Home Novel Komedi/Romantik Komedi Aku Alergik Cinta
Aku Alergik Cinta
Ilyana Hani
12/11/2012 22:50:11
200,052
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
bab 19
WAJAH Hakimi dipandang geram, panas hatinya ternyata sudah sampai di tahap infiniti. Lelaki yang sedang duduk di sofa dipandang dari atas sehingga bawah, dipandang lelaki itu dengan pandangan marah, geram, benci tetapi yang nyata bukan kasih!

“Tadi sms bukan main, sekarang bila berdepan mulut dah bisu.” Aizam bersuara. Aifa terkedu, dia terasa bagaikan kakinya tidak jejak tanah. Bibirnya bergerak perlahan ingin mengatakan sesuatu tetapi kata-kata ibu bagaikan tersekat di kerongkong.

“Minah gengster memang macam tu, berlagak berani aje. Hakikatnya hampeh nampak katak pun dah terjerit-jerit takut.” Sempat lagi Hakimi memerli Aifa. Masih segar di ingatannya sewaktu mereka melawat tapak projek minggu lepas, Aifa menjerit saat dia terlihat katak puru melompat menghampirinya. Tetapi jeritannya itu bagaikan orang yang terlihat harimau yang ingin membaham mangsanya.

“Hoi!” Syafiq menjeling Hakimi, geram kerana kelancangan mulut rakannya itu. Dia fikir dengan kedatangan mereka ke sini hubungan musuh ketat itu akan kembali pulih tetapi kini bagaikan kian panas.

“Aku rasa abang aku silap besar! Sepatutnya kau yang kena minta maaf dengan aku bukan sebaliknya.” Aifa bersuara keras, dipandang wajah Hakimi bagai ingin ditelan musuhnya itu saat ini juga!

“Siapa yang cari pasal sekarang ni?” Aifa bertanya, hilang segannya. Tanpa rasa bersalah dan perasaan malu dia bertekak di hadapan Syafiq dan Aizam.

“Kau yang mula dulu.” Tuduh Hakimi. Saat Aizam ingin bersuara, Syafiq menggeleng perlahan, biarlah mereka meluahkan rasa sakit hati mereka saat ini, biar mereka keluarkan segala yang terbuku. Mungkin ini cara yang terbaik, biar tiada lagi dendam di hati mereka.

“Kau nak tuduh aku pula! Pagi tadi aku ikhlas nak minta maaf tapi apa yang kau cakap? Kau perli aku balik.” Bentak Aifa.

Hakimi bangun dari duduknya, dihampiri gadis yang sedang bertikam lidahnya dengannya. “Sebenarnya aku saja nak tengok sama ada kau ni betul-betul dah berubah ke belum. Aku cucuk kau sikit aje tapi kau dah melenting. Memang betullah kau ni gangster, ganas!”

“Yalah itu, entah-entah kau saja beri alasan. Lelaki macam kau ni bukan boleh harap! Kaki kelentong, depan aje baik tetapi belakang perangai mengalahkan penyangak!” Aifa merenung tajam Hakimi, hatinya kian berapi. Tanpa sedar jaraknya dengan lelaki itu hanya tinggal beberapa jengkal.

“Kau ingat semua lelaki sama macam bekas tunang kau ke? Jangan sebab seorang lelaki buat perangai buruk kau cakap semua sama. Rambut aje sama hitam tapi hati lain-lain. Aku nak tegaskan lagi sekali, rupa macam kau ni memang tak sesuai jadi perempuan. Ganas!” Hambur Hakimi.

“Apa kau cakap? Aku tak dengar!” Sengaja Aifa menambah api kemarahan Hakimi. Biar lelaki itu penat untuk berbicara dengannya.

Hakimi menghampiri Aifa. “Aku cakap kau ni ganas! Tak ada langsung ciri-ciri wanita sejati. Kalau bagi percuma dekat aku belum tentu aku nak.” Walaupun dia memperlahankan suaranya seakan-akan berbisik, setiap bait perkataan yang dituturkan Hakimi jelas sampai ke pendengaran Aifa. Malah lelaki itu seakan-akan berbisik di telinganya. Bisikan yang hanya dapat didengari oleh dirinya sahaja, terlalu perlahan dan hampir. Ya, hampir! Dia terkedu melihat jarak antara mereka. Terlalu dekat, sehinggakan hangat hembusan nafas Hakimi terkesan di wajahnya.

Anak mata lelaki itu dipandang, redup sekali pandangan itu. Tidak seperti tadi penuh dengan api kemarahan, mungkin suasana antara mereka yang kian kendur membuatkan mata itu kian redup. Mungkin juga bicara lelaki tadi yang seakan berbisik membuatkan matanya turut sama menghayati tiap bait yang dituturkan. Aifa terkedu, tidak pernah dia melihat redup mata itu dengan begitu dekat seperti ini. Entah mengapa hatinya tiba-tiba berdegup kencang. Mungkin takutkan Hakimi ataupun mungkin takutkan redup mata itu bisa membuai perasaannya agar kembali seperti masa dahulu, kembali tanpa dendam yang tersimpan lama, kembali tanpa prinsip yang tidak masuk akal.

Hakimi turut sama terkedu, baru sebentar tadi dia melihat wajah berang wanita di hadapannya. Baru sebentar tadi juga dia melihat anak mata milik wanita itu mencerlang hebat memandangnya, penuh kebencian. Entah mengapa dia merasakan anak mata itu kian redup, sayu memandangnya. Hatinya turut sama berdegup kencang.

“Ehem.” Aizam berdeham dan ternyata dia berjaya mengembalikan dua insan yang sedang asyik melayan perasaan itu ke alam nyata. Seraya itu Hakimi merasa tubuhnya ditolak kuat oleh Aifa. Dia melihat gadis itu, kurang percaya bahawa gadis itu yang menolaknya tadi! Wajah gadis itu dipandang, ternyata wajahnya kembali seperti asal, wajah berang!

“Abang suruh minta maaf aje bukannya tenung anak teruna orang! Kau pun sama Kimi, aku suruh kau minta maaf bukannya tenung anak dara orang. Hai, nampak gayanya ada orang tu cinta bilang benci.” Sengaja Aizam menekankan pada perkataan cinta, sengaja mahu menduga kedua-dua insan di hadapannya. Mungkin sumpahan benci mereka sudah menjadi cinta? Siapa tahu? Keranalah itulah orang tua selalu menyebut ‘Jangan membenci seseorang, kelak perasaan itu yang akan memakan diri kita kembali.’

“Cinta? Dengan mamat sengal ni? Kalau abang bagi pilihan bercinta dengan dia atau kahwin dengan katak puru, Aifa lebih rela kahwin dengan katak puru. Untung-untung katak tu boleh bertukar jadi putera raja.” Aifa berpeluk tubuh, hatinya kembali panas seperti tadi.

Hakimi tertawa besar, nampak benar pemikiran Aifa seperti kanak-kanak. Masih mempercayai cerita dongeng. “Kau ingat kau hidup waktu zaman dahulu ke? Cium katak puru boleh tukar jadi putera raja?”

“Sekarang ni, kau orang berdua dengar sini. Tujuan kami buat begini supaya hati kau orang yang keras mengalahkan batu ni jadi selembut sutera bukannya jadi lagi keras.” Syafiq yang hanya menjadi penonton sedari tadi kini sudah mula bersuara, pening melihat gelagat kepala batu dua insan di hadapannya.

“Aku berbaik dengan dia? Perang dunia ke sepuluh meletus pun belum tentu aku nak.” Bentak Aifa, keras sekali bunyinya.

“Kau ingat aku ingin sangat?” Hakimi juga bersuara, tegas.

“Aifa Nabila, duduk.” Arah Aizam. Terkedu Aifa mendengar suara Aizam yang sudah bertukar menjadi singa itu. Abangnya sukar untuk marah tetapi andai sekali melenting, jangan dibuat main. Aifa terus melabuhkan punggungnya di sofa, tidak mahu melawan lagi.

“Kau pun sama duduk.” Aizam memandang Hakimi. Ternyata lelaki itu juga tergamam, dia tidak menyangka suara Aizam akan berubah riak seperti itu.

“Sekarang ni aku dah tak nak dengar apa-apa dari mulut kau orang. Apa-apa yang terpendam di hati tu, aku rasa ada baiknya kau orang luahkan pada diari. Nanti tak adalah bising macam ni. Pasar borong pun tak bising macam ni, tahu tak?” Aizam memandang Aifa dan Hakimi sekilas sebelum menyambung bicara. “Aku nak sekarang ni Ikmal Hakimi dan Aifa Nabila tolong minta maaf secara ikhlas. Kedua-dua orang perlu minta maaf! Tiada lagi alasan, faham?”

Aifa hanya mengangguk. “Bagus.” Tutur Aizam saat melihat kepala adiknya terangguk-angguk bersetuju. Pandangannya dialihkan kepada Hakimi pula. “Kau macam mana pula Kimi?”

“Aku tak bersalah. Aku tak akan minta maaf dengan dia ni!”

“Kau nak aku bakar rumah kau ke Kimi?” Ugut Aizam.

“Kenapa rumah aku jadi mangsa pula?”

Last warning Kimi. Aku dah muak dengar kau dengan Aifa bergaduh, sekarang ni aku nak kau orang berdua saling bermaafan.”

“Hari ini bukannya hari raya, tak perlulah nak minta maaf.” Hakimi berbicara dalam riak selamba.

“Siapa ajar kau hari raya aje kita boleh minta maaf? Lepas tu kalau kita buat salah bukan waktu raya maknanya kita kena tunggu hari raya tahun depanlah? Budak-budak pun tahu kalau buat salah kita kena minta maaf.” Sinis Aizam bersuara.

“Tapi aku tak bersalah.” Hakimi masih berdegil, Syafiq menggeleng kepala melihat kedegilan rakan serumahnya itu. Susah betul!

“Mungkin dari luaran kita tengok kau tak bersalah pada Aifa, tetapi dalaman? Kau tahu ke andai dia pernah terasa dengan kata-kata tajam kau tu? Aku nak kau ingat satu aje, kalau kita tinggalkan suruhan ALLAH atau kalau kita buat perkara yang dilarang, kita akan mendapat dosa. Kita perlu buat solat taubat nasuha dan minta keampunan dari ALLAH. Kalau kita benar-benar ikhlas dan kita bertekad tak akan buat lagi perbuatan tu, insya-Allah taubat kita akan diterima. Tetapi kalau berdosa dengan manusia, kau perlu memohon maaf daripada orang tu dulu. Sebab itulah kalau seseorang itu mencuri, dia perlu memohon maaf dan memulangkan dahulu barang yang dicuri baru taubat dia diterima. Kau fahamkan maksud aku?”

Hakimi terdiam. Sudahnya dia mengangguk bersetuju.

“Aku minta maaf. Aku tahu selama ini aku banyak sakitkan hati kau. Aku minta maaf sangat-sangat. Lagi satu tentang masakan tu aku mengaku memang aku sengaja nak kenakan kau.” Aifa tertunduk.

“Aku pun nak minta maaf juga. Aku sedar kata-kata aku selama ini macam pedang, tajam selalu aje menusuk hati kau. Aku minta maaf.”

Aizam dan Syafiq tersenyum saat insan di hadapan mereka saling bermaafan, lega hati mereka sekarang. Tidak perlu menunggu lama, Aifa dan Hakimi meminta diri. Aifa melangkah ke bilinya dan Hakimi pulang ke rumahnya. Apabila dia mengajak Syafiq lelaki itu menyuruh dia pulang dahulu.

“Lega hati aku sekarang.” Aizam meluahkan rasa hatinya. Lega melihat adiknya dan Hakimi kini aman.

“Harap-harap maaf mereka itu berkekalan, jangan sehari dua aje.” Aizam memandang Syafiq, tidak percaya rakannya itu akan menuturkan kata seperti itu.

“Kau ni sepatutnya kau doakan yang terbaik. Pelan kita macam mana?” Hakimi bertanya, dia benar-benar ingin tahu.

Settle, tengok oranglah beb!”

“Kalau tak jadi siap kau!”

Previous: Bab 18
Next: bab 20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.