Home Novel Komedi/Romantik Komedi NENEK ROCK
Bab 15

PUTU MAYAM MUTHU

Pati Lakshmi semakin galak ketawa. Kata-kata Nek Ros dirasakan amat lucu dan menggeletek hatinya.

“Saya bersalah kerana syak yang bukan-bukan pada dia.” Suara Pati Lakhsmi tiba-tiba bertukar nada. Keceriaan yang baru nak dirasa, terselubung mendung.

“Dahlah. Dia memang lelaki yang baik. Dia memang tak pernah berpaling kepada wanita lain selain awak. Dia sahabat yang baik kepada kami sekeluarga. Jay memang sangat sayangkan Murthy. Awak tengok beberapa bulan dia tak mampu nak sebut nama Murthy dengan baik tanpa air mata,” kata Nek Ros sambil menepuk bahu Pati Lakhsmi.

Pati Lakhsmi mengeluh perlahan. Dia cuba tabahkan hati. Suaminya Murthy sudah lama pergi.

“Kita nak ke mana dulu?” tanya Nek Ros cuba mengalihkan topik.

“Saya belum bersarapan. Kita sarapan dulu. Awak dah sarapan?”

“Dah. Nurlisa masa nasi lemak. Tapi, tak salah untuk saya makan sekali lagi demi awak. Awak nak makan apa?” Nek Ros terus memandu.

“Putu mayam.”

“Putu mayam Muthu?”

“Ya. Saya rindukan putu mayamnya yang lembut. Lama saya tak makan. Sejak Murthy tak ada, saya tak pernah ke sana lagi,” jawab Pati Lakhsmi dengan suara perlahan. Dia seperti menahan sebak.

“Baik. Baik. Jangan sedih. Saya akan bawa awak ke sana. Cik Minah akan setia dengan kita. Muthu pun tentu rindukan awak. Saya sukakan karinya. Saya nak makan banyak-banyak!” kata Nek Ros, cuba menutup pintu sedih yang mula terbuka di hati Pati Lakhsmi.

Perjalanan ke Restoren Muthu di tengah-tengah bandar memakan masa hanya 10 minit kerana jalan raya tidak sesak. Pelanggan di restoren itu memang sentiasa penuh. Mereka masuk dan duduk dengan selesa. Kemudian seorang pelayan datang mengambil pesanan.

“Sepuluh keping putu mayam, sepuluh keping idli. Kopi O panas, dua.” Nek Ros membuat pesanan tanpa bertanya kepada Pati Lakhsmi.

Pelayan itu angguk dan berlalu.

“Ros! Awak nak buat kenduri ke?” tanya Pati Lakhsmi separuh menjerit. Dia tidak menyangka kalau Nek Ros akan memesan sebanyak itu. Wajahnya nampak gusar.

“Pati, kata nak makan. Kita makanlah kenyang-kenyang. Awak juga kata dah lama tak makan putu mayam kan?” Nek Ros kerdipkan mata, mesra.

“Yalah, memang saya dah lama tak makan. Tapi kalau sampai sepuluh keping, tak larat saya. Lepas tu awak order idli lagi!” balas Pati Lakhsmi dengan mata yang dijengilkan.

Nek Ros ketawa.

“Putu mayam dan idli tu bukannya tebal sangat. Tak apalah, kita makan saja. Kalau tak habis, kita bungkus bawa balik. Jay pun suka makan idli ni. Kalau ada tosai, lagi dia suka.”

Pati Lakshmi terpaksa mengalah. Dia diam menunggu.

“Ayoyo! Saya lupalah Ros.” Tiba-tiba Pati Lakhsmi menepuk dahi.

“Apa dia?”

“Hari tu, Jay ada datang rumah saya dan minta saya masakkan tosai dan idli untuk dia. Dia kata dia rindukan tosai dan kari saya.”

Nek Ros tersenyum.

“Apa kata kita beli tosai dan idli dan bawa balik untuk dia. Jadi awak tak payah nak susah-susah. Awak tu pun bukannya kuat sangat,” kata Nek Ros.

“Ish! Janganlah. Jay nak makan yang saya buat. Kalau nak beli, dia tak minta dengan saya. Tak apa. Nanti hari ni kita beli kacang. Nanti saya buat,” tingkah Pati Lakhsmi pula.

Tidak lama, makanan yang dipesan sampai.

“Wah! Sedapnya bau,” kata Nek Ros menghidu bau kari dan bau putu mayam yang masih panas itu.

“Awak tak nak kelapa dan gula merah untuk dicicah dengan putu mayam ni?
tanya Pati Lakhsmi.

“Tak. Saya suka makan dengan kari. Kalau awak nak, mintalah.”

Nek Ros mula menyuap dengan bismilah. Pati Lakhsmi ikut menyuap.

“Hello aci! Lama tak nampak? Mana aci pergi?” tegur seorang lelaki India yang berdiri di hadapan meja mereka. Mereka berdua mengangkat muka. Lelaki itu sebaya Atuk Jay.

Pati Lakhsmi menjawab dalam Bahasa Tamil. Namun, Nek Ros faham maksud perbualannya. Dari muda bercampur dengan keluarga Murthy, membuatkan dia faham sedikit sebanyak bahasa perbualan mereka.

“Aya, saya ada. Cuma susah nak keluar. Tak ada orang nak bawa.”

“Anak-anak ada kan?”

“Mereka semua kerja. Ada urusan masing-masing. Saya tak nak kacau mereka,” jawab Pati Lakhsmi.

Lelaki itu senyum dan berlalu meninggalkan meja mereka.

“Siapa tu?” tanya Nek Ros sambil mengunyah putu mayam dengan penuh selera.

“Itulah Muthu.”

“Muthu mana?”

“Muthu, taukeh putu mayam ni. Awak tak kenal dia?”

Geleng.

“Dah makan putu mayam dia sejak dulu, tapi awak tak kenal siapa yang buat putu mayam ni,” kata Pati Lakhsmi. Senyuman menguntum di bibir.

“Jadi dia taukeh restoren ni?”

Angguk.

Handsome macam Sivaji. Nasib baik saya dah ada Atuk Jay. Kalau tidak, tergoda saya!”

“Kalau awak tergoda dengan dia, hari-hari awak boleh makan putu mayam.”

Ketawa mereka pecah berderai. Suasana sangat santai dan ceria.

Melihat Nek Ros makan dengan penuh berselera, Pati Lakhsmi ikut berselera. Mereka makan putu mayam lima keping seorang. Kemudian mereka makan idli, juga lima keping seorang.

“Alhamdulillah, kenyang betul.”

“Awak nak lagi? Saya boleh pesan lagi,” kata Pati Lakhsmi sambil menyengih.

“Kalau Muthu tu yang datang temankan saya makan, mungkin boleh masuk lima keping lagi ni!” gurau Nek Ros.

“Hoi! Gatal juga awak ya! Kalau Jay tahu, habislah awak!”

Mereka mengekek lagi.

“Ada orang sebut nama saya ke?” Satu suara menegur. Ketika mereka mendongak, mata mereka bertembung dengan mata Muthu yang berdiri tersengih-sengih.

Nek Ros dan Pati Lakhsmi berpandangan. Kemudian, mereka ketawa.

“Muthu, Ros ni peminat awak. Dia suka sangat dengan putu mayam awak ni,” kata Pati Lakhsmi.

Wajah Nek Ros kemerahan. Tiba-tiba dia rasa sangat malu.

“Terima kasih akak kerana suka dengan putu mayam saya,” balas Muthu sambil tunduk hormat.

“Memang saya sangat suka. Dulu masa mendiang Murthy ada, kami selalu bersarapan di sini. Sejak dia tak ada, saya pun dah jarang datang.”

“Jadi akak memang dah selalu datang makan di sini?”

“Dulu sebulan sekali mesti datang. Saya dah gila habis dengan putu mayam dan kari ni.”

“Macam mana saya tak cam wajah akak ya. Hanya wajah aci ni yang saya ingat,” kata Muthu.

“Pelanggan awak ramai. Mana awak nak ingat semua. Lagipun, saya ni dari kapal yang lain. Bukan saudara sekapal dengan awak,” balas Nek Ros.

Muthu ketawa mendengar kata-kata Nek Ros itu.

“Tambah lagilah. Kali ini saya belanja,” kata Muthu selepas ketawanya usai.

“Ish! Cukuplah. Lain kali awak belanja ya,” balas Nek Ros pula.

Muthu berlalu pergi. Ketawa mereka bersambung.

“Agaknya dia pun berkenan dengan awak tak?” Pati Lakhsmi berkata separuh berbisik.

“Saya berkenankan putu mayamnya, bukan Muthunya!” jawab Nek Ros dengan ketawa yang semakin segar.


Previous: Bab 14
Next: Bab 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.