Home Novel Komedi/Romantik Komedi Aku Alergik Cinta
Aku Alergik Cinta
Ilyana Hani
12/11/2012 22:50:11
200,033
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
bab 3
AIFA mencapai tuala yang tergantung di belakang pintu. Selepas bangun tidur tadi, dia terus melangkah ke bilik air, kedinginan pagi membuatkan dia terketar-ketar menahan sejuk. Dia mengemaskan ikatan bathrope yang dipakainya. Mukanya dibelek pada cermin, tiada sebiji jerawat pun yang ‘menumpang’ di wajahnya. Dia tersenyum puas.

Aifa berjalan turun ke dapur setelah dia mengenakan penyegar dan krim siang pada wajahnya. Dia hanya memakai seluar track dan t-shirt, fikirnya dia bukan hendak ke mana-mana, sekadar di dalam rumah jadi tidak perlulah dia memakai berlebih-lebihan.

“Selamat pagi ibu?” Aifa menegur ibunya yang sedang menghidangkan sarapan pagi. Tubuh ibunya dipeluk daripada belakang. Tidak sedikit pun dia menghiraukan ayah dan abang yang menjadi penonton. Kasih sayang boleh ditunjuk di mana-mana sahaja, asalkan ikhlas. Itulah prinsip hidupnya! Kita tidak perlu berpura-pura untuk menunjukkan kemesraan.

“Zam, lepas ni tolong ibu tukar bateri jam tu. Rosak agaknya!” Puan Anisa menjuihkan bibir ke arah jam dinding yang berada berdekatan dengan ruang makan.

Dahi Azam berkerut seribu, rasanya betullah jam itu. “Sekarang pukul 7.30, betullah ibu.” Dia mempertahankan pendapatnya.

“Baru 7.30 ke? Ibu ingatkan dah pukul 10.30 sebab selalunya anak dara ibu ni bangun 10.30.” Selamba Puan Anisa membidas sebelum dia melihat raut wajah mencuka Aifa yang sedang duduk bersebelahan kerusinya.

“Ibu dah mula ceramahlah tu. Tak apalah ibu, pakar motivasi pun ada waktu rehat tau! Bukannya bekerja 24 jam sehari, tujuh hari seminggu. Hari ini kalau boleh ibu rehat dulu daripada berceramah, boleh tak?” Aifa bersuara nakal. Sengaja mahu mengalihkan perhatian ibunya, andai nasibnya baik ibu tidak akan meneruskan ceramah. Tetapi jika nasibnya kurang baik, ceramah ibu akan bertambah dua kali ganda.

“Ada aje idea nak ubah topikkan?”

Aifa sekadar tersenyum, bagus kita senyum di waktu pagi begini. Murah rezeki katanya.

“Selepas ni, Aifa janji yang Aifa akan bangun awal. Mulai esok, Aifa akan cuba bangun awal. Lagipun Aifa dah nak kerja dua minggu lagi, Aifa kenalah belajar bangun awalkan?” Dia membela diri. Sebenarnya dia bukanlah jenis anak gadis yang gemar bangun lewat, tetapi memandangkan sewaktu belajar dahulu kerap sahaja dia tidur pada jam dua atau tiga pagi. Jadi, sekarang dia sekadar membalas dendam. Tidur bagi puas!

“Dengar boleh, percaya jangan!” Aizam bersuara tanpa mempedulikan renungan tajam Aifa. Kalau di hadapan ibu dan ayah, rasanya adiknya itu tidak berani untuk bertegang urat. Sudahnya nanti, diri sendiri yang akan terkena.

“Sudahlah tu, tak elok bertekak depan rezeki. Jom makan.” Puan Anisa menasihati.

“Anak teruna ibu ni bila nak kahwin? Sampai bila nak membujang?” Puan Anisa mengeluarkan soalan ‘cepu mas’ setelah dia menjamah sedikit nasi lemak berlauk sambal sotong.

“Tak ada calon lagilah ibu.”

“Tak ada calon? Habis Doktor Mazliana tu siapa?” Aifa memasang jerat. Sengaja ingin mengenakan abangnya. Dia suka melihat wajah abangnya yang merona merah apabila diusik mengenai Mazliana. Malunya itu mengalahkan perempuan!

Aizam sudah tersedak. ‘Ada-ada aje adik aku ini.’

‘Cepuk kang! Diamlah!’ Aizam memberi amaran melalui lirikan matanya. Sengaja dijegilkan matanya kepada Aifa. Itukan rahsia mereka. Melampau betul!

“Doktor Mazliana? Doktor juga rupanya, Alhamdulillah tak lama lagi ibu dapat menantu.” Puan Anisa tersenyum. Encik Ariff perasan drama yang berlaku antara anak-anaknya. Bagai ada sesuatu yang disembunyikan mereka. Anak-anaknya sememangnya rapat, rahsia antara mereka sememangnya disimpan kemas sehinggakan dia sendiri tidak tahu yang kedua-dua anaknya pernah menjalinkan ‘cinta monyet’ sewaktu di sekolah dahulu. Rahsia mereka terbongkar apabila Encik Ariff secara tidak sengaja terdengar perbualan antara kedua-dua anaknya di dalam bilik Aifa

“Doktor Mazliana tu kerja di… Aduh!” Belum sempat Aifa membocorkan rahsia, kakinya sudah dipijak. ‘Teruklah abang ni! Kalau nak bagi amaran sekali pun, janganlah pijak kaki!’ Hatinya membebel.

‘Rasakan! Sedap tak?’ Aizam menghantarkan senyuman mengejek kepada adiknya. Geram kerana rahsianya sudah terbongkar.

“Kenapa Aifa?”Encik Ariff bertanya. Di fikirannya sudah dapat mengagak alasan anaknya mengaduh. Pasti drama antara Aizam dan Aifa akan bermula sebentar lagi, dalam kiraan satu, dua dan tiga, maka drama mereka akan bermula. Sekarang, satu, dua dan tiga!

“Semut gigit.” Aizam menjawab mewakili adiknya.

Nah! Drama sudah bermula.

“Kuat juga semut ni, sampai bergegar meja. Semut gergasi ke?” Encik Ariff menjawab sambil matanya memandang kedua-dua anaknya silih berganti.

Aifa mengangkat ibu jarinya membuat aksi ‘padan muka’. Aizam pula berpura-pura tidak melihat gelagat adiknya.

“Aifa, lepas ini tolong abang basuh kereta boleh tak? Upah untuk kelmarin, letih tau teman Aifa.” Topik perbualan sengaja diubah. Andai dia melayan Aifa, pasti sahaja rahsianya akan terbongkar sepenuhnya.

“Minta tolong basuh aje? Bagilah upah sikit. Kedekutlah abang ini.”

“Upah abang teman Aifa kelmarin bila nak bayar? Kebas kaki sampai sekarang tak hilang tau! Aifa nak tolong picitkan?”

“Kalau Aifa tak picit, tapi Aifa pijak sampai patah!” Aifa tersengih nakal. Padan muka! Aifa ketawa kerana dapat mengenakan abangnya. Puan Anisa dan Encik Ariff hanya menjadi pemerhati peperangan manja dua beradik ini. Mereka amat memahami Aizam, di mulut sahaja dia mengusik adiknya,tetapi hakikatnya dia benar-benar sayangkan adik tunggalnya itu. Mulut kerapa merungut kebas kaki menemani adiknya membeli-belah, tetapi hakikatnya setiap kali Aifa ingin membeli-belah dia tidak pernah mengizinkan adiknya itu pergi berseorangan di bandar seperti ini.

Malahan, sewaktu Aifa belajar dahulu setiap bulan dia akan mengirimkan wang untuk adiknya walaupun dia mengetahui adiknya mendapat pinjaman PTPTN dan ayahnya juga sudah mengirimkan wang buat Aifa. Namun, dia merasakan Aifa adalah tanggungjawabnya juga, Aifalah satu-satunya adik yang dia punya, Aifalah racun dan dia juga penawarnya.

“Bila ibu sebut pasal kahwin aje, pandai Aizam alihkan topik.” Puan Anisa menghantar ‘bom’ kepada Aizam. Dia sudah tahu cara Aizam untuk menyelamatkan diri apabila ditanya mengenai kahwin.

“Abang, lepas makan kita basuk kereta abang tau.” Aifa menyelamatkan Aizam, kasihan pula melihat abangnya diajukan soalan bertubi-tubi oleh ibu. Aizam mengenyitkan mata kepada Aifa menghantar ucapan terima kasih kerana menyelamatkannya daripada perangkap ibunya.

Puan Anisa tersenyum melihat gelagat anak-anaknya. Inilah Aizam dan Aifa, ada kalanya mereka saling mengenakan, ada kalanya mereka saling menyelamatkan. Namun, jauh di sudut hatinya, dia bersyukur kerana dikurniakan anak-anak yang saling menghargai dan menyayangi.

PAIP getah ditarik agar sampai untuk menyembur kereta, Aifa memperlahankan sedikit aliran air yang keluar, membazir rasanya apabila dia membuka secara kuat seperti itu. Aizam pula memandikan Vios kesayangannya dengan sabun, biar kembali bersinar.

“Abang tak keluar dengan Doktor Mazliana ke?” Aifa memulakan perbualan, bosan juga apabila melakukan kerja tanpa rakan yang boleh diajak berbual. Rahsia mengenai Doktor Mazliana atau Kak Maz itu sudah lama disimpannya. Ibu dan ayah memang mengenali rakan wanita abangnya itu, tetapi sekadar mengenali sebagai rakan dan bukannya teman istimewa. Malah mereka sendiri belum pernah berhadapan dengan Mazliana, sekadar pernah mengenali nama sahaja. Rasanya baru beberapa bulan ini hubungan abangnya dan Kak Maz menjadi serius.

Perkataan Doktor Mazliana membuatkan Aizam tersedar. “Kenapa bocorkan rahsia abang pada ibu? Sengaja nak kenakan abang?” Aizam bercekak pinggang di hadapan adiknya. Selama ini Aifa tidak pernah membongkar rahsia, entah kenapa kali ini mulutnya itu lancang sahaja menyebut nama Doktor Mazliana.

“Benda baik untuk apa nak disorokkan. Nanti kalau ibu carikan calon isteri untuk abang, baru abang nak menangis tak berlagu sewaktu itu.” Aifa ketawa kerana dapat mengenakan abangnya. Aizam geram mendengar jawapan itu. Saat matanya terpandang paip getah di lantai, fikirannya sudah merencanakan suatu idea nakal. Paip getah itu diangkat lalu perlahan-lahan dia berjalan menghampiri Aifa yang sedang khusyuk memberus tayar. Pelannya berjalan lancar kerana Aifa tidak sedar dia berdiri di belakangnya. Perlahan-lahan paip getah itu diangkat.

“Nak kenakan abang ya? Nah ambil ni!” Pantas sahaja tangan Aizam menyembur air ke arah adiknya. Hampir separuh lencun Aifa apabila dia sama sekali tidak menduga Aizam akan menyerangnya sewaktu itu. Aizam terus-menerus menyembur adiknya apabila dia melihat adiknya itu tergamam. Ketawa nakalnya meletus, puas hatinya melihat Aifa lencun!

“Main kasar ya?” Aifa cuba merampas paip getah yang berada di tangan Aizam. Kerana bergelut, ada sahaja antara mereka yang menyembur paip getah itu, sudahnya habis kedua-dua lencun.

Puan Anisa yang keluar hendak melihat anak-anaknya terus sahaja beristighfar panjang.

“Macam budak-budak.” Puan Anisa berjalan ke kepala paip lantas menutup aliran air. Aifa dan Aizam yang sudah kehilangan punca air pantas sahaja mengejar sesama sendiri. Geram kerana ‘dimandikan!’

“Abang yang mulakan dulu. Habis Aifa basah.” Aifa tidak puas hati.

“Aifa yang bocorkan rahsia kepada ibu, inilah balasannya.”

“Abang jahat! Mana aci abang basah sikit aje, Aifa dah lencun.”

“Abang! Berhentilah, penat Aifa nak kejar, sudahlah abang basahkan Aifa sampai lencun.”Aifa menjerit, tidak puas hati. Puan Anisa menarik anak lelakinya yang sedang berlari mengelilingi kereta, dipegang kuat lengan anak lelakinya itu.

“Ibu pegang abang , jangan sampai terlepas.”Aifa tersenyum, cepat sahaja dia menyusun langkah mendapatkan ibu dan abangnya.

“Macam budak-budak! Habis basah baju. Selagi tak kering baju jangan masuk rumah.” Puan Anisa melepaskan anak-anaknya. Dia berjalan masuk ke dalam rumah.

“Ibu yang baik, ibu yang cantik, tolonglah ambilkan tuala.” Aifa membodek ibunya.

“Maaf, tidak diterima.” Sengaja Puan Anisa ingin denda anak-anaknya bagai anak kecil. Mulut Aifa sudah muncung sedepa. Dia memandang ibunya masuk ke dalam rumah sehingga kelibat ibunya hilang dari pandangan. Aifa berpusing untuk mendapatkan abangnya.

Burrrrrr!!! Pancutan air kembali mengenanya. Aizam ketawa kemenangan. Alang-alang basah, biar sampai lencun! Hidung Aifa sudah kembang kempis menahan marah, geram dengan pelan abangnya yang tidak dijangka itu. Dia fikir Aizam akan berhenti bermain air tapi tidak!

“Abang!!!” Aifa menjerit. Aizam terus menyembur Aifa, biar terbalas dendamnya pagi tadi.

“Budak-budak berdua ni tak habis lagi. Sudah, masuk rumah. Nanti ibu ambilkan tuala.” Puan Anisa menggeleng kepala, pening dibuatnya melihat perangai kebudak-budakan Aifa dan Aizam. Sangkanya apabila didenda berada di luar sehingga kering, mereka akan berubah tetapi tidak, mereka semakin ‘membasahkan’ diri.

Aifa merampas geram paip getah yang berada dalam genggaman Aizam lalu disemburkan tepat ke arah abangnya.

“Kena juga.” Aifa ketawa besar, puas hatinya, secepat mungkin dia berjalan untuk menutup kembali pili air. Aizam terasa ingin mencekik adiknya, sengaja tangannya mencekik angin memberi amaran kepada Aifa.

“Tak sakit pun.” Cepat sahaja dia berjalan ke hadapan pintu rumah agar drama air mereka tidak berterusan. Bukan boleh diharap sangat abangnya itu.

Puan Anisa datang membawa dua helai tuala. Serentak Aifa dan Aizam membalut badan mereka setelah tuala bertukar tangan.

“Lepas ini masuk dalam pergi mandi. Lepas mandi Aifa tolong ibu masak.”

Puan Anisa melihat kedua-dua anak ‘kecilnya’ masuk ke dalam rumah. Andai mereka berdua ada di rumah, memang kecoh rumah dibuatnya. Tetapi dia gembira melihat telatah dua beradik itu yang jelas kelihatan kemesraan mereka. Doanya agar kemesraan dan kasih sayang itu berkekalan sehingga ke akhir usia.

Saat itu dia terpandang sebuah lori tiba di hadapan rumah jirannya. ‘Pasti rakan serumah Syafiq.’ Dia sudah mengetahuinya daripada Aizam kerana anaknya bercerita semalam.

LANGKAHNYA di susun mendekati kereta milik Aizam sebelum dia menghidupkan enjin keretanya. Gara-gara dia dimandikan petang kelmarin, niatnya untuk membeli novel terbantut. Sudahnya dia mengajak Aizam untuk ke kedai buku hari ini. Aifa membuka beg tangannya apabila telinganya menangkap bunyi telefon bimbit menandakan dia menerima sms baru. Matanya pantas membaca sms yang dikirimkan oleh Amira.

Jemarinya pantas sahaja menari-menari di butang telefon bimbitnya untuk membalas sms yang baru sahaja dikirimkan sambil kakinya melangkah untuk ke tempat duduk di sebelah pemandu. Entah di mana silapnya, kaki Aifa tersadung pada paip getah yang digunakan untuk mencuci kereta tadi.

“Aduh!” Dia mengaduh apabila tubuhnya sudah terduduk di lantai. Telefon bimbit yang berada di tangan juga turut terlepas ke lantai. Tangannya pantas mengurut perlahan kakinya yang terasa sengal.

“Cik adik, awak okey ke tidak? Itulah lain kali kalau berjalan pandanglah ke depan bukannya tengok handphone. Tak fasal-fasal dah tangkap kura-kura.”

Aifa menangkap bunyi suara secara automatik dia memandang sekeliling cuba mencari gerangan pemilik suara itu. Matanya tertatap pada tubuh lelaki yang sedang berdiri di pagar sebelah rumahnya. Teman serumah Syafiq rupa-rupanya!

Aifa mendengus geram. Tak guna punya orang! Bukannya dia nak kasihan malah dia perli pula. “Kau perli bila tengok orang susah, lelaki jenis apalah kau ni.” Tebak Aifa seraya dia bangun dan tangannya mengibas-ngibas seluarnya yang kotor gara-gara terjatuh tadi.

“Saya bukannya perli tapi bagi nasihat. Lain kali kalau berjalan tengoklah ke depan bukannya buat kerja lain.” Tambah lelaki itu lagi.

Aifa mendengus lagi, sakit betul hatinya saat mendengar tawa lelaki itu yang masih bersisa lantas dia memalingkan tubuhnya untuk berhadapan dengan lelaki itu.

“Kau diamlah!” Aifa tergamam saat matanya bertaut dengan pemilik suara itu. Rasanya lelaki itulah yang memandikan dia dengan teh ais petang kelmarin. Nampaknya lelaki itu juga turut sama tergamam, dia dapat melihat riak wajah lelaki itu berubah.

Lelaki di hadapannya berdehem sebelum bersuara, “saya nak minta maaf tentang kelmarin.”

“Wahai Encik perasan bagus, kau jangan nak poyo sangat. Tak perlu nak minta maaf tentang kelmarin.” Aifa mencebik.

“Wahai Cik Singa, kenapa susah sangat kau nak maafkan orang?”

“Aku ada nama aku sendiri, sesedap hati aje kau panggil aku singa!” Aifa mula panas hati. Kalau dah lelaki tu, memang kerjanya mahu mencari gaduh dengan wanita.

“Habis kau ingat aku tak ada nama ke? Sesedap hati kau aje panggil aku Encik perasan bagus. By the way,nama aku Ikmal Hakimi. Kau boleh panggil aku Kimi.” Lelaki itu cuba beramah.

“Tadi poyo, sekarang nak main kenalkan diri pula. Memang sahlah kau ni sengal. Dahlah kau ketawakan orang yang jatuh, memang tak ada adab betullah mamat sengal ni.” Spontan sahaja gelaran itu terkeluar dari mulut Aifa. Puas hatinya melihat jiran yang baru sahaja dikenalinya itu sudah mula berapi.

Hakimi melangkah sehinggalah tubuhnya rapat ke pagar. Kalau diikutkan hati mahu sahaja dia membelasah wanita di hadapannya. “Kau ni harap muka aje cantik tapi perangai macam gengster. Sejak dari kelmarin lagi aku perhati perangai kau.” Tebak Hakimi.

Dia melihat gadis itu turut sama melangkah mendekatinya dan berdiri betul-betul di hadapannya. Jarak mereka hanya dipisahkan oleh pagar rumah. “Kalau aku gengster sekalipun, aku tak pernah kacau hidup kau.”

Hakimi mencebik, dia memerhatikan Aifa yang sedang berpeluk tubuh memandangnya. Dia sama sekali tidak gentar berhadapan dengan gadis ini. “Kau ni memang buat-buat beranikan? Kalau setakat orang macam kau, sikit pun aku tak takutlah. Jangan nak tunjuk garang sangatlah minah gengster.”

Buntang mata Aifa saat telinga menangkap gelaran yang diberikan oleh Hakimi. “Minah gengster? Sedap hati kau ajekan.” Dia memerhatikan Hakimi dari atas sehingga ke bawah. Biarpun susuk tubuh lelaki itu lebih besar daripadanya tetapi dia tidak pernah takut. Dia tidak akan pernah mengalah dengan lelaki, itu prinsipnya!

“Memang gengster. Sedarlah sikit kau tu pendek, badan pun kecil macam lidi. Jangan nak beranganlah nak jadi gengster. Aku rasa kalau setakat perempuan macam kau ni, layak jadi gengster kampung aje.” Hakimi bersuara mengejek, sengaja dia menambah minyak pada api kemarahan gadis yang baru dikenalinya.

Aifa mengeluarkan pewangi dalam bentuk botol dari beg tangannya lantas dihalakan betul-betul di hadapan mata Hakimi. Dia memang sentiasa membawa pewangi ke mana sahaja dia pergi. Bukan sekadar untuk disembur di badan tetapi juga boleh digunakan sewaktu kecemasan seperti jika dikacau oleh orang yang berniat mahu merompak atau merogol. Sembur sahaja di mata orang tersebut.

“Biadap betul kau ni. Kau ikutkan hati aku, nak aje aku sembur pewangi ni pada mata kau, biar buta.”

“Wohooo..” Hakimi bersuara lantas mengangkat kedua-dua tangannya ke atas sebelum bertindak menjauhi gadis di hadapannya. Risau juga andai Aifa mengambil tindakan di luar jangkaannya. Bayangkan andai gadis itu benar-benar menyembur pewangi itu ke matanya, memang tidak dapat dibayangkan kesannya nanti.

“Rupa aje macam perempuan tapi perangai gengster, aku rasa kalau kau nak kerja dengan lintah darat mesti senang-senang aje dapat” Hakimi sudah mula bengang dengan sikap Aifa, sejak kelmarin lagi gadis itu sudah menunjukkan perangai anehnya.

“Lebih baik aku gengster, sekurang-kurangnya lelaki macam kau tak berani nak dekat.” Aifa bersuara angkuh sebelum kembali memasukkan botol pewangi ke dalam beg tangannya.

“Aku nak dekat dengan kau?” Jari Hakimi dihalakan ke arah dirinya sendiri sebelum berpindah pula ke Aifa. “Memang taklah!” Dia menambah.

“Malas aku nak layan kau.” Aifa pantas melangkah meninggalkan Hakimi. Sebelum dia memboloskan dirinya ke dalam perut kereta, dia menghalakan pandangan ke arah Hakimi yang masih memandangnya di pagar.

“Salam perkenalan.” Ujarnya sambil tersenyum mengejek.

Previous: bab 2
Next: bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.