Home Novel Komedi/Romantik Komedi Aku Alergik Cinta
Aku Alergik Cinta
Ilyana Hani
12/11/2012 22:50:11
200,087
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 17
AIZAM membantu Aifa mengeluarkan barang daripada kereta lantas dibawa ke dapur.

Perlu bantuan abang tak?” Ikhlas Aizam bertanya.

“Tak apalah, nanti kalau abang tolong lain pula jadinya.” Aifa tertawa, tangannya cekap sahaja menyiang ayam yang baru dibeli tadi.

“Ingat jangan masukkan sea food, kesian Kimi nanti.” Pesan Aizam, bimbang juga andai Aifa memasang plan nakalnya untuk mengenakan Hakimi.

“Sayang dah sihat ke ni? Kenapa masuk dapur?” Puan Anisa yang baru sahaja masuk ke dapur terkejut melihat Aifa yang turut jua berada di situ. Risau juga andai berlaku sesuatu pada anak gadisnya.

“Tak ada apa-apalah ibu, hari Khamis Aifa tak cukup tidur sebab tu pengsan. Tapi semalam Aifa dah terlebih tidur, tengok ni dah terlebih sihat pula.”

“Tak perlu risaulah bu, anak ibu tadi dah boleh berperang dengan jiran sebelah. Jelas dan terbukti dia dah sihat.” Perli Aizam sambil memandang Aifa sekilas.

“Tak habis-habis berperang dengan Kimi. Ibu rasa budak tu baik aje. Kenapa Aifa gaduh dengan dia?” Risau juga Puan Anisa memikirkan perangai anaknya yang seorang ini, suka benar mencetuskan perang dengan kaum Adam.

“Memang pun ibu, sebenarnya Kimi tu baik, cuma anak ibu ni skru kepala dia tercabut satu. Sebab itulah jadi macam tu.” Tambah Aizam lagi, Aifa menjeling Aizam, jarinya diletakkan di bibir mengisyaratkan agar abangnya menutup mulut. Bagai tidak mengerti isyarat adiknya itu, Aizam masih tetap bersuara, sengaja mahu mencabar kesabaran adiknya.

“Kesian Kimi tadi bu. Senyap aje.” Aizam menambah perasa dalam cerita rekaannya sendiri. Saat terpandangkan wajah berang Aifa, dia tersenyum kecil. Hatinya akan puas andai adiknya itu dileteri oleh ibu mereka, biar hilang sikit perangai anehnya itu.

“Aifa, kenapa buat Kimi macam tu? Kesian Kimi.” Puan Anisa memandang anak gadisnya, timbul jua perasaan kesal kerana Aifa masih tidak habis-habis dengan dendamnya sehinggakan hampir kesemua lelaki menjadi mangsanya.

“Ibu, Aifa nak masak sekarang ini. Jadi..” Aifa mengantungkan percakapannya di situ, mengharapkan ibunya mengerti.

“Yalah ibu pergi tapi ingat malam masih ada. Malam ni jangan nak pergi mana-mana, ibu ada benda nak bincang sikit.” Tegas Puan Anisa bersuara. Aifa hanya mengangguk, matanya terpandang abangnya yang sedang mengangkat ibu jari menunjukkan istilah padan muka.

“Ibu tengok abang, dia buat isyarat best dekat Aifa.” Aifa mengadu, pantas sahaja Puan Anisa memalingkan wajahnya ke arah Aizam. Lengan anak lelakinya ditampar geram. Tak habis-habis dengan perangai menyakatnya.

“Nanti dua-dua orang ibu kurung dalam stor.” Ugut Puan Anisa. Masih dia ingat sewaktu anak-anaknya masih kecil, pernah dia mengurung mereka berdua dalam stor sekadar memberi pengajaran. Menangis-nangis mereka berdua meminta ampun, tetapi sebelum pun setengah jam mereka di’bebaskan’, mereka berdua kembali membuat drama. Pening kepala dibuatnya dengan dua beradik itu, andai mereka dalam mood berbaik Puan Anisa sendiri hairan melihatnya. Tetapi andai mereka dalam mood berperang mahunya kecoh satu rumah!

“Jom ke depan, Aifa nak masak.” Puan Anisa menarik lengan Aizam, dia hanya meut, andai dia terus berada di sini, mahunya dapur rumah ini bertukar wajah! Bersepah sana sini!

Aifa memandang ke semua barang yang baru dibeli. Seperti biasa makanan kegemarannya harus disiapkan dulu. Dipandang sayur-sayur yang masih berada di dalam plastik, kecur air liurnya membayangkan tomyam campur yang bakal dimasak. Sedapnya! Tangannya pantas memainkan peranan, sayur dikeluarkan dari dalam plastik lantas dipotong kecil sebelum dibasuh.

Aifa teringatkan sesuatu, sotong masih belum disiang. Saat matanya terpandang sotong, mindanya sudah merancang satu idea jahat.

‘Mamat sengal tu alergik makanan laut, kalaulah aku masukkan sotong dengan udang dalam tomyam. Fuhhh, mahunya gatal-gatal kulit dia tu.’ Aifa tersenyum nakal, hatinya akan puas apabila melihat musuh utamanya itu tumbang! Hatinya akan puas apabila melihat kulit Hakimi gatal-gatal! Biar padan mukanya, berani lagi cari pasal dengannya. Dia sudah memasang angan-angan untuk berbaik dengan lelaki itu tetapi mudah sahaja dia mematahkan angan-angannya itu! Lelaki itu benar-benar sudah menunjukkan bahawa dia ingin berperang dengannya. Dari cara percakapan lelaki itu juga Aifa sudah tahu lelaki itu tidak mahu berdamai dengannya. Alang-alang berperang biar sampai musuh tumbang. Aifa tertawa sendiri, Hakimi harus diajar supaya menghormati orang lain! Apabila dia ingin berbaik, lelaki itu pula memulakan sketsa, jadi jangan salahkan dia andai perang ini masih berterusan. Siap kau Kimi!

Aifa memasukkan sotong yang sudah siap di basuh ke dalam periuk, tangannya mencapai udang pula. Misinya kini hampir berjaya.

AIZAM menghampiri adiknya yang berada di meja makan. “Kenapa panggil abang?” Tanya Aizam.

“Tolong hantarkan makanan ini dekat rumah sebelah.”Aifa menunjukkan dulang yang berada di atas meja. Lauk tomyam, ayam goreng berempah, sayur kalian ikan masin dan daging masak merah. Mewah mereka makan hari ini, entah mengapa ketika pergi ke pasar tadi, dia teringin untuk makan kesemua lauk ini biarpun dia tahu lauk ini terlalu banyak untuk keluarga kecil mereka. Sekali sekala tidak apa-apalah! Lagipun mereka memberikan sedikit kepada jiran sebelah.

“Ada makanan laut tak dalam semua lauk ni?” Aizam memandang anak mata Aifa, Cuma mencari keikhlasan di sebalik jawapan yang bakal dituturkan. Takut juga andai adiknya memasang angan-angan untuk mengenakan Hakimi, adiknya itu bukan boleh diharap!


“Tak ada, Aifa tahulah mamat sengal tu alergik makan laut. Aifa taklah kejam sangat sampai nak bagi dia sakit.” Aifa memandang Aizam, dia cuba berlagak selamba sedangkan dia sedang menahan tawa. Pandai benar dia berlakon, andai sahaja dia tercalon dalam Anugerah Pelakon Wanita Terbaik, pasti dia menang!

“Betul ni?” Tanya Aizam, masih kurang percaya dengan pengakuan adiknya.

“Kalau tak percaya sudah, tak perlu bagi lauk tu pada budak berdua tu.” Aifa berpura-pura merajuk. Melihat muncung adiknya yang sudah panjang sedepa, cepat sahaja Aizam membuat kesimpulan bahawa adiknya itu bercakap benar. Aifa memang begitu, andai orang tidak mempercayai atau meraguinya, pasti mulutnya akan muncung sedepa dan ada kalanya bermeter.

Aizam mengangkat dulang lantas melangkah menuju ke rumah jirannya. Bau aroma masakan Aifa benar-benar membuatkan selera makannya kian berkocak hebat.

Pintu rumah Syafiq dan Hakimi diketuk. Aizam tidak perlu menunggu lama, selang beberapa saat Syafiq sudah muncul di muka pintu diikuti oleh Hakimi. Dulang di tangan Aizam disambut oleh Syafiq.

“Terima kasih.”

“Sama-sama. Kimi, jangan lupa makan lauk tu, Aifa masak special untuk bakal suami dia.” Sakat Aizam. Tawanya dan Syafiq bersatu, Hakimi pula menjuihkan bibir. Andai gadis ganas itu memasak istimewa untuknya, itu bererti wayar di kepala gadis itu telah putus!

“Istimewa?” Hakimi tersenyum. “Kalau betullah dia masak istimewauntuk aku, rasanya lebih baik kau checkpenyakit adik kau tu. takut juga kalau dia kena sawan nanti.” Hakimi tidak percaya gadis itu masak khas buatnya. Pagi tadi dia sudah membuat sketsa dengan gadis itu, tak mungkin gadis itu mahu melayannya dengan baik lagi. Sebenarnya pagi tadi dia sengaja mahu menduga gadis tersebut, ternyata pantang di cucuk, terus sahaja melenting! Mungkin gadis itu gemar makan sambal tumis tebuan, mudah sahaja melenting.

“Salah kau juga pagi tadi, budak tu ikhlas nak berbaik dengan kau, kenapa kau tembak dia balik?” Syafiq menggunakan istilah tembak, geram juga melihat rakan serumahnya tadi, buka mudah untuk Aifa berbaik dengan lelaki, tetapi dengan senang-lenang Hakimi kembali mencetus perang.

“Sebenarnya aku sengaja nak duga dia tadi, tak sangka pula aku jolok sikit aje dia dah melenting. Hari-hari makan tebuan gamaknya.” Hakimi melahirkan perkara yang terbuku di hatinya.

“Eloklah tu dua-dua orang keras kepala.” Syafiq memandang Hakimi yang bersandar di pintu. Bagai orang tidak bersalah sahaja riak wajahnya sedangkan dialah yang mencetuskan sengketa pagi tadi.

“Okay, aku balik dulu. Kalau melayan kau orang berdua alamatnya sampai ke malam aku tak makan. Kimi, aku dah tanya Aifa banyak kali tadi, kau makan aje lauk tu, dia tak masukkan makanan laut. Kau jangan risau.” Aizam berlalu pergi selepas meyakinkan Hakimi.

“Jom makan.” Ajak Syafiq apabila melihat rakan serumahnya itu masih tidak berganjak daripada pintu.

“Kau makan ajelah, aku makan di luar nanti.” Alat kawalan jauh dicapainya lantas ditekan.

“Betul kau tak ni?” Syafiq membawa pinggan yang berisi ayam goreng berempah, dia tahu Hakimi gemar makanan itu. Ditayangkan ayam goreng berempah itu di hadapan wajah Hakimi, jelingan tajam Hakimi tidak dipedulikan.

“Sedap tau.” Syafiq masih tidak berputus asa. Seketul ayam diambilnya lantas dimakan di hadapan Hakimi. Bukannya dia tidak nampak lelaki itu menelan air liur apabila dia menayangkan ayam goreng berempah tersebut, Cuma ego lelaki itu sahaja menghalangnya untuk makan!

“Jomlah, aku tahu kau teringin. Kau jangan bimbang aku tak akan beritahu Aifa yang kau makan lauk ni, nanti aku cakap aku makan seorang. Kau Cuma makan mee segera aje.” Syafiq berlalu ke meja makan. Dia tahu sebab rakan serumahnya tidak mahu makan lauk sesedap itu.

“Betul ni?” Hakimi meminta kepastian.

“Betullah.”

“Kau tak tipu?”

“Ya.”

“Kalau kau tipu?”

“Ikut suka kaulah. Aku nak makan, kalau makanan habis kau jangan salahkan aku.” Syafiq mengambil pinggang lantas disendukkan nasi yang sudah dimasak awal-awal lagi. Apabila terpandangkan Hakimi yang sedang melangkah menghampirinya, dia tersenyum kecil. Kalah juga Hakimi rupanya.

Previous: Bab 16
Next: Bab 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.