Home Novel Komedi/Romantik Komedi Aku Alergik Cinta
Aku Alergik Cinta
Ilyana Hani
12/11/2012 22:50:11
200,036
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
bab 4

MATANYA mencari-cari novel yang dibelinya tadi tetapi hampa. Barang yang dicari tiada di biliknya. Dia pantas menyusun langkah mendapatkan abangnya, dia yakin novel itu pasti tertinggal di dalam bonet kereta abangnya.

Selepas mengambil kunci kereta daripada abangnya, Aifa pantas menyarungkan tudung dan keluar untuk mengambil novel. Baru sahaja dia ingin menyarung selipar, telinganya sudah menangkap bunyi petikan gitar dari rumah sebelahnya. Memang menjadi kebiasaan Syafiq yang suka bermain gitar sambil bernyanyi di waktu malam begini.

‘Tetapi lain benar suara Syafiq menyanyi hari ini.’ Desis hatinya. Pantas sahaja Aifa berjalan ke kereta Aizam yang diparkir di belakang keretanya. Hampir sahaja dia melompat terkejut apabila ada suara yang menegurnya.

Dia pantas menjeling tajam ke arah pemilik suara itu. “Kau ni kenapa? Tak habis-habis nak ganggu hidup aku.” Aifa mendengus marah, patutlah lain benar suara yang bernyanyi tadi rupa-rupanya itu suara mamat sengal.

“Kau nak dengar aku menyanyi lagu yang aku cipta khas untuk kau tak?” Hakimi bertanya sebelum tangannya mencapai gitar lantas dia berjalan sehinggalah ke pagar yang memisahkan dia dan Aifa.

“Tak nak. Pekak telinga aku nanti!” Aifa bersuara bosan.

Relaxlah, kau ni nama aje gengster tapi hati lembut macam perempuan.”

Berkerut dahi Aifa saat mendengar kata-kata Hakimi. “Dah aku ni perempuan mestilah hati pun macam perempuan.” Tebaknya lagi.

“Kau dengar lagu ni.” Hakimi kembali bersuara dan kali ini lebih ke arah memaksa. Dia mahu Aifa mendengar lagu yang diciptakan khas buat gadis itu. Dia tersenyum apabila melihat Aifa sudah terpacak bagai tiang, nampaknya gadis itu mahu mendengar nyanyiannya.

Gitar yang berada di tangan dipetik sebelum bibirnya menyanyikan lagu Gadis Melayu versinya sendiri.

Siapa bilang gadis Melayu tak menawan

Tak menarik hati tiada memikat

Kalaulah memang tak mungkin aku tertarik

Kalaulah sungguh tak mungkin aku kan jatuh

Aduhai kasar gayanya serta pahit senyumnya

Putih lebat rambutnya

Sungguh buruk si dia.”

Hakimi ketawa terbahak-bahak selepas mendendangkan lagu itu. Aifa menjeling geram. ‘Kurang asam betul mamat sengal ni.’ Hatinya menggerutu. Kalau bab merosakkan lagu orang memang serahkan kepada Hakimi. Tak fasal-fasal lagu Gadis Melayu dendangan asal Jamal Abdillah itu dinyanyikan dalam versi sendiri.

“Kau ni memang sengal kan? Sesedap hati aje kau rosakkan lagu orang.” Marah Aifa. Tetapi lelaki di hadapannya sekadar tersenyum sebelum menjongketkan bahunya.

“Sedapkan nyanyian aku?” Dia bertanya tetapi dia melihat gadis itu berjalan ke arah pili sebelum kepalanya dipulas dan dia mencapai paip getah. Badan kereta Vios dibasahkan dengan air yang sedang mengalir. Dia sendiri pelik dengan tindakan diri sendiri. Tadi dia mahu mengambil novel tetapi sekarang boleh pula dia mencuci kereta. Ah, layankan ajelah!

“Hoi, aku tengah bercakap dengan kau tapi boleh pula kau cuci kereta! Tak ada adab betullah kau ni!” Hakimi membebel, geram pula dia melihat gadis itu terus mencuci kereta tanpa mempedulikannya.

Gadis itu masih seperti tadi, menjirus badan kereta tanpa mempedulikan Hakimi yang masih membebel kepadanya. “Penat orang anjurkan kempen budi bahasa budaya kita kalau kau tak tahu nak hayati.” Hakimi menyandarkan gitarnya pada kerusi yang terdapat di luar rumah sebelum dia duduk bersilang kaki sambil memandang ke arah Aifa.

Dia masih diam seperti tadi, langsung tidak bersuara. Hakimi pantas mencapai buku motivasi yang dibelinya minggu lepas sebelum dia kembali berjalan ke arah pagar yang memisahkan rumahnya dengan Aifa. Dia tidak akan puas selagi Aifa tidak bersuara.

“Petang tadi mulut kau tu dah macam burung murai, bising aje. Tapi sekarang dah bisu pula.” Hakimi menduga sambil buku motivasi yang diambilnya tadi dipegang menggunakan tangan kanan. Manakala tangan kirinya memegang pagar rumah.

“Sedap tak aku nyanyi tadi?” Dia kembali bertanya.

Aifa tersenyum sinis sebelum dia berjalan hampir ke arah Hakimi. Kali ini dia menyiram bunga pula. Berkerut dahi Hakimi saat melihat tindakan Aifa. Menyiram bunga di waktu malam? Memang sah, gadis itu tidak betul!

“Suara kau tadi tu dah macam katak puru tercekik tulang ikan.” Aifa bersuara sebelum tertawa kecil. Puas hatinya melihat riak wajah Hakimi yang menunjukkan dia tidak puas hati.

“Katak puru tercekik tulang ikan pun ada gunanya juga, boleh panggil hujan.” Dia kembali membalas.

“Kau menyanyi pun tempo lari.” Aifa menambah.

“Tempo tak ada kaki nak lari, tapi kalau aku menyanyi tak ikut tempo barulah betul. Ayat Bahasa Melayu pun tunggang-langgang ada hati nak gaduh dengan aku. Lain kali kau pergi ambil kelas Bahasa Melayu dulu sebelum gaduh dengan aku. Jenis aku memang tak bercakap dengan orang yang salah tatabahasa ni!” Hakimi menambah api pada kemarahan Aifa.

“Kau ingat tatabahasa kau betul sangat ke?” Aifa kembali membidas.

Hakimi sudah tersengih nakal, setiap gerak geri Aifa dipandangnya. Apabila gadis itu melangkah ke kanan dia akan mengikutinya, saat kaki gadis itu melangkah ke kiri dia akan turut mengikutinya. Waimanya ke mana sahaja gadis itu melangkah, dia akan turut sama melangkah.

“Kau ni kenapa? Tak ada kerja lain nak buat ke?”

“Aku peliklah tengok kau ni, kenapa kau siram pokok bunga malam-malam macam ni?”

“Pokok bunga aku, jadi suka hati akulah.” Aifa membalas selamba.

“Nah!” Hakimi menghulurkan buku betul-betul di hadapan wajahnya. Aifa menjongketkan keningnya, menghantar isyarat yang difahami oleh Hakimi.

“Aku bagi buku ni untuk kau baca. Bagus buku motivasi ni, sekurang-kurangnya boleh bersihkan sikit hati dan minda kau tu. Lagipun aku tengok kau ni macam orang yang tak ada motivasi dalam diri.”

Aifa ketawa besar, sesedap hatinya sahaja menilai orang sekadar dari luaran. “Kau tu lagi teruk. Selalu baca buku motivasi tapi diri kau sendiri tu yang tak bermotivasi. Sebab itulah aku cakap yang kau ni memang mamat sengal.”

“Lagipun aku tengok, kau ni memang jenis yang tak bermotivasi langsung. Betul ke kau baca buku tu? Ataupun sekadar pegang aje.” Aifa menambah.

Hakimi kembali ketawa, hebat benar permainan Aifa. Gadis itu benar-benar bijak membuatkan hatinya semakin panas. “Kau ni mulut memang tak ada insurans. Ambillah buku ni, aku bagi percuma aje. Kesian pula tengok perempuan yang tak bermotivasi macam kau.” Senget mulut Hakimi tersenyum, padan muka kau kena balik!

Belum sempat Hakimi mahu bersuara, dia sudah merasakan hujung rambutnya mula basah dan kini badannya turut sama basah disiram air. Dia pantas memandang ke arah Aifa yang masih menghalakan paip getah ke arahnya. Sengihan pada wajah itu menyakitkan hatinya apatah lagi apabila dia sudah merasa dingin malam yang menyapa tubuhnya yang kian lencun.

“Sebab inilah aku cakap kau tak ada motivasi dalam diri. Kurang asam betul!” Hakimi berkata separuh menjerit, badannya sudah separuh basah disiram oleh Aifa. Buku yang dipegangnya tadi turut sama basah sehinggakan kulitnya sudah mula kembang.

Aifa melepaskan paip getah ke tanah sebelum dia bertepuk tangan. “Puas hati aku. Terbalas dendam aku kelmarin.”

“Hei, minah gengster! Kau dengar sini, jangan harap aku akan lepaskan kau. Sekarang aku nak kau ganti balik buku ni. Mahal tau aku beli.” Buku yang dipegang dihulurkan ke arah Aifa, rasanya baru minggu lepas dia membeli buku itu dan dia baru sahaja sempat membaca beberapa helaian gara-gara dia sibuk untuk urusan berpindah rumah.

Aifa tersenyum sinis sambil berpeluk tubuh. “Kau beli ajelah sendiri. Aku tak ada kena-mengena dalam hal ini. Selamat malam.” Langkahnya pantas disusun ke arah pili sebelum tangannya menutup punca air.

“Astaghfirullah.” Aizam beristighfar apabila melihat Hakimi sudah lencun, dia yakin ini pasti kerja Aifa kerana dia dapat mendengar suara adiknya dan Hakimi sedang bertekak sehingga ke dalam rumah. Kerana itulah dia keluar untuk melihat perkara yang terjadi. Telahannya tepat sekali, Aifa memang gemar mencari gaduh.

“Zam cuba tengok adik kesayangan kau ni! Gengster betullah, habis basah aku dikerjakan.” Hakimi tidak berpuas hati, dihadiahkan jelingan maut buat Aifa. Namun, gadis itu sekadar memandangnya bersahaja. ‘Aku tak takutlah!’ Hati Aifa ketawa sinis.

“Aifa, kenapa buat hal lagi?” Aizam membuat muka bosan. Jujur, dia sudah malas mahu memikirkan perangai pelik adiknya itu. Suka benar mencari gaduh dengan lelaki.

“Dia yang cari pasal. Mula-mula memekak menyanyi lagu lepas tu boleh pula dia cakap Aifa ni tak ada motivasi diri. Sekarang, kau rasakan penangan orang yang tak bermotivasi ni. Dasar mamat sengal.”

“Aku tak pernah jumpa perempuan seganas kau ni. Memang betullah benda yang aku cakap tadi, kau ini memang tak bermotivasi.” Hamun Hakimi, geram benar dia melihat mulut comel itu berbalas kata dengannya.

“Habis tu kau ingat lelaki macam kau ni bermotivasi sangat ke? Kalau dah sengal tu, selamanya sengal juga.”

Aizam mengusap perlahan belakang Aifa cuba menenangkan adiknya itu. Dia dapat merasakan bahang kehangatan antara mereka.

“Sudahlah. Jom masuk.” Tangan Aizam berpindah ke tangan Aifa pula, menarik tangan itu agar masuk ke dalam rumah.

“Hei, minah gengster kau ganti balik buku aku ni! Aku tak habis baca pun lagi, kau sesedap hati mandikan buku aku.”

“Dalam mimpi!” Aifa menjerit geram. Dipanjangkan langkah agar cepat masuk ke dalam rumah. Dia sudah malas untuk bertekak dengan mamat sengal itu!

Previous: bab 3
Next: bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.