Home Novel Keluarga BERTAUTLAH KIAMBANG
BERTAUTLAH KIAMBANG
Fida Rohani
11/4/2014 18:18:30
43,821
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 16 (Bhg 2)

**

Selepas melihat Qisya di hospital, hati seorang ibu menjadi semakin gundah. Tidak lama lagi

Qisya akan melahirkan anak sulungnya. Bagaimanakah nasib Qisya dan anaknya tanpa penjagaan rapi. Bersalin tanpa orang tua. Menguruskan diri dan anaknya sendirian. Affian memang tidak akan dapat menjaga Qisya sepenuh masa. Dia sudah mula bertugas.

Semua itu yang mengganggu fikiran Hajah Afida. 

“Ma, kalau macam tu mama carilah rumah sewa yang berdekatan sini. Senang mama nak jaga Sya.”

“Fian macam mana? Jauh pulak dengan hospital tempat dia bertugas.”

“Fian tu orang sihat. Dia boleh berulang-alik dari sini ke tempat kerjanya,” balas Qaisara.

Lama Hajah Afida terdiam. Fikirannya menerawang berfikir, mencari kebenaran kata-kata Qaisara. Tidak lama dia angguk perlahan.

Esoknya, kepada Alfian hal itu disuarakan.

“Fian ikut saja apa kata mama. Fian pun serba salah nak tinggalkan Sya dalam keadaan macam ni. Kalau dah bersalin, keadaannya menjadi bertambah sulit. Kalau mama rasa itu yang terbaik buat kami, Fian akan akur pada kehendak mama itu,” jawab Affian dengan jujur.

“Maafkan mama Fian.”

“Kenapa mama?”

“Kerana mama masuk campur dalam urusan rumah tangga Fian. Mama tak ada niat lain selain melihat anak dan cucu mama berada dalam keadaan baik. Fian juga dah jadi sebahagian dari hidup mama. Mama perlukan kasih sayang kamu semua untuk meneruskan hari tua mama,” jawab Hajah Afida.

“Mama, tolong jangan cakap macam tu. Fian dah tak ada keluarga yang lain selain mama, Kak Sara dan Abang Is. Mama pun tahu keadaan Fian. Fian dah dibuang oleh seluruh keluarga. Hanya kepada mama tempat Fian bergantung kasih sayang,” balas Affian dengan cepat.

“Kalau macam tu, senanglah hati mama. Esok mama akan carikan rumah sewa. Kalau dapat, Fian mesti segera pindah ke sini sebelum Sya bersalin.”

Kata setuju sudah diberikan oleh Affian. Tugas Hajah Afida ialah mencari rumah yang hendak disewakan. Di hadapan taman kediamannya, ada beberapa blok flat kos sederhana. Mungkin di situ dia boleh mencuba nasib.

Malam itu dia terkebil-kebil.

“Apa lagi kali ni?’ tegur Haji Hasnan dengan senyuman sinis.

“Tak ada apa,” balas Hajah Afida, selamba. Dia sudah berjanji kepada dirinya bahawa tidak akan ada lagi cerita dan rintihan mengenai Qisya akan berlaku di rumah itu. Selepas dia mendapat izin suaminya, dia rasa semua masalahnya selesai. Tidak mengapa kalau Haji Hasnan tidak sudi mendengar nama Qisya disebut. Tidak mengapa juga kalau suaminya itu tidak mahu mengambil tahu langsung mengenai anaknya itu. Asalkan sekarang, dia sudah bebas menguruskan Qisya dengan izin Haji Hasnan. Dia tidak melakukan perbuatan yang dianggap engkar lagi.

“Tidurlah bang. Saya nak ke dapur sekejap. Haus pulak,” kata Hajah Afida, sengaja mencari alasan untuk menghindar diri daripada Haji Hasnan.

Tidak ada jawapan. Yang kedengaran hanya dengkuran kecil dari Haji Hasnan. Hajah Afida segera berjalan ke dapur. Selepas minum segelas air, dia duduk bermenung seketika. Akalnya ligat memikirkan apakah agenda esok yang akan dibuatnya.

Yang paling penting dalam hatinya sekarang ialah, Qisya dan anaknya harus mendapat perhatian dan jagaan yang sempurna seperti orang lain. Qisya anak bongsunya. Bayi yang dikandung itu adalah cucu pertamanya.

Hajah Afida tersenyum-senyum. Dia membayangkan saat manis memeluk dan mencium seorang bayi. Sudah lebih dua puluh tahun tidak menikmati kemanisan menjaga bayi namun masih segar bau harum dari syurga yang dibawa oleh seorang bayi.

Cucuku... semoga dikau selamat lahir ke dunia ini.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.