Home Novel Komedi/Romantik Komedi Aku Alergik Cinta
Aku Alergik Cinta
Ilyana Hani
12/11/2012 22:50:11
200,103
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
bab 11

Hakimi meletakkan keretanya di anjung rumah. Seraya itu pantas sahaja matanya merenung gadis di sebelahnya, dia masih belum puas mengenakan gadis itu. Seronok dia apabila melihat gadis itu melenting kerana tidak tahan dikenakan!

“Terima kasih banyak.” Aifa menghadiahkan senyuman buatnya. Senyuman pertama yang terukir di bibir gadis manis itu buat dirinya.

“Kali pertama kau senyum pada aku! Manis aje aku tengok, tak adalah asyik muncung aje. Mulut tu dah boleh buat ampaian baju rumah aku!”

Aifa masih tersenyum, dia sudah malas untuk bertikam lidah dengan Hakimi.

“Aku balik dulu!” Tanpa pamitan Aifa membuka pintu kereta, selepas barangnya diambil dari bahagian belakang kereta, cepat sahaja dia menapak keluar meninggalkan rumah Hakimi.

“Eh, kau orang pergi kerja sekali? Ada apa-apa ke ni? Baru hari kedua bekerja dah pergi sekali. Masin mulut aku cakap kau orang akan bercinta juga!” Kepoh mulut Syafiq mengusik Aifa dan Hakimi.

“Dengan mamat sengal ni? Tolonglah!” Terhenti langkah Aifa apabila mendengar Syafiq menyebut dia dan Hakimi bercinta!

“Sesuai apa! Aifa cantik, Hakimi kacak, bagai pinang dibelah dua.” Syafiq menambah perisa dalam lakonannya. Dia tahu Aifa memang bengang dengan Hakimi, tak mungkin dia ingin ke pejabat dengan Hakimi,. menumpang kereta Hakimi pula!

“Banyaklah kau bagai pinang dibelah dua. Bagai pinang diblender-blender adalah!” Hakimi ketawa apabila melihat Aifa menunjuk penumbuk kepadanya.

“Tak ingin aku!” Aifa membuat aksi seolah-olah sedang termuntah.

“Baru aje tadi kau senyum pada aku! Punyalah manis kau senyum, tapi sekarang kau cari pasal dengan aku pula!”

“Aku ucap terima kasih langsung kau tak balas, tapi kau kutuk aku pula! Lepas tu kau nak cakap aku yang cari pasal dengan kau! Tolonglah!” Aifa semakin berang. Kerana itulah dia tidak ingin menumpang kereta lelaki itu!

“Fiq ni pun satu, ingat senang-senang aje Aifa nak tumpang kereta Kimi!” Syafiq pula yang menjadi mangsa kemarahan Aifa.

Syafiq terkedu kerana dia pula yang dimarahi oleh Aifa. Dia menjongketkan kening pada Hakimi, bertanya kenapa? Seraya itu Hakimi menjuihkan bibirnya ke arah tayar kereta Aifa yang pancit di bahagian belakang pemandu. Akhirnya barulah dia tahu alasan Aifa menumpang Hakimi pagi tadi.

I’m sorry, I don’t know the truth. Habis tu siapa yang nak tukarkan tayar kereta Aifa.”

“Lain kali tanya dulu jangan terus buat kesimpulan sendiri. Aifa tak tahu lagi, ingatkan nak tunggu abang, tapi dia tak sampai lagi. Malam nanti baru nak tukar rasanya.”

“Tak apalah biar Fiq yang tukarkan. Tayar spareada di belakangkan? Bagi kunci kereta Aifa, nanti Fiq tukarkan.” Syafiq cuba membeli kembali perasaan Aifa, dia tahu jirannya itu merajuk dengannya. Aifa pula terus tersenyum mendengar tawaran jirannya itu.

“Boleh ke? Tak susahkan Fiq ke?” Polos sekali Aifa bertanya.

“Tak susah pun, asalkan ada tayar sparekejap aje Fiq tukarkan.”

Semakin lebar sengihan Aifa apabila mendengar kata-kata jirannya itu. Kalau tunggu Aizam entah bila dia akan sampai di rumah, mungkin juga dia ada kes kecemasan di hospital.

“Terima kasih banyak Fiq, ni kunci keretanya.” Aifa memberikan kunci keretanya kepada Syafiq, bibirnya masih tersenyum, lega kerana dia tidak perlu menunggu abangnya untuk menukar tayar kereta. Mahu meminta pertolongan Encik Ariff bimbang juga akan menyusahkan ayahnya itu.

“Baguslah tu, tak adalah esok ada orang nak menumpang kereta aku pagi-pagi!” Hakimi menambah perisa gaduh antara mereka. Sengaja ditekankan pada perkataan menumpang. Syafiq menyiku kuat lengan Hakimi, tidak gemar mendengar kata-kata teman serumahnya itu. Aifa pula sengaja memekakkan telinganya, dia sudah malas bertengkar dengan orang yang baru sahaja menabur jasa menumpangkannya ke pejabat.

“Terima kasih aje ke? Upahnya?” Syafiq berkata sekadar ingin menenangkan keadaan. Mungkin sahaja perang dunia ke tiga bakal meletus andai Hakimi dan Aifa berbalas kata. Bom peperangan mereka ini lebih hebat daripada bom yang digunakan untuk peperangan antara negara!

“Nak upah pula ke? Tak ikhlas nak tolonglah tu! Nak upah apa?” Aifa berpura-pura merajuk, sedangkan dia tahu Syafiq sekadar bergurau.

“Ehm..upah apa ya?”

“Upah masakan boleh tak? Gaji tak dapat lagilah kalau nak upah yang mahal-mahal.” Aifa tertawa kecil, hakikatnya dia memang belum pernah memegang gaji pertamanya, baru sahaja bekerja dua hari.

Bagai orang mengantuk disorongkan bantal cepat sahaja Syafiq mengangguk. Sudah lama dia makan masakan kedai, kalau masakan rumah pun dia hanya makan nasi goreng, maklumlah orang bujang!

“Masakkan tomyam boleh tak? Aifakan pakar dalam masak tomyam ni?” Syafiq membodek, sudah lama dia tidak makan masakan gadis itu. Tomyam gadis itu memang superb! Pernah sekali dia mencuba masakan gadis itu, cair dibuatnya!

“Boleh aje, hari Sabtu Aifa hantar dengan syarat tayar kereta mesti beres.” Janji Aifa tetapi bersyarat.

“Beres bos, tapi tomyam tu jangan masukkan sotong dengan udang tau! Ada orang tu alergik! Syafiq menjuihkan mulutnya ke arah Hakimi. Berapi Hakimi apabila Syafiq membabitkan dirinya, bukan dia yang inginkan upah daripada Aifa, jadi kenapa perlu dikaitkan dirinya dengan alergik.

“Oh, mamat tu alergik. Biarlah bukannya Aifa masakkan untuk dia. Jangan perasanlah! Aifa nak masukkan sekilo sotong dengan udang.” Keras sekali suara Aifa!

“Aku pun tak ingin! Ingat upah kau naik kereta aku pun kau tak bayar lagi!” Hakimi juga turut bersuara, keras sekali bunyinya!

“Mengungkit! Kau nak apa upahnya?”

“Aku tak nak upah, aku cuma nak kau kenang budi aku aje tumpangkan kau pada hari kedua kau bekerja. Kalau tak memang rekod kau buruk pada hari kedua bekerja!” Puas hati Hakimi kerana dapat menyakitkan hati Aifa. Dia tahu amarah gadis itu pasti sudah sampai tahap menggelegak!

“Aifa masuk dululah, nak pergi solat!” Tanpa sebarang pamitan Aifa terus masuk ke dalam rumah. Hatinya semakin panas apabila mendengar jeritan Hakimi. “Sayang jumpa lagi esok!”

Saat kelibat Aifa sudah hilang daripada pandangan mata, Syafiq terus menyerang Hakimi.

“Mulut kau ni memang tak ada insurans ke? Sedap hati aje nak cakap pada dia macam tu! Mesti dia terasa gila dengan kau!” Syafiq menyekeh kepala Hakimi.

“Lebih nampak, kau pula dah ambil insurans kepala ke belum? Aku sekeh kepala kau sampai tercabut nanti!”

Sorry geng! Aku tak bermaksud pun nak buat kau macam tu cuma aku kesian kat Aifa, dia tu nampak aje ganas selalu cari pasal tapi hati dia lembut. Aku dah lama berjiran dengan dia, aku kenal hati budi dia. Aifa baik, lembut orangnya. Dia pernah demam sebab dah lebih tiga minggu tak jumpa dengan ibu dan ayah dia.” Syafiq tertawa kecil apabila terbayang kembali kenangan Aifa demam panas kerana terlalu rindukan ayah dan ibunya sewaktu mereka menunaikan haji. Seorang doktor seperti Aizam juga kecut perut melihat keadaan adiknya, meracau-racau menyebut nama ibu dan ayahnya.

“Gengster macam tu pun lembut juga rupanya.” Hakimi tertawa sendiri. Kelakar juga memikirkan gadis seganas Aifa demam ketika berjauhan dengan ibu dan ayahnya.

“Memang, dia tu selalu aje menangis. Dia ganas dengan lelaki pun bersebab.” Kata-kata Syafiq mati di situ sahaja. Dia juga kesal memikirkan perangai Aifa. Hanya kerana seorang lelaki habis kesemua lelaki dikatakan jahat! Tak adil betul! Nasiblah Aifa tidak berperang dengannya.

“Sebab apa? Dia pun ada abangkan? Tak mungkin dia alergik dengan lelaki?”

Perkataan alergikmembuatkan tawa Syafiq meletus. Boleh pula dia samakan alergik makanan dengan alergik lelaki. “Kau cakap Aifa alergik dengan lelaki? Kau ingat dia macam kau ke alergik makanan laut. Kalau betul dia alergik dengan lelaki, mesti kulit dia dah merah-merah dan gatal macam kau bila tersalah makan makanan laut.

“Kurang asam jawa punya kawan.” Hakimi menumbuk geram bahu Syafiq tetapi rakan serumahnya itu tidak pula mengelak.

“Kau cakap tadi dia jadi macam tu bersebab. Kau tahu tak sebab apa?” Hakimi benar-benar ingin tahu, Aifa yang acap kali mencetuskan perang dengannya merupakan seorang yang sangat lembut? Betul ke ataupun Syafiq sengaja ingin mengenakannya!

“Kenapa kau nak tahu sangat ni?” Seraya itu Syafiq memetik-metik jarinya, bagai baru mendapat idea bernas sahaja lagaknya. “Kau dah jatuh hati pada dia ke?” Syafiq memasang soalan perangkap.

“Hampeh punya kawan! Kalau setiap saat punya berperang, kau ingat aku dengan dia boleh suka sama suka ke? Tak logik betullah dia ni!”

“Manalah nak tahu kau suka Aifa lepas tu kau nak pikat dia ke? Kau ni selalu aje bertepuk sebelah tangan.” Syafiq mengenakan Hakimi, tawanya kian menjadi-jadi. Suka benar dia dapat mengenakan rakan serumahnya itu.

“Banyaklah kau punya bertepuk sebelah tangan. Aku tepuk kau baru tau!”

Previous: bab 10
Next: bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.