Home Novel Komedi/Romantik Komedi Aku Alergik Cinta
Aku Alergik Cinta
Ilyana Hani
12/11/2012 22:50:11
200,076
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 23
“Awal sampai hari ni Aifa.” Amira menegur apabila melihat Aifa baru sahaja meletakkan beg tangannya di atas meja. Dia berlalu ke mejanya sambil membawa secawan kopi. Selalunya Aifa akan sampai terlebih dahulu sebelum dirinya tetapi hari ini selepas dia membancuh air di pantri baru Aifa sampai. Nampak sangat lewat!

“Terlewat bangun hari ini.” Balas Aifa sambil tersengih malu, entah mengapa lancar sahaja bibirnya menuturkan kata memberi tahu dia terlewat bangun. Jatuhlah saham andai anak gadis terlewat bangun!

“Terlewat bangun atau terlewat sebab menjenguk ke rumah sebelah. Maklumlah lama juga tak boleh jumpa.”

Aifa menjeling geram ke arah Amira, sesedap rasa sahaja dia berkata. “Betullah terlewat bangun, kenapa tanya tentang jiran sebelah rumah pula? Mana Kimi? Tak nampak batang hidung dia pun, kalau tidak pagi-pagi begini mesti dah terpacak depan meja akak, sarapan nasi lemak sekali.”

“Aifa tak tahu ke dia MC?”

Aifa menggeleng, sengaja berpura-pura tidak tahu. “Dia sakit apa kak? Nampak elok aje hari Jumaat lepas.” Aifa cuba berlagak selamba cuba menyembunyikan gelora yang bertandang di hati. Andai sahaja Amira mengetahui dialah punca Hakimi MC, pastinya sebulan dia harus menadah telinga mendengar ceramah percuma Amira.

“Jiran sebelah rumah pun tak tahu ke? Kimi alergikkatanya, dah tahu dia tu alergik makan seafood, janganlah makan. Sengaja nak menyakitkan badan betul budak ni.”Amira sudah masuk adegan membebel. Dia menghirup sedikit air kopi yang masih berasap nipis.

“Kami nama aje jiran sebelah rumah tapi tak pernah berborak pun. Hakimi tu musuh ketat Aifa tau.”

“Mula-mula musuh, lepas tu abang sayang! Dah banyak kes benci jadi sayang ni Cik Aifa Nabila. Jangan nanti kak dapat kad jemputan daripada kau orang sudahlah ya.”

Aifa menjeling tajam Amira, rasanya mahu sahaja dia mengunting mulut Amira! Biar padan dengan muka dia! “Memanglah kak nak dapat kad jemputan daripada kami, kad jemputan ke majlis wrestlingkami! Jemput tau kak.”

“Apa pula wrestling? Jemputan kahwin la. Tak padan dengan perempuan nak bergusti, Aifa tu paras bahu Kimi aje tau. Sekali dia hentak, dah tertiarap. Opsss malu.”

“Jangan pandang Aifa sebelah mata tau! Aifa ada tali pinggang hitam dalam taekwondo.” Ujar Aifa yakin sekali, hakikatnya bukan sekadar tali pinggang hitam tetapi tali pinggang putih taekwondo pun dia tidak punya.

Amira menjuih bibir, bukannya sehari dua dia mengenali Aifa. Sewaktu di universiti dahulu, pernah dia mengajak Aifa menyertai taekwondo tetapi katanya tidak berminat tetapi kini dia sudah punya tali pinggang hitam. Langsung tidak logik. “Tali pinggang hitam taekwondo atau tali pinggang hitam yang selalu pakai dengan seluar jeans? Kalau setakat tali pinggang tu, akak pun ada la.” Amira tertawa di hujung katanya, terhibur juga dengan telatah Aifa. Mahu menipu tetapi tidak memikirkan diri orang yang mahu ditipu.

“Akak ni padang rendah pada Aifa, lepas ni tengoklah Aifa kasi karate kereta kesayangan mamat sengal tu! Waktu tu baru dia tahu langit tinggi ke rendah.”

“Bila Aifa sebut langit tinggi ke rendah baru akak ingat,tadi Kimi callakak, dia suruh bagi tahu Aifa supaya uruskan projek dekat Cyberjaya. Katanya projek tu dah 70% siap, jadi dia nak Aifa turun ke tapak hari ini ataupun esok.”

Buntang mata Aifa saat mendengar arahan dari Hakimi. Pergi ke tapak projek seorang diri. Aduh, Hakini terkena penyakit sawan rasanya! Aku yang baru bekerja seminggu disuruh ke tapak projek seorang diri? Memang sah mamat sengal tu kena jangkitan kuman di otak, sesedap hatinya sahaja menyuruh dia melakukan itu dan ini! “Kak, temankan Aifa ke sana. Aifa baru kerja seminggu, tak tahu apa lagi ni.”

“Ada lagi yang Kimi pesan pada akak. Dia pesan supaya akak jangan temankan Aifa ke site,katanya biar Aifa tahu langit tinggi ke rendah. Lepas tu dia cakap kalau Aifa banyak bunyi reportaje dekat Encik Fitri, biar gengster Aifa tu kurang sikit. Lastly he said to me, see you in courtAifa Nabila!Itu ajelah yang Kimi pesan pada akak. Kenapa sampai nak jumpa dekat mahkamah ni? Belum kahwin dah nak jumpa di mahkamah. Aifa dengan Kimi ada masalah ke?”

Hati Aifa terasa panas, rasanya seperti baru dikeluarkan dari mesin pembakar sahaja. Panasnya usah dikata! Sesedap hati sahaja dia mengarah itu ini. “Hakimi cakap macam tu? Nak kena betul mamat ni.” Aifa mendengus marah. Amira hanya tertawa kecil, lucu juga apabila memikirkan gelagat orang dewasa yang tidak matang seperti Aifa dan Hakimi. Bergaduh mengalahkan budak-budak, rasanya budak-budak andai diumpan dengan coklat berdamai kembali, tetapi andai budak-budak terlebih umur seperti Aifa dan Hakimi diumpan bom sekalipun belum tentu akan berdamai.

Aifa kalut mencari telefon bimbitnya apabila mendengar telefonnya menjerit meminta diangkat. “Hakimi!”

“Hello.” Kasar Aifa menjawab.

“Assalamualaikum. Amboi, minah baiknya cara kau jawab telefon.”

Aifa mengetap bibir, mamat yang bernama Hakimi itu bagaikan ada di mana-mana sahaja untuk menganggu hidupnya. Ingatkan dia cuti sakit akan amanalah hidupnya, rupa-rupanya tidak!

“Waalaikumsalam. Ada apa kau telefon aku ni? Nak bagi tahu yang kau cuti sakit? Aku lagi seronok, sekurang-kurangnya tak perlu aku tengok kau hari-hari.” Tanpa kata Aifa berlalu meninggalkan Amira di mejanya yang jelas hairan melihat tingkah lakunya. Hati kecil Amira sudah dapat meneka gerangan pemanggil. Siapa lagi gerangan pemanggil yang dilayan kasar seperti itu kalau bukan Hakimi.

Aifa berjalan pantas menuju ke tandas, dia tidak mahu Amira mendengar butir bicaranya dengan Hakimi. Nanti tak pasal-pasal keluar ayat gengsternya.

“Aku pun bahagialah bila tak perlu tengok kau.” Jawab Hakimi pula. “Aku cuma nak ingatkan kau yang jangan lupa pergi melawat tapak projek dekat Cyberjaya. Projek tu dah hampir siap, aku nak kau pastikan semuanya berjalan lancar kalau tidak susah kita nak dapat CF nanti. Lagi satu, kau pergi seorang! Jangan ajak Mira, cuba independentsikit.” Balas Hakimi tanpa sempat Aifa mencelah.

Okey, don’t worry I will be there later! Tapi kau tak ada hak untuk halang aku pergi ke sana dengan kak Mira. Biarlah kalau aku nak pergi dengan dia sekali pun asalkan dia setuju.” Serang Aifa lagi, sesedap hatinya sahaja melarang dia pergi ke tapak projek dengan Amira.

“Kau ingat dia tu tak ada kerja nak buat ke? Dia ada banyak kerja lagi daripada nak layan kau. Itulah kalau aku ada mesti senang kerja kau.”

“Kau jangan perasanlah. Kau ingat kalau kau ada di sini kerja aku senang ke? Aku rasa kalau kau ada di sini lagi sakit kepala aku ni.” Jawab Aifa separuh menjerit, pintu tandas dihempas sekuat hati bagai menzahirkan rasa geramnya.

Okey.Aku nak tengok cara kau bekerja minggu ini tanpa aku. Lepas ni baru kau tahu langit tu tinggi ke rendah.” Hakimi tertawa di hujung kata-katanya. Aifa merasakan tawa itu amat menyakitkan hatinya. Andai sahaja Hakimi berada di hadapannya kini, pasti di sumbat mulut lelaki itu dengan makanan laut sebanyak mungkin biar badannya merah-merah lagi.

“Kau jangan perasanlah.” Aifa kembali mengulangi kata-katanya.

Hakimi tertawa lagi sebelum kembali menyakitkan hati musuh ketatnya. “Okey, just wait and see.”

“Tak perlu tunggu pun aku dah ada jawapannya. Kau ingat kau tu penting sangat ke? Jangan perasanlah.” Balas Aifa garang, entah mengapa tiap kali berbual dengan Hakimi pasti amarahnya berada pada tahap sukar dikawal, rasanya melepasi takad didih.

“Sudahlah, omongan kosong saja tu ibu.” Ujar Hakimi meniru dialek Indonesia.

“Susah betul cakap dengan orang perasan ni, sudahlah aku malas nak layan kau. Kerja aku bertimbun lagi tu…”

Belum sempat kata-kata Aifa menemui titik noktah, Hakimi terlebih dahulu memintas. “Kau ingat kau seorang aje yang ada kerja? Aku pun banyak kerjalah, sekarang ini tak pasal-pasal kerja aku tertangguh sebab kau.”

“Kenapa pula sebab aku?” Bantah Aifa, sesedapnya hatinya sahaja mengata aku.

“Kau yang masakkan? Lagi banyak tanya.”

“Siapa suruh kau makan? Kalau aku tahu kau nak makan lebih baik aku masukkan banyak makanan biar puas hati aku.”

“Maknanya kau sengaja nak kenakan aku?” Suara Hakimi kian kuat.

Aifa ketawa menyindir, rasanya tidak perlu lagi dia menyembunyikan rancangan asalnya. Memang dia sengaja mahu mengenakan Hakimi, biar padan muka lelaki itu! “Memang aku rancang semua ni, memang aku sengaja nak bagi kau makan seafood. Sekarang puas hati?” Aifa ketawa lagi. “Sudahlah, malas aku nak layan kau.” Terus sahaja Aifa mematikan talian telefon tanpa sempat mendengar kata balas Hakimi.

Aifa tersenyum puas, pasti hati lelaki sengal itu sedang panas kini. Aifa membuka selak pintu tandas, dia mahu keluar sekarang, pasti sahaja Amira pelik kerana lama juga dia menghilangkan diri untuk bergayut dengan Hakimi.

“Opocot!” Latah Aifa apabila tiba-tiba sahaja matanya menangkap sesosok tubuh Amira sedang bercekak pinggang di hadapan pintu tandas.

“Akak buat apa dekat sini?” Tanya Aifa, bergetar hebat hatinya memikirkan jika Amira dapat menangkap butir bicara dia dengan Hakimi tadi.

“Akak ke tandas sebab nak tukar tayar kereta. Lagipun tayar kereta akak tu dah tak ada bunga.”

Berkerut-kerut dahi Aifa memikirkan Amira hendak menukar tayar kereta di tandas. Akhirnya baru dia dapat menangkap idea Amira untuk mengenakannya. “Akak ni buat lawak pula!”

Amira tersengih nakal, rupa-rupanya spesies kaki menyakat seperti Aifa ini lurus juga orangnya. Mana mungkin orang menukar tayar kereta di tandas! “Berbual dengan siapa tadi?” Amira cuba memancing jawapan daripada Aifa, padahal dia sudah tahu gerangan pemanggilnya. Siapa lagi kalau bukan Ikmal Hakimi. Setahunya, Aifa hanya akan bercakap kasar dengan musuhnya sahaja dan Hakimi adalah musuh ketatnya tika ini.

“Cakap dengan kawan.” Aifa cuba menyembunyikan pemanggil sebenar, dia berjalan ke singki dan membuka pili. Tangannya dibasuh dan disabun, sengaja mencari alasan supaya tidak terus-menerus disoal oleh Amira.

“Kawan tu Hakimi ke?” Teka Amira sambil berpeluk tubuh, keningnya dijonket sedikit.

Aifa mencebik. “Tak adalah.” Nafinya lagi. Nah, berbohong lagi. Aduh, Aifa Nabila, tak pasal-pasal dapat dosa percuma kerana menipu!

“Akak dengar Aifa sebut nama Hakimi tadi.”

Jantung Aifa bagaikan mahu luruh sangat mendengar pengakuan Amira. Jika Amira mendengar nama Hakimi, sudah pasti Amira mendengar mengenai perbuatan dia mengenakan Hakimi. “Akak dengar apa lagi?” Tanya Aifa terketar-ketar.

“Semuanya.”

Buntang mata Aifa memandang Amira apabila mendengar jawapan daripada Amira. Hatinya kian berdegup kencang, sekencang pelumba kuda menunggang kuda. “Semuanya? Apa yang akak dengar lagi?” Suara Aifa sedikit terketar. Dia mengatur langkah keluar dari tandas, sudah malas mahu melayan Amira. Bimbang juga andai rahsianya terbongkar.

“Akak gurau ajelah. Akak tak dengar apa pun. Jangan risau, akak cakap betul ni, satu pun akak tak dengar.” Ada tawa di hujung kata-kata Amira, kelakar juga memikirkan Aifa atau minah murai yang merupakan gelaran manjanya di rumah sewa dahulu, mati kutu apabila diusik mengenai Hakimi.

Aifa mendengus marah, kecut perutnya apabila memikirkan Amira mencuri dengar perbualannya tadi. “Akak ni sengaja tau.” Aifa berpura-pura merajuk.

“Merajuklah pula, Hakimi tak ada nak tolong pujuk ni.”

“Akak!”

Okey, sorry sayang. Akak gurau aje tadi. Janganlah buat muka sepuluh sen macam tu, buruklah.”

Okeyjuga buat muka sepuluh sen, boleh juga beli gula-gula daripada muka satu sen akak tu, tak laku dah sekarang ni.” Aifa ketawa besar selepas berjaya mengenakan Amira. Baru puas hatinya, berani benar wanita itu menyakatnya dengan Hakimi. Si Hakimi tugasnya memujuk? Oh, tidak! Pasti sahaja jiwanya akan lebih parah andai lelaki itu yang memujuk.

Buntang mata Amira memandang Aifa, mengutuk tauke? Ini tak boleh jadi, “Mengutuk akak nampak? Taka apalah, akak banyak kerja hari ini. Nanti Aifa boleh rasanya melawat site seorang dirikan? Aifa ni wanita serba boleh, jadi tak perlu risaulah.”

Aifa terkesima, sesak dadanya. Pergi ke sitesendirian? Aduh, sudahlah usianya baru setahun jagung dalam dunia kejuruteraan ini.”Akak yang comel, jangan macam ni.” Pujuk Aifa lagi.

“Waktu memujuk barulah tahu sebut comel.”

Aifa tersengih, rasanya mahu sahaja dia menampal pita pelekat di mulutnya agar tidak bersuara lagi. Bimbang juga andai Amira tidak mahu mengikutnya ke site.

“Itulah, waktu ada SE cari gaduh, sekarang ni bila SE tu tak ada barulah nak tahu kepentingan SE.” Tambah Amira lagi, gadis kecil molek di hadapannya dipandang, mengharapkan balasan daripada gadis itu tetapi mulut gadis itu bagaikan dikunci rapat.

Aifa masih lagi tersengih sehingga menampakkan barisan giginya yang putih dan tersusun. Mahu sahaja dia menjawab dan kembali mengenakan Amira, namun andai sahaja dia berbuat begitu pasti Amira akan kembali mengugutnya dan tidak mahu menemaninya ke tapak projek. Sabar ajelah wahai hati.

“Kenapa senyap aje ni?” Amira hairan, jelas sekali kerutan di dahinya. Nah, Amira sendiri hairan melihat kebisuan Aifa! Pasti ada udang di sebalik batu.

“Akak jadi teman Aifa kan?” Tutur Aifa perlahan dan lemah lembut. Oh, tiba-tiba sahaja Aifa Nabila bertukar menjadi lembut.

“Patutlah baik sangat! Tak menjawab pula tu! Ada udang di sebalik mee rupanya, dah berapa ekor udang tu?”

Aifa kembali tersengih, kantoi juga akhirnya.

Previous: Bab 22
Next: Bab 24

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.