Home Novel Komedi/Romantik Komedi NENEK ROCK
Bab 7

HAI, JEJAKA BERGIGI EMAS

Selepas usai solat subuh dan berwirid seperti lazimnya, Nek Ros terus ke dapur. Perutnya rasa sangat pedih dan lapar. Rupanya malam tadi, dia tidur tanpa makan malam. Juga tidak minum segelas susu seperti biasa.

Selepas membancuh segelas horlicks dan semangkuk kecil bijirin oats bersama madu, dia keluar dan duduk di beranda rumah. Selepas beberapa suapan oats ke mulutnya, dia terpandangkan ikan talapia putih keemasan berenang berpusing-pusing dalam akuarium.

Dia segera bangun dan mendekati akuarium itu.

“Kau pun lapar ye Kudin? Nanti, aku berikan kau makan. Mana bini kau Si Temah?” tanya Nek Ros sambil menaburkan makanan ke permukaan air. Selepas taburan makanan itu bertebaran di air, seekor ikan talapia merah muncul menangkap butir-butir makanan itu.

“Wah! Nampak makanan baru kau nak keluar ya Temah. Kalau tak, kau membuta je di celah batu tu. Nasib baik tak ada ikan lain dalam akuarium ni. Kalau tidak mesti Si Kudin dah lari tinggalkan kau!”

Ikan talapia merah berenang tenang. Ekornya berkelok-kelok lembut.

“Nanti, kau akan jadi perindu macam aku. Padan muka kita!” Tiba-tiba Nek Ros tersenyum. Dia malu sendiri.

Ikan talapia merah seperti faham akan kata-kata Nek Ros. Dia lalu berenang perlahan ke arah ikan talapia putih keemasan. Dengan manja dia menggeselkan badannya.

“Amboi! Nak buat kita jelous lah tu!” Nek Ros ketawa mengekek.

Telefon di ruang tamu berdering. Nek Ros meninggalkan kedua-dua ekor ikan dan akuarium itu untuk menjawap panggilan.

“Assalamualaikum mak!” ucap Darwis.

Ucapan salam itu dibalas dengan mesra.

“Mak tengah buat apa?”

“Berbual-bual dengan Kudin dan Temah.”

Ketawa Darwis pecah. Segar. Namun tidak lama.

“Mak tak pergi jogging?”

“Tak. Tak ada kawan. Kena tunggu dayang-dayang mak datang ke sini baru boleh ke taman tu. Tak gitu Wis?”

“Mak, kalau tak berteman jangan ke taman tu. Bersenam je di rumah,” kata Darwis. Memang itu yang akan diucapkannya setiap kali menelefon. Nek Ros memang sudah membaca pesan itu.

“Kenapa Wis?” Sengaja dia ingin menduga rasa bimbang anaknya.

“Nanti mak kena culik, siapa susah? Awis tak ada duit nak bayar duit tebusan,” gurau Darwis dengan ketawa.

“Siapalah nak culik mak ni? Ayam pencen!” gurau Nek Ros pula.

“Mak, orang kalau nak duit dia tak kira ayam muda ke ayam pencen. Janji ada habuan. Tak dapat banyak, lepas duit rokok pun jadilah.”

Nek Ros ketawa mengekek.

“Kalau setakat nak beli rokok, tak berbaloi nak culik mak. Kalau tertangkap, masuk lokap. Wis ni buat mak rasa nak ketawa je. Awis nak tipu mak ya?”

“Tipu apa pula mak?”

“Sebenarnya Awis takut mak kena goda dengan budak-budak bujang yang selalu berjogging di taman itu,” kata Nek Ros, sengaja membuat Darwis ketawa lagi.

Memang apa yang diharapkan Nek Ros benar. Darwis ketawa mengekek. Lebih kuat dari ketawanya tadi.

“Kalau mak digoda budak-budak tu dan mak tergoda, habislah ayah!”

Senyap. Nek Ros tidak menyampuk lagi. Dia tergamam seketika.

“Mak, Wis baru bercakap dengan ayah. Dia kurang sihat,” kata Darwis, cuba mencuri perhatian Nek Ros.

“Kak long dah beritahu mak,” kata Nek Ros pula.

“Mak tak nak ke sana? Kalau mak nak pergi, Wis boleh booking tiket. Cakap je bila mak nak pergi. Ayah tu rindukan mak. Maklumlah, ini kali pertama mak dan ayah berpisah,” kata Darwis.

Diam. Hati Nek Ros sedang bercelaru. Gementar perasaannya mendengar kata-kata Darwis itu.

“Mak, bila mak nak ke sana?”

“Ke mana?” Nek Ros berpura-pura tidak faham maksud kata-kata anaknya.

“Mak, Wis tahu mak juga rindukan ayah. Cuba hadapi kenyataan. Dah hampir enam bulan. Berapa lama lagi mak nak menahan hati mak. Berapa lama pula mak nak berpura-pura tidak rindu pada kekasih hati mak itu?”

Nek Ros menelan air liur. Air matanya bergenang. Mujur Darwis tidak ada di hadapannya. Dia menarik nafas, mencari kelegaan.

“Mak fikirlah dulu. Nanti mak beritahu Wis. Assalamualaikum, mak.” Darwis meletakkan gagang. Talian terputus. Mata Nek Ros berkaca. Dia cuba menahan agar kaca itu tidak pecah menjadi manik air mata.

Kerinduannya memuncak.

Dia berjalan ke arah akuarium.

“Kudin, kau tengoklah tuan kau. Dia langsung tak nak mengalah. Aku juga yang disuruh ke sana dan mengalah. Kalau dia rindu kenapa dia tak telefon aku. Kenapa dia sendiri tak suruh aku pergi ke sana. Hanya anak-anak yang faham aku rindukan ayahnya. Tapi ayahnya? Dahlah pergi tanpa pesan. Sekarang tak pula berkata walau sepatah. Uhh!” Nek Ros mengeluh berat.

Kudin berenang-renang. Temah mengekorinya manja.

Nek Ros berjalan masuk ke biliknya. Tidak sanggup dia terus melihat kemesraan pasangan Kudin dan Temah. Terasa dia diejek.

Sampai di bilik, dia berbaring. Suasana pagi itu merusuh resah. Tidak seperti pagi-pagi sebelumnya yang ceria dan tenang. Dia pejamkan mata. Walaupun sebelum ini dia jarang berbuat begitu, tidur di waktu matahari sedang naik. Pantang baginya. Sejak anak dara dan kini menjadi nenek, dia memang jarang tidur di waktu-waktu seperti itu.

Dia terpandang sebuah kotak kecil di atas almari solek. Dadanya semakin resah. Dia bangun dan mencapai kotak itu.

Kenangan tahun 70-an, semasa muda belia tertayang dalam ingatan. Ketika itu dia sedang hangat bercinta dan bermain mata dengan seorang jejaka. Dengan seluar bell bottom dan rambut afronya yang mengembang, jejaka itu bersiul-siul mendekatinya. Dia yang sedang menyidai kain di ampaian tersenyum-senyum melihat gelagat jejaka itu.

“Kalau awak senyum, tubuh saya melayang-layang macam wau bulan di angkasa. Gila saya dengan senyuman awak yang manis ini,” kata jejaka itu.

“Samalah dengan awak. Kalau awak ketawa, memang menarik. Sampai mata saya naik juling,” jawabnya dengan ketawa malu.

“Kenapa pula awak nak julingkan mata, saya ni kacak sangat ke?”

“Bukan saya juling kerana awak kacak.”

“Habis tu, awak tertarik hingga juling tengok saya pasal apa?” Jejaka itu membelek dirinya. Rambut kerintingnya yang mengembang gaya afro itu dibetulkan. Seluar bell bottom yang melebar luas itu juga ditilik dengan ragu-ragu.

Dia ketawa menutup mulut.

“Apa yang lucu sangat ni?” tanya jejak itu dengan curiga.

“Janganlah marah. Saya memang suka kalau awak ketawa. Sangat manis dan sangat menawan. Gigi emas awak tu yang buat saya juling!”

Ketawa jejaka itu pecah berderai. Angin pagi dari sawah yang menghijau luas di belakang rumah berhembus nyaman.

Ketika itu hanya jejaka itu yang bergigi emas. Dia sendiri tidak tahu kenapa jejaka itu sangat gemar pada penampilan itu. Yang dia tahu, dia sangat menyukainya.

“Hai, si gigi emas!” Dia selalu menyapa jejaka itu begitu setiap kali bertemu di mana-mana. Dan jejaka itu tidak marah dengan sapaan itu. Malah dia semakin tersengih-sengih.

“Awak tahu, beruntung kalau awak kahwin dengan saya,” jawab jejaka itu dengan ketawa yang memang sengaja dibuat-buat untuk menyerlahkan dua batang gigi emas yang terdapat di kiri kanan mulutnya.

“Apa yang untungnya?”

“Sebab kalau hidup kita susah, kita boleh gadai atau jualkan gigi emas saya ni,” jawab jejaka itu dengan selamba.

“Awak sanggup cabut gigi tu dan gadai?”

“Demi awak, apapun saya sanggup buat, Ros.”

“Habis, nanti awak dah rompong.”

“Kalau saya rompong, awak nak larikan diri?”

“Taklah macam tu. Cuma, ketawa awak dah tak menarik lagi.”

Setahun kemudian, mereka bertemu jodoh. Dalam majlis yang agak meriah, jejaka bergigi emas itu menjadi suaminya. Sekali lafaz sahaja, akad itu menjadi sah.

“Rosminah, harap kita boleh bercanda hingga akhir hayat. Abang janji akan jadi suami yang terbaik seentero dunia,” kata jejaka merangkap suaminya.

“Abang Jais, Ros janji akan jadi isteri, ibu dan nenek terbaik,” balasnya sambil mengucup tangan seorang suami dengan penuh tulus hormat.

Kotak di tangannya dibelek. Hatinya berbisik rindu: Hai, jejaka bergigi emas!


Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.