Home Novelet Keluarga Selagi Ada Cinta...Kasih
Selagi Ada Cinta...Kasih
PurpleAdnan
8/6/2014 00:23:34
37,561
Kategori: Novelet
Genre: Keluarga
Senarai Bab
10

Dia tiba di Perhentian Medan Kidd, dia memerhati jam. Bas yang dinaiki tiba agak awal, dia mengeliat sikit sakit pinggangnya duduk di atas bas tadi. Bunyi hon kereta membuatkan dia menoleh. Dia tersenyum bila melihat lambaian tangan abang dan adiknya. Segera dia melangkah ke arah kereta Proton Iswara itu.

“Lama tunggu?”

“Baru je. So, bila adik balik dari asrama?” tanyanya.

“Pagi tadi. Elok juga adik balik, kat asrama bukan ada apa-apa aktiviti pun.”

Si abang menekan pedal minyak dan meninggalkan Perhentian Medan Kidd. Mereka melintasi bangunan Mahkamah dan Perpustakaan. Dia gembira dapat pulang ke rumah. Dia pun dah berbulan tak pulang ke rumah atuk dan nenek, kalau ada cuti dia selalu menghabiskan masa dengan menyertai camping, seminar atau apa saja aktiviti agar dia tak perlu pulang ke rumah. Bukan apa, dia tidak mahu membazir duit dan dia pun tak nak susahkan nenek dan atuknya. Dia tahu kalau dia balik ke rumah tu tentu sekali nenek dan atuknya sibuk buat itu dan ini. Dia mengeluh dan menyandarkan diri di kusyen kereta. Mereka sudah pun masuk ke dalam kawasan kampung. Kampung Manjoi itulah nama kampungnya, kata orang Kampung Manjoi kampung Melayu terbesar di Asia Tenggara. Entah iya atau tidak. Dia sudah tiba di halaman rumah, dia segera keluar dari perut kereta dan menyalami kedua orang tua yang sudah melangkah keluar ke laman rumah.

“Lama sungguh kau tak balik, Irul. Nenek rindu dengan kamu ni!”

“Kerja banyak ni, tambahan sekarang musim ujian. Masak apa? Irul, lapar,” suaranya sedikit manja.

“Jom, cucu nenek. Alahai! Kasihan.... lapar ye! Mari ke dapur, nenek buat laksa kegemaran kamu.”

Dia tersenyum dan memimpin neneknya ke dapur.

“Alah! Manjanya... nenek tu habis hatilah abang Irul dah balik. Sampai Alid dah dilupakan. Siapa sebenarnya cucu bongsu? Alid ke abang Irul?”

Abang sulungnya memegang kepala adiknya, mereka ketawa besar.

“Angah, Andak ada telefon tak tok?”

“Andak aja yang telefon tadi. Petang sat lagi baru tiba, ada hal nak di selesaikan dulu katanya tadi.”

Si abang mengangguk dan berlalu keluar untuk mengambil beg adiknya. Si adik pula sibuk melayari Internet di laptop milik abangnya.

Dia menjawab panggilan telefon yang berdering dibilik, tetapi mengeluh kerana tidak sempat menjawa kerana panggilan terputus sebaik sahaja diangkat. Dia merengus. Dia berlalu ke radio Hi-Fi dan memutarkan suaranya. DJ radio Red 104.9 sedang rancak berbual.

Api dah menjadi bara

Bara menjadi debu

Mawar indah yang setangkai

Layu dan berguguran

Begitulah ibarat cinta

Terjalin sementara[1]

Dia membaringkan dirinya di atas katil sambil mulutnya kumat kamit menyanyikan lagu itu. Dia mengalihkan badannya ke kanan, kemudian dia bingkas bangun kerana selepas Maghrib akan diadakan kenduri. Segera dia menutup radio dan berlalu untuk membantu. Sudah lama rumah ni tak mengadakan kenduri, seingatnya kali terakhir rumah itu mengadakan kenduri tahun lepas kerana dia dapat melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi tersebut. Dia menuju ke ruang depan, kelihatan adiknya sedang menvakumkan karpet yang ada sebelum digulung, manakala abang-abangnya sedang mengangkat sofa keluar.

“Angah bila sampai tak sedar pun?”

“Baru je, Irul. Dah kurus ni, kenapa? Tak cukup makanan ke kat Shah Alam?”

Dia hanya ketawa dengan gurauan abangnya.

“Andak tak datang ke?” tanyanya.

“Siapa kata Andak tak ada...?” satu suara kedengaran dari arah dapur. Mereka bertiga menoleh, dia meluru dan memeluk abangnya kemudian menyalami tangan abangnya itu.

“Andak kalau balik sini tak sah kalau tak meluru ke dapur. Tengoklah comotan di bibirnya tu. Tah apa yang dia rasa tadi?”

“Jangan jealous pulak, abang. Biasalah kuih nenekkan 1st class. Macam tak tahu.”

“Jangan nak banyak cakap, nih tolong kemas ni!!!” arah si abang.

Mereka bertiga mengangkat tabik dan memulakan kerja mengemas untuk kenduri malam nanti.

Kebanyakan ahli masjid sudah pun berlalu pulang, begitu juga dengan makcik-makcik yang menolong nenek mereka tadi. Dia melihat abang kedua dan ketiganya berbual dengan para tetamu yang berbaki manakala abang sulungnya sibuk mengemas di bahagian luar rumah. Dia mengeluh dan mendekati abang sulungnya.

“Hmm... dah makan?”

“Kejap lagi lah. Abang bila agaknya saya nak dapat kakak ipar?”

“Hai! Apa hal tanya soalan tu pada abang?” suara abang sulungnya dan duduk di sisinya. Dia ketawa kecil.

“Iyalah, angah dah bertunang. Andak pun dah berpunya, cuma abang saja yang solo. Masih bujang! Carilah. Takkan kena langkah bendul pulak?”

“Merepek kau ni! Lelaki mana ada langkah bendul!”

Dia ketawa kecil dan menggaru kening kirinya.

“Lelaki tak ada langkah bendul ke!?”

Si abang cuma ketawa dengan gelagat si adik dan menggelengkan kepalanya. Mereka mengeluh. Telefon bimbitnya berdering, dia lihat nama Karina di skrin.

“Hello? Ina! Hmm... kat kampung. Oh! Happy birthday... sorry tak ada hadiah, kenapa tak beritahu awal-awal. Okay...jumpa nanti. Bye!”

Si abang berdehem, dia tersengih.

“Girlfriend?”

Dia menggelengkan kepala.

“Kawan biasa saja, cuma dia tu perempuan.”

Dia tersengih lagi.

“Habis tu yang tersengih tu kenapa?”

Dia tersengih lagi dan berlalu untuk masuk ke dalam. Dia menuju ke dapur dan melihat neneknya sedang membungkuskan makanan, mungkin wanita itu sedang membahagikan makanan untuk diberikan kepada jiran terdekat. Dia duduk disisi wanita itu dan melihat makanan yang sedang dibungkuskan itu.

“Banyak lagi lauknya nenek?”

“Adalah lebih lagi, ini semua untuk diberi pada jiran. Tak habisnya kalau letak kat rumah ni.”

Dia mengangguk dan bingkas bangun.

“Nanti suruh Alid datang dapur, nenek nak suruh dia hantar pada jiran-jiran. Kalau Andak ada panggil dia sekali.”

“Okay, nek!”

Dia menghampiri adiknya yang ralit menonton TV dan menyuruhnya ke dapur.

“Andak, nenek panggil ke dapur.”

“Kenapa?”

Dia cuma mengangkat bahunya sebagai jawapan. Dia melihat abang dan adiknya menuju ke dapur. Dia pasti neneknya menyuruh abangnya untuk menghantar lauk ke rumah saudara mara mereka yang jauh.

Jam sudah hampir 1 pagi, kelihatan kesemua abangnya keletihan begitu juga adiknya. Maklumlah hari ini mereka kuat memerah tenaga, di dapur masih kelihatan nenek sedang berkemas. Dia melangkah ke dapur.

“Apa hal nenek masih berjaga ni?”

“Nak kemas ni, esok boleh buat kerja lain pulak. Kenapa tak tidur lagi?”

“Belum mengantuk lagi nek. Tak apa biar Irul teman nenek kat dapur ni, jangan risau kalau Irul mengantuk nanti Irul masuklah bilik,” suaranya.

“Suka hati kamulah, cu.”

Isnin menjelma, dia terpaksa menapak ke kuliah. Cuaca mujur tidak terlalu panas, tiba-tiba terasa begitu malas sekali untuk ke kuliah. Tambahan kerana terpaksa meninggalkan kampung... tak bermakna rasanya pulang selama sehari. Tiada kenikmatannya. Dia mengeluh, lenguh kakinya mendaki tangga. Nafas ditarik dalam-dalam. Langkahnya terhenti sebaik sahaja namanya dilaung, entah siapa agaknya melaungkan namanya. Dia menoleh, terkejutnya melihat sekujur tubuh menghampiri. Terkebil matanya memandang keceriaan wajah orang itu. Dia telan air liur.

“Hai, seronok balik kampung? Kenduri bertunang ke? Siapa?”

“Saya?”

Dia dapat lihat wajah gadis itu berubah dan kerutan di dahi merisaukannya.

“Awak..?” lemah saja suaranya.

Dia ketawa kecil dan menggelengkan kepalanya, wajahnya serasa merona.

“Bukanlah kenduri doa selamat saja. Panik?” tanyanya.

“Awak jahat tau. Buat terkejut saya! Eh! Ada kuliah ke?” suara Karina manja.

“Iya. 2 jam. Malas betul kelas waktu pagi. Awak nak ke mana?”

“Lab. Nak proses gambar... hmm...okaylah saya jalan dulu. Kalau kita lunch sama, okay tak?” tanya gadis itu.

“Lunch. Kita ke?”

Karina mengangguk dan menunjuk dia dan dirinya. Dia mengeluh dan berfikir kemudian dia mengangguk.

Dia dapat lihat tubuh Karina di hadapan dewan kuliah. Segera dia menghampiri, beberapa orang teman senyum-senyum memandangnya dan ada yang menepuk bahunya. Ada yang mengusiknya. Dia segera menarik tangan Karina menuju ke cafe. Dia malu dilihat teman-teman sekelas, sungguh menghairankan selalunya lelaki ingin menunjuk-nunjuk teman wanitanya terutama yang cantik jelita macam Karina tetapi dia lain kalau boleh dia nak sorok. Entah terasa rendah diri pula, semua kena Karina gadis kaya yang popular. Langkahnya berderap laju dan tangannya masih dipergelangan tangan gadis itu. Dia menghentikan langkah dan nafas ditarik sebelum dihela pantas. Baru dia tersedar...

“Eh! Maaf terpegang...”

Karina tersipu malu dan menggeleng cuma. Dia menundukkan kepala.

“Irul, tanya sikit kenapa mereka tadi...”

“Iyalah, mereka hairan saya kawan dengan budak part 5, MassCom pulak tu!”

“Salah ke?”

“Tak, saya tak ramai kawan perempuan luar dari kelas saya.”

Karina tersenyum.

“Ina, kalau saya tanya.... tolong jangan marah!”

Karina merenung wajahnya, kemudian mengangguk laju.

“Kenapa semua kata awak sombong. Mereka kata saya dah ilmukan awak supaya jadi kawan saya,” tanyanya.

Karina memandang wajahnya, dia kelihatan sedikit terkejut. Dia telan air liur, dia harap Karina tidak salah sangka akan pertanyaannya tadi. Dia cuma ingin penjelasan. Dilihat Karina menghela nafas berat.

“Mungkin kerana status saya.”

Status? Agaknya juga, maklumlah anak Tan Sri la katakan. Dia tengok muka Karina serius sekali, dia tak berani nak bersuara. Dia faham.

“Saya simpati dengan keadaan awak. Saya pun nak minta maaf kerana menyusahkan diri awak, Ina. Saya tak sangka...:”

“Apa yang awak cakapkan ni, Irul. Itu bukan disebabkan awak berkawan dengan saya atau kerana awak miskin. Parent saya tak kisah saya kawan dengan siapa. They’re great. Mereka faham... walaupun mereka kaya bertaraf Tan Sri tetapi...”

Dia mengangguk. Dia memandang Karina, kata-katanya tidak dihabiskan.

“Sebenarnya ini melibatkan pemikiran orang itu sendiri. Mungkin bagi mereka orang kaya macam saya ni perlu berlagak sombong, hidung tinggi mencecah langit. Masalahnya saya orang biasa. Bukannya dewi!”

“Ina, kita susah nak menukarkan pemikiran orang. Mereka hanya nampak pada luaran sahaja. Manusia lah katakan.”

Karina tersenyum. Dia mengeluh. Sekurangnya dia sudah mendengar penjelasan gadis itu dan apa yang difikirkan sudah dinyatakan. Tak sangka gadis seperti Karina ini begitu terbuka. Sikap gadis itu memang sesuai sekali dengan wajahnya yang ayu, untung sekali siapa yang memilihnya.

“Awak renung saya macam tu sekali. Apa yang menariknya?” suara gadis itu. Dia terkejut, renungannya disedari oleh Karina.

“Ma...maaf. Saya tak sengaja, cuma sedang berfikir. Tak ada niat lain.”

Karina tersenyum dia tunduk. Malu barangkali. Dia menghela nafasnya, dia perlu menjaga matanya itu. Bahaya sekali tindakannya merenung wajah manis itu. Tapi memang rugi kalau tak mengambil kesempatan itu, gadis itu memang cantik. Kulitnya...

“Irul?” suara Karina. Dia tersedak, gadis itu sudah menangkapnya kali kedua.

“Saya... Awak.... Uh!!! Aduh!”

Karina ketawa kecil, ditundukkan wajahnya lagi dan dihadang dengan tangan kirinnya.

“Uhm! Saya balik dulu. Kejap lagi ada kelas... Maaf!”

Karina mendongak, ada calit kerisauan di wajahnya.

“Jangan marah iya!”

“Susah nak marah dengan orang cantik. Ops! Mmm... tak apalah. Saya minta diri dulu. Maaf!”

Karina senyum dan mengangguk. Dia menghela nafas dan berlalu. Dia memarahi dirinya, kenapalah tak boleh berlagak macho depan gadis itu. Selalu sangat tergeliat lidah ni. Dia mengutuk dirinya.

“Irul, cun awek kau. Amboi...pilih orang popular je. Oi! Susah nak jaga perempuan cun ni.”

“Memang famous minah tu. Kaya dan lawa. Untung kau! Jaga baik-baik....”

“Tom, Adi kalau tak kacau tak sah ye!”

Mereka berdua ketawa.

“Amboi date tadi. Hebat. Ayat apa yang kau guna? Budak MassCom tu!” suara seseorang dibelakangnya.

“Siti, jangan nak perli tau. Kawan la. Lama dah kenal dia,” suaranya. Mereka semua ketawa, pensyarah mula masuk dan matapelajaran yang sedang diajar berlangsung.

Dia mengadap monitor komputer, dia cuba untuk menaip sesuatu tetapi dia tidak tahu nak mulakan ayatnya. Dia mengeluh, ditutup laptopnya dan berlalu ke arah koridor. Roslan muncul, dia kelihatan penat.

“Penat betul muka kau?”

“Biasalah KESATRIA. Patah pinggang aku... menyesalnya.”

Dia ketawa dengan gelagat temannya. Apa nak buat dah naik jadi komanden ni. Nasiblah kau, Lan. Dia mula melangkah dan menghampiri laptopnya. Akhirnya dia mula menaip, nampaknya perenggan pertama untuk kertas kerjanya sudah bermula dan dia rasakan ide mula mencurah masuk. Dia melihat rangka-rangka untuk kertas kerja dan jari jemarinya menaip terus tanpa henti. Mujurlah dia sudah belajar menggunakan sistem menaip semuanya berjalan dengan lancar.

“Irul, kau ni menaip tak sedar sekeliling. Aku tengok kau macam dah bertapa kat katil aku tu. Amboi mentang-mentang ada laptop tu! Oii! Udahlah, dah nak masuk Maghrib dah ni. Irul! Pekak ke apa dia ni?” Khalid bersuara.

“Mamat ni nak berhaibernasi ke kat bawah tu?” suara Suhail.

“Kalau iya pun nak berhaibernasi, buat dikatil sendiri la. Oii!” suara Khalid lagi. Aziz menghampiri dan dia melihat apa yang temannya menulis. Dia melihat muka surat yang sudah temannya taip.

“Panjangnya, kau buat kertas kerja ke buat tesis? Masyallah sampai 22 mukasurat.”

Dia terkejut.

“Ide dah datang mencurah, beb! Apa hal. Aku busy!”

“Busy kepala hangguk kau. Dah Maghrib! Berhenti. Solat! Karang terlepas payah...” suara Khalid cermin matanya di cuci.

Dia mengeliat dan menggosok tengkuknya. Dia menggaru kepalanya, dia keluar dari katilnya. Dia memandang jam, benarlah sudah jam 7: 38 malam. Dia menguap. Dia menutup laptopnya. Tuala disangkut ke bahunya.

“Kalau telefon aku berbunyi tak yah angkat.”

“Kenapa kau takut kitorang dengar suara Karina ke? Bagilah peluang kitorang dengar suara awek kau!”

“Bukanlah. Bila masa Karina awek aku... Apa-apalah korang ni! Dah aku nak mandi. Tak kuasa nak layan korang. Blah!”

Dia berlalu, biliknya riuh mengejeknya.



[1]Luka Seribu Rindu - Fotograf

Previous: 9
Next: 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.