Home Novel Komedi/Romantik Komedi Aku Alergik Cinta
Aku Alergik Cinta
Ilyana Hani
12/11/2012 22:50:11
200,130
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 15
AIFA merenung jam di dinding biliknya, baru menunjukkan jam 8 malam. Matanya masih kuyu, pasti kesan dia kurang tidur semalam. Saat dia terdengar ketukan di pintu, pantas sahaja dia menarik kembali selimut sehingga ke paras bahunya lantas matanya dipejamkan rapat. Seikhlas hati dia tidak mahu diganggu, hatinya berserabut tika ini. Dia terfikirkan Hakimi, nampak benar lelaki itu sedang marahkannya!

Aifa enggan membuka matanya saat terasa ada tangan mengelus lembut rambutnya.

“Aifa sihat?” Tangannya beralih pula pada dahi adiknya. Panasnya kian berkurang. Sewaktu dia menerima panggilan telefon daripada ibunya, terus sahaja dia menelefon Doktor Ikram kerana meut ibunya doktor itu baru sahaja selesai memeriksa Aifa. Meut doktor itu adiknya kekurangan rehat.

“Ada apa-apa yang Aifa nak cerita pada abang ke?” Tanyanya lembut cuba memujuk si adik. Dia tahu Aifa tidak tidur, adiknya itu hanya berpura-pura tidur.

“Aifa, pandang abang.” Aizam masih cuba memujuk. Aifa masih mendiamkan diri. Kalau ikutkan hatinya mahu sahaja dia menangis di bahu abangnya sepuas hati, namun dia tahu semua itu sia-sia. Dia harus kuat, sampai bila dia harus dibelenggu oleh bayang-bayang Safwan.

Aizam melihat Aifa yang masih berpura-pura tidur, mata adiknya yang berkedip-kedip itu membuktikan bahawa adiknya hanya berpura-pura tidur. Doktor jangan ditipu!

“Abang keluar dulu, kalau ada apa-apa panggil abang ataupun Aifa callaje abang. Assalamualaikum.” Aizam meninggalkan Aifa keseorangan. Dia mengatur langkah ke bawah, ibu dan ayahnya masih di ruang tamu.

Aizam mengambil tempat di sebelah ayahnya. Biarpun matanya terarah ke TV namun hatinya bukan di situ. Dia masih memikirkan Aifa tanpa sedar dia mengeluh perlahan.

“Kenapa mengeluh ni? Orang tua-tua cakap kalau mengeluh ni maknanya orang tu ada masalah.” Serkap Puan Anisa, melihat air muka Aizam sahaja dia sudah tahu. Dia yang melahirkan dan membesarkan anaknya itu. Naluri seorang ibu usah ditipu.

“Tak ada apa-apalah ibu. Fikirkan kerja.” Aizam cuba berdalih, dia merasa alasan itulah yang paling logik. Mana mungkin dia memberitahu alasan yang benar, dia jadi begitu kerana Aifa. Oh, tidak! Pasti sahaja ibu dan ayahnya risau.

“Sebab adik kesayanganlah tu. Kalau sebelum ni balik aje kerja asyik gaduh dengan adik kesayangan, tapi hari ni Aifa tak sihat mulalah gelisah. Bosan tak tahu nak buat apa.” Tebak Encik Ariff.

Aizam memandang ayahnya, kata-kata ayahnya bagaikan penyelamat. Kenapalah dia tidak terfikir alasan itu tadi? Aizam tersengih memandang ibunya. Cuma memberitahu bahawa itulah alasan sebenarnya.

“Sebab adik aje dah jadi macam ni? Habislah budak berdua ni, pantang renggang langsung.”

“Itulah Nisa, abang nak anak ramai dulu tapi Nisa tak nak. Kalau tak boleh Aizam kawan dengan adik-adik lain. Betul tak Aizam?” Encik Ariff mengenakan isterinya, sempat lagi dia mengeyit mata kepada Aizam meminta sokongan.

“Betul ayah. Kalau Aizam ada ramai adik boleh Aizam gaduh dengan adik-adik lain pula.” Sambung Aizam, tawanya dan Encik Ariff bersatu.

“Ishyy, anak dan ayah sama aje!” Marah Puan Anisa, panas juga kerana dia dijadikan sebagai bahan usikan.

“Ayah, ibu marahlah.” Dalam tawa Aizam masih sempat bersuara.

“Kalau yang pertama marah, ana kahwin dua.” Encik Ariff menyanyi mengikut rentak lagu Madu Tiga.

“Kahwin dua? Kalau abang nak tengok abang hilang sebelah mata, sebelah kaki, sebelah telinga, sebelah tangan buatlah!” Ugut Puan Anisa, ketam batunya sudah sampai di paha suaminya.

“Ibu kenapa tak potong sebelah badan ayah aje. Barulah adil semuanya sebelah. Lepas tu boleh ayah bagi sebelah badan pada ibu sebelah lagi pada isteri baru. Tak gitu ayah?”

“Ayah dengan anak memang satu acuan, asyik nak mengenakan orang aje. Nasiblah Aifa tak ada sekali, kalau tak teruk ibu kena.” Semakin panas puan Anisa apabila melihat tawa suami dan anak lelakinya kian menjadi-jadi.

“Aizam dah jangan ketawa banyak-banyak. Tentang semalam, Aizam setujukan kahwin dengan Maz hujung tahun ni?”

Soalan Puan Anisa berjaya mematikan tawa Aizam. Dia memandang ibunya, Aizam seolah-olah terlupa cara untuk ketawa apabila melihat wajah serius ibunya. Dia menelan air liur, mencari kekuatan untuk kembali menuturkan kata.

“Tadi banyak cakap sangat, sekarang dah berubah jadi bisu pula. Aizam dah terlupa cara-cara nak bercakap ke? Nak ibu ajarkan cara bercakap ke? Senang aje Aizam cakap ya atau tidak aje.” Puan Anisa masih memandang Aizam, gaya bercakapnya seolah-olah sedang mengajar budak setahun untuk bercakap.

Aizam menelan air liur, seboleh-bolehnya dia ingin mengatakan ya tetapi entah mengapa perkataan itu seolah-olah sukar untuk dituturkan biarpun hanya dua huruf! Dia sudah nekad selepas dia berbual dengan Aifa semalam, dia tahu adiknya itu tidak mahu perkara yang sama berlaku padanya.

“Kalau susah cakap nak cakap ya atau tidak, Aizam angguk atau geleng aje.” Encik Ariff memberi pendapat, dia juga sudah kembali serius.

Aizam memandang ibu dan ayahnya sebelum kepalanya dianggukkan berkali-kali. Lega rasanya kerana terlafaz jua niat hatinya.

“Angguk sekali sudahlah, yang tadi ibu suruh cakap tak nak. Sekarang ni semangat lebih pula!” Encik Ariff mengusik Aizam. Isterinya hanya tertawa geli hati, nama aje anak lelaki tetapi nak cakap ya pun susah!

Telefon Aizam berbunyi, tetapi hanya sebentar.

“Siapa yang miss call pula tu?” Tanya Puan Anisa ingin tahu apabila melihat Aizam melihat skrin telefon bimbitnya. Aizam bagaikan tidak percaya apabila melihat nama Aifa yang terpapar di skrin telefon.

“Maz.” Sepatah Aizam menjawab. “Aizam naik atas dulu.” Aizam meminta diri. Dia tahu pasti Aifa memerlukannya saat ini. Andai sahaja dia punya kuasa seperti hero, mahu sahaja dia terbang untuk mendapatkan adik kesayangannya.

“Bergayut jangan lama-lama sangat. Jangan nak membazir duit, gaji tak masuk lagi ni! Kalau nak gayut lama-lama senang aje, kahwin cepat-cepat.” Gurauan Puan Anisa sedikit sebanyak terselit nasihat. Dia ingin melihat anaknya itu bahagia.

Aizam tersengih memandang ibu dan ayahnya sebelum cepat sahaja dia mengayun langkah ke tangga. Dia melangkah dua anak tangga sekali gus kerana ingin cepat sampai ke atas.

Aizam terpandang wajah Aifa yang sedang tersengih kepadanya. Hatinya beanr-benar lega melihat riak wajah itu.

“Dah sihat?”

Aifa mengangguk perlahan. “Sihat sikit daripada tadi. Kalau setakat nak usik abang boleh lagi ni.” Aifa bersuara. Aizam menghampiri adiknya, diusap perlahan kepala Aifa. Kasih sayangnya memang melimpah untuk gadis itu. Sayangnya usah dipertikai, hanya Aifa adik yang dia punya.

“Kenapa miss call abang tadi?” Aizam duduk di birai katil.

“Sebab nak jimat duit, kalau Aifa callrugilah kredit.” Lancar sahaja Aifa menjawab. Sedangkan alasan sebetulnya dia tidak mahu ayah dan ibunya tahu dia menelefon Aizam. Dia tahu pasti Aizam duduk bersama-sama ayah dan ibunya di bawah. Andai dia menelefon Aizam, pasti ayah dan ibunya akan tahu melalui perbualan telefon antara dia dan Aizam.

“Ada aje jawapan dia.” Mata milik Aifa direnung, dia tahu adiknya itu menyembunyikan sesuatu dan dia benar-benar ingin tahu apa yang berlaku semalam!

“Aifa ada benda nak beritahu abang ke?”

Aifa menggeleng, DVD di tangan digoyangkan di hadapan Aizam. Berkerut dahi Aizam memandangnya.

“Aifa nak ajak abang tengok cerita ni.” Aifa pantas memasang DVD pada TV yang terdapat dalam biliknya. Dia melabuhkan punggungnya di atas sofa.

“Abang cepatlah!” Panggil Aifa apabila melihat abangnya masih di birai katil. Aizam bangun untuk mendapatkan adiknya. Bibirnya tersenyum, ‘Layan aje asalkan dia bahagia.’ Bisik hatinya lagi.

Previous: Bab 14
Next: Bab 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.