Home Novel Komedi/Romantik Komedi Dia, Gadis Idaman
Dia, Gadis Idaman
Ilyana Hani
25/4/2016 16:10:22
20,300
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Senarai Bab
Bab 18

ARISSA masuk ke dalam kereta Myvi milik Danial, dia harus cepat ke pejabat pos. Enjin kereta dihidupkan, dia menunggu seketika agar enjin panas. Biarpun kereta orang tetapi dia perlu menghargai dan menjaga seperti kereta sendiri juga. Enjin tetap perlu dipanaskan walaupun seketika.

Matanya memandang ke arah gear kereta. Manual? Alamak, sudah tiga tahun dia meninggalkan kereta jenis manual. Mana mungkin dia sanggup memandu kereta manual. Kali terakhir dia memandu kereta manual sewaktu menjalani ujian memandu JPJ. Kenapalah dia tidak melihat gear sebelum memanaskan enjin. Aduh!

Enjin kereta dimatikan, nampaknya dia terpaksa menunggu sehingga keretanya siap. Menonong dia berjalan kembali ke bengkel. Segera dia mendapatkan Naufal yang sedang membetulkan alignmenttayar keretanya menggunakan alat yang dia sendiri tidak tahu namanya. Perkara yang dia tahu, Naufal masuk ke dalam lubang bawah tanah dan keretanya berada di atas. Perkara lain dia tak ambil tahu! Bak kata Naufal, perempuankan?

“Naufal...” Dia menjerit memanggil, dia tahu Naufal pasti mendengar suaranya dari bawah. Rasanya suaranya sudah cukup kuat dan jelas.

Sah! Memang Naufal mendengarnya. Lelaki itu sedang menaiki anak tangga untuk kembali ke atas. “Kenapa?” Dia menyoal hairan. Katanya tadi mahu ke pejabat pos.

Kunci kereta Danial dihulurkan ke arah Naufal. “Kenapa tak bagi tahu kereta Danial jenis manual.” Kunci kereta digoyangkan kuat setelah kunci itu tidak disambut Naufal.

“Apa masalahnya manual ke auto, bawa ja! Awak ada lesenkan?”

“Memanglah ada, tapi saya dah lama tak bawa manual. Tak berani. Tambah pula kereta orang, langgar tiang tak fasal-fasal melayang pula duit nak kena repair. Nah ambil balik kunci.”

Naufal mencapai kunci kereta yang dihulurkan Arissa, macam-macam hal betullah. “ Inilah perempuan, kerjanya nak senang. Suruh bawa kereta manual mulalah bagi alasan, tak tahu nak ubah gear...nanti mati enjin...Macam-macam ja alasan. Cuba berdikari sikit.” Naufal kembali membebel.

Arissa mencebik, terasa ringan sahaja tangannya mahu menghempuk Naufal dengan kepingan kertas resume yang berada di tangan. “Tak payah nak ceramah sangat boleh tak? Cepatlah sikit repair kereta tu, nanti lambat pula nak ke pejabat pos.” Jam di tangan kembali dilihat entah untuk kali ke berapa. Sudah pukul 2.15 petang.

Naufal yang sebetulnya mahu menyambung kerjanya terhenti, kasihan pula melihat wajah muram Arissa. “Awak nak pos surat apa?” Dia menyoal serius, malas sudah mahu mencari fasal dengan gadis itu. Mungkin sahaja gadis itu terdesak ketika ini.

“Permohonan kerja, esok tarikh tutup.”

Lelaki itu kembali melenting seraya bercekak pinggang. “Inilah perempuan, semua kerja last minute.” Bising mulutnya membebel. Geram betul, esok tarikh tutup tetapi hari ini baru Arissa mahu mengepos.

Arissa kian bosan, tak habis-habis dengan ayat ‘inilah perempuan.’ “Baru kelmarin kawan saya informtentang jawatan ni. Dia pun baru dapat tahu. Ini pun kena bersyukur, sedar juga ada jawatan kosong daripada terlepas terus sebab tak sempat isi borang.”

Naufal mula rasa serba-salah. Kalau tidak ditolong, kasihan pula dia melihat Arissa yang hampir setiap minit melihat jam. Kalau ditolong pula nanti pasti sahaja ada benda yang mahu dibebelkan oleh Arissa. “Pukul berapa pos ekspres kutip sampul?”

“Inilah lelaki, pengetahuan am pun tak tahu. Padahal pejabat pos lima minit sahaja dari sini. Pukul tiga dah kutip semua sampul.” Arissa kembali memulangkan paku buas keras, puas hatinya dapat mengaitkan kembali Naufal dengan perkataan ‘inilah lelaki’.

Tengok! Naufal kian geram, dia baru berniat baik mahu membantu tetapi gadis itu kembali menyuarakan ayat tidak masuk akal. Nasib baik dia kenangkan budi baik Kamaliah, jika tidak jangan harap dia mahu menolong Arissa.

Naufal membuang pandang ke arah sekeliling. Sulaiman dan Rafi sedang sibuk membaiki kereta pelanggan. Dia menggamitkan tangan ke arah Danial saat melihat rakannya baru sahaja keluar dari ruangan pejabat.

“Bukan tadi pinjam kereta ka? Cepatnya sampai ka sini?” Danial menyoal, berkerut dahinya memikirkan logik Arissa yang sudah sampai ke bengkel dari destinasi tujuan. Cepat benar!

Lengan Danial ditampar, “wei, aku yang panggil hang tapi Arissa yang hang tanya dulu.” Geram pula dia melihat Danial, nampaknya Arissa yang lebih menarik perhatiannya berbanding rakan sendiri. “Beb, hang tolong handlekereta Viva biru ni. Sambung buat alignmenttayar ja. Nanti hal aku dah settleaku sambung balik kerja.”

“Hang nak pi mana?” Selalunya jika Naufal punya hal dia akan memberitahu dari awal pagi.

“Aku nak bawa Arissa pi pejabat pos, nak uruskan borang dia. Nanti aku balik.”

“La, dia tak jadi pi ke tadi?” Permainan apa pula yang cuba dimainkan oleh Naufal dan Arissa? Tadi si gadis mahu meminjam kereta untuk ke pejabat pos dan sekarang si lelaki pula menawarkan diri mahu menolong si gadis ke pejabat pos. Pelik betullah!

“Lain kali hang jangan bagi kereta manual dekat Arissa, dia ni mana tahu nak guna kereta tiga pedal ni. Dia pakai dua pedal, senang! Okey aku pi dulu.” Dia menoktahkan perbualan mereka. Semakin dilayan, semakin panjang pula nanti.

Arissa yang hanya mengunci mulut sedari tadi mula panas hati, sesedap hati sahaja Naufal mahu mengutuknya secara berdepan. Nasib baik Naufal mahu menolongnya, jika tidak sudah lama dicencang lumat lelaki itu.

“Nah.”

Terkejut Arissa apabila kunci kereta dihulurkan betul-betul di hadapannya. “Nak buat apa? Saya tak pandai nak bawa kereta tiga pedal.” Dia kembali menyindir.

“Siapa suruh awak bawa? Pejabat pos yang hanya lima minit dari sini terus jadi lima jam kalau awak bawa. Setiap kali angkat clutchmati enjin. Tolong panaskan enjin kereta, kejap lagi saya pergi.” Naufal memberi arahan, sekarang dia bos jadi Arissa perlu patuh arahannya.

Antara rela dan paksa, Arissa mencapai juga kunci kereta dari tangan Naufal. “Awak nak ke mana?” Dia menyoal apabila melihat lelaki itu mengatur langkah bertentangan dari arah kereta Danial. Mungkin sahaja lelaki itu mahu mengenakannya. Siapa tahu lelaki itu akan membiarkan dia berkeseorangan di dalam kereta.

“Saya nak basuh tangan, nampak ni!” Kedua-dua belah tangannya ditunjukkan tepat di hadapan mata Arissa. “Ataupun awak nak saya calit minyak ni dekat baju awak?”

“Yalah, pergi cepat. Saya tunggu dalam kereta.” Panjang langkah Arissa meninggalkan Naufal. Banyak pula kerenah lelaki itu hari ini. Layankan sahaja, asalkan urusannya untuk hari ini selesai.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.