Home Novel Komedi/Romantik Komedi NENEK ROCK
Bab 9

ATUK SAYANG NENEK.

Gurindam dari atuk dilipat dan dikucup sekali. Kemudian Nek Ros masukkan semula ke dalam sampul itu.

‘Dinda datang, kanda.’ Itu yang berbisik di hati Nek Ros. Dia segera menutup pintu dan tingkap. Hari sudah semakin senja. Nyanyian nyamuk mula menyentuh kuping telinga.

Malam itu selesai solat maghrib dan isyak, Nek Ros segera ke dapur. Dia perlu mencari sedikit makanan untuk mengalas perut. Dia tidak mahu gastriknya menyerang. Kalau boleh dia mahu sentiasa sihat. Walaupun usianya sudah masuk ke ambang 60-an, dia tidak mahu lemah dan berpenyakit.

Selepas makan, dia berjalan keluar. Biasanya malam-malam begitu, dia akan duduk di buaian menikmati angin malam bersama Atuk Jay. Namun, sejak enam bulan ini dia duduk di buaian itu sendirian. Sepi. Rindu. Dia melaluinya sendirian.

Dia menoleh ke arah motor Harley Davidson 1200cc milik Atuk Jay. Dia rindu untuk menunggang motor itu. Dia segera bangun dan menarik kanvas yang menutupi motor itu. Motor itu langsung tidak berhabuk kerana setiap hari dia menjaganya.

Tidak lama Nek Ros tersenyum-senyum. Dia mendapat ilham.

Keesokan pagi, selepas bersarapan pagi dia segera bersiap. Dia memilih baju T lengan panjang dan jeans warna biru. Rambutnya yang pendek separas bahu itu disisir rata ke belakang kemudian disarungkan dengan sehelai skaf. Dia menyarungkan jaket hitam. Kemudian dia membelek dirinya di cermin.

“Awak, saya sayang awak. Hari ni, saya nak buktikan cinta saya pada awak. Awak tunggu ya!” kata Nek Ros kepada wajahnya di cermin. Senyum menguntum. Dia berjalan keluar dari bilik dan mencapai topi keledar yang ada di atas almari di belakang pintu masuk.

Sepasang boot kulit warna hitam separas lutut dikeluarkan dari almari kasut. Kemudian dia menjeling kepada sepasang kasut lagi. Kasut Atuk Jay!

“Awak tunggu, kita pergi ambil tuan awak. Tak lama lagi awak pun boleh keluar dari sini.”

Nek Ros menyapu boot yang ditinggalkan itu. Dia tersenyum lagi. Rasa geli hati kerana semua benda diajak berbual.

Dikeluarkan dompet dari beg tangannya. Mula-mula dia meneliti tarikh lesennya tamat tempoh.

“Oh! Masih ada dua tahun lagi untuk tamat.” Dia tersenyum senang.

Enjin dihidupkan. Segar dan cantik motor itu mengaum. Walaupun sudah lama tidak dihidupkan, ia tetap tidak mogok.

“Mr. Harley, boleh kita pergi sekarang?” tanya Nek Ros sambil memakai topi keledar. Dengan bismillah, dia melangkah naik. Perlahan-lahan motor bergerak keluar. Dia menongkatnya di luar pagar dan turun semula untuk mengunci pagar.

“Ros! Awak nak ke mana?” laung Pati Lakshmi dari pintu pagar yang bertentangan.

Nek Ros membuka semula topi keledar. Dia berjalan ke arah sahabatnya itu agar suaranya tidak perlu dilaungkan. Malu juga dengan jiran-jiran yang lain.

“Dah lama saya tak naik motor ni, Lakshmi. Rindu pulak!”

“Awak rindu motor ke rindu tuan motor.” Pati Lakshmi menyeringai.

Nek Ros tidak marah. Sebaliknya dia tersenyum senang.

“Ros, saya harap awak mengalah. Kita tak tahu bila kita akan mati. Saya tak nak awak menyesal. Jay itu orang baik. Murthy pun selalu kata begitu. Kita laki bini, mesti ada sikit salah. Kalau tak gaduh, kita tak sedalam mana kasih sayang kita.”

“Lakshmi, awak ni memang pandai cakap. Saya pergi dulu. Nanti kita sembang lagi,” kata Nek Ros sambil melangkah pergi.

“Awak nak ke mana Ros? Dah lama awak tak naik motor tu. Saya risau!” laung Pati Lakhsmi selepas Nek Ros melangkah beberapa tapak.

“Pati, jangan bimbang. Motor ni saya naik sejak hampir 10 tahun. Motor ni dah terlebih faham jiwa saya. Pati jaga diri ya!” kata Nek Ros dengan gaya seorang kanak-kanak.

Pati Lakhsmi menyengih dengan gerak lucu Nek Ros. Namun kebimbangannya tetap berputik di hati.

“Tapi, awak nak ke mana? Kenapa nampak kelam kabut sangat ni?”

“Awak akan tahu nanti,” jawab Nek Ros sambil mengenyit mata. Dia melangkah tanpa menoleh lagi. Dia mahu segera ke tempat di mana adanya kekasih hati.

Dia menunggang motor berkuasa tinggi itu dengan tenang. Memang tidak kekok kerana sudah biasa menunggangnya sejak ia dibeli 10 tahun yang lalu. Kadang-kadang dia membonceng di belakang Atuk Jay. Dalam masa yang lain dia menunggang sendirian. Malah adakalaya juga Atuk Jay akan membonceng di belakangnya.

“Atuk dan nenek memang rock!” Itu yang selalu dijeritkan oleh cucu-cucu terutama Amir Ashraf.

Setengah jam kemudian dia sampai di hadapan pagar rumah Nurlisa di Taman Bersatu. Dia menongkat motornya dan turun menekan loceng di pagar. Dia tahu ketika itu, Nurlisa dan Arman sudah ke pejabat. Yang ada mungkin Amir Ashraf dan atuknya. Atuk Jay? Hatinya berdebar.

Beberapa kali menekan loceng, tidak ada yang membuka pintu. Mungkinkah tidak dengar atau mereka tertidur?

Nek Ros keluarkan telefon bimbitnya. Dia menekan nombor telefon rumah Nurlisa. Telefon berdering. Kemudian kedengaran bunyi gagang diangkat.

“Assalamualaikum!” Satu suara menjawab. Suara itu amat dikenalinya. Jantungnya berdegup kencang. Tubuhnya seram sejuk. Aduh! Suara yang dirindui selama enam bulan ini.

“Assalamualaikum!” Ucapan itu didengar lagi. Lidahnya seperti melekat di lelangit. Berat dan kelu untuk menjawab.

“Siapa ni?”

“S...s...saya.” Nek Ros memaksa suaranya untuk menjawab. Berpeluh dahinya.

“Ros ke ni? Awak di mana?”

Sekali lagi dia terkedu. Tiba-tiba pula hatinya menjadi sendu. Air mata menitis laju. Jiwa rock kapak sudah pecah menjadi rock parang puting, pendek dan tumpul. Esakan berderai!

“Awak kat mana ni?”

“Kat depan rumah Nurlisa... ”

Tut! Talian terputus.

Nek Ros duduk di atas batu di tepi pintu pagar. Dia memujuk hati agar tabah. Juga menahan air mata agar tidak terus keluar. Malu rasanya kalau Atuk Jay melihat dia dalam keadaan begitu.

“Aku mesti kuat. Nenek mesti tetap rock!” Itu yang dikatakan kepada dirinya. Akhirnya dia rasa lega. Dia bangun dan berjalan ke arah motor. Tidak lama, pagar terbuka.

Nek Ros menunggang motornya masuk ke halaman rumah dua tingkat itu. Dia masih berusaha mengawal diri. Tidak mahu ada air mata membasahi pipinya.

“Ros...” Satu suara menegurnya dari belakang ketika dia sedang menongkat motor. Dia terkaku lagi. Tidak berani menoleh.

“Akhirnya saya dapat juga jumpa awak. Masa di Kuching, saya rasa saya akan mati tanpa sempat bertemu awak untuk kali terakhir. Saya berdoa kepada ALLAH agar dapat jumpa awak lagi. Akhirnya... hari ini saya jumpa awak.”

Nek Ros tetap tegap berdiri.

“Saya minta maaf kerana buat keputusan macam budak-budak. Saya merajuk pada perkara yang sangat kecil. Kemudian saya ego dan tak nak mengaku kalah. Saya tinggalkan awak begitu saja. Saya memang suami tak guna!” Suara Atuk Jay kedengaran bergetar sebak. Tidak lama, esakannya berterabur!

Kali ini Nek Ros tidak berdaya lagi. Dia berpusing. Dia berlari ke arah Atuk Jay. Dia merebahkan diri ke dalam lelaki perkasa junjungan jiwanya itu.

“Abang! Jangan cakap macam tu. Ros yang salah. Ros tak jadi isteri yang baik hingga abang merajuk dan berjauh hati. Ros minta ampun. Ros janji tak buat lagi. Ros tak sanggup nak berpisah dengan abang lain. Cukuplah abang merajuk. Ros sanggup buat apa yang abang suruh, asalkah Ros dapat terus hidup dengan abang.”

Mereka berpelukan. Air mata menjadi saksi sebuah pertemuan.

“Kenapa Ros tak pujuk abang. Siang malam abang tunggu Ros telefon abang.”

“Kenapa abang lupakan Ros begitu saja. Ros malu nak telefon abang. Ros ingat memang abang dah bencikan Ros. Lalu Ros cuba belajar hidup tanpa abang. Ternyata, Ros tak berdaya. Abang hadir di mana-mana,” Nek Ros ikut merintih di bahu Atuk Jay.

“Sekali lagi abang minta maaf. Abang tak akan buat lagi. Abang janji!” bisik Atuk Jay pula. Pelukan menjadi semakin erat. Sinaran mentari pagi yang menyentuh diri, langsung tidak dihiraukan lagi.

“Bravo nenek! Tahniah!” Tiba-tiba Amir Asyraf muncul bertepok tangan. Dia senyum dengan wajah yang ikut terharu melihat pertemuan atuk dan neneknya itu.

Nek Ros melepaskan dirinya dari pelukan erat Atuk Jay. Kata-kata Amir Asyraf membuat dia tersipu malu. Dia mengesat air mata dengan hujung skafnya. Dia benar-benar malu.

“Kenapa Amir puji nenek macam tu?” tanya Atuk Jay.

“Sebab nenek berani mengaku kalah. Sebab nenek berjaya pecahkan kepala batu atuk,” jawab Amir Asyraf. Kali ini dia mula ketawa.

Nek Ros dan Atuk Jay berpegangan tangan. Mereka saling bertentangan mata. Kemudian, mereka mula mengukir senyuman.

“Amir suka tengok atuk dan nenek dah kembali bersatu. Buanglah yang keroh. Ambillah yang jernih. Sesat di muara, baliklah ke kuala. Tak payahlah nak merajuk-rajuk lagi. Atuk dan nenek memang dah dicipta untuk bersama bukan untuk berpisah. Sengsara kami tengok atuk meracau panggil nenek. Haru biru hidup nenek dok mimpikan atuk,” kata Amir Asyraf, kali ini dengan ketawa perlahan.

“Amir jangan bimbang, atuk tak akan merajuk lagi,” kata Atuk Jay.

“Nenek pun janji, tak akan degil lagi,” sampuk Nek Ros pula. Atuk Jay menarik tubuh Nek Ros ke dalam pelukannya. Kemudian dia mengucup dahi isterinya itu dengan penuh kasih sayang.

“Auw! So sweet! Amir suka!” Amir melonjak girang. Dia mengeluarkan telefon dari kocek seluarnya dan mendail.

“Mama! Rugi mama tak ada di rumah pagi ni,” kata Amir. Dia sengaja menekan butang loud speaker agar perbualannya dikongsi dengan atuk dan neneknya.

“Kenapa Mir? Ada apa?” Suara Nurlisa kedengaran curiga.

“Romeo dah jumpa Julietnya...huh! romantik semacam.”

“Apa maksud Amir?”

“Nenek dah datang. Atuk dah pandai senyum. Mungkin nenek datang nak jemput atuk balik,” jawab Amir Asyraf. Matanya tidak lepas memandang ke arah Atuk Jay dan Nek Ros yang masih berpegangan tangan.

“Nenek datang naik apa?”

“Mr. Harley atuk tulah.”

“Nenek naik motor?”

“Kenapa mama? Biasalah nenek tu. Bukan mama tak pernah tahu nenek naik motor atuk tu? Mama jangan risaulah. Nenek Amir tetap rock!” jawab Amir Asyraf dengan ketawa berdekah-dekah. Telefon dimatikan.

“Mama Amir ingat, nenek ni dah tua sangat. Nenek lebih kuat dari dia. Kan awak?” Nek Ros menoleh kepada Atuk Jay.

“Awak memang kuat. Semangat awak memang cekal. Sebab itu saya sayang awak. Sayang sampai mati. Atuk sayang nenek!” balas Atuk Jay dengan ketawa kecil. Nek Ros ikut ketawa. Amir Asyraf semakin girang melihat keceriaan pasangan itu. Atuk sayang nenek!


Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.