Home Novel Komedi/Romantik Komedi Aku Alergik Cinta
Aku Alergik Cinta
Ilyana Hani
12/11/2012 22:50:11
200,074
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 26
HAKIMI berjalan ke mejanya, setelah beberapa hari bercuti jiwanya bagaikan malas untuk melangkah semula ke kerja. Pagi tadi pun hampir-hampir sahaja dia terlewat bangun, dia bernasib baik kerana pagi tadi Syafiq mengetuk pintu biliknya bagaikan mahu roboh.

“Kimi, dah sihat ke?” Sapa Amira.

“Alhamdulillah, semakin sihat. Tapi tak tahulah kalau hari ini tersalah makan lagi.” Sengaja Hakimi menekankan pada perkataan tersalah makan, dia tahu Aifa dapat menangkap perbualan antara mereka. Saat ekor matanya dapat menangkap jelingan tajam Aifa, hatinya sudah bersorak gembira. Pasti gadis itu terasa dengan kata-katanya tadi. Padan muka, baru dia tahu penangan Ikmal Hakimi.

“Boleh pula tersalah makan. Kau tu yang patut hati-hati. Kalau dah tahu diri tu alah dengan makanan laut janganlah makan, memang cari nahas betullah kau ni. Lain kali hati-hati sikit.” Bebel Amira lagi. Tiba-tiba Hakimi terasa bagai mahu mengambil pita pelekat di atas meja Amira dan melekat mulut wanita itu. Kerjanya membebel 24 jam tanpa usul periksa. Andai sahaja sehari 25 jam, pasti dia akan berleter 25 jam. Itulah kerja wanita bernama Amira!

Hati Aifa kian berdetak kencang, gaya Hakimi bercakap bagai mahu membocorkan rahsianya. Aifa menghirup sedikit air Nescafe yang masih berasap nipis, dia terasa mahu lari sahaja saat ni tetapi kakinya bagaikan digam di lantai. Bertenang Aifa, bawa bertenang! Pujuk hatinya.

“Kalau aku hati-hati sekali pun tetapi orang tipu aku nak buat macam mana? Sabar ajelah.” Tutur Hakimi selamba, matanya dilirik kepada Aifa. Sengaja dia mahu melihat reaksi gadis itu. Hampir sahaja dia menghamburkan tawanya saat melihat Aifa hampir tersedak mendengar kata-katanya. Biar, memang sengaja dia menuju kata-kata itu kepada Aifa.

“Kenapa kau cakap macam tu?” Amira masih bertanya, adakah orang mahu menipu mengenai makanan? Dia terfikir lagi, berkerut dahinya memikirkan kata-kata Hakimi.

“Aku dah pesan pada orang yang masak tu jangan masukkan makanan laut dalam tomyam, tetapi dia sengaja masukkan. Lepas tu bila aku tanya dia cakap dia tak masukkan pula. Bengang juga aku.”

Aifa terasa bagaikan susah dia mahu menelan air liur, Hakimi menujukan kata-kata itu kepadanya. Aduh, janganlah rahsia itu bocor! Rasanya telinganya pasti tidak tahan kalau mendengar bebelan Amira andai gadis itu mengetahui dialah yang memasakkan tomyam itu kepada Hakimi.

“Kau makan di kedai ke?” Tanya Amira lagi.

Tiba-tiba Aifa terasa jantungnya bagai berhenti berdegup. Janganlah si Hakimi mengaku perkara yang betul.

“Aku makan di kedai, geram jugalah waktu tu. Rasanya aku dah pesan jangan masukkan makanan laut tapi kedai tu masukkan juga.” Sekali lagi Hakimi melirik ke arah Aifa, dia dapat melihat muka gadis itu seakan-akan tersenyum kecil. Mungkin sahaja dia lega mendengar pengakuan Hakimi yang menyembunyikan rahsianya sebentar tadi.

“Rasanya dari tadi aku perasan kau asyik curi-curi tengok Aifa aje. Kenapa ya? Ada benda kau sembunyi dari aku ke? Ataupun tak lama lagi aku dapat nasi minyak kau orang berdua.” Giat Amira, anak matanya menangkap batang tubuh Aifa yang masih tercegat berdiri di sisi mejanya. Pantas sahaja dia mengatur langkah ke arah gadis itu, sengaja mahu mengusik gadis itu. Dia tahu Aifa pantang mendengar nama Hakimi dikaitkan dengan dirinya.

“Nasi minyak dengan minah ni? Tolonglah, lebih baik aku bagi kau makan beras mentah daripada aku bagi nasi minyak aku dengan dia.” Hakimi menambah perisa perang mulut antara dia dan Aifa. Kakinya turut sama melangkah ke meja Aifa. Biar Aifa merasakan bahang kehangatan amarahnya!

“Akak ni ke situ pula, kalau dengan mamat ni bagi percuma pun Aifa tak ingin.”

“Habis kau ingat aku nak sangat ke? Kalau orang bagi upah pada aku untuk kahwin dengan kau pun aku tak inginlah!” Tambah Hakimi lagi. Perang mulut mereka sudah bermula kembali. Ya, inilah tabiat Aifa dan Hakimi apabila berjumpa.

“Kau orang ni macam anjing dengan kucinglah, asyik bertekak aje. Orang tua-tua cakap jangan selalu gaduh orang benci orang tau. Takut nanti perasaan benci tu tukar jadi sayang. Pernah dengar tak tentang perasaan benci dan sayang hanya dipisahkan oleh tembok pengadang yang nipis. Hanya senipis kertas, sebab itulah orang tua-tua tak bagi kita bencikan orang, takut nanti tembok tu runtuh terus aje kita sayang orang tu. Dari benci jadi suami nanti.” Amira sudah mengeluarkan falsafah cintanya, orang angau seperti Amira memang begitu rasanya.

“Suami? Tolonglah! Aifa nak suami yang gagahlah. Kalau setakat tersalah makan pun dah alah, bukan dalam senarai Aifa.” Tutur Aifa lagi, sengaja dia menghantar pandangan sinis ke arah Hakimi. Biar lelaki itu bertambah bengang. Pandangan mata mereka beradu, jantung Aifa kian kencang, malah sekencang larian pelumba sukan SEA yang sedang berlari 100 meter. Aifa seakan kaku apabila Hakimi melangkah ke arahnya.

“Kau cakap aku lembik? Kau nak tryke? Malam ni juga aku hantar rombongan meminang.” Bisik Hakimi perlahan hanya sekadar sampai ke pendengaran Aifa sahaja. Buntang mata Aifa apabila mendengar tutur kata Hakimi. Gila ke mamat ni? Aifa terkedu, salahnya juga kerana tidak menjaga mulut.

Amira berdeham, sengaja dia berpeluk tubuh di hadapan pasangan merpati dua sejoli itu? Opsss sejolikah? Entahlah, tunggu dan lihat sahaja! “Kau bisik apa tu Kimi?”

“Rahsia, musuh ketat aku aje yang boleh tahu!” Balas Hakimi lagi, matanya masih tertatap pada raut wajah pucat Aifa. Tahu takut!

“Musuh ketatlah sangat, jangan sampai suatu hari nanti aku dapat kad kahwin kau orang sudahlah. Waktu tu akak jadi pengapit Aifa. Wow, so romantic!Waktu tu akak kasi pakej bulan madu ke Paris. Mesti Aifa sukakan?”

“Paris? Wah, menarik tu! Aku tuntut betul bila aku kahwin dengan Aifa nanti.” Selamba Hakimi membidas Amira. Bukannya dia tidak perasan Aifa menjegilkan biji matanya, biarlah! Asalkan dendamnya terbalas, dia tahu Aifa tidak akan melebih di hadapan Amira.

“Aku salah dengar ke Kimi? Kau nak tuntut bila kau kahwin dengan Aifa nanti? Kau dah rancang nak kahwin dengan Aifa? Wah, berita hangat ni! Pasangan musuh ketat akhirnya berkahwin dan berbulan madu di Paris.”

“Manusia hanya merancang, Allah yang menentukan.” Hakimi masih memuntahkan pandangannya ke arah Aifa, gadis itu hanya menundukkan wajah. Baru dia tahu mainan Hakimi, pasti gadis itu sedang malu kini ataupun sedang mengutuk dirinya. Biarlah ada aku kisah!

“Kalau jodoh tak ke mana, betul tak Kimi? Aku doakan kau akan bertemu jodoh dengan Aifa.” Jujur Amira berkata, dia memang mendoakan agar pasangan itu bertemu jodoh, mereka memang sesuai andai dipadankan berdua.

“Mungkin dia tulang rusuk kiri yang aku cari selama ni. Macam kau cakap, kalau dah jodoh tak ke mana.” Tambah Hakimi lagi.

Aifa terasa bagi mahu menjerit meminta lelaki itu berhenti dari berpura-pura, bukannya dia tidak tahu maksud sebenar lelaki itu.

“Romantiknya, jealousaku!” Amira tertawa senang hati.

“Aku tuntut janji kau nanti.”

Aifa terkesima, benarkah Hakimi yang menuturkan kata-kata itu? Menuntut janji? Aduh, sudah gilakah lelaki ini? Sebentar tadi beria-ria dia mengatakan andai diberi upah sekalipun dia tidak mahu berkahwin dengan dirinya tetapi kini dia menuntut janji tiket bulan madu! Memang sah Hakimi MC bukan hanya kerana alahan kulit tetapi juga alahan otak!

Previous: Bab 24

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.