Home Novel Komedi/Romantik Komedi Aku Alergik Cinta
Aku Alergik Cinta
Ilyana Hani
12/11/2012 22:50:11
200,089
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 14
Aifa masih tekun membuat kerjanya, biarpun dia merasakan badannya seram sejuk, namun dia masih menumpukan pada kerjanya. Sudahlah dia kurang tidur, dibuat pula sketsa air mata dengan abangnya semalam. Kepalanya terasa kian berat, bagai ada batu yang menumpang di kepalanya itu. Rasanya dia hanya tidur satu jam!

“Kau okey ke ni?”

Tanpa melihat orangnya Aifa sudah tahu gerangan orang yang bertanya, siapa lagi kalau bukan Hakimi, dia kena demam kus-kus rasanya, tidak pernah dia mengambil tahu hal dirinya sebegini.

Okey.” Aifa menjawab sepatah, malas mahu memanjangkan perbualan. Tatkala dia perasan Hakimi melangkah menghampirinya, terus sahaja dia memanggungkan kepala yang sebelum ini begitu asyik menyelesaikan kerja.

“Betul ke okey? Pucat aje aku tengok..”

Aifa tersenyum sinis. “Sejak bila pula kau risaukan aku? Selalunya ada aje benda yang kau buat untuk sakitkan hati aku.” Aifa bersuara, langsung tiada riak serba salah dalam tutur katanya. Hakimi tersentak mendengar ayat berupa perlian yang lahir dari mulut Aifa sebelum dia mendengus kuat.

“Bila aku ikhlas kau pula buat perangai. Kenapa dengan kau ni? Kenapa kau selalu ada aje benda yang tak puas hati dengan aku?” Bertalu-talu Hakimi bertanya, kesabarannya kian menipis, dia juga punya ego!

“Diamlah, aku tak suruh pun kau ambil tahu pasal aku! Kenapa kau sibuk sangat?”

Mencerlang mata Hakimi apabila mendengar jawapan kurang beradab Aifa. Dipandang gadis itu dengan pandangan kurang percaya. ‘Gadis ini yang Syafiq katakan lemah-lembut!’ Hakimi tersenyum sinis.

“Kenapa kau senyum macam tu?” Aifa tidak puas hati. Kepalanya terasa kian berat. Apabali melihat mata Hakimi yang kian mencerlang, hilang sakit kepalanya. Mamat itu benar-benar mencari pasal dengannya. Aifa bangun dari duduknya.

“Soalan aku kau belum jawab sekarang ni kau nak menyoal aku pula?”

“Sudahlah malas nak layan kau.” Aifa melangkah meninggalkan Hakimi, namun cepat sahaja tangannya disambar oleh lelaki itu. Erat sekali tangannya dipegang.

“Lepaslah!” Aifa cuba merentap tangannya yang kemas dipegang oleh Hakimi, namun kudrat wanitanya mana mungkin mampu melawan kudrat Hakimi. Dia memandang Hakimi, ternyata anak mata lelaki itu sedang memerhatinya, tajam sekali pandangannya!

“Apa yang kau nak dari aku? Lepaslah!” Aifa mencuba lagi untuk merentap tangannya, namun masih gagal.

“Aku nak tahu satu aje kenapa kau suka sangat cari pasal dengan aku?”

“Ikut suka hati akulah, lagipun aku rasa kau pun sama aje suka sangat cari pasal dengan aku.” Bentak Aifa tidak puas hati, mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih!

Hakimi kian mendidih mendengar jawapan daripada Aifa. Semakin kuat dia mencengkan tangan gadis itu.

“Sakitlah!” Aifa merintih.

“Hati aku lagi sakit, ada aje benda yang kau buat supaya hati aku sakit!” Suara Hakimi kian kuat.

“Kau tu pun sama!” Bentak Aifa.

“Hakimi! Aifa!” Serentak mereka berdua memandang ke arah datangnya suara itu.

“Kenapa dengan kauorang ni? Macam mana kalau big boss nampak? Jadi kes lain nanti. Sudahlah.” Tegas sekali suara Amira, perlahan-lahan dia melangkah menghampiri pasangan ‘kaki gaduh’ itu. Hakimi melepaskan tangan Aifa.

Tanpa kata Aifa melangkah meninggalkan Hakimi dan Amira. Baru setapak melangkah, kepalanya terasa kian berat. Pandangannya semakin kabur.

“Aifa!”

Aifa rebah, pandangannya terus gelap.

AIFA membuka matanya perlahan-lahan, ibunya sedang tersenyum memandangnya.

“Sayang dah sedar.” Puan Anisa mengelus lembut rambut anaknya.

“Aifa di mana ni?” Dia hairan, seingatnya dia masih di pejabat tadi dan baru sahaja bertengkar hebat dengan Hakimi sebelum mereka berdua ditegur oleh Amira agar berhenti bergaduh.

Aifa cuba mengingati kembali setiap perkara yang berlaku, berkerut dahinya cuba mengingati kembali. ‘Ya, aku ingat!’ Desis hatinya. Dia kembali mengulang tayang perkara yang berlaku, saat dia melangkah meninggalkan Hakimi dan Amira, dapat dia rasakan kepalanya kian berat. Sudahnya dunianya kian gelap dan apabila sedar dia sudah berada di atas katil.

“Aifa.” Lamunannya terhenti saat mendengar namanya dipanggil. Dia memandang ibunya.

“Aifa nak makan? Ibu ada masakkan bubur.” Lembut Puan Anisa bertanya. Aifa menggeleng, jujurnya dia sama sekali tiada keinginan untuk makan sekarang ini biarpun perutnya sedang berkeroncong hebat. Persolana siapa yang menghantarnya ke sini benar-benar menghilangkan terus seleranya.

“Makanlah sikit, nanti perut masuk angin lagi susah.”

Melihat wajah ibunya yang begitu sabar memujuk, kepala Aifa mengangguk sedikit, terkesan juga riak risau di wajah itu. Puan Anisa berjalan keluar dari bilik anaknya, dia ingin menyenduk bubur untuk Aifa.

“Ibu.”

Puan Anisa menoleh memandang Aifa. Dilihat wajah yang kian segar itu, tidak seperti tadi pucat!

“Siapa yang hantar Aifa balik ke rumah?”

“Hakimi dan Amira.”

Jawapan yang didengar benar-benar melegakan. Sekurang-kurannya dia tahu Amira ada bersama. Aifa mengambil telefon bimbitnya, dia perlu menelefon Amira untuk mengucapkan terima kasih.

Aifa terus sahaja memberi salam saat talian disambungkan.

“Aifa dah sedar ke?” Tanya Amira selepas menjawab salam.

“Belum, ini Aifa bercakap dalam mimpi.” Aifa masih mahu menyakat rakan sekerja memerangkap bekas senior universitinya dulu. Amira tertawa di hujung talian.

“Ada-ada aje budak ini, kalau mulut dah becok macam tu maknanya dah sihatlah ya.”

“Akak, terima kasih ya sebab hantarkan Aifa balik tadi.” Ikhlas Aifa mengucapkan terima kasih, budi Amira sama sekali tidak sama nilainya dengan bergunung permata.

“Benda kecil aje Aifa. Lagipun akak cuma tolong bawa kereta Aifa balik rumah aje. Kimi yang banyak tolong tadi.”

Bagai mahu gugur jantung Aifa saat mendengar pernyataan Amira. Hakimi yang membantunya? Oh, tidak!

“Kimi?” Sepatah Aifa bertanya, hairan juga apa yang Hakimi lakukan.

“Yalah Kimi, dia yang bawa Aifa balik rumah. Dia ingat nak bawa Aifa ke klinik tapi akak larang sebab akak tahu Aifa ada doktor peribadi. Sebab itulah akak suruh dia bawa Aifa balik rumah aje, boleh doktor check di rumah. Lagipun Aifa dah biasa dengan doktor tu.” Terang Amira. Muka Aifa sudah berubah rona, andai sahaja ini bukan panggilan telefon, mana dia mahu menyorokkan mukanya? Malu!

“Kimi yang bawa Aifa balik?” Bagai orang ‘kurang cerdik’ Aifa mengulang kata-kata Amira, dia tidak percaya bahawa lelaki itu masih sanggup menolongnya.

“Yalah Kimi, dari tadi asyik sebut nama Kimi aje ni. Rindu dia ke?” Amira tertawa kecil.

“Ada-ada aje akak ni. Akak, terima kasih lagi sekali.”

“Aifa tak perlu ucap terima kasih pada akak, lagipun akak tolong sikit aje. Kalau nak berterima kasih, ucap pada Kimi. Dia yang paling banyak membantu.”

Aifa terdiam, kata-kata Amira ada betulnya. Biarpun acap kali sahaja dia mencari gaduh dengan lelaki itu tetapi Hakimi masih sanggup menolong sewaktu dia dalam kesusahan. Entah mengapa hatinya terasa sayu.

“Itu dia Kimi, kejap ya akak bagi telefon pada dia.” Belum sempat Aifa menahan, telinganya sudah menjamah perbualan antara Hakimi dan Amira. Dari butir percakapan mereka, Aifa dapat menangkap bahawa Hakimi enggan berbicara dengannya.

“Hello.” Serak suara itu benar-benar mengejutkannya. Hampir sahaja terlepas telefon bimbit daripada pegangannya.

“Hakimi.” Panggil Aifa, perlahan sekali suaranya. Ucapan terima kasih bagai terlalu sukar untuk diluahkan, sedangkan selama ini lancar sahaja dia menyebutnya. Dia bagaikan kanak-kanak kecil yang baru belajar bercakap.

“Kalau suruh pass handphone pada aku semata-mata nak sebut nama aku, lebih baik tak payah. Setakat sebut nama, dah hari-hari aku dengar.” Aifa tersentak, terhenti lamunannya mendengar tutur kata Hakimi. Biarpun dia tidak berhadapan dengan Hakimi saat ini, namun dia dapat merasakan bahang kehangatannya. Pasti sahaja Hakimi dengan panas hati dengannya.

“Hakimi, thanks for everything. Kak Amira cakap kau banyak tolong tadi, terima kasih banyak ya. Lagi satu tentang pagi tadi, aku nak minta maaf sangat-sangat.” Tergagap-gagap Aifa berbicara, nadanya seperti kurang yakin.

Sorry and thank you, both words are easy to say but do you really mean for it?” Tergamam Aifa mendengar tutur kata Hakimi. Masih marahkah lelaki itu dengannya? Belum sempat Aifa bersuara, talian sudah dimatikan. Aifa mengeluh, sesalnya kian berganda. Mengapa kerap sahaja dia menyakitkan hati lelaki itu?

Puan Anisa masuk ke dalam bilik Aifa bersama-sama semangkuk bubur dan secawan milo panas. Diletakkan dulang yang berisi mangkuk dan cawan itu di atas meja di sisi katil Aifa.

“Ibu suapkan ya?” Lembut Puan Anisa bertanya. Dia melihat anak gadisnya itu. Ingin sahaja dia mengetahui punca anaknya jadi seperti ini.

Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.