Home Novel Islamik JIHAD MARDINA
JIHAD MARDINA
Fida Rohani
4/2/2014 23:36:59
20,459
Kategori: Novel
Genre: Islamik
Bab 9

Wahai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuan mereka dan isteri-isteri orang mukmin, hendaklah mereka menjatuhkan jilbabnya ke seluruh tubuh, muka dan dada mereka. Yang demikian itu supaya mereka itu lebih mudah untuk dikenali dan mereka tidak akan diganggu. Dan Allah Yang Maha Pengampun dan Maha Penyayang. ( Surah Al-Ahzab ayat 59 )

-9-

Mardina termenung seketika. Kemunculan Mak Esah dan Puan Rusila sudah diatur rapi oleh Allah. Ia ada hubung-kait dengan Rumah Nur Mukmin. Allah telah memberikan jalan yang mudah untuknya.

Lalu, tugas dan tanggungjawab kemanusiaan dirasakan akan bermula. Seperti bermula tugasnya di HE Holdings, legasi perniagaan yang menjadi kebanggaan Datuk Iskandar ini.

Sejak sebulan menerajui HE Holdings, Mardina memang semakin sibuk. Perhatiannya banyak tertumpu di sini. Memang tidak mudah untuk menguruskan empayar perniagaan hartanah yang begitu besar. Mujurlah dia dibantu oleh ketua-ketua jabatan dan kaki tangan yang cekap dan setia.

“Saya memang kena banyak belajar dari kamu semua. Jadi, saya minta kita bekerjasama dalam menjalankan tugas supaya kita dapat melakukannya dengan sempurna. Kalau kamu tidak berpuas hati dengan cara saya, kamu boleh tegur saya. Saya mahu kita bekerja dengan tenang, tidak ada curiga-mencurigai. Ingat, kamu bekerja untuk mencari rezeki demi keluarga,” kata Mardina pada hari pertama dia bertugas. Alhamdulillah, dia mendapat kerjasama yang baik dari semua staff.

Tugas-tugas di HE Holdings, tidak langsung menghalang langkahnya ke Rumah Nur Mukmin. Setiap hari walau sesibuk mana pun, dia masih sempat memikirkan hal Rumah Nur Mukmin. Hampir setiap hari dia akan ke sana menjenguk Aishah dan Mastura yang mula selesa dengan keadaan baru mereka.

“Kak Dina, semuanya dah siap. Bilik-bilik dan tempat belajar serta tempat bermain semua dah kami kemas. Dapur juga sudah penuh dengan berbagai stokmakanan.Bilakah saudara-saudara kami itu akan sampai?” Tanya Mastura dua tiga hari lepas. Mardina diam berfikir. Benar kata mereka, bila rumah itu akan berpenghuni?

“Kenapa Dina tak ke Pejabat Kebajikan Masyarakat saja. Mereka mungkin boleh tolong Dina,” usul Mak Leha ketika dia membawa balik hal itu ke rumah. Hanya dengan Mak Leha dia berani mengadu dan meluahkan semua rasa yang ada dihatinya.

“Sebenarnya, kalau boleh Dina tak mahu ambil anak-anak yatim dari sana. Kerana setiap orang yang ada di bawah jabatan itu, sudah diatur kehidupan yang terbaikoleh pihak kerajaan.Dina nak yang betul-betul susah dan belum ada jaminan dan pertolongan dari sesiapa,”

“Maksud Dina? Dina nak cari sendiri?” Tanya Mak Leha. Mardina angguk.

“Susah juga kalau macam tu?”

“Dengan bantuan Allah, semuanya akan menjadi senang. Kita hanya perlukan masa saja,” putus Mardina dengan pasrah. Ternyata kepasrahannya itu telah mendapat pertolongan dari Allah. Kemunculan Puan Rusila hari itu, adalahjawapan pada sebuah penantiannya yang ikhlas. Hasratnya dan hajat Siti Fatimah akan segera terlaksana. Hatinya berbunga riang. Tidak sabar menanti petang untuk membawa khabar gembira itu kepada Mastura dan Aisyah.

Telefon dicapai, nombor Rumah Nur Mukmin di dail. Tidak lama, suara salam Mastura kedengaran di hujung talian.

“Mas, rumah kita akan berpenghuni tidak lama lagi,”

“Maksud Kak Dina?”

“Kita akan ambil alih tanggungjawab Puan Rusila. Mas kemaslah apa yang patut. Siapkan bilik untuk anak-anak dan orang tua,”

“Hal itu Kak Dina jangan bimbang. Semuanya dah siap,”

“Kalau macam tu, tunggu akak datang petang ni,” kata Mardina. Talian diputuskan. Di bibir Mardina menguntum sebuah senyum, senang.

Mardina membelek beberapa buah fail. Semuanya berjalan dengan lancar. Setakat ini tidak ada kerjanya yang tertangguh.Dia tahu HE Holdings adalah sebuahsyarikat pemaju hartanah yang berjaya. Hampir setiap tahun ada saja projek baru yang dibangunkan. Nama syarikat itu gah di mata masyarakat.Mardina bangga dengan usaha Datuk Iskandar dan Datin Marisa selama ini.

Namun ada sesuatu yang dirasakan kurang sempurna di syarikat itu. Sejak hari pertama melangkah masuk ke bangunan itu, dia sudah meletakkan iltizam bahawa ketidaksempurnaan itu perlu disempurnakan. Yang bengkok perlu diluruskan. Yang batil perlu disekat, yang benar perlu dilakukan. Dia ingin semua pekerja yang ada di bawah naungan HE Holdings bukan saja mendapat gaji yang baik malah juga mendapat keredaan Allah.

Dia menekan intercom.

“Nori, masuk sekejap,” suruh Mardina. Mungkin masanya sudah sampai untuk dia bertindak. Melengahkan masa bererti memberi lebih banyak peluang kepada syaitan untuk menggoda. Dia akan bermula dengan satu hal yang remeh tapi sebenarnya sesuatu yang wajib.

“Ya, Cik Mardina,” Nori masuk dengan sebuah buku catatan di tangannya.

“Nori, tolong aturkan satu perjumpaan kecil dengan semua staff wanita di semua jabatan petang esok. Pastikan semua hadir,” kata Mardina kepada setiausaha yang memang setia itu.

Nori termangu-mangu, cuak untuk mencatatkan arahan itu.

Staff wanita sahaja Cik Dina?” Akhirnya rasa sangsi itu diluahkan.

“Ya. Hanya staff wanita. Semua. Tak kira apa pangkat. Kalau boleh dari pegawai hingga kepada ke tukang cuci dan tukang sapu,” tegas Mardina.

“Baik Cik Dina,” kata Nori walaupun dia masih curiga dengan arahan itu. Selama dia bertugas di syarikat itu, belum pernah ada perjumpaan begitu. Biasanya kalau mesyuarat, hanya ketua-ketua jabatan. Kalau tukang sapu dan pembuat teh, Bahagian Sumber Manusia yang memantau mereka.

Nori melangkah keluar.

“Cik Dina nak kopi?” Tanya Nori ketika tangannya memegang tombol pintu.

“Boleh juga, suruh Kak Melia buatkan saya kopi,” suruh Mardina.

“Saya boleh buatkan kopi untuk Cik Dina,” kata Nori menghulur khidmat.

“Hmm..maafkan saya Nori. Hari ni saya rasa tekak saya nak minum kopi Kak Melia saja,” kata Mardina berseloroh. Nori angguk perlahan, kemudian dengan senyum sangsi dia melangkah keluar.

“Kenapa kau senyum ni?” Tegur Safura ketika berselisih di luar pejabat Mardina.

“Cik Mardina nak kopi,”

“Itupun lucu ke? Biasalah bos suruh setiausaha buat kopi. Itu tugas turun temurun. Tak ada peliknya,”

“Yang peliknya, dia tak nak aku yang buat,”

“Habis, dia nak siapa buatkan?”

“Kak Melia..” Nori terus berjalan ke belakang, mencari Kak Melia pembuat minuman yang memang diupah untuk tugas itu. Semua lima puluh orang kaki tangan dalam He Holdings itu akan dijaga minumannya oleh wanita itu sejak bertahun-tahun. Namun belum pernah sekali dia melakukannya untuk Datuk Iskandar. Kini, Mardina pula yang meminta begitu. Nori hairan.

“Cik Nori nak milo ke?” Tegur Kak Melia ketika Nori masuk ke pantri.

“Bukan saya kak, tapi Cik Mardina. Dia suruh akak buatkan dia secawan kopi,”

“Eh! Kenapa kakak? Selalunya Cik Nori yang buat,” Kak Melia terkejut. Wajahnya terselubung keliru dan hairan.

“Entahlah kak..tiba-tiba hari ni dia kata tak selera nak minum kopi saya. Dia nak kopi akak juga. Pergilah, hantarkan kopi,” kata Nori. Wajah keliru Kak Melia ditinggalkan dengan senyum.

Mardina pula selepas Nori keluar, termenung sambil menconteng-conteng sehelai kertas. Dia teringat pada Mak Esah yang sudah dua hari di hospital tanpa waris. Dia teringatkan sindiket pelacuran yang dikatakan oleh Mastura dan Aishah. Dia teringatkan anak-anak yatim dan orang-orang tua yang dikatakan oleh Puan Rusila. Dan dia teringatkan mama, papa dan adiknya yang semakin jarang ditemui. Akhirnya dia rasa, rencah kehidupan manusia ditentukan Allah dengan cara yang berbeza.

Pintu diketuk. Apa yang sedang difikirkan, berguguran.

“Masuk,” suruhnya. Muncul wajah tenang Kak Melia di muka pintu dengan secawan kopi di tangannya. Wajahnya cuak.

“Cik Nori kata Cik Mardina nak kopi,” kata Kak Melia sambil meletakkan cawan kopi di hadapan Mardina. Aroma bau kopi yang masih berasap itu menyegarkan minda Mardina. Dia angguk dan menghadiahkan sebuah senyuman kepada wanita itu sebagai tanda terima kasih.

“Kak, duduklah. Ada hal yang saya nak tanya akak,” kata Mardina ketika Kak Melia ingin bergerak keluar. Wajah Kak Melia berubah. Dia gugup. Kerusi empok yang ada di hadapannya direnung seketika. Belum pernah seorang pembancuh minuman sepertinya duduk di kerusi seempok itu.

“Kak, kenapa ni? Duduklah,” ulang Mardina lagi. Kak Melia duduk. Namun hatinya masih diusung cuak. Dia bimbang kalau dia diberhentikan kerja. Siapakah yang akan memberi makan kepada anak-anak saudaranya yang masih kecil itu.

“Jangan takut kak. Saya hanya nak tahu kehidupan kakak. Kak Melia tinggal di mana?”

“Saya menyewa flat di Datuk Keramat, Cik Dina,”

“Saya ada dengar dari staff di sini bahawa akak membela beberapa orang anak yatim di rumah. Benarkah?”

“Benar Cik Dina. Dia anak-anak arwah adik saya,”

“Berapa orang semuanya?”

“Tiga. Semuanya masih kecil,”

“Anak akak sendiri?”

“Anak saya satu saja,”

“Habis bila akak keluar bekerja ni, siapa yang jaga budak-budak tu?”

“Suami saya. Kami bergilir. Suami saya ambil shif petang. Pagi dia akan jaga sementara anak saya pulang dari sekolah,”

“Suami akak kerja apa?”

“Tukang sapu DBKL,” jawab Kak Melia jujur. Mardina menguis-nguis hujung pennya sambil berfikir. Dengan pendapatan yang tidak seberapa itu, tentu kehidupan mereka amat payah.

“Kak, macam mana kalau saya ringankan sikit beban kakak,” kata Mardina selepas lama berdiam diri. Kak Melia segera mengangkat mukanya. Wajah Mardina direnungnya.

“Maksud Cik Dina?”

“Serahkan anak-anak yatim itu kepada saya. Biar saya yang menjaganya,”

“Tapi..itu amanah adik saya. Saya dah janji dengan dia untuk membesarkan anak-anak itu walau dengan apa cara sekalipun. Saya sayangkan mereka Cik Dina. Saya tak boleh nak berpisah dengan mereka. Suami saya juga sayangkan mereka,” jawab Kak Melia, matanya mula berair.

“Saya tahu kakak sayangkan mereka. Sebab itu saya nak bantu kakak. Saya ada buka sebuah rumah kebajikan. Saya sedang mencari anak yatim dan orang-orang susah. Niat saya ikhlas kak. Tapi, saya tak paksa. Kalau kakak setuju, saya bersyukur kepada Allah. Kalau tak setuju, tak apa,” jelas Mardina. Kak Melia merenung wajah Mardina. Lama tanpa berkelip. Dia seperti tidak percaya dengan apa yang didengarnya.

“Akak fikirlah dulu. Bincang dengan suami. Kalau kakak rasa nakkan masa depan budak-budak tu lebih terjamin, kakak serahkanlah mereka kepada saya. Saya takan putuskan hubungan akak dengan mereka. Akak boleh datang melawat mereka bila-bila masa yang akak suka,” ujar Mardina lagi.

“Kalau macam tu, biar akak bincang dengan abang dulu..” jawab Kak Melia perlahan. Mardina angguk. Sebelum Kak Melia bangun untuk keluar, Mardina menyelitkan sekeping duit kertas seratus ringgit ke genggamannya.

“Ini untuk mereka. Saya tahu kesusahan kakak. Tapi akak kena sabar. Allah akan memberi ganjaran yang besar kepada sesiapa yang membela anak-anak yatim dengan baik dan penuh kasih sayang,” kata Mardina sambil menepuk-nepuk belakang tangan Kak Melia.

“Terima kasih Cik Dina..hanya Allah yang membalas kebaikan ini..” Kak Melia tidak mampu menahan lagi limpahan air matanya. Semuanya terburai seperti sebuah empangan yang pecah!

Dia teresak. Sendu dan sayu.

Mardina pula berlapang dada dan bersyukur kepada Yang Maha Pencipta kerana telah memberikannya peluang dan keupayaan untuk bersedekah dan saling membantu sesama insan.

**

Pulang dari pejabat, Mardina singgah di Rumah Nur Mukmin. Kemudian dia mengajak Aishah dan Mastura mencari rumah Puan Rusila selepas menelefon wanita itu.

“Kita nak ambil mereka hari ni?” Tanya Aishah.

“Kita tengok dulu. Kalau Shah dan Mas dah bersedia, apa salahnya? Hal yang baik tak elok dilambatkan. Lagi kita berlengah, pahala pun ikut berlengah,”

Kedua-dua gadis itu angguk. Sejak berada di rumah itu dan mengenali Mardina, mereka rasa semakin tenang dan bahagia. Mereka rasa seperti sudah diketemukan dengan keluarga sendiri.

Rumah Puan Rusila sepi. Loceng di pagar ditekan beberapa kali, namun tidak ada yang keluar membuka pagar. Lama. Namun Mardina sabar, tidak berganjak dari situ.

“Tak ada orang agaknya,” kata Mastura.

“Tak mungkin, sebab tadi akak dah beritahu Puan Rusila kita nak datang,”

“Kita tunggu sekejap,” Mardina duduk di atas tembok depan rumah itu.

Tidak lama, sebuah kereta berhenti. Mereka menoleh.

“Minta maaflah Cik Dina, masa Cik Dina telefon tadi, saya on the way ke klinik,” Puan Rusila keluar dari kereta dan membuka pagar.

“Kenapa? Siapa sakit?”

“Mak Cik Sarah tu..tiba-tiba sakit perut. Tu yang saya berkejar ke klinik. Maklum orang tua, tak boleh ditunggu,” jawab Puan Rusila. Mardina angguk.

“Tak ada orang lain di rumah ni?”

“Ada. Mereka ada di tingkat atas. Budak-budak tu pun dah balik sekolah,”

“Habis, tak ada yang menjenguk ketika kami tekan loceng?”

“Mereka memang tak akan keluar, saya dah ajar mereka begitu. Kalau saya tak ada, pintu tak boleh dibuka walaupun kepada orang yang mereka kenali. Untuk keselamatan. Dulu pernah rumah kami ni cuba diceroboh, sebab tu saya begitu berhati-hati,” kata Puan Rusila sambil mempersilakan mereka masuk sementara dia berjalan semula ke kereta dan memandunya masuk ke halaman rumah.

Mereka masuk. Puan Rusila naik ke tingkat atas. Tidak lama, beberapa orang kanak-kanak yang berumur antara 5 hingga 12 tahun keluar dan bersalaman dengan budi bahasa yang sopan. Selepas bersalam mereka tidak menunggu di situ, terus naik semula ke tingkat atas.

“Marilah ke bilik belakang tu,” ajak Puan Rusila. Mardina tidak membantah. Dia bangun dan mengekori Puan Rusila. Aishah dan Mastura juga.

Di sebuah bilik yang agak luas terdapat beberapa buah katil dan almari yang kemas tersusun.

“Mak! Kita ada tamu hari ni!” kata Puan Rusila kepada lima orang tua yang sedang berehat. Mereka menoleh. Senyum. Mardina membalasnya, mesra. Kemudian terus berjalan ke arah orang-orang tua itu dan bersalam.

“Siapa ni Sila?” Tanya salah seorang dari mereka kepada Puan Rusila.

“Saya Mardina mak,” jawab Mardina sebelum sempat Puan Rusila memperkenalkannya.

“Mardina..siapa?” Tanya seorang yang lain pula.

“Mak semua akan tinggal dengan dia nanti. Mak dah dapat rumah baru,”

“Sila nak ke mana? Kenapa kami nak dihantar ke rumah baru?”

Puan Rusila tunduk. Wajahnya mula terselubung pilu. Dia sedang mencari-cari jawapan yang terbaik untuk menjawab. Kalau boleh tidak mahu warga tua itu tersinggung hati.

“Mak, Kak Sila ada. Dia tak ke mana-mana. Cuma, dia nak mak semua bertukar angin, bertukar rumah. Dia akan ada bersama mak semua nanti..” Mardina menjawab. Puan Rusila berpaling ke arah Mardina. Mardina mengerdipkan mata dengan anggukan perlahan.

“B..benar mak..” Puan Rusila teragak-agak. Mardina faham. Tidak mudah untuk wanita itu membuat keputusan. Tidak mudah untuk berpisah dengan orang-orang yang sudah diberi kasih sayang.

“Mak..” Puan Rusila menahan esakan.

“Mak berehatlah, kami keluar dulu,” kata Mardina sambil menarik tangan Puan Rusila. Dia tidak mahu kesedihan yang mula terkesan di wajah wanita itu mampu dibaca oleh warga tua yang mengharap kasih itu.

“Sebenarnya, saya tak sanggup nak berpisah dengan mereka. Dah bertahun-tahun saya jaga dan belai mereka. Anak-anak itu, dari kecil hingga sebesar ini. Saya tak tahu macam mana hidup saya kalau mereka tiada. Kalau tidak kerana penyakit saya, saya tak akan buat keputusan ini..”

“Kak..keputusan yang akak buat ni yang terbaik untuk mereka. Akak kena redha dan pasrah. Keputusan akak menandakan kasih sayang akak yang tulus kepada mereka,”

“Benar, benar. Hanya ini yang mampu saya buat,” Puan Rusila menyeka air mata yang mula mengalir di pipi. Dia menarik nafas, mencari kekuatan diri sendiri.

“Bila saya boleh bawa mereka?”

“Hah? Cik Dina dah bersedia?”

“Ya..terlanjur rumah itu belum berpenghuni. Apa salahnya rumah yang kosong itu segera dipenuhkan dengan kebajikan,”

Puan Rusila tunduk. Sekali lagi dadanya sebak.

“Kak, percayalah. Kami semua akan menjaga mereka sepertimana akak menjaganya,” kata Mardina sambil menarik tangan Puan Rusila dan menggenggamnya. Wajah wanita itu direnung tenang.

“Bukan akak tak yakin. Akak tahu Cik Dina akan jaga mereka, mungkin lebih baik dari apa yang mereka terima dari akak. Tapi..akak bimbang kalau mereka belum bersedia. Akak pun belum cerita apa-apa pada budak-budak tu. Akak tak sampai hati..”

“Kalau macam tu, macam mana akak ikut tinggal dengan kami untuk sementara. Jadi mereka tak rasa mereka akan berenggang dengan akak,”

“Bolehkah?” Puan Rusila mengangkat muka. Mardina angguk perlahan.

“Apa salahnya..kami pun perlu tahu gelagat dan ragam mereka. Kita perlu bersuai-kenal,”

“Baik juga cadangan Cik Dina tu..”

“Jangan panggil saya Cik Dina, panggil Dina cukup,” ujar Mardina mengerdipkan mata kepada Puan Rusila. Wanita itu senyum. Jelas dadanya mula lapang dan semangatnya mula pulih.

Hati Mardina semakin lapang dan senang.

Tugas kemanusiaan semakin menghampirinya..


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.