Home Novel Komedi/Romantik Komedi NENEK ROCK
Bab 3

-3-

NEK ROS memeluk Ain. Setiap hari, doanya hanya untuk kesejahteraan anak cucu. Hati seorang ibu akan bahagia kalau anak-anaknya hidup senang dan selamat. Hati seorang nenek akan gembira melihat cucu-cucunya membesar dengan baik.

“Ain, apa lagi yang Ain nak tahu. Ain sendiri nampak macam mana atuk mendidik ibu dan pak cik-pak cik Ain yang lain. Memang hubungan kasih sayang amat paling penting dalam keluarga,” kata Nek Ros sambil mengusap-usap rambut Ain.

“Itu memang Ain tahu, tapi ada aspek-aspek tertentu yang Ain keliru,’

“Misalnya?”

“Dugaan dan cabaran dalam berkasih sayang.”

Nek Ros rasa tersindir. Dia mengeluh berat. Terasa seperti Ain sedang menampar mukanya.

“Nek, kenapa?” tanya Ain, kehairanan. Wajah Nek Ros yang serta merta muram itu amat mengganggu perasaan Ain.

“Entahlah. Yang ini berat untuk nenek jawab. Dugaan berkasih sayang ni banyak. Terpulang pada kita untuk mengendalikannya.”

“Nek, kalau nenek keberatan nak jawab, tak apalah. Ain faham perasaa nenek. Ain tahu apa yang nenek rasa sekarang.” Ain memeluk Nek Ros. Dia dihurung rasa bersalah.

“Nenek tidur dulu ya. Nanti, nenek nak bangun awal,” kata Nek Ros sambil bangun.

“Nek, maafkan Ain,” kata Ain sambil mencium tangan Nek Ros.

“Kenapa pulak?”

“Sebab Ain buat perasaan nenek tersentuh. Ain tak berniat apa-apa,’ kata Ain dengan wajah sugul.

“Eh! Lu tengok wajah gua. Gua langsung tak sedih beb!” kata Nek Ros sambil bercekak pinggang dan menggoyangkan jarinya. Ain tidak mampu bertahan lagi. Dia ketawa mengekek-ngekek. Pudar semua rasa bersalahnya. Dia kembali segar.

“Okey, gua nak tidur dulu. Esok lepas mengaji, gua nak pergi jogging. Lu nak ikut tak?”

“Ya… Ya… gua ikut. Tapi lu mesti janji.”

“Janji apa pulak ni. Tak rock langsunglah…” gerutu Nek Ros.

“Lu mesti janji, lepas jogging lu belanja gua makan nasi dagang ayam kampung di Restoren Mama. Boleh?” Ain masih ketawa.

“Lu punya pasal, gua ikut saja. Kalau teman lelaki lu bising lu dah tembam, lu jawab sendiri!Kalau nanti lu jadi rendang dan renek macam bonzai, lu tanggung sendiri!”

“Nenek!” Ain mencampakkan sebiji bantal ke arah Nek Ros. Dengan mengilai panjang, Nek Ros keluar dari bilik itu. Dia kembali ke biliknya.

Siti Aqila sudah terbongkang dan lena dengan nyenyaknya.Hanya dengkuran yang kedengaran gemersik perlahan.

**

Pagi itu Nek Ros rasa sihat dan damai. Di taman permainan tempat dia selalu berjogging, tidak ramai orang. Apa lagi pagi itu, bukan pagi minggu. Jadi ia sangat tenang dan menyenangkan jiwa Nek Ros.

Selepas berlari-lari anak dua tiga pusingan di sekeliling taman itu, dia bergayut pula pada palang kayu yang ada. Ain hanya mengikut apa yang Nek Ros buat. Dia masih tidak ceria. Ingatannya masih kepada artikelnya yang belum siap.

“Nek, Ain dah penatlah. Jom kita balik,” kata Ain sambil memicit-micit kakinya.

“Apa ni, sikit je dah penat. Tengok nenek, dah 60 tahun tapi masih kuat dan sasa lagi, ” balas Nek Ros tanpa berhenti dari senaman yang sedang dilakukannya.

Ain ketawa kecil.

“Kenapa ketawa?”

“Nek, perkataan sasa tu tak kena dengan nenek.Tak sesuai langsung!” Ain menjuihkan mulut.

“Hah? Apa pasal?” Nek Ros menoleh. Raut wajah Ain yang mirip wajah Nurlisa itu direnung lembut.

“Perkataan tu kalau atuk yang gunakan memang sesuai.Kalau nenek nak kata sasa, adui!” Ain menepuk dahi.

“Habis, nenek nak guna perkataan apa? Tegap rimbun?”Nek Ros ikut tersengih-sengih melihat gelagat Ain.

Sekali lagi ketawa Ain pecah berdekah.

“Cukuplah dengan perkataan sihat walafiat, nek.”

“Ya, umur nenek dah enam puluh tahun tapi masih kuat dan sihat walafiat,” Nek Ros membetulkan ayatnya.

“Itulah nek. Ain pun hairan dengan nenek ni. Petua apa yang nenek amalkan. Makanan apa yang nenek makan. Ain tak pernah tengok nenek dalam keletihan. Nenek selalu saja cergas, riang dan tenang. Nek boleh berikan petua? ” Ain mendongak. Wajah Nek Ros yang berpeluh-peluh itu menarik perhatiannya.

“Kalau nenek bagi petua, tapi Ain tak nak amalkan. Buat apa?”

“Nenek belum cakap tapi nenek dah letak hukum bahawa Ain tak akan buat, macam mana tu?” Ain menyoal sambil tersengih.

Nek Ros berhenti. Dia menyeka peluh yang menitik di muka. Kemudian dia menarik nafas dan menghembuskan berulang kali.

“Ini adalah senaman yang sangat baik untuk jantung. Selain jaga makan, kita juga kena berikan oksijen kepada jantung.Caranya dengan senaman ni,” ujar Nek Ros tanpa diminta. Ain mengangguk. Hal itu memang dia sedia maklum.

“Nenek bercakap macam doktor pulak,” kata Ain, meluruskan kakinya dan masih memicit-micit.

Nek Ros tidak memberikan apa-apa reaksi untuk kata-kata Ain itu. Dia terus menarik dan menghembuskan nafas.

“Nek, mana petuanya?” tanya Ain selepas menunggu lama.

“Petua yang mana?”

“Apa nenek ni? Tadi kata nak berikan petua untuk kekal sihat dan kuat,” jawab Ain.

Nek Ros berhenti. Dia menyeka peluh sekali lagi.

“Ain, sihat dan sakit itu kerja ALLAH sebenarnya. Tapi sebagai hamba-NYA kita disuruh sentiasa berikhtiar dan berdoa. Petua nenek senang sahaja. Jaga solat, jaga makan dan jaga doa. Setiap malam yang sunyi kita bangun untuk bersolat tahajud. Setiap pagi yang hening kita segera bersolat subuh. Itu adalah senaman untuk roh dan jasad. Pergerakan dalam solat untuk jasad, bacaan dalam solat untuk jiwa.”

Nek Ros mendongak ke langit. Matahari pagi sudah mula meninggi.

“Marilah kita balik. Matahari dah senyum tu,” ajak Nek Ros.

“Nek, apa ni?Petua belum habis lagi. Mana lagi dua tu, jaga makan dan jaga doa.”

Nek Ros bangun. Dia menoleh kepada Ain dan ketawa kecil. Senang hatinya melihat wajah Ain yang mengharap itu.

“Lu kata nak makan nasi dagang ayam kampung di Restoren Mama? Gua nak belanja ni…”

Ain termenung seketika. Wajahnya seperti kurang senang.

“Nek, kalau kita tukar tempat boleh tak. Selera Ain macam tak nak nasi dagang pulak.”

“Aik? Cepat pulak selera berubah arah ya! Habis Ain nak makan apa?”

“Entahlah. Apa-apalah asal bukan nasi dagang,” jawab Ain sambil menghulurkan tangan, minta Nek Ros menariknya bangun.

“Uh! Beratnya Ain ni… ” kata Nek Ros ketika menarik tangan Ain.Mereka berjalan berpimpinan ke arah jalan besar.

“Ha! Nenek ada satu cadangan. Apa kata kita bersarapan di Warong Wak Kentut.”

“Nenek! Eee… apa ni?”Ain berpaling ke arah Nek Ros.Dia mencebik sambil menutup hidung. Sangkanya Nek Ros bergurau.

“Apa pulak. Nenek tak bergurau. Memang itu nama warongnya. Wak Kentut pun pun bukan sengaja nenek reka. Memang itu namanya,” jawab Nek Ros dengan senyum.

Ain termenung. Dia cuak.Betulkah ada nama warong seperti itu? Menjual makanan pulak tu!

“Dulu nenek pernah makan dengan atuk. Menunya ada macam-macam tapi yang paling sedap ialah nasi lemak dan soto. Nak tak?” tanya Nek Ros.

Ain diam. Fikirannya terus berfikir. Kakinya terus berjalan. Nama Wak Kentut dan menu masakannya mengganggu mindanya.

“Ain fikir apa lagi?”

“Nama warong tu.Pelik sangat. Kenapa dinamakan begitu?Jual makanan pulak tu. Ada ke orang nak datang makan?”

“Jom kita ke sana. Kita tengok ramai tak orangnya,” jawab Nek Ros. Mereka berjalan menghala ke arah rumah untuk mengambil kereta.Angin segar dari taman itu bertiup mengiringi mereka. Sungguh segar. Sesegar kasih sayang mereka berdua.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.