Home Novel Komedi/Romantik Komedi NENEK ROCK
Bab 6

NENEK vs PATI.

KENANGAN cinta Awang masih menyentuh hati Nek Ros. Apa lagi bila terpandangkan sepohon bunga melor yang ada di halaman rumah. Itulah kubur Awang. Atuk Jay yang tanamkan Awang dan dia yang tanamkan pokok bunga melor itu.

“Awang dah tak ada. Buat apa aku nak ingat-ingat lagi. Dia dah bayar harga sebuah cinta dengan nyawanya. Kesian dia,” bisik Nek Ros perlahan.

Sudah seminggu rumah itu sepi. Nurlisa ada singgah menghantar lauk setiap hari dalam perjalanan pulang dari pejabat. Darwis pula setiap hari juga akan menelefon bertanya khabar. Ezani yang ada di Kuching pun sama. Paling sibuk pun, dia pasti akan menelefon dua hari sekali. Alhamdulillah, Nek Ros bersyukur di dalam hati kerana dia diberikan anak-anak yang baik dan penyayang. Semuanya tidak pernah mengabaikan kebajikannya.

Azan asar berkumandang. Dari anjung rumah, Nek Ros segera masuk ke dalam. Sejak muda, waktu solatnya memang terjaga. Jarang terlambat kecuali ada keuzuran atau dalam perjalanan.

Solat asar usai. Seperti biasa, Nek Ros keluar ke halaman. Deretan pasu-pasu bunga dalam taman mini ciptaan Atuk Jay adalah tempat dia berlibur santai di kala sunyi. Ada sebuah buaian kayu tempat dia dan Atuk Jay menghabiskan hari petang sambil menunggu maghrib. Dia merenung buaian itu. Tergambar jelas di ruang mata, mereka duduk di buaian itu sambil berbual-bual. Kadang-kadang membaca buku. Kalau ada cucu-cucu yang datang, di situ juga tempat mereka melayan cucu.

“Helo Ros! Apa bikin tu?” Satu suara menegurnya. Nek Ros menoleh. Jirannya Lakhsmi atau lebih dikenali dengan panggilan Pati Lakhsmi oleh penduduk taman itu, berjalan ke arahnya dengan tongkat di tangannya. Pati dalam bahasa Tamil bermakna nenek. Lakhsmi adalah seorang nenek seperti dia juga. Malah cucu-cucunya lebih ramai dan berjaya dalam kerjaya masing-masing.

“Eh, kenapa awak keluar ni Lakhsmi. Awak tu kan kurang sihat?” Nek Ros bangun dan berjalan ke arah Pati Lakhsmi lalu memimpinnya duduk.

“Rimas saya Ros, asyik duduk dan baring je. Lenguh badan saya ni,” rungut Pati Lakhsmi.

“Habis awak nak buat apa lagi. Kita ni dah jadi warga emas. Dah namanya emas, kena duduk diam dan disimpan rapi.” Nek Ros ketawa.

“Kalau emas tak apa, orang simpan kerana orang sayang. Ada masa harga naik. Saya ni asyik harga turun je. Mungkin emas celup agaknya?”

Ketawa mereka pecah, menyegarkan petang.

“Ros, tanya sikit boleh tak?” Pati Lakhsmi menepuk bahu Nek Ros dengan mesra.

“Tanyalah. Awak dengan saya, tak perlu nak minta izin. Selain anak cucu saya, awak adalah keluarga terdekat saya.”

“Bila Jay nak balik?”

Nek Ros diam. Dia melepaskan pandangan kepada pokok bunga melor yang sedang memutih bunganya. Ia mengharumkan kubur si Awang. Kalau malam, harum bunga itu akan semerbak hingga ke dalam rumah.

“Maaflah kalau saya kasi awak susah hati, Ros.” Pati Lakhsmi menarik tangan Nek Ros dengan rasa bersalah.

“Eh, tak ada apalah,” kata Nek Ros membetulkan perasaan sahabatnya itu.

“Habis awak diam dan termenung tu? Saya jadi takut.”

“Saya termenung sebab saya tak ada jawapan untuk soalan awak. Saya tak tahu bila dia nak balik. Saya tunggu saja.”

“Ros, awak masih untung kerana masih ada Jay. Macam saya ni, dah tak ada apa-apa. Hidup kerana Tuhan masih nak saya hidup. Tapi sebenarnya jiwa saya dah mati bersama-sama Murthy,” kata Pati Lakhsmi perlahan.

Nek Ros tahu kesepian hati wanita itu. Seperti dia juga. Sejak Atuk Jay pergi, dia hilang arah. Namun dia tidak mahu kalah dengan permainan rasa. Dia melawan semuanya dengan tabah.

“Awak tak ke sana, jumpa dia?” tanya Pati Lakhsmi lagi.

Nek Ros menggeleng.

“Awak tak rindu dia?”

“Lakhsmi, isteri mana tak rindukan suaminya.”

“Kalau macam tu, awak pergilah jumpa dia.” Pati Lakhsmi berkata dengan ragu-ragu. Matanya tidak lepas memandang wajah Nek Ros.

Nek Ros mengeluh. Dia tahu niat kata-kata Pati Lakhsmi tulus. Mereka sudah lama berkawan. Dia sudah lama mengenali wanita India itu. Sejak berpindah ke taman itu. Sejak anak-anak mereka masih kecil dan bersekolah. Usia mereka juga sebaya, masuk enam puluh. Banyak perkara dikongsi bersama. Nek Ros senang berkawan dengan Lakhsmi kerana kejujurannya. Sungguhpun berlainan bangsa dan agama, mereka saling menghormati.

“Dahlah Lakhsmi. Jangan fikir pasal dia. Dia pun tak pernah fikirkan pasal saya.”

“Mana awak tahu dia tak ingat awak?”

“Kalau ingat, dia dah balik. Dia tak akan pergi begitu lama,” jawab Nek Ros perlahan. Dia terasa dadanya panas dan bergelora. Dia menahan.

“Sebenarnya saya suka tengok awak berdua. Masa Murthy masih hidup dia pun selalu kata dia suka tengok awak dan Jay. Kalau awak naik motor besar tu, Murthy akan ajak saya pergi ke kedai motor,” kata Pati Lakhsmi dengan ketawa kecil.

“Nak buat apa?” tanya Nek Ros, hairan.

“Pergi beli motor. Dia teringin nak naik motor besar dan keliling taman macam awak berdua. Dia kata nak jadi loving couple macam awak berdua,” jawap Pati Lakhsmi dengan ketawa yang makin kuat. Kali ini Nek Ros ikut ketawa. Lebur semua resah.

“Tapi, saya tak nak naik motor.”

“Kenapa? Awak takut?”

“Bukan takut. Tapi saya tak sanggup nak tukar sari ni dengan seluar panjang atau jeans. Boleh pengsan saya, kalau suruh buka sari ni,” kata Pati Lakhsmi dengan ketawa semakin meleret panjang.

“Awak ni ada-ada saja Lakhsmi,” kata Nek Ros, masih ketawa.

“Jujurnya, saya memang suka dengan awak Ros. Awak ni cergas, ceria dan baik hati. Saya tengok awak punya muka, hati saya sangat senang. Kita sama umur. Tapi, tengoklah awak. Macam orang muda. Baju, seluar dan kasut awak, tak macam orang umur enam puluh. Saya nak jadi macam awak. Tapi... ”

“Tapi awak tak nak tukar sari dengan seluarkan?” potong Nek Ros dengan ketawa. Pati Lakhsmi ikut rasa senang. Ketawa Nek Ros sesegar orangnya.

Mereka diam seketika. Masing-masing melayan fikiran sendiri.

“Pati! Pati!” Kedengaran satu panggilan dari rumah Lakhsmi.

“Hah, cucu awak dah panggil tu,” kata Nek Ros sambil menjengah ke sebelah.

“Itu suara Aru. Dia ni memang tak boleh berenggang langsung dengan saya. Kadang-kadang saya rimas juga. Asyik nak berkepit saja. Tapi, kadang-kadang saya suka sebab hanya dia yang suka ambil tahu hal saya. Orang lain semua sibuk.”

Nek Ros angguk perlahan.

“Ros, sebenarnya saya datang ni ada hal nak minta tolong sama awak,” kata Pati Lakhsmi sambil menarik tangan Nek Ros.

“Apa dia Lakhsmi?”

Pati Lakshmi keluarkan sebuah kotak kecil dari kendung sarinya.

“Saya nak awak tolong saya simpan kotak ini, Ros. Ini adalah barang-barang kemas milik saya hadiah dari mendiang suami saya.” Pati Lakhsmi menghulurkan kotak itu kepada Nek Ros.

“Tapi, kenapa saya? Kenapa awak tak berikan kepada anak menantu atau cucu-cucu awak. Awak tak boleh buat macam ni Lakhsmi,” kata Nek Ros sambil menolak huluran itu.

“Ros, awak kawan saya sejak muda. Saya lebih percayakan awak dari mereka. Saya tak nak cerita lagi pasal perangai anak menantu saya. Saya cuma nak awak tolong saya. Ini saja bekal saya untuk hari mati saya. Tolonglah saya Ros... ” rayu Pati Lakhsmi dengan penuh harap. Tangan Nek Ros dipegang. Kotak itu diletakkan di tapak tangan lalu digenggamkan kuat.

“Saya masih tak faham apa maksud awak ni?”

“Kalau terjadi apa-apa kepada saya, awak tolong jualkan barang-barang ni dan berikan kepada mereka untuk uruskan mayat saya. Awak tahu, kalau saya berikan mereka simpan saya bimbang mereka akan jual sebelum saya mati.”

Nek Ros masih termangu-mangu. Hairan dan cuak silih muncul.

“Tapi... ”

“Ros, jangan bertapi dengan permintaan saya ni. Tolonglah... ” rayu Pati Lakhsmi lagi. Kali ni Nek Ros tidak mampu menolak lagi. Dia tahu ‘huru-hara’ yang berlaku dalam keluarga sahabatnya itu. Anak menantu sering bergaduh sesama sendiri gara-gara berebut duit pencen dan harta benda yang ditinggalkan mendiang Murthy.

Pati Lakhsmi bangun. Dengan tongkatnya dia melangkah meninggalkan Nek Ros yang masih menggenggam kotak kecil itu.

“Ros, saya sayang awak!” Tiba-tiba Pati Lakhsmi melaung dari pintu pagar rumahnya yang bertentangan.

“Saya juga sayang awak!” laung Nek Ros pula.

Mereka berbalas senyum. Dua hati bergetar riang.

Nek Ros duduk semula di buaian. Fikirannya masih belum beralih dari kotak kecil di tangannya. Dia merenung kotak itu.Kalaulah anak menantu Lakhsmi tahu hal itu, tentu dia akan dimaki hamunnya. Hatinya mula bimbang.

Serta merta dia menepis kebimbangan itu. Dia terbayang wajah mendiang Murthy yang sentiasa senyum. Wajah seorang suami dan ayah yang jarang marah. Dia teringat permintaan Pati Lakhsmi yang bersungguh-sungguh.


Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.