Home Cerpen Cinta Pertemuan
Pertemuan
Ilyana Hani
12/11/2012 08:46:18
3,699
Kategori: Cerpen
Genre: Cinta

Aku membetulkan duduk, pinggangku terasa kebas setelah lebih setengah jam aku berada di dalam kapal terbang. Perkataan yang terbaik adalah sejuk. Ya, sejuk! Badanku tidak betah apabila berada di tempat yang sejuk. Aku masih ingat ketika aku bercuti di Tanah Tinggi Cameron, aku akan ke sana ke sini bersama jaket panasku dan sepanjang berada di sana terutamanya pada waktu malam, bibirku sentiasa pucat menahan sejuk.

Aku memandang ibu dan ayah yang berada di kiriku. Mereka sudah tertidur, mengantuk barangkali. Mereka pasti penat kerana semalaman melayan tetamu yang berkunjung tiba di rumah kami semalam sebelum kami berangkat ke Lapangan Terbang Pulau Pinang.

Mataku terarah ke sebelah kanan, hanya kelihatan gelap. Aku tersenyum bangga. Aku pernah berikrar untuk membawa ibu dan ayah ke Tanah Suci Mekah untuk menunaikan umrah dengan menggunakan gajiku sendiri dan kini impian itu menjadi nyata.

‘Ah, bosan!’ hatiku meronta. Masihku ingat ketika pertama kali aku menaiki pesawat, ketika itu usiaku 18 tahun dan aku menaiki pesawat yang sama, Saudi Arabia. Tika itu, aku asyik bermain permainan ‘game’ yang disediakan iaitu di skrin setiap tempat duduk. Aku ketawa sendirian mengenangkan saat itu, aku terlalu leka bermain sehinggakan aku tidak menyedari kehadiran pramugari yang datang untuk menghidangkan makanan. Akhirnya ibu menepuk perlahan pahaku memberi isyarat bahawa pramugari memberikan makanan untuku.

Aku teringatkan novel yang sempatku beli di KLIA sebentar tadi. Tanganku pantas mencari novel ‘Anugerah Cinta’ di dalam beg bimbitku. Aku membaca untuk menghilangkan rasa bosan.

Miss, would you like to have some juice?” ramah seorang pramugari menanyaku.

Yes, sure. Guava juice please.” Aku meminta jus jambu batu kepadanya sepertimana jus yang aku minta dahulu. Pramugari yang melihat ibu dan ayah sedang tidur berlalu pergi ke belakang tanpa mengejutnya. Mataku yang masih segar meneruskan pembacaan.

Mataku terpana seketika. Sebaris nama Amirul Hakimi ku pandang. Kosong! ‘Ah! Mengapa aku harus memilih novel yang tertulis namanya?’ gumamku sendirian. Aku menutup novel tersebut lantas memejamkan mata, cuba mengusir setiap kenangan yang bertamu di minda. Semuanya sia-sia. Tidak mungkin dapat kulupakan sebaris nama itu.

‘Amirul Hakimi! Kenapa nama itu sering sahaja bermain di fikiranku?’ Aku menggengam jari-jemariku seeratnya, cuba mengumpulkan kembali kekuatan yang terbang melayang seraya selepas membaca sebaris nama itu. Aku menjadi selemas-lemas wanita apabila kenangan itu menghantui diri. Sedangkan, akulah juara di tempat kerjaku, namun aku kalah kepada sebuah memori yang sudah sebati denganku sehinggakan terlalu sukar untuk aku mengusirnya.

Aku menghelakan nafas. Terlalu susah untuk aku melupakan sebaris nama itu walaupun sudah sepuluh tahun aku mencuba. Malah, ketika melihat atau mendengar deruman kapal terbang sahaja berjaya menarik fikirkanku untuk kembali mengingatinya. Manakan tidak, dia sering bercerita kepadaku tentang cita-citanya untuk menjadi seorang juruterbang..Amirul Hakimi rakan karibku atau rakan-rakanku sering mengatakan dia ialah … ‘Ah! Susah untuk menyebutnya.’

Amirul Hakimi! Terlalu banyak kenanganku bersamanya. Pernah aku cuba melupakannya, tapi.. Ah! Sia-sia sahaja, semakin aku cuba melupakannya, semakin hebat kenangan kami bersama belari-lari mindaku. Aku meraup muka dengan kedua belah tanganku, mencuba mengumpul kembali kekuatan yang masih bersisa. ‘Amirul Hakimi,’ hatiku merintih dan kenangan bersamanya kembali menerjah mindaku.

“Assalamualaikum,” dia menyapaku mesra ketika kami bertembung di kaki lima kelas.

“Waalaikumsalam. Tak nak turun makan ke?” aku ramah bertanya.

“Tak, malas nak turun. Waktu balik nanti baru nak ke kantin. Jadikan petang ni?”

“Insya-Allah, jadi. Jumpa di perpustakaan tau.”

Amirul Hakimi hanya mengangguk, dan rakan karibku, Farah pantas menarik tanganku agar mengikut langkahnya. Aku hampir terjerit akibat tindakan spontannya itu.

“Asyik nak bercinta je!” Farah bersuara dan sepantas kilat lengannya sudah menjadi mangsa cubitanku.

“Ke situ pula dia, you know me better Farah.” Tempelakku untuk menutup mulutnya. Sengaja aku menegaskan suaraku sebagai tanda aku tidak bersetuju dengannya. Ketawa Farah membuatku semakin geram dan sekali lagi dia menerima ‘hadiah cubitan’ dariku.

“Cik Aira Nabila , sudahlah jom jalan cepat sikit.” Aku memandang Farah dan dia mengeyitkan mata bundarnya padaku. Aku faham benar akan telatahnya, apabila dia mengeyitkan mata, itu bererti dia sudah penat mengusikku dan itu secara automatik memberikan kemenangan kepadaku.

Dari jauh aku melihat Amirul Hakimi melangkah ke arahku. “Dah lama tunggu? Mana Farah?” Dia menanyaku.

“Farah dah balik, perut dia meragam tadi.” Dia sekadar mengangguk mendengar jawapanku.

“Jom mula sekarang. Kita belajar Matematik Tambahan hari ni ya? ” Amirul Hakmi meminta persetujuanku.

“Ikut la. Kalau Kimi nak belajar Matematik Tambahan, Aira boleh ja.”

Keadaan di dalam perpustakaan yang sejuk membuatkanku berasa kurang selesa. Untuk menghilangkan rasa sejuk, aku menggosokkan kedua telapak tanganku dengan harapan haba dari telapak tanganku mampu memanaskan sedikit badanku. Serentak itu, aku terdengar ketawa kecil yang keluar dari bibir Amirul Hakimi. Aku menjelingnya dan dia menekup mulut dengan tangannya seolah-olah dia tidak sengaja ketawa kepadaku.

“Itu pun nak belajar di luar Negara. Sejuk air-cond pun dah pucat bibir,” dan dia ketawa lagi kepadaku. Setelah memberitahuku bahawa dia ingin mengambil barang, Amirul Hakimi bangun dari kerusi dan berjalan keluar dari perpustakaan.

Dia kemudiannya masuk ke dalam perpustakaan bersama jaket panas berwarna hitam di tangannya. Aku pantas ketawa. “Mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih.” Ketawaku masih bersisa.

“Cik Aira sayang, jaket ni bukan untuk Kimi, tapi…” Pantas tangannya menyarungkan jaket hitam ke badanku.

Aku tergamam dan terasa seperti darah menyerbu naik ke muka. Keadaan sejuk sebentar tadi sudah bertukar menjadi panas seolah-olah aku sedang berada di Gurun!

“Terima kasih,” hanya itu yang terkeluar dari mulutku, mulut becokku terkelu dengan tindakan spontannya.

“Sejuk lagi?” Dia bertanya sambil tersenyum kecil. Aku hanya menggeleng menjawab pertanyaannya.

“Orang cakap pelukan memberikan kehangatan. Kalau sejuk lagi…” Dia tidak menghabiskan kata-katanya tetapi dia mendepangkan tangannya seolah-olah sedang meraih seseorang ke dakapannya. Dia tergelak kecil dan masih belum puas mengusikku. Entah mengapa, jariku pantas mencubit lengan sasanya. Amirul Hakimi ketawa lagi.

“Kalau tangan comel Aira tu cubit, seribu kali pun belum tentu sakit.” Aku termalu dengan ketelanjuranku tadi, namun dia masih tertawa.

“Malu? You are blushing!” Dia menempelakku. “Tak adalah,” aku pantas menafikan kata-katanya. Lantas aku mengambil buku dan kembali menyambung latihan sebentar tadi seraya member isyarat supaya dia juga menyambung kembali latihannya.

“Miss, would you prefer to have fish or chicken?” Pertanyaan pramugari mengembalikanku ke alam nyata.

“No, thanks.” Aku mencuba untuk menghadiahkan senyuman kepadanya tapi aku dapat merasakan senyumanku tadi palsu!

“Betul tak mahu makan?” Ibu memandangku. Aku menggeleng memberi jawapan tidak kepada ibu.

“Makan sikit, sedap kek ni.” Ibu menghulurkan kek kepadaku. Ya, benar! Aku gemarkan kek dan ketika kali pertama menaiki pesawat Saudi Arabia, aku telah menghabiskan ketiga-tiga kek iaitu kek ibu, ayah dan juga kek aku. Tapi sekarang..Ah! Pasti madu pun akan menjadi pahit andai singgah di tekakku.

Aku menyambung membaca novel untuk mengalihkan perhatian ibu. ‘Tidak! Nama Amirul Hakimi lagi!’ Hatiku menjerit. Mengapa begitu sukar untuk sebaris nama itu nyah dari ingatanku buat selamanya?

Seraya terpandang ‘namanya’ ingatanku kembali teringatkan kenangan kami berdua. Kenangan yang telah membuatkan kami terpisah!

Kami sering belajar bersama, dan semakin kerap belajar apabila peperiksaan pertengahan tahun semakin hampir. “Mana Farah?” Tanya Amirul Hakimi sewaktu mengambil tempat duduk bertentangan denganku di dalam kelas 5 Zeta. Kami mengubah lokasi belajar secara berkumpulan daripada perpustakaan kepada kelasku. Menurut Amirul Hakimi dia kasihan melihat aku menahan kesejukkan dan dia tidak rela lagi jaket panasnya menjadi mangsaku. Ah, alasan! Dia masih dengan ayat-ayat nakalnya untuk mengusikku.

“Farah balik, mak dia minta temankan ke hospital melawat pak saudara.” Terangku ringkas. Kesihatanku yang kurang baik membuatkanku malas untuk berbicara.

“Demam ke?” Amirul Hakimi memandangku serentak tangan kanannya menjamah dahiku. Aku mencuba untuk mengelak, namun tangannya lebih pantas bertindak.

“Panas! Aira demam ni.” Mata bundarnya merenungku. Aku dapat melihat keikhlasan dari sinar mata itu.

“Dah, jom balik! Lebih baik Aira balik rehat di rumah. Jom, Kim hantar.” Dia pantas bangun dan mengemas buku.

“Kim, peperisaan dah hampir, Aira okay.Demam biasa je.” Aku bersuara dengan harapan dia akan duduk kembali.

But, you…”

I’m okay. I can stand for the whole day at school and I’m strong enough to join this discussion.”Tegas nada suaraku dan aku pasti dia tidak akan terus-menerus memaksaku untuk pulang.

“Betul?” Dia bertanya sepatah. Aku sekadar menangguk memberikan jawapan. Amirul Hakimi kembali duduk dan meneruskan belajar berkumpulan kami.

Aku mencuba untuk terus kuat. Aku yakin, aku pasti boleh! Tapi entah mengapa aku merasakan kepalaku semakin berat. Kesan demam barangkali!

“Aira, darah!” Amirul Hakimi bersuara cemas dan serentak itu dia bangun mendapatkanku. Aku merasakan ada cecair pekat yang mengalir dari hidungku. Kebetulan, aku lupa untuk membawa tisu hari ni.

Amirul Hakimi berada di sebelahku. “Biar, Kimi tengokkan,” dia mengambil sapu tangannya dan mengelap darah yang ,mengalir. Aku cuba mengelak, lantas dia memegang kuat lenganku. Kudrat perempuanku tidak mampu lagi melawan, aku biarkan sahaja.

“Kimi dah cakap tadi, kita balik. Tapi Aira degil.” Dia mula memberi syarahan kepadaku. Aku memekakkan telinga, malas aku mendengar bebelannya.

“Siap.” Dia berkata sepatah. Aku bangun dari kerusi untuk ke tandas. Tetapi kepalaku terasa semakin berat dan aku pantas memegang pintu kelas. Amirul Hakimi terus memegang lenganku dan dia memapahku untuk ke kerusi.

“Aira! Hakimi! Apa awak berdua buat ni? ” Suara Cikgu Marzuki, guru disiplin sekolah memetir. Aku terkejut dan seraya itu aku cuba melepaskan tangan Amirul Hakimi dari terus memapahku. Hilang segala sakitku apabila melihat wajah bengis Cikgu Marzuki.

“Kami.. errrr..taa..taaakkkk” tergagap aku menjawab. Memandang muka bengis Cikgu Marzuki pun aku tidak mampu, inikan pula untuk menjawab, aku seperti sudah kehilangan suara. Hilang sakit kepalaku mengenangkan perkara yang telah terjadi ini.

“Kami belajar cikgu, tadi saya cuma nak tolong Aira, dia demam.” Amirul Hakimi bersuara, begitu berani lagaknya. Aku tahu prinsipnya, berani kerana benar, takut kerana salah dan aku tahu dia mencuba untuk membuktikan kebanaran.

‘Sudah, jangan banyak alasan.’ Cikgu Mazurki menengking. Air mataku sudah bergenang, aku takut menghadapi situasi sebegini dan akhirnya air mataku mengalir jua. Mengalir laju sama hebat seperti hatiku yang berombak kencang.

“Cikgu, tadi saya cuma nak tolong Aira, dia demam jadi saya hanya papah dia.”

“Sudah! Kamu berdua ikut saya ke bilik pengetua sekarang.” Cikgu Marzuki bersuara tegas. Tiada kompromi lagi dalam soal ini. Aku kehilangan kata, lidahku kelu, aku seperti kanak-kanak yang baru belajar mengenal perkataan, tidak mampu untuk berkata-kata lagi. Aku takut, benar-benar takut. Tidak dapat ku bayangkan wajah ibu dan ayah apabila mendapat tahu hal ini.

Seperti yang aku jangka, aku dipindahkan sekolah selepas daripada peristiwa itu. Biarpun hatiku meronta, namun akalku masih waras agar tidak menderhaka. Hatiku perit, terlalu perit. Luka fizikal masih mampu diubat, bisa sembuh lukanya. Tapi luka di dalam, tiada ubatnya, bahkan lukanya akan terpahat selagi diri ini masih bernafas. Aku tahu itu hanya cinta remaja, cinta yang tidak pasti menjaminkan kebahagiaan, namun hatiku kuat meronta agar kami tidak pisahkan. Mana mungkin dapat ku harung hati yang lara ini tanpa dia. Namun, aku pasrah, aku redha. Ibu dan ayah tahu yang terbaik untukku. Andai aku dan Hakimi akan dipertemukan semula nanti, aku amat bersyukur. Andai sebaliknya, pasti ada hikmah disebalik tiap yang terjadi.

“Miss, please tight on your seat belt.” Pramugari bertugas mematikan lamunanku. Serentak dengan itu aku dapat rasakan gegaran kecil. Pesawat ini berlanggar dengan kepulan awan barangkali. Aku memegang tangan ibu apabila aku merasakan gegaran yang berlaku semakin kuat.

“Ya Allah, selamatkanlah kami.” Aku memejamkan mata mencuba untuk bertenang. Lama-kelamaan aku rasakan pergerakan pesawat semakin lancar dan akhirnya lampu memasang tali pinggang dipadamkan.

“Alhamdulillah.” Aku mengucapkan syukur.

Mataku memandang jam di tangan, lagi 2 jam kami akan mendarat. Jam itu…
‘Ya, jam itu!’ Hatiku meronta, meronta agar tidak dibebani untuk terus mengingati Hakimi lagi. Jam itu pemberiannya.

“Tiap kali jam ini berdetik, tiap kali itu juga cinta Kimi untuk Aira berdetik mekar. Ingat jam ini, Kimi akan tunggu Aira. I hope you will do so. I really love you. I know neither this not the time for us to get in love. But, I can’t stop my mind to think about you. My love for you is much better then I love myself. Pleas wait for me, sayang.” Mungkin kerana pujuk rayunya itulah membuatkan aku terus kuat untk menunggunya sedangkan aku tidak pasti sama ada dia masih setia mengunggu aku atau kini dia sedang enak berpacaran bersama isterinya. Semangatku mati, benar-benar mati. Semangatku juga elah mematikan perasaan cintaku untuk lelaki lain walaupun sudah banyak pinangan yang aku tolak. Selama ini aku sabar menadah telinga menahan leteran ibu kerana aku sudah banyak kali menolak pinangan termasuklah dari seorang lelaki yang bekerja sebagai seorang juru audit di syarikat terkemuka Mercu Holding dan memegang gaji lima angka.

Tidak ku pandang semua itu. Padaku, kekayaan belum tentu menjaminkan kebahagiaan. Setakat ini, aku mampu untuk menanggung diri dan aku mampu memiliki Honda Accord diusia muda. Aku lebih memerlukan seorang lelaki untuk aku merasai kasih sayang bukannya hanya mampu melimpahi aku dengan kekayaan. Walaupun Amirul Hakimi hanyalah cinta remajaku, aku tidak mampu melupakannya apatah lagi mengkhianati janjinya. Biarlah aku dikatakan membuang masa mudaku untuk terus setia. Biarlah aku dikatakan seperti menunggu buah yang tidak gugur. Tidak ku peduli lagi semua kata-kata itu, perkara yang lebih penting ialah percaya pada kata hati kerana kata hati tidak pernah berdusta. Tapi, benarkah kata hatiku ini? Adakah aku menunggunya hanya sekadar janji atau sayang? Aku buntu, benar-benar buntu.

Ah! Jujurnya, aku tidak mampu mengkianati janjiku. Biar pun janjiku dikhianati, namun aku tidak akan mengkhianati. Itu prinsip hidupku. Tapi, aku juga sayangkannya. Jika tidak, mana mungkin aku sanggup menunggu dan terus menunggu selama 10 tahun.

‘Ah, malas untuk aku memikirkannya!’ Hati kecilku meronta. Aku memaksa mataku untuk pejam, kerana itu merupakan fitrah manusia untuk tidur diwaktu malam.

* * * *

Hari ini merupakan hari kelima aku berada di sini. Aku dapat merasakan betapa kecilnya diri ini di sisi pencipta yang Maha Agung. Hatiku benar-benar tenang ketika berada di sini. Sama seperti waktu aku datang sewaktu aku menunggu keputusan SPM dahulu.

Aku tersentak apabila ibu menarik tanganku untuk keluar dari lif. Aku sedang mengelamun rupanya. Kami berjalan menuju ke aras MZ untuk mengalas perut. Aku hanya menyendukkan sedikit nasi ke dalam pinggan kerana badan aku yang letih membuatkan aku kurang berselera. Namun, tidak akan sesekali aku menyuarakannya kerana pengalaman banyak mengajarku. Masih segar di ingatanku sewaktu kali pertama aku ke sini, aku bersuara pada ibu bahawa aku tidak berselera untuk makan pada malam itu, akhirnya aku benar-benar hilang selera dan aku hanya menjamah bijirin. Itulah yang selalu orang katakan menjaga mulut sewktu berada di sini.

Aku mengambil tempat di sebelah ibu manakala ayah duduk di meja berasingan. Rancak benar ayah berbual bersama-sama rakannya mengenai rancangan lawatan esok untuk ke Madain Salleh. Aku kembali menyuapkan sedikit nasi ke dalam mulut, sekadar menjamah kerana esok kami akan menempuh perjalanan yang jauh.

“Kak, boleh saya duduk di sini?” Lembut seorang gadis berjubah hitam dan bertudung sedondon bertanya. Aku tersenyum seraya mengangguk.

“Mak cik dan kak dari mana?” ramah dia bertanya.

“Kami dari Pulau Pinang.” Aku senang dengan sikap peramahnya.

“Saya Aneesa.”

“Saya Aira, ini ibu saya Rafidah.”

“Kak datang buat umrah ke? Datang dengan siapa?”

“A’ah, kak datang buat umrah dengan ibu dan ayah. Adik pula?”

“Saya datang bekerja kak. Saya ni pramugari. Lusa baru saya berangkat balik. Saya datang ke sini dengan abang. Sebenarnya abang saya pilot.Kak dah kahwin ke? Kak nampak baik sangat, abang saya masih solo lagi. Kalau kita jadi keluarga mesti seronok.” Katanya sambil tersengih.

Hampir tersedak aku mendengar soalan ‘cepu mas’ nya itu.

‘Ada-ada saja budak ini, baru saja kenal dah nak dibuatnya kakak ipar. Tak takut ke aku ni lanun ke?’ Hati kecilku tertawa dengan sikap spontannya itu.

“Elok sangatlah tu dengan abang Aneesa. Sampai sekarang membujang lagi anak dara ni.” Ibu sudah memulakan ceramah percumanya. Aneesa ketawa melihat aku terkena.

“Seronok kerja pramugari Aneesa?” Aku cuba mengubah topik dan Aneesa begitu leka bercerita mengenai kerjanya. Mudah saja nak cucuk dia ni, aku tersenyum.

“Eh, abang!” Aneesa melambaikan tangannya. Aku duduk bertetangan dengan Aneesa dan pastinya aku tidak dapat melihat abangnya yang dia begitu beria mahu jodohkan denganku.

“Aneesa, pagi esok kita turun awal sikit ye.” Abang Aneesa bersuara dan serentak itu aku tergamam. Suara itu! Aku kenal akan suara itu.

“Tak mungkin, itu …” Hatiku kuat mengatakan itu suara…

‘Ah, bukan!’ Akalku pantas menafikan. Aku tidak berani untuk berpaling ke belakang. Keberanianku seolah-olah telah dicuri. Tapi, hatiku memberontak ingin tahu.

Aku dapat merasakan lelaki tadi sedang mengatur langkah ke arah kami. Aku mendongakkan kepala dan…

“Aira!”

“Hakimi!”

Jadi inilah abang Aneesa yang dimaksudkan. Aku tergamam, terdiam seribu bahasa!

Andai pertemuan ini memberi sinar baru dalam kehidupan kami, janganlah pisahkan kami lagi. Aku tidak sanggup untuk menghadapinya lagi. Aku lemah untuk berhadapan erti kehilangan . Jadikanlah pertemuan ini merupakan perpisahan yang terakhir buat kami. Aku terlalu merinduinya. Pertemuan ini memberikan kebahagian baru dalam hidupku. Air mata yang dari tadi hanya bergenang di kelopak mata, kini merembes keluar tatkala sepasang anak mata kami bertentangan. Dapatku lihat sinar dari anak matanya itu. Semoga pertemuan ini menjaminkan perpisahan yang terakhir buat kami.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.