Home Cerpen Islamik Kerana DIA
Kerana DIA
Ilyana Hani
16/5/2013 22:00:51
3,500
Kategori: Cerpen
Genre: Islamik

Dia kembali meneguk arak yang masih berbaki dan hanya dengan sekali teguk gelas itu kembali kosong. Dia menghulurkan gelas tadi lantas memberi isyarat kepada pelayan kelab untuk kembali memenuhkan gelas berkenaan.

“Leya, jom menari.” Tangan Zack sudah melingkari pinggang ramping Aleeya Maisara tetapi gadis itu hanya membiarkan dia diperlakukan sebegitu, dia merelakan.

“Malaslah, kau pergi menari dengan Wawa.” Aleeya Maisara membalas acuh tak acuh, mindanya sudah dipengaruhi oleh air syaitan yang sudah beberapa gelas diteguk. Gelas yang dihulurkan oleh pelayan kembali diteguk.

“Aku rasa dah enam gelas kau minumkan? Nanti kau mabuk tak fasal-fasal tak boleh drive.Sudahlah minum tu.” Zack cuba merampas gelas yang masih melekat di bibir Aleeya tetapi cekap sahaja gadis itu menangkap lengan Zack daripada merampas gelas itu daripadanya.

“Aku tak akan mabuklah!” Aleeya berkata sambil tersengih. Keadaannya sudah tidak terurus, rambutnya sudah berserabut. Dia menggoyang-goyangkan kepala mengikut rentak muzik yang rancak. Lengan Zack dipaut, dia cuba untuk berdiri dalam keadaan terhuyung-hayang.

“Jom menari.” Dia menarik lengan Zack agar mengikutinya ke lantai tarian. Tubuh sasa jejaka itu dipeluknya sambil menari dalam keadaan terhuyung-hayang. Tangan Zack cepat sahaja membalas pelukan Aleeya.

“Kau ni kenapa? Tak pernah aku tengok kau minum banyak begini.” Dia hanya membiarkan kepala Aleeya yang sudah dilentokkan di bahunya, memang selalu mereka begitu. Walaupun mereka hanya bersahabat, tetapi hubungan mereka tiada batasa. Berpegangan tangan dan berpelukan itu sudah biasa tetapi tidaklah sehingga ke ranjang.

“Aku tertekan kau tahu tak? Aku baru buat silap sikit aje tapi orang tua tu bising macam aku ni dah buat silap besar.”

“Kau buat silap apa sampai orang tua tu marah kau?”

“Aku terlepas tender padahal nilai tender tu tak adalah besar sangat.” Aleeya kian terlentok di bahu Zack, air syaitan itu benar-benar membuatkan dia khayal dan hanyut dalam dunianya sendiri.

“Kalau kau tertekan sekali pun, janganlah sampai minum banyak macam tu. Bahayalah.” Zack semakin mengemaskan pelukan, dia perasan banyak mata-mata nakal yang memerhatikan mereka. Biarlah, ikut suka hati akulah nak menari cara apa sekalipun.

“Diamlah, badan aku ikut suka akulah nak minum banyak pun.” Aleeya kian khayal.

“Jomlah aku hantar kau balik, dah pukul 3 pagi ni. Lagi lambat kita balik nanti lagi teruk kau mengarut bukan-bukan.”

“Jom, aku drivesendirilah. Aku tak mabuklah, kau jangan risau.” Aleeya melepaskan pelukan Zack, dia meraih pula tangan lelaki itu. “Jom.”

Zack menghantar Aleeya sehingga ke keretanya. “Betul kau boleh drivesendiri ni?” Zack sudah mula risau, kalau sebelum ini Aleeya hanya minum segelas atau dua tetapi hari ini rasanya dia minum hampir enam gelas.

“Boleh, kau jangan risaulah. Okey, aku balik dulu.” Aleeya melambaikan tangannya sebelum masuk ke dalam perut kereta. Enjin kereta dihidupkan sebelum dia memandu pulang. Di pertengahan jalan tiba-tiba kepalanya terasa berat seraya itu dia berasa mual-mual. Cepat sahaja dia memberhentikan kereta di tepi jalan dan dia mengeluarkan kesemua isi perut yang membuatkan dia berasa tidak selesa. Dia tahu ini semua kerana dia terlebih minum. Semua ini gara-gara pengurus besar syarikatnya yang sesedap hati sahaja memarahinya kerana terlepas tender besar. Dia sakit hati memikirkan perangai pengurus besarnya itu, cukuplah sekadar menegur tidak perlulah memarahinya sebegitu. Kerana geramkan pengurus besarnya itu, dia sudah terlebih minum hari ini.

Aleeya sampai ke rumah tika jarum jam pendek sudah melepasi angka empat pagi. Biasalah malam hujung minggu, selalu sahaja dia ke kelab malam dan pulang lewat. Dia masih muda, biarlah dia menghabiskan masa mudanya dengan bersuka-ria.

“Leya pergi mana? Kenapa balik lewat?” Ibu Aleeya, Puan Amira sudah mula risau melihat anak gadisnya yang baru pulang tika jam sudah menunjukkan angka empat pagi.

“Jumpa kawan kejap ibu.” Aleeya berjalan terhuyung-hayang mendapatkan ibunya sambil tangannya memegang dinding.

“Jumpa kawan di kelab sampai mabuk macam ni? Leya, sedarlah nak. Kembalilah ke pangkal jalan, semua ini berdosa. Ibu tak mahu Leya terus hanyut.” Suara Puan Amira sudah berubah menjadi serak. Dia masih cuba menasihati anak tunggalnya. Walaupun Leya merupakan seorang anak yang menghormati ibu bapanya tetapi anaknya itu selalu melanggar perintah Allah malah anaknya itu jarang sekali solat dan puasa. Malahannya Aleeya juga tidak menutup aurat dan sudah pandai menyentuh air syaitan. Rasanya dia melihat anaknya itu solat buat kali terakhir pada sepuluh tahun yang lalu. Anaknya itu terlalu hanyut dengan kebahagiaan duniawi sehingga dia lupa untuk menunaikan segala perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya. Tidak dapat dinafikan Aleeya merupakan seorang anak yang sangat baik buat ibu bapanya tetapi dia bukanlah seorang hamba yang baik untuk pencipta-Nya.

“Ibu jangan risaulah, dosa kita tanggung sendiri. Lagipun kubur masing-masinglah ibu.” Aleeya menjawab acuh tak acuh tambahan pula dia masih mabuk. Sekejap dia ketawa, sekejap lagi dia tersengih, tingkah lakunya memang tidak boleh dikawal lagi. Dia sudah khayal akibat minuman haram itu.

Puan Amira beristighfar panjang, anaknya sudah hanyut ditelan kehidupan dunia. ‘Ya Allah, Engkau lembutkan hati anakku untuk kembali ke jalan-Mu.’ Puan Amira berdoa, dia tahu doa seorang ibu buat anaknya, Insya-Allah akan dimakbulkan.

“Leya, ingat Allah. Semua benda yang Leya buat ni berdosa. Tolonglah berubah nak. Kita tak tahu bila akan dijemput menghadap Pencipta.”

Aleeya tertawa mendengar kata-kata ibunya. Dia masih muda, biarlah dia menghabiskan masa mudanya dengan bersuka-ria. Nanti apabila sudah tua, dia akan berubah. “Leya masih muda, sayanglah kalau sia-siakan masa muda ni. Leya naik dulu.” Aleeya melangkah meninggalkan ibunya. Perlahan sekali gerak langkahnya tetapi yang pasti dia bagaikan sebuah kereta yang hilang kawalan, dia berjalan tidak betul. Sekejap ke kanan dan sekejap ke kiri.

Puan Amira masih setia memerhatikan setiap langkah anak gadisnya sehingga kelibatnya hilang dari pandangan mata. Sedih hati ibu tidak terkira, anak tunggal yang dijaga dan ditatang dengan penuh kasih akhirnya hanyut juga. Dia tahu Aleeya berubah selepas tersalah memilih kawan di universiti. Perkara yang mampu dia lakukan sekarang ialah berdoa agar anaknya berubah.

Aleeya satu-satunya anak yang dia punya. Dialah racun dan dia jugalah penawarnya. Aleeya jugalah yang akan mendoakan kesejahteraannya dan suami apabila mereka meninggal kelak. Tetapi saat terpandangkan Aleeya yang seakan-akan leka dengan ibadat berjaya membuatkan hati tuanya risau. Seorang anak yang dibelai dengan penuh kasih sejak kecil akhirnya berubah.

“Ya Allah, makbulkanlah doa hamba-Mu ini, tariklah kembali hati anakku agar kembali ke jalan-Mu. Lembutkanlah hatinya untuk melihat jalan kebenaran, jangan biarkan dia tersasar jauh. Hanya satu yang kupinta, kembalikan Aleeya yang dahulu. Aku rindukan saat dia solat bersama-samaku dan aku rindukan suara gemersiknya sewaktu mengaji. Sesungguhnya, makbulkan doa hamba-Mu ini Ya Allah.” Penuh syahdu seorang ibu berdoa, hanya satu impiannya, dia mahu melihat Aleeya berubah menjadi seorang Muslimah sejati sebelum dia menutup mata.




ALEEYA menghadiahkan senyuman kepada lelaki yang baru diperkenalkan kepadanya. “Aleeya Maisara.”

“Rayyan Ziqri.” Lelaki itu memperkenalkan diri dan senyuman Aleeya dibalas.

Aleeya bagaikan kaku saat melihat senyuman yang terukir itu, dadanya berombak hebat. Dia sudah jatuh cintakah? Tetapi tidak dinafikan, Rayyan mempunyai ciri-ciri dambaan wanita. Lihat sahaja penampilannya sudah boleh membuatkan ramai wanita cair. Aleeya kian hanyut memerhatikan setiap inci keindahan pada Rayyan. Dia memberanikan diri mencari anak mata Rayyan. Jantungnya seakan mahu gugur apabila menyedari anak mata Rayyan juga sedang memandang ke arahnya. Jantungnya sudah kehilangan rentak apabila pandangan mereka bersatu.

“Pengurus pemasaran baru di sini. Jadi selepas ini, awak akan berhubung dengan Rayyan berkaitan dengan tender syarikat. Tapi ingat, jangan buat silap lagi.” Encik Suhaimi memberikan peringatan.

Aleeya tersentak, kacau daun betullah! Belum puas dia melakukan terapi mata, Encik Suhaimi sudah mengganggu. “Baik bos!”

Rayyan dan Encik Suhaimi sudah bergerak meninggalkan mejanya, dia menghantar langkah mereka dengan pandangan mata sehinggalah kelibat mereka hilang. Aleeya duduk bersandar pada kerusinya. Sesi terapi mata sudah selesai, melihat Rayyan boleh disamakan dengan terapi mata? Aleeya memang gila! Dia merasakan dadanya kian bergetar hebat.

“Hoi, kau berangan ke!” Wawa menegurnya.

“Kau ni kacau linebetullah.” Aleeya mengurut dada, Wawa ini ada-ada sahaja.

“Kau suka Encik Rayyan ke? Lain macam aje aku tengok cara kau pandang dia. Kalau dah suka tu masuk meminang ajelah.” Wawa sudah tersengih menayang gigi. Bukannya dia tidak nampak cara pandangan Aleeya pada Rayyan tadi. Rasanya boleh tembus badan Rayyan dek renungan tajam Aleeya.

“Kau agak-agak dia dah berpunya ke belum?” Aleeya menekup mulutnya seraya selepas menuturkan soalan itu. Kenapalah dia bertanyakan soalan seperti itu?

Sofea sudah tertawa besar, telahannya betul. Aleeya benar-benar sukakan Rayyan. “Aku cakap betulkan tadi? Cara kau pandang dia pun aku dah tahu.”

“Sudahlah, malas nak layan kau. Pergi buat kerjalah.” Aleeya membetulkan tudungnya, dia berasa tidak selesa sebenarnya bertudung ke pejabat. Tetapi permintaan Encik Suhaimi agar dia bertudung membuatkan dia serba salah. Sudahnya dia hanya bertudung ke pejabat tetapi di luar pejabat, dia bukan sahaja tidak bertudung malahan berpakaian seksi. Badan masih muda, biarlah badan merasakan kenikmatan hidup bersuka-ria sewaktu muda.

Aleeya menolak badan Wawa apabila rakannya itu seakan-akan tidak mahu berganjak daripada tempatnya. “Kau pergi buat kerjalah.”

“Malulah tu. Habis tu Zack macam mana?”

Kini giliran Aleeya pula tertawa. Dia dikaitkan dengan Zack? Tolonglah, rasanya Wawa pun tahu dia dan Zack hanya kawan. Istilah teman tapi mesra, ya mereka memang berteman sahaja tetapi mesranya bagaikan kekasih. Biarlah, dia masih muda.

“Kau ni macam tak tahu aku dengan Zack tu kawan aje. Macam kau dengan Zack jugak.” Pantas sahaja Aleeya menafikan kata-kata Wawa. Perasaannya pada Zack adalah kosong, tiada langsung perasaan cinta! Dia hanya sayangkan Zack sebagai seorang kawan. Tetapi kalau dibandingkan Zack dengan Rayyan, hatinya sudah mula rasa semacam. Bukan sekadar memandang Rayyan tetapi mendengar namanya sahaja sudah berjaya membuatkan hatinya bergetar hebat.

“Kalau nak dekat bos baru kau tu, cuba-cubalah dekat. Cara kau berbaju kurung dan bertudung ni, mesti akan buat dia cair punyalah. Kau jangan risau, nampak sangat kelembutan kau sekarang ni kalau nak dibandingkan dengan pagi Ahad lepas.”

Aleeya sudah menyiku Wawa. “Diamlah kau, jangan sebut fasal sosial kita di pejabat. Kau kena ingat, tak ada siapa tahu tentang kita.”

Wawa menjuihkan bibirnya. “Kau jangan risaulah, tak akan ada yang tahu fasal kita kalau kita tak buka mulut. Tapi kalau betul kau suka pada Encik Rayyan tu, aku berani jamin dia akan suka cara kau. Tengok ajelah dengan baju kurung dengan tudung kau ni. Memang calon isteri mithali.”

Aleeya tersengih mendengar kata-kata Wawa. Agak-agaknya ciri-ciri wanita seperti mana yang menjadi pilihan Rayyan ya?




ALEEYA melabuhkan duduk di hadapan Puan Amira. Dia membuka tudung lalu diletakkan pada penyandar sofa.

“Ibu nak tanya sikit boleh tak?” Puan Amira memandang anak gadisnya yang sedang bersandar di sofa sambil menonton televisyen. Baru-baru ini dia ada melihat anak gadisnya itu keluar pada waktu malam dengan memakai blaus labuh dan tudung. Sewaktu itu dia berasa sangat bersyukur kerana menyangka anaknya itu sudah berubah. Tetapi pada malam hujung minggu anaknya kembali mengenakan jin ketat dan t-shirt sendat serta pulang pada jam 3 pagi dalam keadaan mabuk. Sebentar tadi pula dia melihat Aleeya kembali memakai blaus dan tudung. Dia berasa hairan, permainan apa yang dimainkan oleh Aleeya sebenarnya?

“Tanya ajelah ibu.” Aleeya mengalih pandangan ke arah ibunya. Suara televisyen diperlahankan.

“Kenapa Leya keluar malam ni pakai tudung? Tetapi malam hujung minggu lepas Aleeya keluar malam sampai mabuk.” Perlahan dan sayu sahaja suara Puan Amira yang sampai ke pendengaran Aleeya. Dia sendiri berasa serba salah untuk bertanyakan soalan itu kepada anaknya.

Aleeya terdiam mendengar soalan ibunya. Perlukah dia berterus terang pada ibunya? “Tak ada sebablah ibu.” Aleeya cuba berbohong sedangkan dia melakukan ini semua kerana Rayyan. Setelah setahun berkenalan dengan Rayyan, lelaki itu telah meluahkan perasaan padanya. Kini, sudah tiga bulan mereka menjadi pasangan kekasih dan Rayyan pernah menyuarakan hasrat hatinya untuk meminang Aleeya pada hujung tahun ini.

Masih segar di ingatan Aleeya yang ciri-ciri wanita idaman Rayaan ada pada Aleeya, dan kesemua ciri-ciri itu hanyalah plastik sahaja. Ciri-ciri yang hanya terdapat ketika Aleeya berada di pejabat. Rayyan sukakan gadis yang bertudung, katanya manis. Dia juga sukakan gadis yang lembut seperti Aleeya dan yang tidak gemar bersosial. Kerana itulah Aleeya sanggup berpura-pura berubah menjadi baik hanya di hadapan Rayyan. Dia melakukan itu semua hanya kerana Rayyan, dia terlalu mencintai lelaki itu. Kerana itulah dia berpura-pura memakai tudung apabila keluar bersama-sama Rayyan tetapi tudungnya terbang melayang apabila dia ke kelab malam pada setiap hujung minggu.

Rayyan sukakan gadis yang lembut dan kerana itulah dia berpura-pura menjadi gadis yang sangat lemah lembut ketika berada di hadapan Rayyan. Jika berada di hadapan jejaka pujaannya itu, dialah wanita Melayu terakhir. Tetapi jika di belakang Rayyan, dialah gadis yang gemar terkinja-kinja di lantai tarian kelab malam. Sejujurnya, dia berpura-pura berubah menjadi baik hanya kerana Rayyan, dia tidak sanggup kehilangan lelaki itu dan kerana itulah dia berpura-pura menjadi wanita yang baik di hadapan Rayyan.

Bukannya dia tidak mahu berubah dalam erti kata yang sebenar tetapi dia tidak betah meninggalkan dunia sosialnya di kelab malam. Arak sudah menjadi minuman wajibnya di malam hujung minggu, menari di kelab malam sudah menjadi hobinya. Dia sama sekali tidak betah untuk menghentikan semua perbuatan yang menjadi kegemarannya. Biarlah dia berubah menjadi baik hanya kerana Rayyan. Harapannya cuma satu, dia berharap agar tembelangnya tidak pecah di hadapan Rayyan. Jika tidak pasti dia akan kehilangan jejaka pujaannya itu.

Aleeya dan Rayyan bagaikan langit dan bumi. Rayyan merupakan seorang hamba Allah yang sangat taat. Bukan sahaja solat lima waktu tetapi solat sunat turut ditunaikan. Tetapi Aleeya, telekung pun tiada di biliknya. Selama ini Aleeya hanya berpura-pura ke surau pejabat agar Rayyan tidak dapat menghidu yang dia tidak melakukan kewajipan sebagai seorang Muslimah. Rayyan merupakan seorang yang sangat menjaga pergaulannya dengan wanita. Selama mereka berkenalan, tidak pernah sekalipun Rayyan mengambil kesempatan kepadanya. Tetapi Aleeya, sosialnya usah dikata. Dia berasa bertuah mendapat Rayyan tetapi rasanya Rayyan bukanlah seorang yang bertuah kerana mendapatnya. Selama ini Rayyan hanya melihat ciri-ciri plastik yang ada pada Aleeya.

“Leya, ibu tanya ni sayang.”

Aleeya tersentak apabila tangannya dicuit perlahan oleh ibunya. Aleeya menghelakan nafas, segala cerita Rayyan yang tadi berlari-lari di minda kini sudah hilang.

“Leya buat semua tu sebab Leya sayangkan Rayyan. Leya berubah hanya kerana Rayyan sebab Leya tak sanggup kehilangan dia. Rayyan mahukan wanita yang baik, alim, lemah lembut untuk jadi isteri dia. Sebab itulah Leya berpur-pura baik di hadapan Rayyan.” Akhirnya, Aleeya menzahirkan rasa hati.

“Kenapa Leya tak berubah terus aje? Kenapa perlu berubah kerana Rayyan?”

“Sebab Leya tak boleh tinggalkan dunia sosial Leya. Sebab Leya masih mudah ibu, Leya perlukan keseronokan.’

“Keseronokkan di kelab malam?”

Aleeya tersentak mendengar soalan ibunya. Ya, dia memang seronok berada di sana, dia rasa puas. Segala tekanannya seakan-akan hilang apabila dia ke tempat seperti itu. “Maaf ibu, Aleeya naik ke bilik dulu.”

Selepas mencium pipi ibunya, Aleeya terus sahaja naik ke biliknya. Dia sudah malas mahu memikirkan setiap butir kata ibunya. Aleeya berjanji dia akan berubah setelah dia berkahwin kelak.



ALEEYA meneguk arak yang terdapat di hadapannya sebelum dia memaut mesra lengan Zack. Dia berasa puas berada di sini menghabiskan malam hujung minggunya.

“Leya!”

Saat mendengar suara itu, pantas sahaja Aleeya menarik tangannya yang sedang erat memaut lengan Zack.

“Apa semua ni Leya? Sampai hati awak tipu saya?” Muka Rayyan sudah berubah menjadi bengis. Rupa-rupanya ini semua permainan Aleeya. Sewaktu di hadapannya, dialah wanita yang paling baik tetapi di belakangnya dialah wanita yang paling penipu. Rayyan benar-benar ikhlas mahu memperisterikan Aleeya dan kerana itulah dia sanggup bertikam lidah dengan rakannya apabila rakannya itu memberitahu dia pernah melihat Aifa keluar dari kelab malam. Bukan sekali tetapi banyak kali rakannya itu memberitahu perkara yang sama. Kerana inginkan kepastian, Rayyan mengupah penyiasat persendirian untuk menyiasat perihal Aleeya dan ternyata wanita idamannya selama ini hanya berpura-pura.

“Rayyan... Saya errr...”

“Awak minum Leya? Awak mabuk? Astaghfirullah.” Rayyan meraup mukanya jelas menampakkan dia tertekan. Dia sendiri tidak menyangka kata-kata rakannya selama ini adalah benar. Aleeya Maisara hanya berselindung di sebalik topeng kelembutan yang berjaya membuatkan hatinya tertawan. Walhal kisah kehidupannya yang sebenar terlalu jauh berbeza.

Aleeya yang dia kenal sebelum ini berpakaian sopan bukan seperti sekarang berpakaian tidak cukup kain. Aleeya yang menjadi pujaan hatinya merupakan seorang yang baik dan lemah lembut bukan seperti sekarang yang sanggup meneguk arak dan memaut lengan lelaki bukan muhrim. Rayyan kembali meraup mukanya, dia tidak percaya wanita yang dia dambakan selama ini penipu.



Untuk mengetahui kesudahan Kerana DIA, dapatkan Antologi Orang Berdosa yang bakal terbit :)

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.