Home Novel Komedi/Romantik Komedi NENEK ROCK
Bab 14

ALAHAI, CIK MINAH SAYANG

Selepas bersarapan, Nek Ros bersiap-siap untuk keluar. Janjinya dengan Pati Lakhsmi akan ditunaikan. Dia akan cuba gembirakan hati sahabatnya itu. Kesepian yang sekian lama bersarang di hati wanita itu akan cuba diubati.

“Abang nak keluar dengan Darwis dan Arman,” beritahu Atuk Jay ketika sedang bersarapan.

“Nak ke mana?” tanya Nek Ros.

“Anja jelous?” Atuk Jay cuba bergurau. Soalan Nek Ros tidak dijawab

“Mak jangan bimbang, kami berdua ada untuk jaga ayah,” sampuk Darwis sambil mengunyah nasi lemak.

“Mak nak cemburu? Tak ada maknanya Wis. Kalau ayah dah mengenyit ke, nak menyengih ke, mak tak kisah. Kalau ayah nak kahwin pun, mak akan tandatangan borang. Malah mak akan pinang dan sandingkan ayah. Mak kan ak ambil payung emas di syurga,” jawab Nek Ros dengan ketawa, galak.

“Amboi! Cabar abang ke ni?” Atuk Jay ikut ketawa, segar.

“Mak jangan sebut mak. Kalau masin mulut mak, macam mana?” Arman pula cuba bergurau.

“Arman, mulut mak memang masin sebab mak makan garam kasar. Hmm... Kalau masin mulut mak, alamatnya kamu berdua akan beribu tiri!”

Nek Ros tersenyum-senyum mengenangkan dialog di meja makan itu. Sebenarnya, gurauan itu pernah berlaku semasa dia muda. Atuk Jay tiba-tiba diminati oleh seorang gadis. Sebagai lelaki, suaminya itu ikut gila bayang. Tidur tak lena. Mandi tak basah. Makan tak kenyang. Siang malam asyik menyebut nama gadis pujaannya.

Nek Ros tidak melenting. Dia memilih jalan perang dalam tenang. Dalam diam dia menyusun strategi. Dia pergi mencari gadis itu. Pada masa itu Darwis masih kecil dan Ezani belum lahir. Nurlisa pula sudah masuk tadika.

Lalu dikeleknya Darwis, dibawa mencari bukti. Akhirnya dia sampai ke rumah gadis itu. Dengan senyum selamba dan tidak menggelabah dia berdepan dengan kekasih suaminya.

“Awak ni mak we suami saya?” tanyanya kepada gadis itu.

“Siapa suami akak?” tanya gadis itu dengan wajah gugup, hairan.

“Jais bin Tukiman.”

Serta merta wajah gadis itu berubah. Pucat lesi keadaannya. Namun Nek Ros hanya tersenyum-senyum.

“Bila nak kahwin?”

“Ermm... saya ikut saja. Abang Jay kata tunggu masa yang sesuai.”

Wajah gadis itu diteliti lagi.

“Awak tahu ke dia ada anak bini?”

Gadis itu angguk perlahan.

“Lalu, kenapa awak masih nak kahwin dengan dia?”

Gadis itu tunduk ketakutan.

“Awak jatuh cinta dengan dia? Awak nak kahwin dengan dia? Dan awak nak jadi mak tiri kepada anak-anak saya?”

Kali ini wajah gadis itu semakin berubah.

“Saya tak kisah kalau awak nak kahwin dengan dia. Tapi mahukah awak berkongsi segala-galanya dengan saya? Termasuk menjaga anak-anak saya?”

Gadis itu semakin terkebil-kebil.

“Kalau awak dah sudi nak kongsi suami dengan saya, maknanya awak pun kena sanggup kongsi susah senang dengan saya. Sebab isteri itu milik suami. Kalau awak sudi, saya kan masuk meminang dan kahwinkan awak dalam majlis yang gilang gemilang.”

“Kak, saya minta maaf,” kata gadis itu dengan bibir yang semakin bergetar.

“Minta maaf kenapa? Saya tak marah pun. Awak nak jadi madu saya kan?” Nek Ros menepuk-nepuk mesra bahu gadis itu.

“Kalau nak jadi madu saya, awak kena kuat untuk bermadu juga dengan anak-anak saya, keluarga saya dan kesusahan saya. Itu baru dinamakan berkongsi. Kalau setakat berkongsi tubuh badan suami, itu tidak jujur dan tidak adil,” kata Nek Ros dengan senyum yang memang disengajakan.

Tiba-tiba gadis itu menangis tersedu-sedu.

“Kenapa pula awak menangis? Sepatutnya awak gembira kerana saya sudi nak jadi madu awak.”

“Kak, saya minta maaf. Tolong jangan teruskan lagi. Akak terlalu baik. Saya tak sanggup nak lukai hati akak.”

“Taklah. Awak tak melukakan saya pun. Cuma saya bimbang awak yang akan terluka nanti. Saya yakin dengan janji ALLAH. Kalau ini bahagian saya, saya akan terima. Suami hanya pinjaman ALLAH. Kalau saya mati, saya tak bawa suami sampai ke kubur. Tapi awak? Bolehkah awak berperasaan macam saya? Awak masih muda. Awak tak akan kuat nak berkongsi suami dengan saya!” kata Nek Ros dengan suara tegas.

“Tidak kak. Saya tak nak kahwin dengan Abang Jay. Saya akan putuskan. Saya tak akan jumpa dia lagi. Maafkan saya kak...” Gadis itu menarik tangan Nek Ros dan menciumnya.

Nek Ros tersenyum menang. Kemenangan tanpa perlu berperang!

“Ros, kenapa tersenyum-senyum ni?” sergah Pati Lakhsmi.

Nek Ros terpinga-pinga. Rupanya dia sudah berada di hadapan rumah Pati Lakhsmi. Dia melangkah sambil mengira kenangan lalu.

“Saya seronok sebab kita nak keluar berjalan-jalan. Dah lama kita tak keluar berdua kan?” Nek Ros ketawa kecil.

Pati Lakhsmi angguk. Ditelan semua kata-kata itu tanpa curiga.

“Jomlah pati...” Nek Ros menarik tangan Pati Lakshmi dengan rengekan manja.

“Kita nak naik apa?”

“Mr. Harley.”

“Apa?” Pati Laksmi terkejut. Langkahnya terhenti. Wajahnya pucat, ketakutan.

Nek Ros melihat perubahan itu dengan ketawa panjang.

“Ros, saya tak jadilah nak pergi. Saya takut nak naik motor. Tengok motor tu saja saya dah menggigil,” kata Pati Lakhsmi.

“Penakut juga awak ni ya?”

“Memang saya takut. Saya pun heran tengok awak boleh naik motor sebesar itu dengan senyum. Adui, kalau saya mahu saya pengsan nanti.”

“Lakhsmi, saya pun tak akan pengsankan awak. Takkanlah saya nak bawa awak naik motor. Tengok kain sari awak ni, meleret. Mr. Harley pun tak nak bawa awak. Dia kata, tak rugged!” kata Nek Ros. Dia menarik sekali lagi tangan sahabatnya.

Langkah mereka terhenti di hadapan sebuah kereta Produa Kancil 660cc yang tersadai di tepi rumah.

“Awak lupa pada Cik Minah saya ni? Inikan teman setia kita sejak dulu,” kata Nek Ros sambil menggosok kereta yang dipanggil Cik Minah itu.

“Ayoyo! Saya lupalah. Boleh naik lagi ke Cik Minah ni?” Pati Lakshmi menepuk dahi. Ketawanya menyeringai segar. Dia tidak lupa pada jasa kereta kancil yang mesra dengan gelaran Cik Minah itu.

“Apa pulak tak boleh. Walaupun saya jarang naik tapi saya selalu hantar dia pergi klinik dan rumah urut. Tengok, tubuhnya yang putih kuning ni sentiasa bersih berkilat. Semalam baru Darwis hantar pergi salon dan mandi sauna. Awak jangan bimbang. Dia seperti janda yang masih tip top punya. Jom!” Nek Ros membukakan pintu. Pati Lakhsmi naik dengan senang hati.

Nek Ros menghidupkan enjin.

“Sejarah hidup Cik Minah ni pun berliku, Lakshmi. Kalau ia pandai berkata-kata, dah lama dia minta ampun dari saya,” kata Nek Ros ketika enjin akan dihidupkan.

“Maksud awak?” tanya Pati Lakhsmi, hairan.

“Awak tahu masa ia dibeli, anak-anak saya masih bersekolah. Inilah bas sekolah anak-anak saya.”

“Itu saya tahu sebab anak-anak saya pun pernah tumpang Cik Minah ni untuk ke sekolah kalau hari hujan,” balas Pati Lakhsmi pula.

“Masa tu kehidupan saya selalu sempit. Maklumlah gaji Jay masa tu tak sebesar mana. Gaji seorang pegawai rendah. Saya pula terpaksa berhenti kerja kerana anak-anak tak ada yang nak jaga. Mana nak bayar rumah. Nak bayar duit sekolah anak-anak. Nak makan lagi. Pernah dua kali Cik Minah ni kena tarik oleh pihak bank,” kata Nek Ros sambil matanya tertumpu ke jalan raya.

“Ya ke Ros? Macam mana saya tak tahu? Rasanya semua rahsia pasal awak saya tahu. Begitu juga rahsia saya, semua awak tahu.” Pati Lakhsmi menoleh. Wajah sahabatnya direnung.

“Macam mana awak nak tahu, sebab ini memang rahsia kami dengan Murthy.”

“Dengan Murthy? Kenapa?” Pati Lakshmi semakin diserbu keliru.

Nek Ros tidak segera menjawab. Matanya masih tertumpu ke arah jalan. Dia serba salah. Hal itu sudah lama berlaku. Yang bernama Murthy itupun sudah pergi.

“Ros, tolong terangkan. Jangan buat saya syak yang bukan-bukan,” desak Pati Lakhsmi.

“Murthy yang pinjamkan kami duit untuk keluarkan Cik Minah dari stor. Kalau dia tak tolong, Cik Minah ni dah memang tak jadi milik kami lagi. Jangan marah dia. Murthy memang sahabat kami yang sangat baik.” Akhirnya semua rahsia terluah. Ia sudah tidak menjadi rahsia lagi.

“Murthy... Cik Minah...” bisik Pati Lakshmi. Kemudian dia tersenyum, senang.

Giliran Nek Ros rasa pelik dengan senyuman wanita itu. Matanya bersilih ganti antara jalan raya dan wajah Pati Lakshmi.

“Ni, yang awak tersenyum-senyum ni kenapa?”

“Saya baru teringat. Murthy ada minta buku bank dengan saya. Dia kata nak keluarkan duit. Bila saya tanya, dia tak nak jawap. Saya sakit hati. Berhari-hari saya masam muka dengan dia. Akhirnya dia cakap dengan saya dia nak tolong orang tengah susah. Bila saya tanya, siapa? Dia jawab, Cik Minah!” jawab Pati Lakhsmi dengan ketawa.

Ketawa Nek Ros juga pecah berderai.

“Alahai Cik Minah sayang... ada juga orang cemburukan kau Cik Minah!” Nek Ros menepuk-nepuk stering kereta sambil ketawa.

(IKUTI SAMBUNGANYA DALAM BAB : PUTU MAYAM MUTHU)



Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.