Home Novel Komedi/Romantik Komedi Aku Alergik Cinta
Aku Alergik Cinta
Ilyana Hani
12/11/2012 22:50:11
200,089
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 22
AIFA bermalasan di atas katil. Esok dia akan kembali bekerja. Aduh, dia harus menghadap muka Hakimi lagi! Dia mendengus, kenapa dia harus selalu berhadapan dengan lelaki itu?

Jam di dinding baru menunjukkan angka 10 malam, tetapi matanya masih belum mengantuk. Mahu menonton televisyen, dia malas untuk bergerak ke sofa walaupun jarak di antara katil dan sofa tidaklah terlalu jauh.

Mahu membaca novel, dia bimbang pula andai selepas membaca dia sukar untuk berhenti. Dia memang pantang bertemu novel, andai sekali tangannya memegang novel dia tidak akan berhenti membaca walaupun dia terpaksa bersengkang mata.

Tiba-tiba Aifa teringatkan sesuatu, dia masih belum online hari ini. Twitterdan facebookmasih belum disentuh hari ini. Kaki yang bagai diikat di katil tadi terus sahaja bingkas bangun. Bagai mendapat semangat baru sahaja lagaknya. Komputer riba jenama Toshiba yang berada disandarkan di tepi dinding dicapainya. Dia lebih selesa menggunakan komputer riba untuk melayari internet berbanding telefon pintar. Kecualilah dia tiada di rumah, sewaktu itu dia akan menggunakan telefon pintarnya. Selang beberapa minit, skrin komputernya sudah pun menunjukkan laman web facebook. Mana tidaknya, Aifa sengaja meletakkan laman web itu sebagai homepage untuk komputer ribanya.

Aifa tersenyum sendiri, ada-ada sahaja rakan alam mayanya itu. Dia melihat jam yang terpapar di skrin komputer ribanya. Tanpa sedar jam sudah menginjak ke angka 11 malam. ‘Ah, malam masih muda!’ Tukasnya lagi. Jari-jemarinya masih ligat bermain di keyboard. Penuh twit yang dilayannya, selang beberapa saat sahaja pasti ada twit terbarunya.

Bosan melayan facebookdan twitter,Aifa beralih kepada blog pula.Satu demi satu blog diintainya terutama blog e-novel. Dia memang gemar membaca novel, biarpun rakannya selalu mengatakan membaca novel bagaikan hidup dalam fantasi tetapi dia tidak ambil pusing. Membaca novel merupakan hobinya, sekurang-kurangnya melalui membaca novel dia dapat menghayati rencah kehidupan watak-watak tersebut yang adakala gembira, sedih, kecewa dan paling menyayat hati terseksa.

Aifa mengeliat malas, matanya kian mengantuk. Namun, jemarinya masih sempat melayan twitter.Itulah kerjaya, log in dan log out sehingga adakalanya rakan-rakan mengatakan dia biskut, sekejap ada dan kemudian tiada. Adakala selepas setengah jam dia akan muncul kembali.

‘Sekarang dah pukul 1 pagi. Sila tidur’

Aifa tertawa apabila dia membaca twitt rakannya. “Dah pukul 1 pagi?” Aifa terkejut, pantas sahaja tangannya menutup komputer ribanya. Aduh, dia pasti kurang tidur lagi!Tidak perlu menunggu lama, baru sahaja dia meletakkan kepala di atas bantal dia sudah terlelap.

AIFA kalut saat terpandangkan jam tangannya, pantas sahaja dia menyusun langkah turun ke bawah.

“Tak makan dulu ke Aifa?” Tegur Puan Anisa apabila melihat Aifa bergegas ke muka pintu.

“Tak sempatlah bu. Aifa dah lambat ni.”

“Sempat lagi, abang pun tengah makan ni. Paling tidak pun minum air dengan roti sekeping pun cukuplah. Tak elok dibiarkan perut kosong tu.” Nasihat Puan Anisa lagi, memang dari kecil lagi dia mengajar anak-anaknya agar tidak meninggalkan sarapan pagi kerana sarapan penting untuk memulakan hari seseorang.

Aifa melangkah malas ke meja makan, sebelum ibunya memulakan tazkirah paginya lebih baik dia makan. Cawan di atas meja yang terisi air milo dihirup sedikit lantas tangannya mencapai sekeping roti. Dicicah roti itu ke dalam air milo, dia sudah malas untuk membakar roti itu. Mahunya dia lambat nanti.

“Bangun lambat lagilah anak dara kesayangan ibu tu. Buat apa semalam sampai lewat bangun?” Aizam bertanya sambil mengemaskan ikatan tali lehernya. Nampak benar adiknya itu terlewat bangun, selalunya dia akan berada di meja makan selepas adiknya tetapi hari ini sebaliknya.

Aifa tahu, kini tiga pasang mata sedang melekat di wajahnya, mencari jawapan. “Baca novel.” Aifa cuba berbohong, wajahnya diubah riak menjadi serius seakan-akan dia bercakap benar. tetapi dia bukanlah pelakon hebat yang membintangi filem-filem, sekejap sahaja lakonannya untuk menipu ibu dan abangnya terkantoi.

“Baca novel ke melayan FB dengan twitter? Semalam abang tengok nama Aifa ada dalam chat list.”

Aifa tersengih, kantoi juga akhirnya!

Okey, Aifa pergi dulu.” Aifa meminta diri selepas dia menghabiskan secawan air milo dan sekeping roti. Dia sudah tidak betah mendengar bebelan yang mungkin tiada penghujungnya. Aduh, mahu luka telinganya mendengar bebelan tidak berbayar abangnya itu!

Aifa melangkah keluar dari rumah setelah menyalami ayah, ibu dan abangnya. ‘Eh, mamat ni tak pergi kerja lagi ke?’ Dahi Aifa berkerut seribu apabila melihat kereta Hakimi masih berada di anjung rumahnya. Selalunya waktu begini Hakimi sudah ke tempat kerja.

‘Takkan cuti? Hari ni kena lawat tapak projek, takkan dia nak tinggalkan aku seorang diri?’ Aifa tidak puas hati! Kenapa Hakimi tidak pergi kerja hari ini?

“Kenapa tengok kereta Hakimi sampai nak tersembul keluar biji mata tu? Hairan kenapa Kimi tak pergi kerja? Dia MC hari ni, penangan tomyam makanan lautAifa.” Kata-kata pedas Aizam mematikan lamunan Aifa. Dia menjeling abangnya sekilas, bingit telinganya apabila Aizam menekan pada perkataan makanan laut. Menangkan Si Kimi tu sangat! Aifa menjuihkan bibir untuk kali kedua kepada Aizam.

“Mengata abanglah tu!” Tebak Aizam, melihat adiknya menjuih bibir sahaja dia sudah tahu perkara yang bertamu di minda adiknya itu. Pasti sedang senang lenang mengatanya.

“Abang ni doktor minda ke? Macam tahu-tahu aje.”

Aizam tersengih saat mendengar soalan tidak masuk akal Aifa itu. “Ada ke doktor minda boleh baca perkara yang orang tengah fikir. Rasanya sampai sekarang tak ada lagi alat yang boleh baca fikiran orang.”

“Malas nak layan abang, nanti lambat sampai ke tempat kerja.” Aifa menjawab malas, kalau dia melayan kerenah abangnya pasti sahaja dia akan sampai ke pejabat pada pukul 9 malam! Dia memboloskan diri ke dalam kereta sebelum menghidupkan enjin kereta. Sengaja dia tidak menutup pintu kereta kerana dia masih belum puas berperang mulut dengan Aizam. Sementara menunggu enjin keretanya dipanaskan, masih sempat andai dia berperang mulut dengan abangnya.

“Nak pergi kerja ke?”

Aifa memandang Aizam dengan pandangan pelik, pagi-pagi mestilah ke kerja. Takkan pergi membeli-belah? “Eh, taklah! Bukan nak pergi kerja tapi nak pergi tengok wayang.” Aifa tersenyum sinis. Nah! Lain yang difikirkan, lain yang terkeluar dari mulutnya.

“Tahulah Kimi cuti, tapi ingatlah dia tu sakit mana boleh pergi tengok wayang.” Usik Aizam.

Tak mungkin dia akan keluar menonton wayang dengan Hakimi! Dalam mimpi pun dia tidak akan menonton wayang dengan lelaki itu! “Aifa pergi dululah, melayan orang angau macam abang memang tak ada noktahnya!”

“Macam mana nak pergi? Tengoklah kereta siapa yang ada di belakang? Nak langgar kereta tu ke?” Aizam berjalan menghampiri adiknya, suka benar dia melihat wajah Aifa yang sudah berubah merah. Bengang barangkali!

Aifa mendengus marah, “cepatlah ubah, Aifa langgar kereta abang baru tahu! Cepatlah! Aifa dah lambat ni.” Aifa membebel, geram rasanya kerana dia dimainkan. Sudah tahu keretanya menghalang perjalanan masih lagi berdiri terpacak seperti tiang.

Aifa merenung tajam Aizam apabila matanya menangkap abangnya itu masih berdiri terpacak seperti tadi. Tiada gaya mahu melangkah langsung. “Abang, cepatlah! Nanti Aifa lewat sampai ke pejabat panas telinga ni nak dengar bos membebel.” Bentak Aifa.

“Nak minta tolong orang tetapi suara garang macam nak cari gaduh. Macam tu ke cara nak minta tolong.” Aizam berpeluk tubuh sambil memandang Aifa. Biar padan muka Aifa, meradanglah di situ sehingga malam.

“Abang, cepatlah! Nanti kita lambatlah.” Bentak Aifa lagi.

“Wah, lembutnya cara minta tolong.” Aizam membalas lembut, sengaja mahu menguji adiknya.

Aifa mendengus geram. “Baiklah wahai Encik Aizam Haziq yang baik hati, penyayang dan kacak, boleh tolong undurkan kereta tak? Saya nak ke kerja ni.” Pinta Aifa lembut sekali, berubah 360 darjah nada suaranya, daripada suara orang sedang mengamuk menjadi suara orang di ulit cinta.

Aizam tersenyum puas, akhirnya mengalah juga adiknya itu! “Macam itulah cara nak minta tolong orang.”

Aifa menjeling abangnya, matanya menatap langkah Aizam yang sengaja dilambatkan. Memang cari nahas betul.

Previous: Bab 21
Next: Bab 23

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.