Home Novel Komedi/Romantik Komedi Aku Alergik Cinta
Aku Alergik Cinta
Ilyana Hani
12/11/2012 22:50:11
200,113
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
bab 9
AIFA melangkah keluar dari kedai menjual buku dan alat tulis dengan wajah yang masam mencuka. Puas mindanya bermain teka-teki, rupa-rupanya Hakimi membawanya ke kedai itu dan dia dipaksa membayar harga buku motivasi yang disiramnya bersama Hakimi tempoh hari! Ini tidak adil, sesedap hatinya sahaja!

“Cepatnya kau jalan.” Hakimi cuba menyaingi langkah Aifa.

“Kau cakap nak bawa aku ke tempat istimewa. Ini ke tempat istimewa tu? Sudahlah kau suruh aku bayar harga buku kau! Tak patut betullah kau ni!”

“Kau nak pergi mana tu?” Hakimi kalut apabila dia melihat Aifa berjalan bertentangan dengan arah tempat letak keretanya.

“Aku nak balik naik teksi! Kau jangan ganggu aku! Aku tahu apa yang aku buat, aku boleh balik sendiri!”

Cekap sahaja Hakimi berlari dan sudahnya memintas langkah Aifa. Wajah marah itu dipandang. Aifa mendengus kasar. “Tolong jangan halang jalan aku.” Aifa bersuara tetapi Hakimi masih berdiri di hadapannya, dia seolah-olah enggan berganjak dari tempat duduknya sekarang.

“Kimi, please! Aku nak balik sendiri.” Suara Aifa separuh merayu.

“Aku yang bawa kau ke sini, jadi aku yang akan hantar kau balik! Jom ikut aku!” Hakimi memaksa Aifa mengikut langkahnya lantas ditarik lengan gadis itu agar mengikutinya. Aifa masih berdegil, dia cuba merentap kasar lengannya daripada pegangan kuat Hakimi.

“Aku boleh balik sendirilah!” Aifa masih meronta-ronta minta dilepaskan.

“Encik kenapa ni? Boleh saya bantu?” Seorang lelaki bertanya Hakimi. Sejak tadi dia melihat pasangan ini seakan-akan sedang bergaduh. Si lelaki memegang kuat lengan si gadis, namun si gadis berdegil, lengannya cuba direntap daripada pegangan si lelaki.

“Tak ada apa-apalah encik. Isteri saya ni bergaduh dengan saya. Jadi, dia tengah merajuk. Saya tengah pujuk dia agar pulang ke rumah.” Hakimi mencipta alasan yang tiba-tiba muncul di fikirannya.

“Bukan encik, sebenarnya…errr..” Jelingan tajam Hakimi membuatkan kata-kata Aifa mati di situ sahaja. Dia tidak berani memandang mata milik Hakimi! Dia membatalkan niat asalnya untuk berterus-terang.

“Kalau pujuk tu, pujuk elok-eloklah. Tak elok bergaduh depan orang ramai macam ni. Kalau tak ada apa-apa saya minta diri dulu.” Lelaki tadi berlalu meninggalkan mereka. Hakimi merenung tajam Aifa.

“Aku yang bawa kau, jadi sekarang aku yang kena hantar kau balik. Jom aku bawa kau balik pejabat untuk ambil kereta kau lepas tu aku ikut belakang kereta kau sampai ke rumah.” Dia bersuara, lagaknya bagai dia suami Aifa sahaja! Sesedap hati memberi arahan. Aifa menggosok perlahan lengannya kesan cengkaman Hakimi. Biarpun berlapik, namun dia masih terasa sakitnya!

“Kau ingat kau tu siapa nak bagi arahan pada aku?” Aifa masih berdegil, panas hatinya masih belum reda malah semakin meluap-luap apabila Hakimi sengaja mencipta alasan kepada lelaki yang bertanya mereka sebentar tadi.

“Aku nak buat baik dengan kau tapi kau sombong dengan aku, keras kepala betullah kau ni! Aku rasa batu lebih lembut dari kepala kau!” Hakimi memandang tajam Aifa. Geram betul dengan sifat keras kepala gadis yang seorang ini!

“Orang macam kau tahu buat baik ke?” Aifa tersenyum sinis. Puas hatinya dapat menghantar kata-kata sepedih itu kepada Hakimi. Biar pandan muka Hakimi!

Hakimi memusingkan badan memandangnya, tajam sekali renungan lelaki itu. Hatinya bergetar hebat. Perasan takut, risau sudah bersatu. Saat Hakimi berjalan mendekatinya, dia turut sama mengundur langkah ke belakang. Satu, dua, tiga tapak dan dia tidak mampu bergerak lagi! Langkahnya terhalang oleh kereta yang diletakkan di situ. Aifa menelan air liur apabila Hakimi merenungnya tajam. Bibirnya terus kaku, dia bagai hilang kata-kata. Takut juga andai lelaki ini mengamuk.

“Aku atau kau yang tak tahu buat baik? Kerja menyakitkan hati orang aje kau ni. Sekarang ni aku bagi kau dua pilihan. Kau nak pergi ke kereta aku secara sukarela atau kau nak aku dukung kau? Bila kau keluar dari pejabat dengan aku, secara automatik kau dah jadi tanggungjawab aku! Kalau apa-apa jadi pada kau, yang nak kena menjawabnya aku! Jadi, boleh tak kalau kau ikut cakap aku kali ini! Tolonglah jangan susahkan aku lagi!”

“Aku ada kaki, aku boleh jalan sendiri!” Aifa menjawab acuh tak acuh. Hakikatnya dia sendiri resah apabila berdepan dengan lelaki itu. Hatinya bagai melawan perkara yang difikirkan akalnya. Hatinya bagai sudah cair apabila berdepan dengan lelaki itu tetapi akalnya tidak membenarkan, kenangan pahit dikhianati oleh lelaki membuatkan dia lebih berhati-hati. Sudahnya, dipendam rasa hati! Hakimi musuhnya, musuh jangan diberi muka! Perangnya dengan Hakimi masih belum selesai!

Hakimi mengikuti langkah Aifa. Hatinya pelik melihat perangai Aifa, dia bagaikan memendam suatu perasan benci buat lelaki! Kenapa ya?

AIZAM mengambil tempat duduk di sebelah Aifa yang sedang menonton televisyen di ruang tamu. Aifa masih khusyuk menonton.

“Kenapa tiba-tiba aje senyap ni.” Aizam sengaja membeli mood adiknya. Muka masam Aifa sudah menjelaskan semuanya. Kalau di meja makan, pasti sahaja mulut bertih jagung Aifa itu tidak henti-henti berbunyi, bercerita itu dan ini. Tetapi tadi baru hari pertama kerja mulut bertih jagung adiknya sudah bertukar menjadi mulut orang terkena ulser, diam sahaja. Apabila ditanya sepuluh patah hanya sepatah yang dijawab sedangkan sebelum ini tidak bertanya pun ada sahaja jawapannya.

“Abang baru aje duduk sebelah Aifa tiba-tiba cakap Aifa senyap aje. Baru satu saat duduk dah bertanya kenapa senyap? Nak cakap hai pun belum sempat!”

Aizam tertawa kecil mendengar jawapan adiknya. Ini barulah Aifa Nabila, sepatah ditanya tetapi sepuluh patah jawapannya.

“Ini baru adik abang, bertih jagung pun kalah!” Aizam ketawa lagi. Aifa mendengus marah, tawa abangnya itu menyakitkan hatinya. Rasanya mahu dicubit sahaja abangnya itu. Entah mengapa dia begitu sensitif hari ini pantang dicuit sedikit pasti melenting, ini mesti pengaruh si mamat sengal itu!

“Macam mana hari pertama kerja?” Berhati-hati Aizam bertanya, enggan menggores hati adiknya. Selepas pulang bekerja tadi mood Aifa benar-benar berubah 360 darjah.

Okey aje.” Aifa menjawab malas. Hatinya sudah menyumpah si mamat sengal! Dialah manusia yang berjaya mengubah dirinya menjadi seorang yang moody. Ah, benci!

“Kalau okey, mulut bertih jagung Aifa tu tak tahu senyap, ada aje benda yang nak cerita. Ini mesti ada benda yang jadikan?” Teka Aizam. Dia benar-benar ingin tahu perkara yang terjadi kepada adiknya. Dia yakin pasti ada perkara yang terjadi kerana adiknya benar-benar berubah. Mulutnya itu biarpun ketika terkena ulser masih ada loyar buruknya, mulutnya masih bising! Kerana itulah dia pelik, adiknya senyap sahaja semenjak balik daripada kerja tadi, pasti ada perkara yang disembunyikan!

“Kenapa abang cakap macam tu? Salah ke Aifa senyap? Kalau Aifa bising abang suruh diam katanya mulut macam bertih jagung tapi bila Aifa senyap abang suruh bising balik!”

Aizam tersenyum sumbing mendengar bebalan Aifa, nampaknya Aifa sudah kembali! “Seronok ke hari pertama kerja?” Aizam masih cuba memancing mood adiknya.

“Abang nak tahu sangat ke?” Aifa bertanya acuh tak acuh. Aizam pula mengangguk-angguk kepala penuh semangat. Badannya sudah dipusing menghadap Aifa, dia benar-benar bersemangat untuk mendengar cerita adiknya.

“Kalau nak tahu Aifa moody sangat tadi sebab tengah geram. Abang tahu tak siapa senior engineer Aifa?” Aifa meninggalkan tanda tanya kepada abangnya.

“Siapa? Siapa?” Kalut Aizam menjawab, dia benar-benar teruja. Aifa menghamburkan tawa melihat wajah ingin tahu abangnya, lawak benar rupanya!

“Aifa! Abang serius ni! Cepatlah!”

“Marah pula! Tak nak ceritalah!” Aifa berpura-pura merajuk. Dia berpeluk tubuh sambil bersandar di sofa.

“Yalah, adik abang yang comel, abang minta maaf ya. Ceritalah sayang.” Lembut suara Aizam memujuk.

“Abang nak tahu sangatkan? Si mamat sengal sebelah rumah tulah senior engineer Aifa. Sepanjang hari dia kenakan Aifa. Sampaikan waktu makan pun dia kenakan Aifa. Lepas tu boleh pula dia kenakan Aifa di tapak projek. Waktu perjalanan balik, dia suruh Aifa bayar harga buku dia. Geramnya abang! Rasa macam nak tampar-tampar aje muka dia!” Aifa melepas geram. Tawa Aizam kembali terburai sehingga mengalir air matanya! Aifa geram melihat tawa abangnya yang tidak berhenti itu! Hidungnya sudah kembang kempis menahan marah.

Aifa bangun sambil bercekak pinggang menghadap abangnya! Sudahlah geramnya buat Hakimi masih belum hilang, sekarang abangnya pula menambah minyak pada api kemarahannya. Kalau ini cerita kartun pasti asap sudah keluar dari telinganya! Aifa merenung tajam abangnya mengharapkan renungan itu mampu mematikan tawa abangnya. Namun, tawa itu tidak berhenti tetapi semakin menjadi-jadi.

“Abang!” Suara Aifa meninggi.

Aizam menutup mulutnya menggunakan tangan, tawanya masih belum reda. Ternyata tangannya masih tidak dapat membuatkan tawanya itu berhenti. Aizam menarik nafas panjang. Melihat muncung Aifa yang sudah panjang semeter membuatkan tawanya terhenti.

“Abang minta maaf, abang tak ada niat nak ketawa tapi cerita Aifa ni lawaklah. Itulah lain kali bergaduh lagi dengan dia. Sudahnya berjiran dengan dia dan jadi rakan sekerja dia. Ada jodoh ni!” Aizam tersenyum nakal. Suka benar dia melihat adiknya merajuk lagaknya sangat keanak-anakan.

“Sebab itulah Aifa malas nak cerita pada abang, Aifa dah tahu abang mesti ketawa. Ingatkan cerita pada abang boleh kurangkan tekanan tapi semakin tertekan adalah!”

Sorry!” Aizam meminta maaf.

Sorry naik lori!” Aifa semakin panas apabila abangnya langsung tidak kasihan padanya malah ketawa pula! Arghhh!

“Kenapa dia pergi tapak projek dengan Aifa?” Aizam cuba memancing hati adiknya kembali. Dia tahu dia salah kerana ketawakan adiknya itu. Sewaktu Aifa bercerita tadi dia juga pelik kerana Aifa dan Hakimi adalah rakan sepejabat tetapi kenapa mereka ke tapak projek bersama-sama sedangkan masih ramai rakan sekerja Hakimi lain yang punya banyak pengalaman.

“Bos letakkan Aifa di bawah Kimi.” Wajah Aifa kembali mencuka. Aizam menghela nafas. Dia sendiri sudah buntu untuk menolong adiknya. Perangai adiknya ini memang lain macam, dia memang panas dengan lelaki. Sejak dia putus tunang, pantang sahaja lelaki cuba mendekatinya pasti akan ditembak habis-habisan!

Aizam bingung memikirkannya, suatu hari nanti Aifa juga memerlukan lelaki dalam hidupnya. Seorang lelaki yang bergelar suami. Kalau beginilah perangai Aifa, lelaki manalah yang akan dekat dengannya? Entahlah! Aifa jarang sekali berlembut dengan lelaki melainkan keluarga dan juga satu-satunya lelaki yang dia rapat, Syafiq! Apabila ditanya pada Aifa katanya dia selesa dengan Syafiq kerana mereka sudah lama berjiran, malah dia mengenali Syafiq sebelum kenangan pahit dengan Safwan lagi. Ada benar juga kata-katanya itu.

“Aifa, abang rasa abang dah puas nasihatkan Aifa. Suatu hari nanti Aifa perlukan seseorang dalam hidup. Aifa perlukan suami. Kalau macam inilah perangai Aifa, garang tak bertempat, ada ke lelaki yang nak dekat Aifa? Tolonglah berubah dik. Tak semua lelaki sama, jangan kerana Safwan curang, Aifa buat kesimpulan semua lelaki curang! Cuba tengok ayah setia aje pada ibu walaupun dah hampir tiga puluh tahun berkahwin.”

Aifa terdiam. Hatinya sudah menepis manusia yang bernama lelaki ini.

“Abang cuma boleh nasihat aje. Aifa yang akan tentukan hidup Aifa. Waktu kecil dulu Aifa cakap nak kahwin muda, kalau asyik gaduh aje dengan lelaki macam mana nak kahwin muda?”

“Kahwin muda angan-angan aje tu, kalau dapat memang bestlah. Tapi kalau Aifa nak kahwin dengan abang boleh tak?” Aifa mula memberikan soalan tidak masuk akal, andai Pak Pandir mendengar soalannya, pasti sahaja Pak Pandir bengang kerana Aifa telah merampas gelarannya iaitu juara lurus bendul.

“Soalan tak masuk akal. Kalau Mr Bean dengan Pak Pandir dengar soalan tu pun dia gelak guling-guling.” Aizam tertawa kecil. Aifa hanya tersengih bagai kerang busuk, dia sekadar ingin bergurau dengan abangnya tetapi dianggap serius pula!

“Abang nak minta sesuatu boleh tak?”

Aifa memandang abangnya sekilas sebelum mendengus perlahan. Dia sudah dapat mengagak apa yang abangnya ingin katakana. Pasti sahaja abangnya ingin meminta agar Aifa memberi kesempatan kepada lelaki. Mulut Aifa kembali muncung sedepa.

“Ini kenapa pula? Abang belum sempat nak cakap mulut dah muncung macam mulut Donald Duck?”

Mendengar sahaja perkataan Donald Duck membuatkan Aifa menghamburkan tawanya. Bibirnya yang comel disamakan dengan Donald Duck? Tak patut betul!

“Dah tahu apa yang abang nak cakap. Aifa boleh tak tolong berikan kesempatan buat lelaki, tak semua lelaki sama. Aifa perlu beri kesempatan pada diri Aifa untuk mencintai dan dicintai untuk kali kedua. Kalau cinta pertama Aifa gagal, jangan sesekali anggap cinta seterusnya juga akan gagal. Boleh tak Aifa janji dengan abang, jangan cari gaduh dengan lelaki lagi?” Aifa meniru gaya percakapan abangnya, suaranya sengaja diserakkan. Dia masih ingat permintaan abangnya sewaktu mereka bercuti di Pulau Tioman tahun lepas. Acap kali abangnya berpesan sehingga dia mampu menghafalnya.

Aizam mengusap-usap kepala adiknya. Aifa memang selalu menggembirakan harinya, ada sahaja telatahnya yang akan menghiburkan hati. Kerana itulah dia bengang apabila Safwan mengkhianati adiknya. Selepas mengetahui Safwan curang, terus sahaja lelaki itu dibelasah. Sewaktu itu Safwan sudah lembik dikerjakan, akhirnya Syafiq menenangkannya. Kalau tidak, mungkin saja Safwan dirawat di ICU ataupun tidak punya kesempatan untuk hidup di muka bumi ini lagi.

Aifalah racun dan dialah juga penawarnya. Aifalah satu-satunya adik yang dia punya. Aizam memandang Aifa, direnung mata adiknya itu penuh kasih mengharapkan Aifa mengerti perasaan kasihnya buat Aifa. Dia cuma ingin Aifa hidup bahagia, anak dan adik sebaik Aifa berhak untuk hidup bahagia.

“Macam dah tahu-tahu nasihat abang sampai dah boleh hafal. Bukan sekadar hafal aje tau, simpan di hati.” Nasihat Aizam penuh ikhlas. Saat dia perasan akan titis air yang mengalir di pipi mulus adiknya itu, pantas sahaja air mata itu diseka perlahan. Kepalanya digeleng perlahan mengisyaratkan agar Aifa berhenti menangis. Tatkala terpandang senyuman Aifa, hatinya kian lega.

Previous: Sinopsis ringkas
Next: bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.