Home Novel Komedi/Romantik Komedi Aku Alergik Cinta
Aku Alergik Cinta
Ilyana Hani
12/11/2012 22:50:11
200,050
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
bab 10
AIFA menyarung kasut di kaki kanannya sebelum beralih ke kaki kiri. Dia pantas menghayun langkah ke arah kereta miliknya. Dihidupkan enjin dan dibiarkan seketika.

Aifa tersentak apabila Aizam mengetuk cermin keretanya. Aifa menekan suis cermin kereta di sebelah pemandu.

“Kenapa abang?”

“Tayar kereta Aifa pancit di bahagian belakang.”

“Aduh, lambatlah hari ni!” Aifa mengeluh. Baru hari kedua bekerja dia bakal mencipta rekod buruk.

“Nak buat apa ni abang?” Aifa buntu.

“Hospital abang dengan tempat kerja Aifa lain arah, kalau tak boleh abang hantarkan.” Aizam melihat jam di lengan kanannya. Dia hampir sahaja terlewat.

“Ayah ada janji temu dengan doktor, kalau tak boleh guna kereta ayah. Kalau nak ganti tayar kereta pun rasanya tak sempat. Lambatlah Aifa kalau macam ni!” Aifa mengeluh lagi. Dia sudah buntu.

Saat terpandang Hakimi yang sedang mengatur langkah ke kereta miliknya, Aizam sudah mendapat satu idea.

“Kimi, nak minta tolong sikit boleh tak?” Aizam cuba meminta bantuan jirannya. Hakimi dan Aifa adalah rakan sepejabat, jadi pasti sahaja Aifa boleh menumpang kereta Hakimi untuk ke pejabat.

“Tolong apa? Kalau aku boleh tolong aku cuba.”

“Tolong tumpangkan Aifa ke pejabat boleh tak? Tayar kereta Aifa pancit. Aku lain arah kalau nak hantarkan.”

Buntang mata Aifa saat mendengar permintaan abangnya itu. ‘Aduh, mahunya bercakaran dalam kereta tu nanti!’ Aifa menjegilkan mata pada abangnya, menghantar isyarat agar Aizam tidak meneruskan kata-katanya.

“Boleh aje. Hidup berjiran tak salah saling membantu.” Jawapan Hakimi hampir sahaja membuatkan Aifa pitam. Aduh, habislah aku!

“Terima kasih banyak Kimi. Aku pun dah lewat ni.. Aku pergi dulu ya, Aifa balik nanti kalau tak siapa ambil telefon abang.” Hakimi memberitahu Aifa sebelum cepat sahaja diayun langkahnya ke kereta. Dia harus cepat, hampir-hampir sahaja dia lewat. Aifa melambai-lambaikan tangan kepada abangnya. ‘Aduh, bala apa lagi ni! Pagi-pagi dah kena dengan dia!’ Hati Aifa mengaduh, tidak puas hati.

“Kau tunggu apa lagi? Nak tunggu malam baru nak pergi pejabat ke? Ataupun kau nak suruh aku dukung kau masuk dalam kereta?”

“Aku nak pergi naik teksi. Terima kasih banyak-banyak!” Aifa pantas mengambil barang-barangnya di belakang kereta. Dikunci kembali keretanya. Dia mengambil telefon bimbit lantas menelefon teksi.

Aifa mendengus marah selepas mematikan talian telefon bimbitnya.

“Kalau teksi pukul 9 baru boleh datang lebih baik aku jalan kaki!” Aifa mengomel sendirian. Hakimi sudah ketawa mendengar omelan Aifa itu, orang ajak naik kereta sekali sombong!

“Aku pergi dululah!” Hakimi berjalan ke keretanya, sengaja menghangatkan hati Aifa.

“Tunggu akulah! Aku nak pergi sekali dengan kau!” Aifa berjalan laju mendapatkan Hakimi, selepas menutup pintu pagar rumahnya, pantas sahaja dia memboloskan diri ke dalam kereta Hakimi.

“Cakap nak jalan kaki tadi?” Hakimi berkata acuh tak acuh sambil memakai tali pinggang keledar. Berdesing telinga Aifa mendengarnya, pintu kereta yang kebetulan belum ditutup terus sahaja ditarik dan dihempas kuat.

“Hoi, kau nak robohkan pintu kereta aku ke? Nanti tak pasal-pasal kau kena ganti pintu kereta aku pula! Anyway, thanks sayang sebab gantikan buku motivasi abang semalam.” Hakimi tersenyum kambing, sengaja dia menyakitkan hati Aifa dengan membahasakan dirinya sebagai abang dan sayang.

Aifa membuat aksi seolah-olah sedang termuntah.

“Pakai tali pinggang keledar tu dulu. Nanti kena saman kau nak bayar ke?”

“Yalah! Cepat jalan!” Aifa sudah malas mahu bertengkar, semakin melayan semakin menjadi-jadi mamat sengal ini. Mahunya mereka lambat ke tempat kerja andai terus bertengkar seperti ini.

HAKIMI dan Aifa melangkah masuk ke dalam pejabat mereka. Ada sahaja mata yang memerhati mereka keluar daripada kereta yang sama pagi tadi. Pasti selepas ini ada sahaja gosip yang melanda! Baru sehari bekerja sudah datang bersama-sama! Aduh!

“Amboi, awal datang pagi ni! Datang berdua pula tu. Ada apa-apa ke? Akak dah cakap mesti melekat punyalah Aifa dengan Hakimi! Tengok tu, baju pun sedondon!” Amira menegur mereka. Belum sempat mereka meletak barang di tempat, sudah ditegur dan digosipkan.

Mendengar perkataan ‘sedondon’ membuatkan Aifa dan Hakimi secara srentak memandang pakaian mereka! Hakimi mengenakan kemeja biru laut manakala Aifa pula memakai blaus biru laut. ‘Macam mana boleh sama ni?’ Hati Aifa berbisik gusar. Pasti sahaja selepas ini gosipnya dan Hakimi kian menjadi-jadi!

“Kebetulan aje kak. Kami tak rancang pun, betul tak Kimi?” Aifa bermanis muka. Hakimi hanya mengangguk. Dia hampir sahaja ketawa melihat riak cuak yang terpamer di wajah gadis itu.

“Habis tu macam mana boleh datang sekali? Takkan Aifa callsuruh Hakimi jemput di rumah?” Bagai penyiasat profesional sahaja Amira bertanya.

“Tayar kereta Aifa pancit tadi, jadi aku tumpangkan dia. Aifa jiran sebelah rumah aku.” Hakimi menghuraikan persoalan yang bermain di minda Amira, dia juga enggan andai rakan sepejabatnya berfikir yang bukan-bukan.

“Macam tak percaya aje? Tak pernah pun Aifa cerita yang dia jiran dengan kau. Lagipun rumah kau di Nilai bukan? Rumah Aifa di Bangi, macam mana pula boleh berjiran? Pelik ni?”

“Mira, aku rasa lebih baik kau letak jawatan lepas tu kau pergi apply untuk jawatan wartawan, mesti dapat.” Hakimi menghantar ‘bom’ untuk rakan sepejabatnya itu. Amira hanya tersengih.

“Soalan aku tak jawab lagi tapi kau dah hantar bom pada aku ya?” Amira membalas.

“Kau ni kahwin pun belum tapi nyanyuk mengalahkan nenek! Aku pernah bagi tahu dulu aku dah pindah rumah supaya dekat sikit dengan pejabat. Kau tak ingat ke?”

Amira termenung seketika, berkerut-kerut dahinya cuba mengingati kembali perkara yang pernah Hakimi beritahu padanya.

“Aku dah ingat. Rupa-rupanya kau pindah ke sebelah rumah Aifa. Wah, baguslah! Selepas ini kalau kau orang dah kahwin Aifa pindah masuk rumah sebelah ajelah. Tak perlu nak sewa lori bawa barangkan? Dekat aje rumah Aifa dengan rumah kau.” Terjongket kening Amira, gemar benar dia mengusik Aifa dan Hakimi.

“Akak ni ke situ pula. Sudahlah dah dekat pukul 9 ni, Aifa nak mula kerja ni!” Aifa beralasan.

“Aku pun nak mula kerja. Kau ni pula Mira jangan asyik bergosip aje. Aifa pukul 12 nanti ikut aku pergi Seremban, melawat satu lagi tapak projek. Tapi projek tu dah hampir siap.” Hakimi mengingatkan Aifa.

Okey.” Aifa membalas sepatah. Baru hari kedua bekerja dia sudah digosipkan. Ah, bengang betul! Digosipkan dengan Hakimi pula tu!

Previous: bab 9
Next: bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.