Home Novel Komedi/Romantik Komedi NENEK ROCK
Bab 4 ( Bhg 1)

-4-

Warung Wak Kentut letaknya di persimpangan masuk ke sebuah taman perumahan. Kedudukannya sangat strategik dan redup tenang kerana berada di bawah sepohon pohon pulai yang merimbun.

“Hah, tu dia warungnya!” tunjuk Nek Ros kepada Ain. Dengan cepat Ain menjengah. Ada papan tanda yang besar diletakkan di hadapan warung. Ada kain gegantung yang dipasang di penjuru kiri dan kanan warung.

Ain ketawa kecil. Nama warung itu mencuit dan menggaru-garu hatinya.

“Jangan nak ketawa lagi. Jom kita turun dan rasa nasi lemak dan soto istimewanya,” ajak Nek Ros.

“Kalau wak tu terkentut macam mana?”

“Dah nama Wak Kentut. Kita nak buat macam mana lagi,” jawab Nek Ros dengan senyum. Dia berjalan ke arah warung. Matanya melilau mencari tempat duduk. Tidak ada. Semuanya penuh.

“Ramainya peminat wak ni. Nek, agaknya kentut dia ni wangi heh? Sebab itu ramai yang suka makan di sini,” kata Ain dengan senyum.

“Ish! Jangan cakap kuat-kuat. Orang datang bukan nak hidu kentut wak tu. Mereka datang nak makan. Macam kita juga.” Nek Ros meletakkan jarinya ke mulut.

Ada sepasang suami isteri bangun dari tempat duduknya dan berjalan ke meja kaunter.

“Itu ada tempat kosong. Mari kita cepat duduk. Nenek dah tak tahan bau kuah soto dia ni,” kata Nek Ros menarik tangan Ain.

Mereka duduk dengan selesa. Seorang pelayan datang mengambil pesanan. Nek Ros memesan mi soto. Ain pula memesan nasi lemak istimewa.

“Tahu apa yang atuk suka kalau datang ke sini?” tanya Nek Ros. Ain gelengkan kepala.

“Atuk suka makan roti canai jantan dengan kopi kentut kuat.”

Ain mula ketawa perlahan. Sungguh tidak tahan dia mendengar nama-nama menu di tempat itu. Ketika dia ingin bertanya, pelayan datang membawa pesanan.

“Minuman belum order?” tanya pelayan itu.

“Berikan saya kopi kentut kuat dua,” Nek Ros menjawab selamba. Pelayan itu juga berlalu membawa pesanan dengan selamba. Sedikit pun tidak ketawa. Ain yang mengekek-ngekek. Dia menutup mulutnya agar bunyi ketawanya tidak ketara keluar.

Mereka mula mengadap juadah yang sudah dihantar itu. Nek Ros menarik mangkuk sambal kicap yang ada di atas meja. Ain pula menghidu bau nasi lemak yang masih panas itu. Ayam goreng berempah dan sambal tumis ikan bilis ikut di hidu.

“Sedapnya bau dia nek... ” bisik Ain sambil menikmati bau itu dengan mata yang terpejam.

“Bau kentut wak tu?” tanya Nek Ros dengan ketawa.

“Nenek ni!” jerit Ain sambil ketawa. Beberapa orang menoleh ke arah mereka. Ain menutup mulutnya. Dia menahan ketawanya yang belum selesai.

Mereka mula makan. Mulut Ain tak putus-putus memuji.

Tidak lama dua cawan kopi O dibawa oleh pelayan tadi.

“Ini kopi kentut kuat?”

Nek Ros angguk.

“Kenapa nama dia macam tu?”

“Entah, kena panggil Wak Kentut dan tanya dia. Nak nenek panggilkan?”

“Eh nek, janganlah.”

“Kenapa? Kalau dia datang, Ain boleh tanya apa sahaja yang Ain nak tanya,” kata Nek Ros sambil menghirup kuah soto dengan penuh selera.

“Ain bimbang dia terkentut di sini, Ain tak dapat nak makan nanti. Geli... ”

Nek Ros terus menghirup. Ain pula terus menyuap dan mengunyah. Dia terlupa seketika pasal nama warung itu.

Orang datang semakin ramai. Mungkin kerana waktu itu waktu minum pagi untuk kaki tangan kerajaan yang bekerja di bangunan seberang jalan.

“Cepat makan. Kita tak boleh nak berlama-lama di sini. Kesian orang lain yang menunggu nak duduk,” kata Nek Ros. Mi soto sudah habis sampai ke kuah. Dia menarik cawan minuman dan segera menghirup perlahan. Ain juga begitu.

Akhirnya mereka segera bangun. Nek Ros menghulurkan sekeping duit RM50 kepada Ain untuk membayar apa yang mereka makan di kaunter.

“Nenek tunggu di kereta,” kata Nek Ros. Ain akur. Dia berjalan ke kaunter untuk membayar.

Nek Ros masuk ke dalam kereta. Tiba-tiba telefon bimbitnya berdering. Dia segera menjawab.

“Mak ada kat mana tu?” Suara anak perempuannya Nurlisa menyentuh pendengarannya.

“Mak baru habis bersarapan dengan Ain. Ada apa Nur?”

“Nur ada di rumah mak ni. Mak jangan singgah rumah Nur pulak.”

“Nur tak kerja hari ni?”

“Cuti mak. Kurang sihat,” jawab Nurlisa.

“Baiklah. Kejap lagi mak sampai. Dah nak bergerak ni.” Nek Ros mematikan talian. Dia menghidupkan enjin kereta. Tiba-tiba dia rasa cemas. Nurlisa jarang bercuti. Apa pula sakitnya sehingga dia mengambil cuti sakit?

“Ain, mama Ain ada di rumah. Dia cuti sakit. Jom kita cepat balik,” kata Nek Ros kepada Ain ketika cucunya itu masuk ke dalam kereta. Ain angguk. Dia membetulkan duduk dan mengeluh beberapa kali.

“Ain, kenapa ni?”

“Kenyang sangatlah nek. Nasi lemak tadi tu banyak. Kopi kentut kuatnya juga gelas besar. Adui... ” keluh Ain.

Nek Ros tersenyum senang. Namun fikirannya masih teringatkan Nurlisa, satu-satunya anak perempuan yang dia ada. Itulah intan. Itulah juga payungnya.


Previous: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.