Home Novel Komedi/Romantik Komedi NENEK ROCK
Bab 25- SEGELAS TEH CINTA

Walaupun hajat awal Ezani ialah untuk menghantar Atuk Jay dan Nek Ros bercuti mengikut pakej percutian Kuching Damai 3 hari 2 malam, namun hajat itu terpaksa dibatalkan.

“Mak minta maaf, dik. Mak memang tak kuat sangat nak berjalan. Tak tahu kenapa, badan ni rasa letih semacam. Lain kali dik ya,” kata Nek Ros kepada Ezani dan Noor Hazuar.

“Lain kali tu entah bila mak.”

“Habis tu macam mana. Mak bimbang kalau jadi apa-apa pada mak di sana. Tak apalah, mak anggap tak ada rezeki.”

Akhirnya Ezani harus akur pada keadaan kesihatan ibunya. Malah dia juga terpaksa akur pada kehendak kedua-duanya untuk pulang awal ke Semenanjung.

“Kami tunggu adik di sana.” Itu kata Atuk Jay ketika akan menaiki pesawat ke Johor Bahru. Ketika itu hati Nek Ros memang sangat berdebar. Pengalaman semasa datang menghantuinya. Dia takut muntah lagi.

Syukurlah, dia tidak muntah. Hanya pening sikit.

“Nasib baik kita tak muntah, awak. Kalau tidak, malu kita,” kata Nek Ros semasa dalam perjalanan pulang ke rumah.

“Hari tu masa pergi nenek muntah?” tanya Amir Asyraf yang datang menjemput mereka di lapangan terbang.

“Bukan setakat muntah je Mir, nenek tak bangun beberapa hari.”

“Habis, program cuti yang busu anjurkan tu tak jadilah?”

“Nak pergi macam mana kalau nenek kamu tak boleh nak kira sampai sepuluh. Dia kalah TKO. Asyik pejam je. Daripada dok baring kat sana, lebih baik baring kat rumah, kan?” Atuk Jay mencelah.

“Tak apa. Kita pergi bercuti dalam negeri saja nek ya!” kata Amir Asyraf.

“Amir dengan budak tu macam mana?” Nek Ros sengaja menukar topik. Rasa bosan pula dengan topik mabuk dan muntah sejak hari-hari terakhir ni.

“Budak mana nek?” Amir Asyraf menjeling Nek Ros yang duduk di tempat duduk belakang dari cermin.

“Alamak, buat tak faham pulak. Budak yang Amir terjatuh cinta tu lah. Amir ada jumpa dia?”

Amir Asyraf tersengih-sengih malu. Atuk Jay merenungnya, senang.

“Ada nek. Sekali je.”

“Kat mana? Kamu pergi rumah dia?” Nek Ros teruja.

“Ish! Takkan Amir nak pergi rumah dia. Kami jumpa di Restoren Mak Embun.”

“Berdua saja?” Atuk Jay pula ikut teruja.

“Taklah. Ramai. Hampir sepuluh orang. Semuanya dari bekas pelatih PLKN tu.”

“Amir dah cakap dengan dia pasal hati Amir?” tanya Atuk Jay lagi.

Geleng. Amir Asyraf terus memandu. Atuk Jay dan Nek Ros tidak bertanya lagi. Mereka membiarkan Amir Ashraf melayan fikirannya.

Setengah jam kemudian, kereta yang dipandu Amir Asyraf sampai ke halaman rumah mereka.

“Saudara nenek dah tunggu tu!” tunjuk Amir Asyraf dengan senyuman. Nek Ros menjengah kepala dari tingkap.

“Ros! Ros!” Pati Lakshmi melambaikan tangan dengan ketawa girang.

“Rindulah tu...” kata Atuk Jay dengan ketawa kecil. Dia tahu hubungan dua hati antara kedua sahabat itu sangat erat. Ia mengalahkan hubungan keluarga sendiri.

Nek Ros turun dari kereta dan segera berjalan ke arah Pati Lakshmi yang berdiri di hadapan rumahnya. Mereka berpelukan.

“Awak apa khabar Lakshmi?”

“Saya, macam nilah. Awak tak ada, saya rasa macam dah mati,” kata Pati Lakshmi dengan suara sedih.

“Ish, awak ni... janganlah cakap macam tu.”

“Betul Ros. Dah lama awak tak tinggalkan saya. Rasanya lepas Murthy tak ada, ini kali pertama awak pergi lama. Susah saya nak hidup tanpa awak,” kata Pati Lakhsmi, bersungguh-sungguh.

Nek Ros rasa sebak dan terharu. Ada air mata yang bergenang di matanya. Namun tidak diizin air mata itu mengalir keluar.

“Saya minta maaf kerana tinggalkan awak, Lakshmi. Sekarang, saya dah balik. Awak jangan sedih lagi ya!”

“Lakshmi, sampai hati awak,” sampuk Atuk Jay yang berjalan ke arah mereka.

Pati Lakhsmi segera menoleh kepada Atuk Jay. Wajahnya nampak bimbang.

“Kenapa Jay. Apa yang saya buat pada awak?”

“Awak langsung tak rindu saya. Kesian saya tak ada orang rindu!” jawab Atuk Jay dengan ketawa, santai.

“Ish, kalau saya rindu awak, lebam muka saya kena tumbuk dengan Ros!” balas Pati Lakhsmi, ikut ketawa.

“Lakshmi, saya tak akan marah. Malah, saya sanggup bermadu dengan awak,” kata Nek Ros pula, masih ketawa.

Pati Lakhsmi terteleng keliru. Dia nampak bingung.

“Kenapa pula ni?” tanya Nek Ros menepuk bahu Pati Lakshmi.

“Mana saya nak cari madu? Lagipun, saya tak suka madu. Sejak dulu saya tak suka. Manis sangat!” jawab Pati Lakshmi sambil mencebik.

Nek Ros dan Atuk Jay berpandangan. Kemudian mereka ketawa serentak.

“Eh, apa pasal awak dua orang ketawa ni?” Pati Lakhsmi semakin bingung.

“Lakshmi, saya kata bermadu itu maknanya kita berdua berkongsi kasih Jay. Maknanya, awak menjadi isteri kedua Jay,” jawab Nek Ros, masih ketawa.

Wajah Pati berubah kelat sekelat gambir. Matanya melorot ke arah Nek Ros. Bibirnya diketap, geram.

“Ros, apa awak cakap ni? Saya ni kawan baik awak. Murthy kawan baik Jay. Kita dah hidup macam adik beradik sejak dulu. Kenapa awak nak cakap macam ni pada saya?” marah Pati Lakshmi.

Nek Ros terdiam dan terpaku. Dia nampak kemarahan yang jelas pada mata sahabatnya itu.

“Lakshmi, jangan salah sangka. Apa yang Ros nak cakap dengan awak, dia sangat sayangkan awak. Apa saja yang jadi miliknya, sanggup dikongsi dengan awak. Itu kiasan sahaja.” Atuk Jay cuba meleraikan kemarahan Pati Lakshmi.

“Itu saya tahu. Tapi saya tak suka awak bergurau macam tu. Jay dah macam saudara saya. Murthy pernah kata, dia hanya percayakan Jay,” kata Pati Lakhsmi bersungguh-sungguh.

“Lakshmi, maafkan saya. Lain kali saya tak buat lagi,” kata Nek Ros sambil menarik tubuh Pati Lakhsmi ke dalam pelukannya.

“Dahlah. Mari kita masuk dulu. Esok, saya bawa awak berdua makan tosei di Restoren Majid yang terkenal tu,” kata Atuk Jay. Dia berjalan balik ke arah rumahnya diekori oleh Nek Ros. Sementara Pati Lakshmi pula masuk ke rumahnya.

“Temah, Kudin, apa khabar kau?” tanya Nek Ros kepada dua ekor ikan talapia di dalam akuarium. Berkelok-kelok ekor Temah dan Kudin mendekati dinding kaca itu.

“Temah dan Kudin sihat saja. Tapi, yang saya heran dah lama kita bela mereka ni tetap tak ada zuriat,” rungut Atuk Jay.

“Mandullah tu!” Nek Ros mengekek.

“Siapa yang mandul? Kalau benar mandul, kita boleh carikan pasangan lain. Yang saya bimbang, Temah ni dah menopause!” Atuk Jay pula ketawa mengekek.

Mereka masuk dan duduk di sofa, membuang lenguh.

“Atuk dan nenek nak minum apa? Panas ke sejuk?” Tiba-tiba Amir Asyraf muncul dari dapur.

“Baiknya cucu atuk hari ni. Ada apa-apa ke ni? Atau nak rasuah atuk?”

“Atuk ni. Amir kan sayang atuk dan nenek. Amir nak jadi cucu mithali. Kalau bukan Amir yang jadi, siapa lagi?” Amir Asyraf tersengih-sengih.

Ketawa Atuk Jay semakin segar. Nek Ros hanya tersengih-sengih. Dia sebenarnya bangga dengan cucunya yang seorang ini. Dia amat prihatin. Kalah cucu-cucu perempuan yang lain.

“Kalau macam tu, atuk terima sayang Amir tu. Buatkan atuk kopi O panas.”

“Nenek juga.”

“Nenek ni suka ikut selera atuk. Apa, nenek ingat Amir tak pandai nak buat yang lain? Nenek order je. Amir akan buat.”

“Betul ke ni?”

Amir Asyraf angguk penuh yakin.

“Kalau macam tu, nenek nak teh cinta.”

“Nenek, janganlah merapu dan minta benda yang tak ada...” rengek Amir Asyraf, manja.

“Eh, apa pulak tak ada. Nenek pernah minum dengan atuk masa kami pergi Kelantan. Kan atuk?” Nek Ros berpaling mencari jawapan dari Atuk Jay.

“Ha, betul. Atuk punya sukakan rasanya, sampai order dua gelas. Gelas dia besar pulak tu!” jawab Atuk Jay, bersungguh-sungguh agar Amir Asyraf yakin.

Amir Asyraf terteleng-teleng. Dia keliru antar benar atau bohong semua yang didengarnya. Teh cinta...


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.