Home Novel Komedi/Romantik Komedi Aku Alergik Cinta
Aku Alergik Cinta
Ilyana Hani
12/11/2012 22:50:11
200,069
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 21
HAKIMI meletakkan plastik yang dipegangnya di atas meja. Dia menekan suis televisyen sebelum duduk di atas sofa. Saat mendengar tawa Syafiq, dia mendengus marah. Sudahlah hatinya kini panas, Syafiq pula menyimbah minyak! Mujur sahaja Syafiq itu temannya, kalau tidak pasti sudah disiat-siat kulit temannya itu.

“Kenapa kau ketawa?” Tebak Hakimi sambil menjegilkan matanya, sebelah tangannya menggaru perlahan lengan kanannya. Lengannya terasa gatal, hebat sekali penangan masakan Aifa, entah berapa kilo dia masukkan makanan laut ke dalam tomyam buatannya itu!

“Itulah dari dulu lagi aku cakap jangan cari pasal dengan orang tapi kau tak nak dengar. Sekarang ni kau juga yang susah. Tak pasal-pasal aje kau yang menanggung sakit!” Tawa Syafiq kian menjadi, sakit hati Hakimi mendengarnya. Kini hatinya terasa lebih perit berbanding alahan yang dialaminya. Sudahlah tadi dia terpaksa menadah telinga mendengar bebelan doktor dan kini sekali lagi dia terpaksa menadah telinga mendengar ceramah percuma Syafiq.

“Banyak cakap betullah kau ni! Semua ni jiran kesayangan kau punya pasallah. Nasiblah aku ni jenis penyabar, kalau tak memang dah kena lanyak jiran kesayangan kau tu.” Hakimi menjeling Syafiq, tawa lelaki itu masih bersisa. Andai sahaja dia punya ubat untuk menghentikan ketawa, pasti lelaki itu menjadi insan pertama yang perlu menelannya!

“Tadi macam dah berdamai, tapi tak guna kau berdamai dengan dia kalau hati kau masih simpan dendam.”

“Selagi gatal-gatal di tangan aku ni tak hilang, selagi itulah aku akan dendam dengan dia! Tak pasal-pasal aku kena pergi klinik.” Bentak Hakimi. Dia meletakkan kusyen di kepalanya sambil berbaring di atas sofa.

“Kalau gatal-gatal kau tu hilang dalam masa seminggu maknanya dendam kau pun hilang ke?” Syafiq Cuma menduga rakan serumahnya.

“Tak! Dia dah susahkan hidup aku!”

“Kau patut ucap terima kasih pada Aifa sebab dialah kau dapat cuti sakit tiga hari.” Usik Syafiq lagi, sebetulnya dia ingin menyejukkan hati rakan serumahnya itu. Bahang kehangatan kian terasa saat lelaki itu bersuara keras menyatakan rasa tidak puas hatinya terhadap Aifa.

“Aku tak haraplah cuti sakit tiga hari tu kalau aku terpaksa tanggung sakit macam ni. Hati aku pun sakit sekali kau tahu tak?”

“Dah nama pun cuti sakit, memanglah kena sakit.” Syafiq tertawa lagi.

“Cehh, ingatkan aku cakap dengan kau dapatlah aku sejukkan sikit hati aku ni! Rupa-rupanya lagi panas adalah! Menyakitkan hati aku aje.”

“Kau nak aku pasangkan air cond ke? Manalah tahu boleh sejukkan sikit hati kau yang tengah membara tu.”

“Sudahlah kau!” Hakimi sudah malas mahu melayan kerenah teman serumahnya. Bertambah sakit hatinya apabila Syafiq seolah-olah menyebelahi Aifa, si minah gengster! Hari ini hari kau, esok lusa belum tahu lagi! Desis hatinya, tanpa sedar dia menggenggam erat penumbuknya.

“Hoi, kau nak boxingdengan siapa ni? Siap genggam penumbuk lagi.” Syafiq duduk di sofa bersebelahan Hakimi. Tangannya menghulurkan bungkusan kacang kepada Hakimi.

“Kau jangan risau, kacang ni tak ada perisa makanan laut.” Ujar Syafiq cuba bergurau apabila dia melihat hulurannya tidak bersambut. Selalunya Hakimi pantang apabila dihulurkan kacang, pasti habis sebungkus kacang dimakannya.

“Hantu punya kawan, kalau sehari kau tak perli aku tak boleh ke? Bingit telinga aku dengar perkataan makanan lauttau!” Hakimi membetulkan duduknya, mana mungkin dia mahu makan dalam keadaan berbaring. Tak bagus untuk sistem penghadaman.

“Telinga kau bingit dengar perkataan makanan laut ya? Kalau macam tu aku sebut sea food.” Syafiq ketawa lagi. Dia mengelak apabila melihat penumbuk Hakimi mahu singgah di bahu kanannya.

“Seronok betul kau bila tengok aku terkena. Aku tak sabar nak tengok suatu hari nanti bila giliran kau pula yang terkena.” Ujar Hakimi sebelum memasukkan kacang goreng ke dalam mulutnya. Dia menghalakan pandangannya ke arah kaca televisyen walaupun tumpuannya yang sebenar terarah kepada butir bicara Syafiq.

“Aku tak akan kenalah dengan dia. Lagipun aku dah lama berjiran dengan Aifa. Waktu kami kenal, dia baru aje bertunang dengan Safwan.”

Nama Safwan benar-benar menarik perhatian Hakimi. Dia mahu mengetahui cerita sebenar berkaitan Aifa dan tunangnya. Jadi, Safwanlah yang berjaya membuatkan gadis itu bertukar menjadi gengster?

“Safwan tunang Aifa? Bila dia bertunang dan bila dia putus?” Tanya Hakimi lagi, masih ingin tahu. Wajah teman serumah dipandangnya, dia tidak mahu terlepas walaupun satu patah perkataan. Berita yang baka didengarnya benar-benar menarik.

“Aku tak berapa ingatlah.” Jawapan Syafiq benar-benar menghampakannya, seboleh-bolehnya dia ingin mengetahui kisah Aifa dan Safwan. Musuh harus diambil tahu kelemahannya, barulah mudah untuk kita menjatuhkannya kembali!

“Takkan kau tak ingat walau sedikit pun.” Hakimi masih ingin tahu.

“Tak tahu.” Mata Syafiq masih terarah ke kaca televisyen, Hakimi mendengus saat memerhatikan reaksi Syafiq itu. Alat kawalan jauh yang berada di sebelahnya dicapai lantas dia mematikan rancangan televisyen.

“Aku nak tengok tv, kenapa kau tutup?” Marah Syafiq, tangannya cuba mengambil alat kawalan jauh daripada Hakimi.

“Aku dah macam cakap dengan tunggul kayu aje tadi! Aku tanya kau tapi kau tak jawab pun!” Bentak Hakim, dia beralih duduk. Kini dia berkongsi sofa dengan Syafiq. Perasaan ingin tahunya membuatkan dia sanggup melakukan apa sahaja walaupun memaksa lelaki di hadapannya itu.

“Tanya apa?” Syafiq pelik melihat reaksi teman serumahnya itu. Tidak pernah dia melihat Hakimi beria benar seperti sekarang.

“Tentang Aifa dan Safwan.” Hakimi memberi clue.

“Kenapa dengan mereka berdua?” Berkerut dahi Syafiq memikirkan persoalan mengenai Aifa dan Safwan. Apa kena-mengena Aifa dan Safwan dalam hidup Hakimi? Kenapa rakan serumahnya itu beria-ria benar mahu mengetahui tentang mereka.

“Kau kenal Safwan tak?” Hakimi cuba memutar berlitkan soalannya. Andai dia bertanya secara terus pasti terkejut beruk rakan serumahnya itu!

“Kenal-kenal macam tu aje. Rasanya adalah sekali dua aku jumpa dengan dia. Lepas tu aku tak pernah jumpa sebab mereka dah putus.” Jujur Syafiq memberitahu. Seingatnya dia hanya sempat berjumpa dengan Safwan dua kali, itu pun kerana lelaki itu bertandang ke rumah jirannya untuk mengambil Aifa.

“Safwan orang mana? Dah lama ke mereka bertunang?” Soal Hakimi masih ingin tahu. Selagi dia tidak mengetahui perkara sebenar, dia tidak akan senang duduk.

“Rasanya dia asal dari Melaka, tapi kerja di Shah Alam. Waktu aku pindah ke rumah ni, mereka baru aje bertunang dalam dua bulan aku rasa. Tapi tak lama, kalau tak salah aku mereka bertunang tak sampai setahun.”

“Kenapa mereka putus?” Hakimi masih lagi bertanya sedangkan dia sudah tahu puncanya. Syafiq pernah memberitahunya sebelum ini.

“Kawan aku ni nyanyuk rupanya, aku dah beritahu dulu. Cuba kau ingat balik.” Pantas sahaja Syafiq merampas kembali alat kawalan jauh yang masih berada dalam genggaman Hakimi.

“Eh, aku belum habis cakap lagilah.” Hakimi tersentak, cepat sahaja dia merebut kembali alat kawalan jauh itu. Soal-siasatnya mengenai Aifa masih belum selesai.

“Kau nak tahu apa lagi?” Syafiq juga sudah bosan melayan persoalan Hakimi. Bukankah Aifa merupakan musuhnya? Jadi apa kepentingannya untuk dia mengetahui setiap perkara mengenai Aifa?

“Kenapa mereka putus?” Hakimi tidak berputus asa, untuk ke sekian kalinya dia mengulangi soalan yang sama. Wajah rakan serumahnya dipandang sekilas, ternyata terbit juga riak wajah bosan!

“Kenapa kau nak tahu sangat tentang perkara tu? Kau nak jadi pengganti Safwan ke?” Syafiq menduga, akhirnya lepas jua tawanya apabila melihat Hakimi mencebik.

“Kau tak jawab soalan aku lagi.” Hakimi kembali bersuara apabila matanya menangkap kelibat Syafiq bangun daripada duduknya.

“Malas aku nak jawab soalan ulangan kau tu.” Syafiq berpusing ke kanan dan ke kiri, mencari kunci kereta. Seingatnya dia meletak kunci kereta di atas almari televisyen tadi. Dia tersenyum saat terpandang kunci keretanya yang berada di atas meja makan. Dia tersengih sendiri, akhirnya penyakit pelupa menyerangnya pula. Itulah, lain kali mengata Hakimi lagi!

“Kau tak tahu lagikan kenapa aku nak tahu sangat tentang Aifa dan Safwan.” Hakimi memasang jerat, dia tahu soalannya sebentar tadi pasti menarik minta Syafiq. Lelaki itu benar-benar mengambil tahu setiap perkara mengenai Aifa. ‘Adik’ kesayanganlah katakan!

“Kenapa?” Syafiq memandang Hakimi, dia benar-benar ingin tahu.

Nah! Tepat sekali tekaan Hakimi, setiap perkara mengenai Aifa pasti akan diambil tahu oleh Syafiq. Katanya saat terpandangkan wajah Aifa, dia akan teringatkan arwah adiknya yang meninggal tiga tahun yang lalu akibat barah tulang. Katanya, perwatakan Aifa sama persis seperti arwah adiknya. Air muka Aifa, mirip wajahnya, cara dia berjalan malah muncung wajahnya saat merajuk juga mengingatkannya kepada adiknya. Benarkah? Entahlah dia sendiri kurang pasti. Kata Syafiq lagi, Aifa lembut orangnya sama seperti adiknya. Lembutkan gadis itu? Ganas adalah! Sepanjang dia hidup selama 29 tahun belum pernah dia meliat gadis seganas Aifa sehinggakan dia dimandikan di waktu malam. Habis basah bukunya sewaktu itu.

“Hoi, aku cakap dengan kau ni! Apa yang kau menungkan?”

Hakimi tersentak, terbang melayang imaginasinya mengenai Aifa tadi. “Betul kau nak tahu ni?” Duga Hakimi, sebetulnya dia mahu menutup malu. Dia malu kerana terkantoi sedang berangan! Mujur Syafiq tidak punya kuasa untuk mentafsir minda, jika tidak malunya kian berganda. Terkantoi kerana berimaginasi mengenai musuh sendiri. Oh, tidak!

“Sebab aku nak tahulah aku terpacak depan kau sekarang ni. Kalau tak lebih baik aku pergi bercakap dengan tong gas.”

Hakimi tersengih, betul juga andai Syafiq tidak punya niat mahu mendengar penjelasannya, pasti rakannya itu sudah berlalu pergi. “Aku nak tahu sangat sebab I want to know.Gurau Hakimi lagi. Dia pantas mengelak apabila melihat Syafiq mahu menumbuk bahunya. “Ganasnya kau ni, aku gurau ajelah.”

“Kenapa kau tahu sangat? Kau tak jawab lagi soalan aku.” Syafiq sudah mula geram, kembali mengulang soalan yang sama.

“Sebab aku nak tahu tentang musuh ketat aku tu.” Hakimi berjeda sebelum dia memandang Syafiq. “Sebab aku tahu dia bencikan lelaki sebab perkara itukan? Jadi, aku nak sangat tahu tentang Safwan, mesti dia lelaki hebatkan? Mudah aje dia dapat jatuhkan perempuan ganas macam minah tu!” Hakimi berterus-terang.

“Kau nak buat apa dekat dia?” Tanya Syafiq curiga, bimbang juga andai Hakimi menyimpan dendam terhadap Aifa. Rasanya tidak perlulah memperbesarkan perkara kecil sebegini.

“Kau jangan risau, aku perang mulut aje dengan dia. Aku bukan macam adik kesayangan kau tu sampai sanggup menyakiti orang lain. Tak pasal-pasal aje aku gatal-gatal macam ni. Aku tak sekejam dialah, kau jangan risau. Aku cuma seronok berperang mulut dengan dia. Bukan susah nak buat dia marah.” Hakimi tersengih, di mindanya sudah merencanakan cara untuk mengenakan kembali musuhnya itu.

“Kau ni sempat lagi perli dia. Salah kau juga, kau yang cari pasal dengan dia. Aifa tu pantang kalau orang cari pasal dengan dia. Kalau kau tak percaya, kau tengok aku ni, kamceng aje dengan dia.” Syafiq bersuara sambil memandang tepat ke arah Hakimi. Ya benar, gadis itu seorang yang lembut, andai sahaja Hakimi mengenalinya sebelum dia mengalami peristiwa pahit dikhianati, pasti sahaja Hakimi terkejut. Aifa yang dahulu memang berbeza dengan Aifa sekarang. Bezanya terlalu ketara, semuanya gara-gara Safwan. Apabila ditanya Aifa akan menjawab dia sekadar mahu melindungi dirinya daripada terus dimainkan oleh lelaki. Hakikatnya rambut sahaja sama hitam, hati lain-lain. Jadi, janganlah menghukum semua lelaki hanya kerana Safwan.

“Kau memanglah kamcengdengan dia, tapi aku ni.” Hakimi menuding jari ke arah dirnya sendiri sebelum kembali bersuara, “Aku dah macam musuh ketat dia! Selamatlah aku ni jenis lelaki sejati, tak mainlah aku nak sakitkan perempuan. Aku ni jenis protective.” Hakimi memuji diri, sengaja dia menjongketkan keningnya kepada Syafiq.

Protectiveke protector?” Gurau Syafiq, dia menahan tawa saat melihat Hakimi menjegilkan matanya.

“Aku ni protective tau, waktu minah gengster tu pengsan di pejabat, siapa yang sambut dia daripada jatuh?” Hakimi mengutarakan soalan sebelum dia sendiri yang menjawabnya, “Aku juga yang sambut tau. Siapa yang hantar dia balik ke rumah? Aku juga tau! Kalau ikutkan hati aku yang tengah panas, tak ada maknanya aku nak tolong dia. Biar aje dia jatuh, biar mulut bisa dia tu cium lantai. Untung-untung mulut dia tu bolehlah diam sikit.”

“Mengungkit.” Syafiq bersuara, sengaja mahu menambah minyak pada api kemarahan Hakimi.

“Aku bukan mengungkit, tapi aku nak kau tahu perangai sebenar adik kesayangan kau yang kau selalu cakap baik tu! Ada ke patut dia balas kebaikan aku tolong dia dengan cara kenakan aku balik?” Pantas sahaja Hakimi menghulurkan tangannya yang sudah ‘dihiasi’ tompok-tompok kecil merah itu betul-betul di hadapan wajah Syafiq. “Kau tengok ni, aku ikhlas tolong dia tapi dia pula ikhlas kenakan aku balik.” Sambungnya lagi.

Reaksi Hakimi mencuit hati Syafiq, dia tertawa kecil. Tetapi jauh dilubuk hatinya dia berasa lega kerana sekurang-kurangnya dia tahu Hakimi tidak punya niat untuk menyakiti Aifa.

“Ketawalah lagi, aku seronok tengok kau ketawa.” Bentak Hakimi. Geram dia melihat tawa Syafiq yang kian menjadi-jadi itu. Dia berpura-pura mahu menumbuk bahu Syafiq, tetapi rakannya itu sama sekali tidak mengelak.

“Malas aku nak layan kau.” Hakimi kembali mencapai alat kawalan jauh. Lebih baik dia melayan rancangan Melodi daripada melayan Syafiq, menyakitkan hati sahaja!

Syafiq bangun daripada duduknya lantas menuju ke pintu. Baru setapak dia mahu melangkah keluar Hakimi sudah bersuara.“Kau nak ke mana?”

“Aku nak pergi beli nasi. Kenapa? Kau nak aku ambil nasi di rumah sebelah ke? Aku boleh aje.”

Jawapan Syafiq membuatkan hati Hakimi terbakar. Tak ingin aku! Desis hatinya. “Aku lebih rela makan biskut kering daripada makan nasi di rumah sebelah.” Hakimi menjawab selamba.

Syafiq ketawa lagi dan tawa itu menyakitkan hati Hakimi. Terlayar kembali saat dia termakan lauk masakan Aifa, siap kau minah gengster!

Previous: bab 20
Next: Bab 22

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.