puasnya. Biarpun dia pernah berjanji tidak akan lagi menangis hanya kerana seorang lelaki yang bernama Safwan, tetapi entah mengapa dia benar-benar lemah hari ini. Dia menangis sepuas-puasnya. ‘Keluarlah air mata, keluarlah sepuas-puasnya.’ Biarlah ini kali terakhir dia menangis kerana lelaki itu. Lelaki seperti itu sama sekali tidak layak untuk diingati dan dicintai.

Pernah jua Aifa berjanji pada dirinya sendiri supaya tidak menangis lagi kerana lelaki itu, tetapi benteng kekuatannya hari ini benar-benar lemah, mudah sekali rebah. Saat Aizam mengesat lembut air mata yang masih mengalir, terus sahaja Aifa memeluk abangnya itu. Dilepaskan segala-galanya yang mencengkam jiwa. Dipinjam bahu abangnya itu untuk melepaskan keluh-kesah jiwa. Parah sekali andai dikhianati. ‘Wahai hati tolonglah kuat!’ Desis hatinya.

“Aifa, kena kuat. Jangan macam ni, risau abang tengok. Kenangan dulu hanya sekadar pengalaman kepada kita bukannya sebagai pelemah semangat kita. Pengalaman baik kita jadikan sebagai batu loncatan, pengalaman buruk kita jadikan sebagai pengajaran. Pengalaman tak boleh dibeli sayang. Abang tahu Aifa kuat, ingat janji kita dulu, no more tears for that man. You had promised me before right?” Lembut Aizam memujuk, tangannya mengusap lembut belakang Aifa.

Dia tahu perasaan yang bersarang di hati adiknya. Usahkan Aifa, dia juga terasa apabila lelaki yang mencintai Aifa dari sekolah menengah mengkhianati adiknya saat hubungan mereka sudah diikat dengan tali pertunangan. Ikatan yang selama ini disangka kuat akhirnya putus jua. Bukan ini yang dipinta, tetapi sekurang-kurangnya dia bersyukur kerana Safwan menunjukkan belangnya sewaktu mereka bertunang, andai sahaja mereka sudah berkahwin dia sendiri tidak dapat membayangkan perkara yang akan berlaku pada Aifa. Mungkin sahaja mereka akan bercerai-berai.

“Kita memang akan ditemukan dengan pasangan yang salah terlebih dahulu sebagai pengajaran buat kita. Kalau Aifa buat macam ni, nampak sangat yang Aifa lemah. kalah pada Safwan. Jangan jadi bodohlah adik! Safwan sedap-sedap aje berkepit dengan perempuan lain, Aifa pula menangis macam ni. Tak ada faedahnya, cuba Aifa bangkit, bagi peluang pada diri sendiri. Aifa muda lagi, jangan sia-siakan masa depan Aifa sebab manusia tak guna macam tu. Buang masa aje.” Aizam mengangkat muka Aifa daripada terus meminjam bahunya. Kedua-dua tangannya memegang pipi Aifa, lembut tetapi tegas.

“Dengar cakap abang, Aifa sayang abangkan?”

Aifa mengangguk lemah. “Aifa sayang ibu dan ayahkan?” Aifa mengangguk lagi.

“Kalau sayang kami semua tolonglah, kali ini aje abang minta. Tolong hentikan semua prinsip salah Aifa ini. Prinsip yang nak menunjukkan ego! Prinsip mampu hidup tanpa lelaki! Prinsip apa tu? Tolonglah Aifa, dah berapa kali abang nasihat tapi kali ni tolonglah dengar cakap abang.” Suara Aizam separuh merayu. Mata berair adiknya ditenung penuh kasih, cuba menyalurkan kekuatan.

“Setiap orang di muka bumi ini dicipta berpasangan. Aifa pernah belajarkan? Gagal dalam cinta pertama tak bererti kita akan gagal dalam cinta selamanya!” Aizam mengesat lembut air mata yang masih bersisa di pipi adiknya, dia benar-benar mengharapkan segala nasihatnya selama ini dapat menyuntik semangat Aifa untuk berubah, supaya kembali menjadi Aifa seperti sebelum ini. Hanya itu harapannya.

Tangan Aizam yang masih berada di pipi digenggam. Kasih sayang yang bersarang di jiwanya buat lelaki yang dipanggil abang itu usah dipertikai. Dia tahu Aizam mahukan yang terbaik untuk dirinya, tetapi entahlah pengalaman lalu tidak dapat mematangkannya. Peristiwa itu benar-benar menghancurkan hatinya. Sedih usah dikata, hampir setiap malam dia menangis saat mengetahui Safwan mengkhianatinya. Saat ibunya memulangkan cincin pertunangan, hampir setiap masa dia termenung. Entah dimana silapnya dia sendiri tidak pasti. Tetapi apa yang pasti kini hatinya sudah tertutup untuk mana-mana lelaki sekalipun. Sukar benar untuk dia mengubah kenyataan itu walaupun baru sahaja Aizam memberi segunung nasihat. Di mulut sahaja dia mampu mengata ya, tetapi tidak di hati.

“Abang, maafkan Aifa.” Aizam mengeratkan genggaman tangan Aifa, cuba menenteramkan adiknya. Aifa pantang menangis, andai dia mula menitiskan air mata, susah sekali untuk berhenti. Malah adiknya itu diberi gelaran ratu air mata oleh rakan-rakannya.

“Sudahlah sikit-sikit, simpan sama air mata tu nanti kering nak cari ganti di mana?” Aizam sempat bergurau, tidak sanggup untuk melihat air mata itu untuk terus menitis. Ternyata gurauan Aizam berhasil, akhirnya Aifa tersenyum. Biarpun senyuman itu hanya seketika, biarpun senyuman itu tidak semanis biasa namun itu sudah cukup membuatkan Aizam lega.

“Tahu pun senyum, ingatkan kambing dah curi senyuman tu.”

Aifa menampar geram lengan abangnya, masih ingin bergurau walaupun dia dalam mood ‘banjir’. Tetapi dia mengaku hatinya sedikit sebanyak terhibur juga, untuk ke sekian kalinya Aifa mengesat sisa air matanya. ‘Nyahlah air mata. Janganlah turun lagi sebab lelaki macam tu, tiada gunanya. Ya, tiada gunanya. Selamat tinggal Safwan, selamat tinggal buat selamanya.’ Tekad Aifa. Dia sudah berazam, selepas ini lelaki itu tidak akan sama sekali menjadi punca dia menitiskan air mata, tidak sama sekali.

“Abang, Aifa mengantuklah.”

“Amboi, habis menangis terus halau abang keluar nampak!” Aizam menjegilkan matanya. Aifa kembali tersenyum buat ke sekian kalinya, tangisnya kian reda. Tekadnya hampir menjadi nyata.

“Bukan halau tapi usir!” Ujar Aifa dengan riak muka tidak bersalah.

“Okey, nanti abang tak nak masuk bilik ni lagi.” Aizam mengugut tetapi hakikatnya dia gembira melihat perubahan adiknya. Biarpun tidak seceria sebelumnya namun ini sudah cukup menenangkan hatinya.

“Lagi seronok.” Balas Aifa selamba.

“Ingatkan abang masuk bilik ni tadi sebab nak minta nasihat Aifa, nak tenangkan hati. Rupa-rupanya abang yang kena bagi nasihat, kena tenangkan orang tu. Asyik menangis aje kerjanya.” Aifa sudah muncung sedepa.

“Okey, abang nak masuk tidurlah. Mengantuk.” Belum sempat Aizam menapak, Aifa sudah memegang erat tangannya.

“Apa keputusan abang? Masih dengan rancangan ibu atau rancangan abang sendiri?” Aifa bertanya, sayu sekali suaranya.

Aizam menarik nafas panjang sebelum melepaskannya semula. “Abang ikut ibu, ada baiknya ibu buat macam tu, Aifa jangan risaulah, insya-Allah, perkara lama tak akan jadi kembali.” Tenang Aizam menjawab, Aifa pula mengangguk mengiakan kata-kata abangnya sebelum tersenyum.

Aifa melihat kelibat abangnya sehingga hilang dari pandangan. Alat kawalan jauh dicapai lantas dis mematikan suis TV. Moodnya hilang sama sekali untuk menonton TV. Selepas mengunci pintu bilik, Aifa berbaring di atas katilnya. Kata-kata abangnya terngiang-ngiang di minda.

‘Mengapa susah sangat untuk dia melupakan Haris Safwan?’ Hatinya berbisik. Bantal di tangan ditumbuk geram. Dia membayangkan bantal itu sebagai Safwan.

‘Tak guna punya lelaki!’ Hamunnya di dalam hati. Aifa mengeluh lagi. Hatinya benar-benar terluka tika ini, tanpa sedar pipinya kian basah. Matanya terlalu sukar untuk dia memejamkan mata, tetapi untuk mengeluarkan air mata mudah pula! Tanpa diundang kenangannya bersama-sama Safwan kembali bertamu di minda. Puas dia mengusir, namun kenangan itu kian hebat menjelma. Dia sudah letih, benar-benar letih melayan setiap perkara yang punya kaitan dengan lelaki itu! Malam itu mindanya Cuma tertumpu pada suatu benda, Haris Safwan!

Aifa hanya membiarkan air mata yang kian galak mengalir, dia sudah tidak berdaya untuk menghalang. Biarlah!

Aifa cuba memujuk matanya agar lena tetapi sia-sia, kian dipaksa kian menjadi-jadi tangisnya. Sudahnya tika angka jam menginjak ke angka lima barulah dia mampu melelapkan mata.

Previous: bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.