Home Novel Komedi/Romantik Komedi Aku Alergik Cinta
Aku Alergik Cinta
Ilyana Hani
12/11/2012 22:50:11
200,050
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
bab 8
AIFA duduk bertentangan dengan Amira. Dia memilih mee kari dan jus epal sebagai makanan tengah harinya manakala Amira memilih nasi ayam dan milo ais.

“Ramai juga orang di restoran ni.” Aifa memulakan bicara, terkejut juga dia melihat ramai orang berpusu-pusu datang ke restoran ini, mungkin makanannya sedap dan sebab itulah orang ramai memilih untuk menjamu selera di sini. Dipandang kiri dan kanan, dia melihat keriuhan pelanggan menjamu selera.

“Makanan di sini sedap. Kalau kena beratur panjang pun akak tak kisah sebab berbaloi. Nasi ayam ni memang sedap, sup dia pun power.” Amira mengangkat ibu jarinya memberi isyarat makanan di restoran ini memang sedap. Aifa sekadar mengangguk. Mee kari di hadapannya benar-benar mencuri tumpuannya, bau aromanya sahaja sudah membuatkan dia kecur air liur. Aifa memulakan suapan pertama selepas membaca doa makan.

“Betullah akak, sedap makanan di sini.” Aifa memuji.

“Kalau nak tahu kedai ni dah jadi port wajib akak waktu rehat.” Dicubit sedikit ayam lalu dicecahkan ke dalam sos.

“Boleh saya duduk di sini.”

Automatik Aifa mendongakkan kepalanya sebaik sahaja mendengar suara itu. Dia sangat-sangat kenal akan suara itu, suara milik musuh ketat a.k.a mamat sengal. Aifa tertoleh-toleh ke kanak dan ke kiri.

“Meja lain semuanya dah penuh, sebab itulah saya duduk di sini.” Bagai memahami, Hakimi terus memberitahu apabila melihat kepala Aifa tertoleh ke kiri dan ke kanan.

“Duduk ajelah, tak ada pun tulis nama di situ.” Amira memandang Hakimi, pelik benar perangainya hari ini. Selalunya dia akan duduk sahaja tanpa dijemput. Hakimi mengambil tempat di sebelah Amira. Dipandang wajah mencuka Aifa.

“Minah gengster kau makan mee kari aje, kau tak makan nasi ke?”

Aifa tersedak tatkala mendengar panggilan keramat itu keluar daripada mulut Hakimi. Memang nak kena cili! Hilang selera makan dibuatnya. Aifa menyedut sedikit air. Dia menjeling geram ke arah Hakimi. Bersahaja riak muka Hakimi, tanpa ada secebis rasa bersalah!

“Aifa naik dululah, nak solat. Lepas ni nak kena ke tapak projek.” Aifa memberi alasan sedangkan seleranya sudah diragut oleh Hakimi. Dasar mamat sengal!

“Duduklah dulu, habiskan makanan tu. Awal lagi, baru pukul 1.15. Kimi pun baru aje makan ni.” Amira memujuk, dia perasan riak wajah Aifa yang sudah berubah. Masam mengalahkan cuka!

“Tak apalah akak, Aifa nak naik solat dulu.” Aifa meninggalkan Amira dan Hakimi.

Hakimi menjuihkan bibirnya. ‘Sikit-sikit merajuk, itulah perempuan!’ Hatinya menyampah!

“Kenapa tiba-tiba aje Aifa balik ke pejabat?” Amira bertanya kehairanan. Dilihat Aifa berjalan sehingga hilang daripada pandangan.

“Entahlah! Moodyaje, bulan mengambanglah tu.”

“Kau ni Kimi, ke situ pula! Dia cakap nak solat tadi, takkan bulan mengambang pula.” Amira membela Aifa, itulah lelaki, asalkan moody pastinya dicop datang bulan, tak ada benda lain yang nak difikirkan!

“Manalah aku nak tahu!” Hakimi masih dengan riak wajah tidak bersalahnya. Malas memikirkan minah gengster itu! Tapi bila difikirkan balik, mungkin juga minah gangster itu merajuk kerana dia memanggil gelaran keramat itu tadi. Terbit jua rasa bersalah dalam dirinya.

“Mesti dia lapar nanti. Sebelum ke Cyberjaya nanti, kau singgah belikan makanan untuk dia, pengsan pula budak tu nanti. Kenapa kau panggil dia minah gengster tadi? Aku perasan muka Aifa mencuka selepas kau panggil dia minah gengster. Kenapa dengan kau ni? Dia baru kerja sehari kau dah buli dia.” Amira memulakan ceramahnya. Dia lebih gemar ber’aku’ dan kau dengan Hakimi memandangkan mereka sebaya.

“Sebab aku panggil dia gengster dia terus berubah ke?”

“Yalah, takkanlah aku nak menipu kau pula.” Amira meyakinkan Hakimi.

Hakimi rasa bersalah pada Aifa. Kerana dia, gadis itu hilang selera makan. Terfikir juga andai gadis itu pengsan di tapak projek nanti. Mahu berpeluh dia kena menjawab dengan Encik Fitri! Dia bangun dari duduknya.

“Nak ke mana pula ni? Makanan tak habis lagi.”

“Aku nak tapaukan makanan untuk Aifa. Mati aku nak menjawab kalau dia pengsan nanti. Lepas tempah makanan untuk Aifa nanti aku sambung makan balik.” Acuh tak acuh Hakimi menjawab. Kalau dah perempuan tu perempuan juga, mulut tu suka sangat membebel, tambah-tambah yang sudah berkahwin. Aduh, mahunya cair tahi telinga! Hari-hari membebel!

HAKIMI melihat jam di pergelangan tangannya. ‘2.31 petang, siaplah kau!’ Hakimi tersenyum sinis saat dia melihat langkah kalut Aifa.

“Cuba berjalan cepat sikit. Kita dah lambat, sekarang dah pukul 2.31.”

“Aku lewat seminit aje.” Aifa menjawab, geram kerana acap kali dipermainkan.

“Inilah perempuan, lembab buat kerja.”

“Kita pergi kereta asinglah. Lepas ni mesti terus balik, takkanlah nak tinggalkan kereta aku di sini?” Polos sahaja Aifa bertanya.

“Nanti aku bawa kau balik ke sini ambil kereta kau. Sudahlah cepat masuk!”

Sudah hampir sepuluh minit perjalanan, namun suasana antara mereka senyap sunyi, kedua-duanya menyepi seolah-olah mogok suara. Sedangkan jika di rumah merekalah juara perang mulut.

“Kenapa dengan kau? Senyap aje, aku rasa katak terkecik tulang ikan pun tak senyap macam kau ni!”

Hampir terburai tawa Aifa mendengar Hakimi meminjam kata-katanya tempoh hari.

“Kau ingat lagi?”

“Mestilah, minah gengster serang aku, mahunya aku tak ingat. Mulut dia punyalah berbisa.”

“Kau mengata aku! Kenapa kau panggil aku minah gengster depan kak Mira tadi?”

“Mulut aku, ikut suka hati akulah!” Sengaja Hakimi membakar hati Aifa, dia sudah nampak riak tidak puas hati pada wajah gadis itu.

Aifa memetiknya jarinya berkali-kali seolah-olah mendapat idea yang bernas. “Kalau macam tu aku pun boleh panggil kau mamat sengal.”

“Aku tak halang kau nak panggil nama aku mamat sengal ke apa ke aku tak kisah. Tapi kau kena ingat kau bawah pengawasan aku, kalau aku cakap pada bos you are not up to my expectation, can you imagine what will happened to you?” Hakimi mengugut.

“Kau ugut aku, berani kau!” Jari Aifa sudah mendarat pada lengan Hakimi, dicubit sekuat hati.

“Sakitlah, aku tengah drive ni! Kau nak kita balik ke rumah dengan van berlampu di atas ke?” Hakimi cuba mengelak cubitan berbisa Aifa.

“Van berlampu di atas? Apa tu?”

“Ambulanlah mangkuk. Takkan itu pun tak tahu?”

“Mangkuk berguna tau, kita boleh makan guna mangkuk!” Petah sahaja Aifa menjawab, dihadiahkan jelingan tajam buat Hakimi.

“Memanglah, mangkuk boleh diguna untuk makan mee kari. Sedapkan?”

Bukkk!!! Satu tumbukan mengena lengan Hakimi. Mengaduh dia kerana tidak menduga sama sekali Aifa akan menghadiahkan tumbukan seganas itu!

“Sakitlah! Mahunya patah lengan aku. Setiap minggu kau pergi gym ke? Semacam aje aku tengok kau ni?”

“Aku ni belajar taekwondo, berani kau kacau aku? Karate baru kau tahu!”

“Memang sah kau ni gengster! Kau ni lelaki menyamar jadi perempuan ke? Ganas sangat aku tengok.” Hakimi masih mengusap-usap tangannya. Hebat juga penangan budak ini.

“Kau diam boleh tak? Tumpu memandu lagi bagus daripada kau asyik mengata aku!” Aifa berpeluk tubuh malas melayan kerenah mamat sengal itu! Hakimi pula menjuihkan bibirnya, meraikan kemenangan entah untuk kali ke berapa. Mudah aje nak kalahkan budak ni.

AIFA berjalan di belakang Hakimi. Dia sekadar memerhatikan lelaki itu, ini kali pertama dia turun ke tapak projek, jadi dia mengambil pendekatan untuk dengar dan lihat sahaja. Sudahlah dia memakai baju kurung, susah benar untuk bergerak ke sana ke sini.

“Semuanya berjalan dengan lancar, pembinaan mengikut spesifikasi dan yang paling penting jangkaan binaan ni siap adalah seperti yang dijanjikan. Minggu depan kita ke sini lagi.” Hakimi memandang Aifa sekilas lalu, dapat dilihat titik-titik jernih yang pada wajah itu.

“Kau tu engineer, lain kali kalau ke tapak projek pakai kasut biasa sudahlah, tak perlu beria-ria nak pakai kasut tinggi. Tempat ini bukan untuk melaram, lainlah kau tu pengarah urusan syarikat, kau nak pakai kasut tinggi seratus inci pun boleh, tak ada orang yang nak bising.” Hakimi memulakan syarahan percumanya.

Merah muka Aifa menahan malu.

“Jom balik, kau nak tidur sini ke?” Hakimi berjalan meninggalkan Aifa.

“Aku ada rumahlah, aku nak balik!” Aifa mengekori Hakimi, banyak cakap betul mamat ni!

“Aku tahulah kau ada rumah sebab itulah aku ada jiran yang suka cari pasal, baru hari pertama aku kat situ dah cari gaduh!” Panas telinga Aifa dibuatnya.

“Abang kau kerja doktor ke?” Hakimi ingin tahu. Kereta dipandunya membelah lebuh raya.

“Kenapa nak tahu? Sibuk aje!”

“Sombongnya! Aku tanya tentang abang kau bukannya aku nak tahu tentang kau! Jangan perasanlah!”

“Kalau betul doktor pun kenapa? Kau nak jadi kakak ipar aku ke?”

“Kau ni rabun ke? Kau nak aku singgah kedai cermin mata ke? Kes serius dah ni sampai lelaki dengan perempuan pun tak tahu beza! Ataupun sebenarnya kau yang sengal!” Pedas sekali kata-kata Hakimi. Aifa menjelingnya geram.

“Malas nak layan kau!” Aifa menguatkan suara radio. Lagu ‘Cinta Gila’ dendangan Juliana Banos memecah kesunyian Honda Civic milik Hakimi. Lagu rancak itu benar-benar menghiburkan Hakimi, dia turut sama menyanyikan lagu itu. Kadang-kala jari-jemarinya mengetuk-ngetuk stereng kereta mengikut rentak lagu.

Aifa memandang Hakimi dengan ekor matanya. Matanya merayap ke serata wajah Hakimi. Kulitnya putih bersih, hidungnya yang sederhana mancung menambahkan kekacakannya. Matanya semakin nakal, matanya turun sehingga ke mulut merah lelaki itu. Jelas sekali lelaki itu tidak merokok. Badan sasa lelaki itu mencuri tumpuannya. Pendek kata lelaki itu sememangnya kacak! Tetapi entahlah, dia tidak pernah nampak semuanya sebelum ini, mungkin sahaja kerana dia gemar berperang dengan lelaki itu. Habis semua kelebihan lelaki itu dinafikan.

Kata-kata Aizam kembali bertamu. ‘Tetapi tak akan dengan mamat sengal ni? Tolonglah!’ Namun, entah mengapa matanya itu tidak mampu berganjak dari melihat susuk tubuh itu. Kacak sekali!

“Dah puas renung aku? Kacak ke?”

Bagai terkena renjatan elektrik, sepantas kilat Aifa mengalihkan pandangannya pada arah jalan. Dia mengetap bibir, menahan malu! Dia benar-benar malu kerana tertangkap sedang mencuri pandang wajah Hakimi, musuhnya!

“Perasanlah kau ni! Masa bila pula ku renung kau! Aku tengok kereta sebelah kau tu! Cantik.” Aifa mencipta alasan untuk menutup malu. Hakimi menjeling sekilas gadis di sebelahnya, rona wajah gadis itu yang bertukar menjadi merah membuatkan tawa yang ditahan dari tadi lepas. Dia menghamburkan tawa sepuas hati. Sah-sah ditangkap merenung orang masih tidak mengaku, ego!

“Kau jangan nak tipu akulah. Mata aku ni tajam lagi tau! Nampak sangat kau renung aku tadi. Kalau dah jatuh cinta mengaku ajelah. Tak perlu nak sembunyikan perasaan kau tu!” Hakimi menyakat.

“Tak ingin aku! Aku terfikir kau ni kacak juga tapi sayang sengal!” Aifa sengaja menyakitkan hati Hakimi agar dia tidak mengungkit keterlanjuran dia merenung Hakimi tadi.

“Kau tu pun sama aje, harap muka aje comel tapi perangai macam gengster! Cubalah cakap lembut-lembut sikit, sejuk telinga ni dengar.”

“Dengan orang sengal macam kau mana boleh cakap lembut-lembut!” Aifa mencebik, malas dia melayan Hakimi. Perhatiannya tertumpu pada kereta di hadapan. Biarpun dia tidak memandu, tetapi dia sahaja menumpukan anak matanya di arah hadapan, dia takut anak matanya itu kembali nakal memandang ke arah Hakimi, tak pasal-pasal menanggung malu!

“Kalau aku sengal, kau tu apa pula?”

Aifa hanya mendiamkan diri. Soalan Hakimi dibiarkan sepi tanpa jawapan. Semakin melayan semakin menjadi-menjadi perangai Hakimi. Sudahnya dia mengambil keputusan untuk mendiamkan diri, lebih mudah begitu!

“Kau tersalah makan ubat ke? Senyap aje? Ataupun pita suara kau rosak?”

Aifa masih mendiamkan diri, tak ingin dia menambah dosa kering kerana berdebat dan bergaduh dengan lelaki itu! Tetapi diam Aifa menambahkan geram di hati Hakimi. Dia masih tidak puas mendengar suara gadis itu bertengkar dengannya.

“Memang sah pita suara kau rosak!” Hakimi menjeling sekilas reaksi Aifa, namun dia masih diam membisu. ‘Biarlah! Kita tengok siapa juara!’

“Kau nak ke mana ni?” Aifa kalut apabila Hakimi tidak membelokkan kereta ke arah jalan yang menuju pulang ke pejabat mereka.

“Ada pun suara, aku ingatkan peti suara dah rosak.” Hakimi tersenyum sinis.

“Kau nak bawa aku ke mana ni? Kau jangan main-main dengan aku.” Aifa bersuara seakan-akan mengugut. Takut juga dia andai di apa-apakan. Sudahlah dia baru sahaja mengenali Hakimi. Hatinya kian cuak apabila Hakimi sekadar tersenyum.

“Kenapa kau tak jawab? Peti suara kau pun rosak ke?” Aifa bertanya, suaranya semakin meninggi. Malah, tanpa sedar dia seakan-akan menjerit. Hakimi terus sahaja ketawa apabila melihat reaksi gelabah Aifa.

“Aku ada tali pinggang hitam dalam taekwondo. Kau jangan main-main,tak pasal-pasal kau hilang nyawa nanti!” Aifa memberanikan diri.

“Tahu pun nak bersuara! Adalah aku nak bawa kau ke suatu tempat, mesti kau suka. Kita berdua aje di sana.” Hakimi bersuara sedikit romantis, sengaja dia ingin menyakat gadis itu, gadis yang berpura-pura berani sedangkan hampeh!

“Aku tak nak ikutlah, kau turunkan aku sekarang! Aku balik naik teksi! Kau turunkan aku sekarang juga! I mean now!”

Hakimi masih meneruskan pemanduannya, permintaan Aifa tidak dihiraukan. Aifa semakin geram melihat reaksi Hakimi yang bersahaja itu, bagai orang tidak bersalah sahaja! Aifa cuak juga memikirkan keadaan ini, cuma dia dan Hakimi. Tambahan pula dia sudah banyak kali mencari gaduh dengan Hakimi.

“Hakimi, tolonglah! I beg you Kimi!” Suara Aifa semakin berubah nadanya, sudah hampir menangis!

“Kau ni kenapa? Gila ke tak pasal-pasal aje nak merayu kat aku? Aku bukannya nak buat apa pun pada kau! Kau ingat aku ni jahat sangat ke? Kau jangan risaulah, aku jamin kau selamat dengan aku! Perangai gengster tapi pengecut juga!” Hakimi tertawa kerana dapat mengenakan Aifa. Tawanya itu benar-benar membuatkan hati Aifa semakin panas.

Aifa menarik muka masam, dia bersandar sambil berpeluk tubuh. Volume radio dikuatkan, dia lebih suka mendengar muzik daripada mendengar Hakimi membebel! Lagu ‘Gadis Melayu’ dendangan Jamal Abdillah mencuri tumpuannya. Hakimi turut sama menyanyikan lagi itu. ‘Hakimi memang gemar menyanyi!’ Rumus Aifa di dalam hati. Kala dia memandang sekilas wajah tampan lelaki itu, fikirannya kembali memutarkan peristiwa malam dia bergaduh hebat dengan Hakimi sehingga lelaki itu ‘dimandikan.’

“Kau ingat lagi lagu ni?” Hakimi mematikan lamunan Aifa, peristiwa malam ni bertempiaran lari dari mindanya.

“Kenapa dengan lagu ni?” Aifa bertanya polos. Mindanya sudah tidak dapat berfikir, entahlah! Ada kalanya Hakimi membuatkan hatinya sakit dan ada kalanya Hakimi mencuri tumpuannya. Errr…

“Malam tu, kau tak ingat ke? Malam tu aku..”

“Okey, full stop! Aku tak nak dengar apa-apa lagi.” Potong Aifa, dia sudah tahu Hakimi ingin mengungkit peristiwa peperangan mereka pada malam itu. Jadi, lebih baik dia meminta Hakimi diam daripada mereka kembali bertelagah mengenai detik pertemuan ‘terindah’ mereka itu!

Previous: bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.