Home Novel Komedi/Romantik Komedi Aku Alergik Cinta
Aku Alergik Cinta
Ilyana Hani
12/11/2012 22:50:11
200,131
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
bab 2
PENAT Aizam berjalan menemani Aifa. Adiknya itu kalau sudah mula membeli-belah bukannya satu kedai dijelajah, sepuluh kedai pun belum tentu dapat memuaskan hatinya. Masuk kedai pertama, tidak minat! Katanya baju terlalu ikut bentuk badan. Masuk kedai kedua, masih sama, tidak minat! Katanya baju terlalu banyak labuci. Masuk kedai ketiga, tidak minat juga! Katanya warna baju terlalu terang. Masuk kedai keempat, masih sama tidak berminat! Jika tadi baju terlalu terang, sekarang alasannya baju terlalu pudar.

Aduh, dia sendiri tidak tahu cita rasa Aifa. Susah benar mahu mencari baju yang menepati cita rasi gadis itu. Lebih baik dia mengambil kursus menjahit baju dan dia dapat menghasilkan sendiri baju yang diminatinya.

“Lambat lagi ke? Lepas ni Aifa beli baju hujanlah. Senang sikit! Tak payah guna payung. Ataupun, Aifa beli baju tidur pergi kerja. Balik aje dari kerja terus tidur, bangun aje tidur boleh terus pergi kerja. Tak payah nak beli baju banyak-banyak.”

Jelingan tajam yang dihadiahkan Aifa tidak dipedulikan. Perkara yang lebih penting sekarang, kakinya sudah kebas. Sudahlah Aifa berseronok membeli-belah, barang-barang yang dibeli dia juga kena pegang. Nasib menjadi seorang lelaki, andai dibiarkan Aifa memegang sendiri barangnya, dicop lelaki tidak gentelmankatanya. Mulut manusia, bukannya boleh ditutup.

“Kalau abang bosan, tinggalkan aje Aifa di sini. Nanti pandai-pandailah Aifa balik sendiri naik teksi.” Ujarnya tanpa memandang sekilas pun pada Aizam. Tumpuannya hanyalah pada baju yang menarik perhatiannya.

Aizam mencebik. Bolehlah adiknya bersuara begitu, kerana ibu dan ayah sudah memberi amanah untuk dia menemani Aifa membeli-belah hari ini. Kenapalah dalam banyak-banyak perkara yang boleh dibuat, ibu dan ayah meminta dia menemani Aifa membeli belah. Dia lebih rela mop lantai keliling pusat beli-belah daripada menyuruh menemani Aifa. Sama sahaja penatnya. Jika dia mop lantai, dia masih perlu mengelilingi pusat beli-belah hanya sekali. Tetapi jika menemani Aifa, dia perlu mengelilingi lebih daripada sekali.

Hati Aifa bukan boleh diduga, andai hatinya kembali tertarik kepada baju yang dia lihat di kedai sebelumnya, dia akan mencari kembali kedai itu dan membeli baju berkenaan. Waimanya, berpusing-pusing kiri, kanan, atas dan bawah pun dia sanggup asalkan dia dapat membeli baju itu. Sudah betul kalau membeli-belah dengan gadis bernama Aifa!

“Mengumpat dalam hatilah tu!” Aifa menyergah dari belakang.

“Dah tu, shoppingmengalahkan anak jutawan. Kita keluar rumah pukul 2 tadi tau, sekarang dah hampir pukul 5. Asar pun belum lagi ni. Jom pergi solat dulu, lepas tu kalau Aifa nak sambung shopping sampai subuh pun ikutlah. Tapi jangan lupa, solat maghrib dan isyak dulu.”

“Over!” Hanya sepatah dia membidas sebelum berjalan meninggalkan lelaki yang masih elok duduk di kerusi. Jeritan kecil Aizam yang memanggil namanya tidak dipedulikan, biarkan lelaki itu penat mengejarnya. Padan muka!

“Kebas kaki ni kalau ikut Aifa shopping.Lain kali, lebih baik shopping onlieaje. Badan pun tak penat, kaki tak letih, jiwa tak terseksa. Betullah orang cakap, kalau perempuan shoppingmemang susah nak duga.” Mulutnya masih tidak berhenti membebel apabila dia berjaya menyaingi langkah Aifa.

“Jom solat.” Dia kembali bersuara apabila Aifa masih diam memandang kiri dan kanan, mencari kedai seterusnya.

“Abang solat, Aifa nak sambung jalan-jalan tengok baju.”

“Solatlah dulu, baju tu lepas solat boleh tengok.”

“Aifa cuti, abang pergilah surau dulu. Nanti dah habis solat abang telefon Aifa kita catch updekat mana-mana, okey?” Langkahnya kembali diatur laju meninggalkan Aizam, baru tiga tapak melangkah dia kembali menoleh ke belakang. “Barang-barang Aifa tu abang pegang dulu, abang seorang yang gentlemankan, tolonglah pegangkan. Bye!

Aizam merungut sendirian, inilah yang membuatkan dia malas mahu menemani Aifamembeli-belah. Sukar benar mahu penuhi keinginannya dan ini merupakan kelemahan kedua Aifa. “Nasib badan!” Dia bersuara sendiri sebelum mengatur langkah ke surau.

AIZAM meletakkan barang-barang di kerusi sebelum dia duduk berhadapan Aifa. Makanan di atas meja dipandang dengan senyuman, ini adalah kelebihan Aifa. Adiknya itu tahu benar cara mengambil hatinya, makanan kegemarannya sudah siap berada di atas meja.

“Terima kasih sebab teman Aifa petang ni. Sayang abang!” Ucapnya ikhlas.

“Waktu sekarang baru nak sayang abangkan? Kalau tak asyik cari gaduh.”

“Gaduh-gaduh sayang tu perlu supaya kita jadi lebih mesra.” Matanya dikenyitkan nakal. Dia tahu, jauh disudut hati Aizam benar-benar menyayanginya. Cuma, biasalah bebelan kecil letih menemaninya membeli-belah itu selalu didengarnya. Kerana itulah ibu dan ayah jarang benar mahu menemaninya membeli-belah.

“Aifa, dah tahu ke belum esok ada orang baru nak masuk rumah Syafiq?” Aizam bersuara memecah suasana.

Wajah Aifa dipandang apabila tiada jawapan balas didengar, gadis itu sekadar menggelengkan kepala sambil menutup mulutnya dengan tisu. Ya, itulah didikan yang sering diterapkan oleh ibu dan ayah mereka. Jangan bercakap ketika makanan penuh berada di dalam mulut, tidak elok katanya.

“Fiq nak kahwin ke?” Soal Aifa teruja setelah mulutnya kembali kosong.

“Agak-agaklah kalau nak tanya soalan.” Aizam melepaskan tawa menampakkan barisan giginya. Kelakar benar soalan Aifa.

“Apa yang lawaknya?” Aifa kembali bengang, betullah soalan yang ditanya!

“Tak logik betul! Esok dah masuk orang baru, tiba-tiba tanya Fiq nak kahwin ke? Tak mungkin dia kahwin dalam masa sehari aje, tak jemput kita pula tu!” Tawa Aizam masih bersisa.

Aifa mencebik bibir, menyampah dia dengar tawa yang masih bersisa itu. “Siapa tahu kalau tiba-tiba Fiq kahwin tak jemput kita.” Dia masih mahu mempertahankan kata-katanya.

“Fiq tu kekasih pun tak ada, nak kahwin apanya?” Aizam kembali membidas.

“Siapa tahu kalau mak ayah dia carikan calon? Sekarang ni pun masih ada orang kahwin dengan calon pilihan mak ayah, bahagia sampai ke akhir hayat.” Bidasnya, masih tidak mahu mengalah. ‘Ini Aifa! Pantang menyerah! Juara petah bicara sewaktu zaman tadika!’

“Kalau macam tu bolehlah abang suruh ibu dengan ayah carikan jodoh untuk Aifa, boleh kahwin dan insya-Allah bahagia sampai ke akhir hayat.”

Cadangannya disambut oleh jelingan tajam Aifa. Alamak, dia tersalah cakap lagi! Pantang betul andai adik gadisnya itu diutarakan topik seperti ini. Entah bila prinsip Aifa akan berubah?

“Nak sambung kes pagi tadi ke?” Sinis soalan yang ditanya. Kalau lelaki di hadapannya ini mahu meneruskan gelanggang perdebatan, dia sanggup!

“Abang mengalah!” Kedua-dua tangannya diangkat. Lemah benar dia dengan isu ini.

“Abang, nampak tak kedai buku dekat tingkat atas tadi?”

“Tak payah buat soalan poyo, cakap ajelah nak abang temankan beli novel baru. Jom! Lepas ni cakap tu biar terang, tak payah nak belok-belok. Abang dah kenal Aifa luar dan dalam. Cakap belok kiri kanan pun abang faham maksud dia.”

Aifa tersengih sebelum menghadiahkan senyuman paling manis. Oh, inilah abang terbaik di dunia! Sudah arif benar dia dengan niat adiknya. Aifa bangun saat melihat Aizam sudah mula menapak keluar daripada ruangan makan pusat beli-belah berkenaan.

Baru sahaja dia mahu mengatur langkah, tubuhnya dilanggar dari belakang dan serentak itu dia merasakan tubuhnya sejuk disiram air.

“Maaf, saya tak sengajar. Cik okey ke?” Suara lelaki memohon maaf jelas kedengaran di telinganya.” Aifa pantas berpusing ke belakang, sakit hatinya saat merasakan sejuk air ais masih bersisa di tubuhnya. Habis baju putih bercorak bunga kecil bertukar menjadi tompok-tompok perang. Nampkanya petang ini dia dimandikan dengan air teh ais!

“Maaf kau kata? Kau buta ke apa? Tak nampak aku nak jalan tadi?” Mencerlang biji matanya memandang lelaki yang memandikannya tadi.

“Maaf, saya betul-betul tak sengaja. Cik jalan mengejut tadi sebab itulah saya terlanggar. Maaf lagi sekali.” Tisu yang kebetulan berada di tangan, digunakan untuk mengesat baju gadis di hadapannya.

“Kau dah kenapa? Ambil kesempatan nak raba badan aku?” Suara Aifa kembali menyinga. Tidak dipedulikan orang sekeliling yang memandang pelik ke arahnya. Aizam yang melihat adegan sebabak itu terus berpatah balik mendapatkan adiknya. Aifa ini tidak boleh dibiarkan berseorangan dengan lelaki, nanti habis semua lelaki akan dibuat musuh. Apatah lagi dengan lelaki yang mula mencipta sejarah buruk pada kali pertama bertemu seperti ini.

“Saya cuma nak kesat air, itu aje. Tak adanya saya nak ambil kesempatan.” Lelaki tu membela diri. Gadis di hadapannya dipandang dengan riak terkejut. Masih wujud golongan garang seperti ini! Hanya kerana tertumpahkan air, garangnya bagaikan ibu singa yang mengamuk kerana anaknya diganggu.

“Maaf, encik! Kami pergi dulu. Maafkan adik saya lagi sekali.” Tangan Aifa ditarik agar mengikutinya. Semakin lama dia membiarkan Aifa di situ, semakin teruk adegan sebabak itu akan berlangsung. Cukuplah Aifa menjadi pelakon tak berbayar di situ tadi.

Lelaki itu sekadar memandang gadis singa tadi ditarik oleh abangnya. Secara tiba-tiba dia merasakan hatinya berdebar laju. Mungkin berdebar kerana malu apabila melakonkan adegan sebabak tadi.

Gadis singa, wajahnya manis dan cantik dipandang. Tetapi perangai bengisnya itu menyesakkan jiwa. ‘Ah, biarlah!’ Lelaki itu meninggalkan cawan teh ais yang masih berbaki separuh sebelum berjalan meninggalkan ruangan makan tersebut.

Previous: bab 1
Next: bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.