Home Cerpen Keluarga Dosa semalam
Dosa semalam
Ilyana Hani
13/11/2012 21:06:30
5,295
Kategori: Cerpen
Genre: Keluarga

Iwana membetulkan baju blause yang tersarung di badan. Dia melihat wajahnya dicermin lalu sedikit gincu bibir dipalitkan ke mulut. Dia perlu sentiasa kelihatan kemas ketika bertemu dengan pelanggan ataupun seharian terpaksa mendengar bebelan Dato’ Malik atau lebih mesra dipanggil pak long kerana dia merupakan abang kepada ibunya.

 

Setelah bersiap ala kadar, Iwana pantas berjalan ke pejabat untuk mengambil fail projek Damai Resort.

 

“Mak cik, kau dah siap belum? Lambat betul la kau ni.” Tanpa melihat gerangan orang yang berbicara dia sudah boleh mengagak orangnya. Siapa lagi kalau bukan satu-satunya anak pak long, Haikal. Hanya dia seorang yang berani ‘menerjah’ pejabatnya tanpa mengetuk pintu mahupun memberi salam ketika masuk.

 

“Lain kali, kalau kau nak masuk bilik aku, bagi salam dulu. Aku tahu la ni syarikat ayah kau, so kau tak perlu ketuk pintu, tapi sekurang-kurangnya berilah salam. Kita ni orang Islam.” Iwana memulakan leteran sambil menjelingnya geram.

 

“Baiklah nenek.” Haikal membalas geram. Hampir setiap hari dia akan mendengar bebelan Iwana. Ada sahaja perkara yang tak kena, cara dia duduk, cara dia makan waimanya apa sahaja yang dia buat tidak kena di mata Iwana. Tapi adakalanya aneh juga, apabila dia bertemu dengan pelanggan atau pekerja bawahannya, dia merupakan seorang yang sempurna, tiada cacat-celanya. Mungkin dia sahaja ingin menilai kesabaran Iwana kerana sering kali membuat perangai sewaktu bersama-samanya.

 

“Oiii mak cik, cepatlah. Kau nak Tan Sri yang tunggu kita ke? Prinsip apa yang kau pakai? Pelanggan tunggu peniaga? Aku bagi tau papa baru kau tahu!” Dia mengugut.

 

“Pak cik, kau tahu tak appointment kita pukul 3 petang tapi sekarang baru pukul 11. Kau tak tengok jam ke? Awalnya kau nak pergi? Kau nak tolong chef hotel masak ke? ”

 

“Sebenarnya, aku nak ajak kau pergi suatu tempat. Aku nak beli barang perempuan tapi aku tak pandailah bab-bab benda remeh-temeh ni. ” Haikal berterus-terang.

 

“Aku dah agak, tak pernah-pernah kau ajak aku pergi awal macam ni. Nak beli barang untuk girlfriend tapi suruh aku pilih, bercinta pandai tapi awek kau suka apa pun tak tahu, cehh tak boleh pakai punya orang.” Iwana sengaja menyimbah api kepadanya sambil berlalu keluar dari pejabat menunju ke lif.

“Aku nak beli untuk mamalah. Aku manalah ada awek, aku sedar diri aku ni, sudahlah tak handsome, duit pun asyik kering aje. Aku sukakan kau tapi kau yang jual mahal. Minta hantaran sampai dua ratus ribu, umur aku 50 tahun baru aku boleh kahwin kau tahu tak?” Dia tertawa. Sengaja ingin mengusik Iwana.

“Ala, nak merendahkan diri la pula. Habis projek Damai Resort ni pun dah lebih dari setengah juta pun kau kata kering lagi. Kalau macam ni bukan kering tapi banjir kau tahu tak. Ishhh tak naklah aku, kalau aku kahwin dengan kau alamatnya menangis aku setiap hari asyik kena peril aje.” Iwana tertawa kerana berjaya memulangkan paku buah keras kepada Haikal. Puas hati kerana dapat mengenakannya.

 

“Kau jangan jual mahal, nanti kau menangis waktu aku kahwin. Kaya kilang tisu nanti.’

 

“Tak ada maknanya aku nak nangis, aku ketawa lagi adalah.” Kalau mereka berdua berbual pasti ada sahaja adegan kena-mengena dan usik-mengusik. Iwana senang dengan Haikal kerana hanya dia satu-satunya sepupu yang dia punya. Iwana punya ramai sepupu di sebelah ayahnya tetapi mereka tidak rapat kerana sejak ‘peristiwa itu’ ayah dibuang keluarga. Kerana ‘peristiwa itu’ jugalah Iwana menanam perasaan benci kepada ayahnya sehinggakan dia menjadi takut untuk mendekati lelaki kecuali Haikal dan pak long kerana sudah rapat dengan mereka sejak daripada kecil.

 

“Kau teman aku belikan hadiah untuk mama boleh tak?” Soalan Haikal mematikan fikiran Iwana mengenai ayahnya. Iwana kembali memandangnya.

 

“Boleh tapi dengan syarat. Kau kena belikan hadiah yang sama untuk aku. Setuju tak?” Iwana menjongketkan kening, mengusik Haikal.

 

“Dasar pisau cukur, kopak aku.” Dia menampar lengan Iwana.

 

“Aku balik ke pejabatlah, banyak kerja yang aku nak buat ni.” Iwana kembali mengugutnya.

 

“Mak cik janganlah merajuk. Kau ni teruklah, aku nak gurau aje dengan kau. Ok aku bagi hadiah yang sama untuk kau lagipun kau kan satu-satunya sepupu aku.”

 

“Tahu pun takut.”

 

“Jom, nanti aku bawa kau ke shopping complex yang paling best.” Haikal membukakan pintu kereta untuk Iwana sambil mengenyitkan matanya. Iwana sudah faham benar, andai Haikal sudah mengenyitkan mata, ertinya dia sudah mengalah dan cuba untuk memujuk. Iwana tersenyum meraikan ‘kemenangannya’.

 

Mereka pergi ke Kedai Emas Rafflesia untuk membeli hadiah kepada mak long. Dia bercadang untuk membeli kalung emas kepada mak long. Iwana membantu untuk memilih kalung yang terbaik.

Selepas keluar dari Kedai Emas Rafflesia, Iwana mengajak Haikal untuk ke kedai yang menjual telefon bimbit. Sudah lama dia menginginkan iphone 5.

“Aku nak tuntut janji ni, aku nak iphone 5. Kau wajib belikan.” Iwana ketawa melihat Haikal terkena.

Sudah lama dia ingin menukar telefon bimbit kepada iphone 5 yang berharga lebih tiga ribu ringgit. Sengaja Iwana ingin mengenakan Haikal kerana meminta dia menghadiahkan iphone 5 tetapi dia masih waras, tidak akan sesekali dia meminta hadiah yang bernilai ribuan ringgit daripada seseorang. Itu mengada namanya.

 

“Aduh, makan biskut kering aku bulan ni!” Haikal mengaduh dan Iwana hanya ketawa melihatnya.

Mereka meneliti telefon bimbit dan apabila sudah berpuas hati, Iwana mengeluarkan kad kredit untuk membayar harganya, namun pantas sahaja Haikal menghalang. Dia menggantikan kad kredit Iwana dengan kad miliknya.

 

“Aku hadiahkan untuk kau. Dah janji kan tadi?”

 

“Aku gurau aje la. Aku waras lagi tau, hadiah harga tiga ribu. Fuhhh mahu membebel ibu nanti.”

 

“Kau cakap aje kau guna duit gaji, itu pun nak kena ajar ke? Kau anggap aje ni hadiah daripada sepupu tersayang.” Iwana tertawa mendengarnya tambahan lagi dia menekan pada perkataan ‘sepupu tersayang’.

 

“Tapi…” Akal warasnya masih tidak mampu menerimanya.

 

“Kalau kau tak nak terima, balik pejabat nanti ambil surat perletakan jawatan 24 jam.” Tegas sahaja bunyi suara Haikal.

 

“Kalau bab nak mengugut, kaulah juaranya. Tapi kau kena ingat, sebagai anak aku perlu patuh arahan ibu selagi tidak bertentangan dengan agama. Jadi, aku tak boleh terima hadiah kau ni.” Iwana masih cuba memberi alasan. Dia sendiri tidak dapat membayangkan seandainya ibunya mengetahui Haikal menghadiahkan gajet mahal sebegitu, rasanya ibunya akan memberikan ceramah percuma selama 24 jam atau lebih teruk lagi 24 hari. Oh, tidak!

 

Haikal memegang kedua-dua beg barang yang dibeli tadi. Mereka berjalan beriringan ke kereta kereta kerana perlu berjumpa dengan pelanggan pula selepas ini.

 

“Iwana, anak ayah.” Seorang ‘lelaki’ berlari ke arah mereka lantas cuba memeluk Iwana. Namun, pantas sahaja dia mengelak. Tidak ingin dia berada dalam dakapan orang kotor seperti itu. Iwana juga menepis tangannya apabila lelaki tersebut cuba menyentuhnya. Iwana benci melihatnya. Orang yang telah menghancurkan hidupnya dan hidup ibu. Iwana sudah berjaya sekarang, dia sudah mampu membahagiakan ibu tanpa kehadiran lelaki itu.

 

Pantas sahaja Iwana menarik lengan Haikal agar mempercepatkan langkah. Ada kalanya dia berlari agar ‘lelaki’ itu tidak mengejarnya lagi.

 

“Kenapa dengan kau ni? Ayah kau tu, kau tak ingat ke?”

 

“Dia bukan ayah aku la. Aku tak ada ayah macam dia.” Iwana pantas menafikan kata-kata Haikal. Menggelegak hatinya mendengar Haikal memanggil lelaki itu ayah. Iwana menghayun langkah laju ke kereta tanpa mempedulikan Haikal yang asyik berpaling ke belakang.

 

“Kau okey tak ni? Risau aku tengok kau macam ni. Nanti tak pasal-pasal kau lepaskan kemarahan kau tu dekat Tan Sri Abas. Kalau nak aku hantar kau balik rumah dulu, aku bagi cuti separuh hari.” Haikal berkata seraya masuk ke dalam perut kereta.

 

“Kecergasan Emosi aku tinggi lagi tau, aku tak akan marah orang ikut suka hatilah.” Iwana menjeling Haikal, sesedap hatinya sahaja menganggap Iwana akan melepaskan kemarahan pada pelanggan. Akalnya masih waras okay!

 

Okey, whatever sayang. Asalkan pelanggan tak lari sudahlah. Muka dah macam orang tertelan air limau masam sebaldi, tak manis langsung muka tu. Senyumlah, senyumlah ahai cek mek molek.” Haikal bernyanyi riang cuba mengambil hati sepupunya itu.

 

“Haikal, I am okey. Jom nanti lambat pula nak jumpa dengan Tan Sri.” Iwana cuba meyakinkan Haikal. Sejujurnya dia bukanlah jenis insan yang gemar melepaskan kemarahan kepada orang lain.

 

                                                                     *              *              *

“Cepat bagi aku semua duit yang kau ada.” Ayah menampar muka ibu.

 

“Liza dah tak ada duit la abang. Tolonglah, semua duit Liza abang dah ambil.” Ibu merayu, serak suaranya menahan tangis yang kian lebat. Ayah kembali memukul ibu. Badan ibu menjadi mangsa, habis disepaknya. Iwana kasihan melihat ibunya. Sedaya upaya dia mengagahkan diri untuk melindungi ibu. Demamnya terasa kebah serta merta melihat ibunya diseksa sebegitu.

 

“Ayah, jangan pukul ibu. Kesian ibu.” Dia melutut di kaki ayahnya cuba meraih simpati.

 

“Kau jangan masuk cambur urusan orang tua-tua, kau tu kecil lagi.” Ayah menolak kasar kepalanya sehingga badan Iwana yang sememangnya lemah terhenyak ke belakang.

 

“Abang jangan, Iwana tak bersalah. Kalau abang nak, abang pukullah saya. Kalau tak puas lagi, bunuhlah saya tapi jangan apa-apa kan Iwana. Dia tak sihat.” Ibunya merayu, kasihan sekali dia melihat anaknya dilakukan sebegitu. Air mata yang kian berjujuran diseka. Kuatlah wahai diri, kuatlah demi anakku!

 

“Kau nak bela anak kau sangatkan? Tunggu aku ajar kau cukup-cukup.” Sebelah tangan ayah sudah mengeluarkan tali pinggang lalu dilibaskan ke badan ibu.

 

“Aduh, sakit! Ampun abang.” Ibu kembali merayu. Pasti sakit diperlakukan sebegitu. Ayah memang kejam. Iwana bangun mendapatkan ibunya yang semakin lemah dikerjakan ayahnya.

 

“Ayah jangan, kesian ibu.” Iwana memeluk erat kaki ayahnya, cuba merayu dan terus merayu agar ayah berhenti memukul ibunya.

 

“Kau jangan menyibuk.” Ayah kembali melibas tali pinggang di kaki ibu. Kuat suara ibu mengaduh sakit benar-benar membakar hati Iwana. Dia perlu melakukan sesuatu. Biar nyawanya melayang tika ini juga dia sanggup asalkan ibunya tidak terus terseksa.

 

Hatinya yang sedang panas tidak mampu mengawal akal lagi. Iwana menggigit tangan ayahnya sekuat hati. Geram dia melihat perlakuan ‘binatang’ ayahnya terhadap ibu. Benci dia melihat lelaki dayus seperti itu.

 

“Apa yang kau buat ni? Sakitlah!” Ayah cuba meleraikan gigitan pada tangannya. Semakin ayah cuba meleraikan, semakin kuat Iwana menggigitnya. Biar dia rasa sakit seperti ibu. Biarkan tangannya patah dek gigitan, tidak dia peduli sama sekali. Lelaki tidak bertanggungjawab seperti itu seharusnya diajar.

Ayah bertindak kasar dengan menolak kuat badan Iwanasehingga dia terdorong ke belakang. Dia tidak dapat mengawal keseimbangan badan sehingga menyebabkan dia terjatuh. Kepala Iwana terhantuk kuat pada bucu meja yang terdapat dalam bilik. Sakitnya memang tidak terperi. Dapat dia rasakan cecair pekat yang mengalir daripada kepalanya.

 

“Iwana!” Ibu bangun mendapatkan Iwana. Biarpun badannya lemah, namun digagahkan jua diri mendapatkan anak kesayangannya itu. Ibu memangku kepala Iwana.

 

“Kau dengan anak kau sama aje, menyusahkan hidup aku. Malang nasib aku mendapat isteri macam kau ni. Kau dengar sini Aliza, mulai hari ini aku ceraikan kau dengan talak tiga. Kau dengar sini, aku tak pernah ada isteri dan anak macam kau orang berdua ini, faham?” Ayah bertempik kasar kepada ibu.

 

Biarpun dalam keadaan mata yang terpejam, dapat Iwana mendengar esakan ibu. Setitis air mata ibu menitis di atas wajahnya. Pilunya keadaan ibu, tetapi biarlah ini mungkin jalan penyelesaian yang terbaik.

 

‘Apabila ibu diceraikan dengan talak tiga, ayah pasti tidak akan mencari ibu lagi kerana ikatan perkahwinan mereka telah terputus dan tiada lagi istilah rujuk dalam diari perkahwinan mereka. Pergilah ayah, pergilah dari pada kehidupan kami. Biarkan kami hidup bahagia. Sakit dan luka yang ayah tinggalkan selama ini benar-benar mencipta memori duka dalam hidup kami. Seorang kaki judi seperti ayah pastinya akan menambahkan sengsara hidup kami. Tidak ingin dia melihat ibu menangis hiba seperti ini lagi.’ Hatinya berbisik pilu.

 

Lamunan Iwana terhenti apabila telefon bimbitnya berdendang riang minta diangkat. Iwana melihat nama yang tertera di skrin telefon bimbit. Dia mengeluh perlahan saat melihat nama Haikal muncul di skrin.

 

‘Malaslah nak angkat, esok aku cakap yang aku dah tidur waktu dia telefon.’ Mudah sahaja hatinya mencipta alasan. Dia tidak mahu Haikal risau mendengar suaranya yang serak kerana terlalu banyak menangis. Kehadiran ayah pada masa lampau dan juga pada masa kini benar-benar meruntun jiwanya. Sakitnya sudah tidak tertanggung. Iwana sudah berjanji dengan Haikal supaya kejadian mereka terserempak dengan ayahnya tadi tidak diceritakan kepada ibu. Dia tidak mahu kebahagian yang ibu kecapi selama 10 tahun ini musnah kerana ayah. Ah, dia sudah malas berfikir tentang ayah! Iwana mengambil novel yang terdapat di atas rak kecil di bahagian kanan katil. Memang menjadi kebiasaannya membaca novel sebelum tidur, sengaja mencari mood untuk bekerja di esok hari.

                                                                     *               *               *

“Mak cik, jom turun makan.” Seperti biasa Haikal menyerang pejabat Iwana tanpa mengetuk pintu terlebih dahulu. Iwana mengeleng-gelengkan kepalanya, malas hendak memberi ceramah percuma kepada Haikal lagi. Biar ajelah!

“Mak cik kau demam ke? Selalunya kalau aku masuk aje ke sini wajib punyalah dapat ceramah percuma. Kenapa ni? Nur Iwana binti Amir dah hilang modal berceramah ke?” Tersentak dia mendengar soalan Haikal.

“Kau jangan sesekali menyebut nama penuh aku macam tu. Cukuplah sekadar Nur Iwana.”

“Nur Iwana binti Amir memang nama penuh kau kan? Habis kau nak aku panggil nama kau apa? Ber’bintikan’ siapa?”

“Aku dah cakap tadi, jangan panggil nama penuh aku. Tolonglah, aku tak nak dengar nama aku ber ‘bintikan’ dia. Sakit telinga aku.” Separuh menjerit Iwana menjawab.

“Kau sedar tak apa yang kau cakap ni salah? Tak masuk akal langung. Kau malu nak ber ‘bintikan’ ayah kau sendiri. Sedarlah sikit, kau tu anak dia, keturnan dia. Nanti waktu kau nak nikah tok kadi akan sebut nama kau berbintikan nama dia juga dan ayah yang kau benci selama ni jugalah yang akan jadi wali kau, yang akan nikahkan kau.”

“Kau jangan sebut nama dia boleh tak? Jijik aku dengar nama dia”

“Come on Iwana. Kau sedar tak ni? Dia tu ayah kau, wali kau dan kau ni keturunan dan darah daging dia. Nur Iwana satu-satunya anak dia. Kalau kau sendiri malu nak mengaku yang kau ni keturunan dia, macam mana dengan anak-anak kau nanti? Mereka semua tu keturunan ayah kau. Kalau kau sendiri dah jijik dengar nama dia, maknanya nanti kau juga akan jijik dengan anak-anak kau dan juga diri kau sendiri sebab korang semua ni keturunan dia. Kau faham tak? Kau tu keturnan ayah kau, darah yang mengalir dalam badan kau tu adalah darah ayah kau.”

“Sudah! Aku tak nak dengar nama dia lagi. Bukan kau yang tanggung semua ni, jadi kau tak akan faham perasaan aku.” Menitis jua air mata Iwana akhirnya. Benteng kesabaran yang dibina selama ini sudah runtuh. Iwana sudah tidak kuat lagi. Dia berasa sangat sedih kerana Haikal seolah-olah menyalahkannya kerana mengelakkan diri daripada ‘orang itu’ kelmarin.

“Ya, aku faham tapi hakikat yang kau tak mampu ubah sekarang ini ialah dia tu ayah kau, nama kau tu ber’bintikan’ dia. Kau anak kandung dia, kau kena ingat benda tu!” Tegas Haikal bersuara.

“Tapi, hakikat yang kau tak tahu, dia dah buang aku dan ibu sewaktu dia ceraikan ibu 10 tahun lalu. Dia cakap yang dia tak pernah ada isteri anak macam kami. Orang macam tu kau nak suruh aku hormat? Dia dah buang kami. Belum sempat aku rasa kasih sayang seorang ayah dia dah buang aku. Waktu tu aku baru 17 tahun, aku nak ambil SPM waktu itu, kau dapat bayangkan betapa kacaunya jiwa aku. Sakit sangat apabila dia buang kami. Kalau dah macam tu dia kata, kau nak aku mengaku dia ayah ke? Sedangkan dia yang buang aku dulu. Dia cakap dia tak ada anak macam aku.” Teresak-esak Iwana menangis, melepaskan isi hati yang sudah kian lama terbuku.

Haikal mendekati sepupunya itu. Diusap perlahan belakangnya cuba memberi kekuatan.

“Sudahlah. Aku faham perasaan kau tapi ingatlah kau tu tetap anak dia. Kau nak ke jadi anak derhaka. Walaupun dia buat kau macam tu tapi kau tak boleh nafikan yang dia tu ayah kandung kau. Hakikatnya kau perlu hormatkan dia.” Haikal cuba memujuk.

“Haikal please leave me alone. Kau turun makan sendirilah. Aku dah hilang selera.”

“Cik, ada orang hendak jumpa. Katanya penting tapi dia tak ada buat janji temu.” Setiausaha Iwana memaklumkan melalui intercom. Iwana mengesat air mata yang masih mengalir.

“Suruh dia masuk.” Iwana sangaja meminta tetamu itu masuk agar Haikal meninggalkannya sendirian. Bercakap dengannya membuatkan Iwana semakin geram dan sakit hati kerana Haikalasyik menyalahkan dirinya.

“Aku ada tetamu. Rasanya kau tahu pintu keluar.” Iwana mengesat sisa air mata agar tetamunya tidak dapat ‘menangkap’ dia menangis.

“Masuk.” Iwana memberi arahan apabila mendengar ketukan di pintu.

“Pak Cik..”

Iwana mendongak kepala ke arah pintu. Dia ingin melihat gerangan tetamu yang Haikal memanggilnya sebagai pak cik.

“Ayah!”

“Apa yang ayah buat di sini? Ayah diharamkan memijakkan kaki di pejabat Iwana ataupun di rumah.”

“Iwana. Jaga sikit percakapan kau tu. Ibu kau tak pernah ajar kau berkasar. Dia tu ayah kau. Hormat sikit. Kalau tak ada dia, kau pun tak wujud di dunia ini.” Haikal cuba menasihati Iwana tetapi hatinya sudah tertutup untuk lelaki yang bergelar ‘ayah’ ini. Selagi nyawa dikandung badan, tak akan dia lupa kata-kata yang pernah ayahnya lafazkan. Sepuluh tahun lalu ayahnya sudah membuang dia dan ibu. Iwana dan Aliza bukanlah anak dan isteri Amir. Dia sendiri yang melafazkan dia tidak pernah punya anak seperti Iwana dan ibu.

“Aku benci kau. Dulu kau yang buang kami dalam hidup kau. Sekarang kenapa datang cari anak yang kau buang ini? Dah tak cukup duit nak berjudi ke? Ataupun dah kena kejar dengan lintah darat? Lelaki macam kau ni patutnya dicampak ke dalam laut aje biar jerung makan kau hidup-hidup.” Iwana melempiaskan segala amarah yang ku pendam selama ini buat lelaki itu.

“Iwana, maafkan ayah nak.” Bergetar suaranya memohon maaf mungkin juga meminta simpati.

“Maaf?” Iwana tertawa sinis. Matanya memandang tajam ke arah lelaki yang masih menekur memandang lantai. Amarahnya usah dikata, panas hatinya usah ditanya. Dia sendiri tidak dapat menahan rasa yang kian mencengkam jiwa. Sesak jiwanya tika ini tidak dapat digambarkan lagi. Geram dan dendamnya untuk lelaki yang bergelar ayah itu sudah tiba dikemuncak.

“Selagi parut di kepala ni tak hilang, selagi itulah aku tak akan maafkan kau. Aku benci kau.”

Amir datang mendapatkan Iwana, dia melutut di hadapan anaknya untuk memohon maaf.

“Maafkan ayah Iwana, ayah tahu ni salah ayah. Tolonglah Iwana, biarkan ayah rasa kebahagiaan di hujung usia ayah ni. Iwana satu-satunya anak ayah. Tolonglah.” Amir merayu, hati tuanya juga merintih. Kalau Iwana mahu dia mencium kaki anaknya dia sanggup asalkan anaknya dapat memaafkan semua kesalahannya selama ini.

 

“Kalau dulu aku melutut di kaki kau tapi kau masih dera ibu, sekarang ini aku nak kau rasa benda yang sama. Tapi aku tak sekejam kau. Aku tak akan dera kau. Sudahlah, pergi dari hidup kami.” Iwana menjerit meminta ayahnya meninggalkan pejabat.

 

“Iwana, kau sedar tak dia tu ayah kau? Kau keturunan dia, nama kau ber’bintikan’ dia. Hakikat yang perlu kau terima seumur hidup kau ialah dia tu ayah kau Iwana, ayah kau.” Haikal bersuara tegas.

 

“Aku tak ada ayah kejam macam dia. Aku benci dia.” Seraya itu Iwana terasa pipinya panas ditampar Haikal. Jari yang selama ini megesat air mata yang mengalir kini telah melakar penangan yang hebat di pipinya.

 

“Haikal, aku benci kau. Kenapa kau nak menangkan lelaki ini? Kau tak ada di tempat aku, jadi kau tak akan rasa perasaan aku.”

 

Iwana mengambil beg tangannya di atas meja lantas berlalu meninggalkan pejabat yang kian panas itu.

 

“Iwana kau nak pergi mana? Selagi kau tak minta maaf dengan ayah kau, jangan harap aku nak lepaskan kau pergi.”

 

Iwana memekakkan telinga, malas mendengar bebelan Haikal. Dia menghempaskan pintu. Langkahnya dihayun secepat mungkin, tidak ingin lelaki itu kembali mengejarnya.

                                                      *             *             *

“Iwana, boleh ibu masuk?”

“Masuklah ibu.” Iwana menghentikan pembacaannya. Novel yang berada di tangan diletakkan di atas katil.

Ibunya mengusap perlahan rambut Iwana, manja benar dia melihat riak anaknya itu. Iwana yang sedang berbaring dia atas katil terus mengubah kedudukan berbaring atas ribaan ibunya.

“Tak baik Ianabuat ayah macam tu. Seteruk mana pun ayah, dia tetap ayah Iwana. Kalau ibu boleh maafkan ayah, pasti Iwana pun boleh.”

Bagai terkena renjatan elektrik, Iwana terus bangun, wajah ibunya ditenung. Dia cuba mencari keikhlasan tutur katanya ibunya.

“Siapa bagi tahu ibu? Mesti Haikalkan? Kecoh betullah mamat tu, mulut kalah perempuan, becok betul.”

“Tak kiralah siapa pun yang beritahu ibu, asalkan perbuatan Iwana tu salah nak, berdosa. Dia tu ayah Iwana.”

“Ibu masih nak sebelahkan ayah tu. Dia dah buang kita ibu. Ibu dah lupa ke? Pak long yang jaga kita, kalau tak Iwana tak tahulah apa yang nak jadi. Ibu tengok parut di kepala Iwana ni, semuanya salah ayah tapi kenapa ibu masih maafkan ayah? Ibu dah lupa semua perbuatan kejam dia pada kita? Ibu dah lupa badan ibu yang dipukul setiap hari? Ibu dah lupa sakitnya badan ibu bila ditendang setiap hari? Tolonglah ibu jangan terlalu mudah maafkan ayah. Dia sia-siakan hidup ibu, dia ambil duit ibu sampai habis kemudian dia ceraikan ibu dengan talak tiga. Tak cukup dengan itu, dia cakap pula dia tak pernah ada isteri macam ibu. Kenapa ibu jadi macam ni?”

“Sayang, ibu dah jumpa ayah sebulan yang lepas lagi. Ibu yang beritahu ayah Iwana shopping hari tu dan ibu juga yang bagi tahu ayah tempat Iwana kerja. Ayah dah betul-betul menyesal sayang, maafkanlah ayah. Kesian ayah, Iwana satu-satunya anak ayah. Lepas ayah ceraikan ibu, dia dah tak kahwin lain. Dia selalu terbayang dosa dia pada kita. Ayah cari kita di rumah lama tapi waktu tu kita dah pindah ke rumah sewa pak long. Baru bulan lepas ibu berjumpa dengan ayah. Waktu tu ibu pergi kedai kek nak beli kek coklat kegemaran Iwana. Waktu tu ayah pun beli kek yang sama, katanya dia teringatkan kenangan kita beli kek waktu dulu. Ayah menangis waktu tu. Ayah betul-betul dah berubah, dia dah menyesal dengan semua perbuatan dia dulu. Iwana, demi ibu tolonglah maafkanlah ayah, bolehkan?” Ibu cuba membelai perasaan Iwana agar terbit perasaan kasih untuk ayahnya.

“Tapi ibu..”

Ibu menggeleng perlahan, memberi isyarat agar Iwana tidak meneruskan percakapan. Sudah faham benar dengan perangai anaknya itu, pasti ada sahaja kata-kata amarah yang akan terbit untuk ayahnya biarpun dia sudah penat membelai perasaanya.

“Iwana, walaupun ayah dah banyak susahkan hidup kita tapi ingatlah nak, dia tetap ayah Aina. Berdosa kalau Iwana derrhaka dengan ayah. Tadi ibu dapat tahu yang Iwana cakap kasar dengan ayah, ber’kau dan aku’ dengan ayah. Berdosa semua tu nak, Iwana kena hormat ayah, Iwana mahu ke jadi anak derhaka? Iwana derhaka, kasar dan hina ayah, nekara balasannya. Ibu tak pernah ajar anak ibu berkasar dengan orang tua.”

Iwana teresak-esak mengangis. Takut benar dia mendengar perkataan neraka. Tidak ingin dia menghuni tempat itu bersama-sama syaitan yang terkutuk. Benar kata ibunya, dia telah bercakap kasar dan meninggikan suara pada ayah tadi. Tidak cukup dengan itu, dia sudah menghina ayahnya. Sungguh, dia tidak ingin menjadi anak yang derhaka, sungguh tidak ingin dia menjadi ahli neraka.

‘Ya Allah, ampunilah dosaku.’ Hatinya merintih. Dia menutup mata membayangkan ayahnya teresak-esak menangis kerana dia berkasar tadi. Dia juga telah menghina ayah kerana malu berbintikan nama ayahnya.

“Iwana, dalam dunia ini kita punya ramai kawan, ramai keluarga tapi ayah dan ibu kita Cuma ada satu aje nak. Kalau hilang, dah tiada gantinya nak. Walau ayah tu pernah sakitkan Iwana, tapi dia tetap ayah

 

Iwana. Dia dah banyak berubah nak.” Ibu mengesat air mata yang mengalir di pipi Iwana.

“Ibu, Iwana bersalah pada ayah. Iwana nak jumpa ayah. Iwana nak minta maaf daripada ayah. Iwana berkasar, hina dan derhaka pada ayah. Iwana menyesal ibu. Tolonglah ibu. Iwana nak jumpa ayah, Iwana nak cium tangan ayah, nak peluk ayah. Iwana berdosa sangat pada ayah. ” Iwana merayu. Berulang kali dia menyebut dosanya pada ayah.

“Esok kita jumpa ayah. Ayah mesti gembira tengok Aina esok.”

Hati ibu mengukir kebahagiaan kerana nalurinya benar-benar yakin Iwana sudah memaafkan bekas suaminya. Dia juga yakin Iwana sudah melupakan kenangan pahit yang dipalitkan oleh bekas suaminya. Ya, dia mengaku bekas suaminya itu berdosa kerana telah melepaskan tanggungjawabnya suatu ketika dahulu. Tetapi kini dia yakin bekas suaminya itu sudah benar-benar berubah. Dia bersyukur kerana dosa semalam yang dipalitkan oleh bekas suaminya telah dimaafkan oleh Iwana. Dia yakin dosa semalam itu sudah merubah suaminya dan pastinya dosa semalam itu juga telah memberi pengajaran kepada suaminya.

‘Alhamdulillah, Iwana sudah dapat menerima ayahnya.’ Hatinya mengucap syukur.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.