Home Novel Komedi/Romantik Komedi NENEK ROCK
Bab12

URAT DAWAI TULANG BESI

Hujung minggu hari yang meriah di rumah dua tingkat milik Atuk Jay itu. Walaupun tidak semua cucu yang datang bercuti, namun ia tetap meriah. Nurlisa hanya datang bersama Haziq. Kali ini Quratul’Aini tidak datang sebab ada tugasan yang perlu disegerakan. Amir Asyraf pula masih berada di PLKN.

Darwisy datang bersama isterinya Marni dan dua anaknya Hana Humaira dan Ainun Najwa. Siti Aqilah ke Langkawi bersama rombongan sekolah. Walaupun hanya tiga orang cucu yang ada, riuhnya mengalahkan sepuluh orang.

Petang itu di halaman rumah, Atuk Jay melayan Haziq bermain bola. Sebiji bola kecil dikejar bersama. Berkali-kali Haziq terjatuh. Berkali-kali pula dia bangun dan menyapu-nyapu sikunya.

“Apa ni Ziq, asyik jatuh je. Tengok atuk ni. Tak jatuh. Kuat. Ada urat dawai tulang besi!” kata Atuk Jay dengan ketawa.

“Hah? Bila atuk pasang? Ziq nak pasang juga,” kata Haziq pula, menahan mengah.

“Pasang apa?” Atuk Jay berhenti berlari. Dia menyeka peluh yang menitik di dahi. Sungguh segar bila dapat keluarkan peluh seperti itu. Dia termengah-mengah.

“Pasang urat besi. Pasang tulang dawai. Tak sangka, atuk ni keturunan robot.”

Atuk Jay ketawa berdekah-dekah. Seluruh halaman itu segar dengan gema tawanya. Nek Ros yang sedang berbual dengan Nurlisa dan Marni di taman mini ikut menoleh.

Melihat suaminya ketawa kuat begitu, dia bangun dan berjalan ke arah mereka.

“Abang, ada apa? Apa yang lucu sangat ni?”

Atuk Jay menoleh. Sambil ketawa dia menunjuk ke arah Haziq.

“Ziq, kenapa?” tanya Nek Ros kepada Haziq pula. Anak yang berumur sepuluh tahun itu menggaru-garu kepala. Dia bingung. Kemudian dia mengangkat bahu, tanda tidak tahu.

Nek Ros membiarkan Atuk Jay ketawa sepuas-puasnya. Dia ikut rasa segar dengan ketawa itu. Sudah lama halaman itu tidak riuh dengan suara gurauan Atuk Jay bersama cucu-cucunya.

“Ziq, ceritakan dengan nenek apa yang Ziq nak pasang tadi,” suruh Atuk Jay.

Ketawa Atuk Jay membuatkan Haziq tersipu malu. Dia tidak tahu apa maksud ketawa itu. Namun dia tahu, dia mesti sudah tersalah cakap.

“Atuk kata, urat dia dawai. Tulang dia besi. Sebab tu atuk kuat dan susah jatuh. Jadi Ziq nak pasang juga macam atuk. Atuk keturunan robot...” jawab Haziq dengan ragu-ragu.

Nek Ros tersenyum. Sebenarnya dia ingin ketawa. Tetapi selepas melihat wajah Haziq yang kebingungan, dia menahan ketawanya.

“Poyonya cucu nenek ni,” kata Nek Ros sambil menepuk bahu Haziq.

“Salahkah apa yang Haziq cakap nek?”

“Memang salah. Mana ada atuk ni keturunan robot. Kamu ni dah besar. Takkan belum tahu kiasan bahasa. Urat dawai tulang besi tu maknanya orang yang kuat. Itu cuma bandingan sahaja. Haziq... Haziq...” Nek Ros menggelengkan kepala.

“Dah mari main lagi. Atuk belum letih ni,” ajak Atuk Jay pula.

“Nek... ” rengek Haziq.

“Kenapa pula? Penat?” Nek Ros menyapu kepala cucunya.

“Haus. Nak air,” jawab Haziq dengan manja.

Nek Ros berjalan ke arah pintu dapur.

“Kenapa dengan atuk dan cucu tu mak?” tegur Marni ketika Nek Ros melintasi tempat itu.

“Atuk buat lawak. Cucunya lurus bendul. Poyo!” jawab Nek Ros sambil mencebik. Dia menyambung langkah. Namun beberapa langkah sahaja, langkahnya terhenti.

“Mak!” Nurlisa menjerit dengan ketawa.

“Kenapa?” Nek Ros menoleh.

“Mak pandai cakap poyo! Itu bahasa budak remaja. Mana mak belajar ni?” tanya Nurlisa di celah ketawa.

“Ya ke? Mak baca novel. Mak dengar budak-budak kat taman tu cakap.”

“Mak ni...” kata Marni menantunya, juga dengan ketawa.

Nek Ros segera masuk ke dapur. Dia membuka peti sejuk dan mencapai sebuah jag yang sudah dibancuh jus buah-buahan.

Ketika Nek Ros keluar membawa jag itu, kelihatan Atuk Jay dan Haziq masih berkejaran berebut bola. Mereka ketawa dan kelihatan sangat riang. Tiba-tiba muncul iri dalam hati Nek Ros.

“Haziq, boleh nenek main sama?” tanya Nek Ros ketika Haziq sedang menggelecek bola dari kaki Atuk Jay. Haziq berhenti. Dengan terkejut dia menoleh.

“Nenek pandai main bola ke?” tanya Haziq.

“Eh, atuk tak cakap ke dengan Haziq?” tanya Nek Ros pula.

“Nenek dulu main bola untuk wakil sekolah ke peringkat negeri.”

“Ya ke atuk?”

Atuk Jay mengangguk dengan senyuman. Kemudian dia mengenyit mata kepada Nek Ros. Mereka saling berbalas kenyitan dan senyuman.

“Wah! Kenapa selama ini Haziq tak tahu?”

“Sebab nenek tak nak tunjuk terror dengan Haziq. Nenek tak nak Haziq kalah dan menangis,” jawab Nek Ros, masih tersenyum.

“Jom kita main sama-sama. Ziq nak tengok cara nenek main. Kalau okey, bolehlah nenek jadi coach pasukan Ziq nanti.” Giliran Haziq pula tersengih-sengih. Serta merta dia berlari sambil menggelecek bola kecil yang ada di kakinya.

Suasana semakin gamat. Nek Ros, Atuk Jay dan Haziq berebut-rebut bola.

“Ya ALLAH, mak!” laung Nurlisa sambil melambaikan tangan.

Ketika itu Ainun Najwa dan Hana Humaira muncul dengan ketawa juga. Mereka bersorak dan bertepuk tangan, memberi sokongan kepada Nek Ros yang sedang lincah berlari mengejar bola dari kaki Atuk Jay.

“Wah! Pandainya nenek!” jerit Hana Humaira sambil menutup mulut, menahan ketawa.

“Kejar nek! Kejar nek!” Ainun Najwa pula bersorak sambil melompat-lompat.

Keriuhan itu membuatkan Pati Lakhsmi menjengah dari pagar rumahnya. Tiba-tiba dia teringin untuk ikut bersama-sama dalam pesta keluarga jiran dan sahabat baiknya itu. Dengan tongkat, dia berjalan ke arah rumah Nek Ros.

“Wah, meriahnya! Ros! Jay! Apa awak buat ni?” jerit Pati Lakshmi, menyeringai ketawa.

“Pati, nenek dan atuk main bola. Pati nak main juga?” tanya Ainun Najwa sambil memimpin Pati Lakshmi dengan mesra.

“Najwa, pati sakit kaki. Kalau tak, nak juga pati lari kejar bola tu,” jawab Pati Lakhsmi.

“Lakshmi! Marilah. Letak tongkat awak tu kat tepi tu sekejap. Nanti ambil balik!” Atuk Jay melaung kuat.

Pati Lakhsmi membalas ajakan itu dengan senyuman. Hatinya tumpang gembira melihat sahabatnya berbahagia dengan cucu-cucunya.

Tidak lama, mereka berhenti. Semua menyerbut ke arah jag minuman yang ada. Nek Ros segera duduk di sebelah Pati Lakshmi.

“Saya nampak awak gembira sangat lepas Jay balik. Wajah awak dah merah. Saya suka tengok. Awak makin cantik, Ros.” Pati Lakshmi berkata jujur. Namun, kata-katanya itu disambut dengan ketawa mengilai Nek Ros.

“Tak percaya?” tanya Pati Lakshmi.

“Awak puji saya macamlah saya ni gadis remaja. Mana ada lawanya lagi,” jawab Nek Ros.

“Tapi memang benar awak cantik, Ros.”

Nek Ros menepuk bahu Pati Lakshmi dengan mesra. Ketika itu kedengaran suara Nurlisa dan Marni riuh memanggil anak masing-masing masuk mandi kerana azan maghrib akan dilaungkan bila-bila masa sahaja.

Atuk Jay juga sudah hilang bersama Haziq. Mungkin sudah masuk dan mandi.

“Ros, saya ada hal nak minta tolong awak,” kata Pati Lakshmi, menarik tangan Nek Ros.

“Ada apa? Katakan saja. Jangan awak nak malu dengan saya.”

“Boleh tak esok awak bawa saya keluar bersiar-siar. Kita berdua saja. Dah lama kita tak keluar berdua. Saya ingat, kali terakhir kita keluar ialah masa Murthy masih ada. Awak temankan saya pergi shopping untuk deepavali. Dah beberapa tahun...lama dah.”

“Baiklah. Nanti saya minta izin dengan Jay dulu ya. Saya rasa tak ada masalah. Dia tentu suka kalau awak nak keluar dari sarang awak tu. Kami memang dah lama nak bawa awak berjalan-jalan. Tapi, sebab awak selalu tutup diri awak tu dari bercampur dunia luar kami pun tak berani,” kata Nek Ros. Tangan Pati Lakhsmi digenggam erat.

Pati Lakhsmi bangun. Dia mencapai tongkatnya.

“Dah nak masuk waktu awak sembahyang. Saya balik dulu. Jangan lupa, esok pagi kita keluar berdua,” kata Pati Lakhsmi lagi. Bibirnya menguntum senyuman. Sangat manis di mata Nek Ros.

Nek Ros menghantar langkah sahabatnya itu dengan mata senang. Kalau Pati Lakhsmi sudah mahu keluar berjalan-jalan, itu adalah berita yang sangat baik. Maknanya dia sudah mampu melupakan kesedihannya.

Mungkin akan ada sinar baru dalam kamus hidup wanita itu.


Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.