Home Novel Komedi/Romantik Komedi NENEK ROCK
Bab 16

TUAN PUTERI LABUCI MENGIRAI

NEK ROS rasa kakinya lenguh. Dia mengambil botol minyak panas dan menyapu ke kaki dan betis. Kemudian dia menyarungkan stokin untuk mengelakkan kesejukan dek angin kipas.

“Sakit kaki?” tanya Atuk Jay ketika dia menolak daun pintu.

“Lenguh sikit je. Dah lama tak berjalan-jalan. Dah lama pula tak bersama Cik Minah. Pedal clutchnya dah keras. Jalan Datuk Sulaiman sesak tadi. Tu yang naik lenguh kaki saya ni,” jawab Nek Ros.

“Sampai ke sana awak berdua merayap? Buat apa di sana?”

“Tengok wayang. Main boling.” Nek Ros menjawap tanpa menoleh.

“Ros? Biar betul ni!” Atuk Jay separuh menjerit.

“Kenapa, tak percaya?”

“Percaya, tapi...” Atuk Jay mula ketawa. Wajah isterinya direnung dengan curiga.

Nek Ros ikut ketawa. Dia sendiri rasa kelakar ketika membayangkan dia masuk panggung wayang bersama Pati Lakhsmi. Kemudian membayangkan pula mereka ke gelanggang bowling di Holiday Plaza.

“Saya ingat memang nak ajak Lakhsmi tengok wayang. Dah lama tak masuk panggung. Tapi dia tak nak. Dia kata nanti roh Murthy ketawakan dia. Seumur hidup dia tak pernah masuk panggung. Apa yang ada dalam panggung tu, dia langsung tak tahu.”

“Cerita apa awak nak tengok?”

“Hantu Dalam Botol.”

Ketawa Atuk Jay semakin berdekah.

“Kenapa abang ketawa?”

“Kalau ia pun, tengoklah cerita hindustan ke, tamil ke. Ini, cerita hantu kelakar tu yang awak nak ajak dia tengok.”

“Habis, dah itu cerita yang sedang ditayangkan.”

“Lepas tu?” tanya Atuk Jay semakin teruja untuk tahu aktiviti Nek Ros bersama Pati Lakhsmi sepanjang hari itu.

“Lepas tu, saya ajak dia main bowling. Mengekek-ngekek dia ketawa.”

“Kenapa pula?”

“Dia teringat masa pertama kali Murthy bawa dia ke sana. Dia menghayun bola bowling sekuat tenaga hingga tubuhnya ikut bergolek macam bola bowling.”

Atuk Jay ketawa lagi. Nek Ros juga.

“Awak tak bawa dia pergi farmasi?”

“Dah. Saya dah belikan dia semua vitamin yang abang suruh. Pil untuk kaki dan lututnya. Juga susu dan biskut. Cukup stok untuk sebulan. Dia menangis.”

“Hah? Kali ni kenapa pula?”

“Sebab dia terharu dengan kasih sayang kita. Dia kata, keluarga sendiri pun tak layan dia macam tu. Dia kata... dia kata...” Nek Ros menguap beberapa kali. Matanya semakin memberat.

“Saya dah mengantuklah bang. Abang tak nak tidur?” tanya Nek Ros tanpa menghabiskan kata-katanya.

“Tidurlah dulu. Abang nak habiskan membaca kitab yang Darwis beli tu. Tapi sebelum, habiskan cerita. Lakhsmi kata apa?” Atuk Jay merenung wajah Nek Ros yang semakin kuyu.

“Dia kata, kalau diberi peluang dia nak jadi madu saya!” jawab Nek Ros sambil ketawa mengekek. Hilang rasa mengantuknya.

Atuk Jay terus mendekati Nek Ros. Dia menggeletak pinggang Nek Ros. Ketawa Nek Ros bergegar kuat. Dia kegelian.

“Nak menyakat abang ya!” Atuk Jay terus menggeletek. Nek Ros terus ketawa. Suasana di bilik itu riuh rendah.

Pintu bilik diketuk. Ketawa mereka terhenti. Nek Ros menutup mulutnya.

“Siapa? Masuklah,” kata Atuk Jay.

Di muka pintu, tersembul wajah Ainun Najwa dengan senyum malu-malu. Di tangannya ada sebuah buku cerita.

“Najwa, ada apa?” tanya Nek Ros sambil menghulurkan tangan kepada Najwa.

“Atuk dan nenek bising sangat. Susah Najwa nak baca buku,” kata Ainun Najwa.

Atuk Jay dan Nek Ros berpandangan. Mereka menahan ketawa.

“Atuk tu kacau nenek,” kata Nek Ros, separuh merengek.

“Nenek tu, suruh atuk kahwin dengan pati.” Atuk Jay pula membalasnya dengan rengekan juga.

“Hah? Atuk nak kahwin dengan pati?” Mata Ainun Najwa terbeliak.

“Najwa suka ke?” Nek Ros menduga.

Ainun Najwa diam terkebil-kebil.

“Nanti Najwa tanya mama dulu.”

“Kenapa nak tanya mama pulak?”

“Kalau mama suka, Najwa sukalah. Tapi... Najwa tak sukalah. Nanti atuk tak sayang Najwa lagi. Nanti atuk tak bawa Najwa naik motor atuk lagi,” jawab Ainun Najwa, perlahan.

“Kenapa Najwa fikir macam tu?” Atuk Jay pula cuba menduga.

“Sebab atuk dah sayang pati dan nenek.” Wajah Ainun Najwa mula masam. Dengan cepat Nek Ros menariknya ke dalam pelukan.

“Ni, Najwa dah habis baca buku cerita ni?” tanya Nek Ros cuba mengubah suasana.

“Najwa nak nenek bacakan untuk Najwa,” jawab Ainun Najwa sambil menghulurkan buku cerita yang bertajuk Tuan Puteri Manik Mengurai.

“Najwa, suruh atuk baca boleh? Nenek ni mengantuk sangat. Atau Najwa minta mama yang bacakan,” kata Nek Ros sambil menguap.

“Mama tengah buat kerja kat dapur dengan mak ngah. Atuk... ” rengek Ainun Najwa dengan manja.

“Najwa kan dah boleh baca sendiri. Kenapa tak baca?” tanya Atuk Jay mengerdipkan mata.

“Najwa baca tak sedap. Nenek baca sedap,” jawab Ainun Najwa dengan senyum keletahnya.

“Tapi malam ni, nenek penat. Tengok ni, mata nenek dah nak tertutup. Najwa tak kasihankan nenek?” tanya Nek Ros pula.

“Atuk?” Gadis tujuh tahun itu beralih arah.

“Atuk tak biasa baca buku budak perempuan. Atuk selalu baca buku budak lelaki,” jawab Atuk Jay, cuba mengelak.

“Tak apalah kalau atuk dan nenek tak nak baca. Najwa nak suruh Kak Hanalah,” kata Ainun Najwa sambil bangun.

“Jangan! Nanti Kak Hana marah Najwa lagi. Dia kan sedang baca buku dia sendiri. Tak mahu ganggu. Mari!” Nek Ros menarik tangan Ainun Najwa untuk berbaring di sebelahnya.

Lalu dia mula membaca muka surat satu. Ainun Najwa mendengar dengan kusyuk dan leka. Kisah seorang puteri raja yang bernama Puteri Manik Mengurai yang sangat cantik dan pandai menyanyi. Setiap hari dia menyanyi di taman bersama dayang-dayangnya. Nyanyiannya itu telah didengari oleh seorang putera raja yang kebetulan lalu di situ. Putera raja yang bernama Putera Jingga Perkasa akhirnya melamar Tuan Puteri Manik Mengurai.

“Putera raja itu mesti kacak macam atuk kan Najwa?” sampuk Atuk Jay dengan ketawa perlahan.

Ainun Najwa menyengih.

“Kacak ke?” tanya Nek Ros dengan nada perli sambil menjeling manja.

“Eh, kalau tak kacak takkan Tuan Puteri Labuci Mengirai tertawan,” balas Atuk Jay, selamba.

“Puteri Labuci Mengirai? Siapa atuk?” Mata Ainun Najwa penuh tandatanya. Ketawa Nek Ros dan Atuk Jay berganding mesra. Kemudian Nek Ros terus menyambung bacaannya hingga tamat dan membiarkan soalan cucunya tidak berjawab.

“Nah, dah tamat. Tuan puteri dah kahwin dengan Putera Jingga Perkasa. Sekarang, Najwa pergi tidur. Nenek pun nak tidur. Esok, bangun pagi-pagi ikut atuk dan nenek pergi jogging.” Nek Ros menyerahkan balik buku cerita yang sudah dibacanya.

“Najwa tidur dengan nenek, boleh?” tanya Ainun Najwa ketika tangannya menerima buku dari tangan neneknya.

“Eh, mana boleh! Najwa dah besar.” Dengan cepat Nek Ros menjawab.

“Hari tu kenapa boleh?”

“Hari tu sebab atuk tak ada. Atuk merajuk. Sekarang atuk dah ada, Najwa tak boleh tidur dengan nenek lagi,” jawab Atuk Jay pula.

Ainun Najwa menarik muka masam. Dia bersalam dan mencium pipi Nek Ros. Kemudian dia mendekati Atuk Jay pula. Tangan Atuk Jay disalami sebelum mencium kedua-dua pipinya.

“Atuk, boleh tak kalau atuk merajuk sekali lagi?”

“Kenapa nak atuk merajuk ni?”

“Kalau atuk merajuk, Najwa dapat tidur dengan nenek,” kata Ainun Najwa, selamba. Atuk Jay bangun dan olok-olok cuba memukulnya. Ainun Najwa lari lintang pukang keluar dari bilik itu. Sekali lagi ketawa mereka pecah berderai melihat telatah Ainun Najwa.

“Awak, kita tak nak dia merajuk lagi. Cukuplah sekali tu ya!”

“Awak, kita sayang awak. Mana boleh kita merajuk dan tinggalkan awak lagi. Kita tak boleh hidup tanpa Tuan Puteri Labuci Mengirai ni...” Atuk Jay mencubit pipi Nek Ros. Nek Ros tersipu malu. Jiwanya terasa muda semula.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.