Home Novel Keluarga BERTAUTLAH KIAMBANG
BERTAUTLAH KIAMBANG
Fida Rohani
11/4/2014 18:18:30
44,184
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 7

Pernikahan yang diatur berjalan dengan baik. Affian dan Qisya akhirnya menjadi suam isteri dalam majlis yang terlalu sederhana. Ia dibuat di rumah Puan Zieta, sahabat baik Puan Afida di Taman Pulai Perdana. Tidak ada kenduri besar-besaran. Ia sekadar makan malam yang disediakan oleh tuan rumah untuk menjamu pak imam dan rombongannya.

Tidak ada jemputan yang ramai. Hanya imam dan saksi. Tidak ada wakil dari keluarga Affian. Yang menemaninya hanya Mukhriz, teman baiknya. Di sebelah Qisya pula, hanya Hajah Afida seorang sahaja. Haji Hasnan?

“Awak pergi uruskan hal anak awak. Lepas tu, awak jangan bawa balik cerita tentang dia dan usah sebut nama dia lagi dalam rumah ini. Saya tak izinkan. Kalau awak engkar, awak tanggung dosa awak!”

Itu kata putus yang keluar dari mulut Haji Hasnan. Hajah Afida akur.

“Terima kasih sekali lagi bang,” ucap Hajah Afida ketika akan melangkah keluar pintu rumah. Dia rasa bersyukur kerana dia masih diberi izin untuk keluar ke majlis itu. Kalau tidak, tidak tahu betapa sedihnya hati seorang ibu.

Qisya dan Affian tidak memakai pakaian pengantin seperti pengantin yang lain. Dia hanya memakai baju kurung biasa sahaja.

Hajah Afida bukan tidak mahu membelikan sepasang baju untuk hari istimewa Qisya itu. Tetapi Qisya menolaknya.

“Buat apa nak membazir mama. Sya akan pakai baju biasa saja. Affian pun nak pakai baju raya dia tahun lepas. Itu yang dia ada. Kalau Sya pakai baju cantik, kesian pula dengan Fian,” kata Qisya, menolak.

Alhamdulillah, majlis selesai dengan selamat. Dalam sekali lafaz, Qisya sudah menjadi isteri Affian.

“Mama harap kamu berdua hiduplah baik-baik. Mama hanya mampu berdoa. Hidup berumah tangga akan penuh dengan cabaran. Mama harap kamu akan tabah. Fian, tolong jaga anak mama,” kata Hajah Afida dengan sebak ketika anak muda bernama Affian datang mencium tangan dan pipinya dengan penuh hormat takzim sebagai menantu.

“Terima kasih mama, kerana sudi menerima Fian sebagai menantu. Fian tahu keputusan kami mendadak. Tapi ini lebih baik dari kami terjebak dengan perkara-perkara mungkar. Fian dah tak ada sesiapa melainkan Sya dan mama. Keluarga Fian...” Affian terhenti. Dia tidak mampu meneruskan kata-katanya.

Air mata menitik dari birai mata Affian.

“Sabarlah. Setiap ibu bapa memang mengharapkan yang terbaik untuk anak-anaknya. Buat masa ini, mereka tengah marah. Biarkan dulu. Tapi jangan lupa berdoa untuk mereka. Jangan pula sekali-kali melupakan mereka. Marah ibu bapa jangan diambil kira untuk menjauhkan diri,” kata Hajah Afida, menarik Affian ke dalam pelukannya.

Entah kenapa hati Hajah Afida jatuh kasih kepada menantu yang baru pertama kali ditemuinya. Jauh di sudut hati, dia memuji pilihan Qisya. Dia nampak ada keluhuran dalam mata Affian. Ada ketulusan dalam setiap tutur katanya.

“Mama sayang kamu berdua...” bisik Hajah Afida.

Tangis Affian semakin mendodoi. Sungguh terharu dan sebak dengan belaian kasih sayang yang sedang diterima daripada mak mertuanya. Walaupun, baru sahaja mengenali wanita itu, namun dia rasa sangat selesa bersamanya. Kalaulah ibunya Hajah Norlida bersikap seperti Hajah Afida, alangkah gembiranya.

Malam itu mereka makan malam bersama selepas akad nikah.

“Sya, ini mungkin kali terakhir kita dapat makan macam ni. Biarlah mama suapkan Sya dan Fian sebagai tanda kasih sayang mama pada kamu berdua,” kata Hajah Afida.

“Jangan cakap macam tu, ma. Sya belum bersedia untuk disisihkan dari kasih sayang mama,” balas Qisya pula.

“Mama tak mungkin akan sisihkan Sya. Tapi Sya pun faham keadaan kita. Mama tak akan derhaka pada perintah abah. Kalau dia tak izinkan mama jumpa Sya, mama tak boleh bantah. Kita tak tahu berapa lama hati abah akan tertutup untuk Sya dan Fian. Kita hanya hanya berdoa.”

Hajah Afida menyuapkan sejemput nasi yang sudah digaul dengan lauk ke mulut Qisya. Dengan sebak, Qisya mengangakan mulut dan mula mengunyah dengan perlahan bersama titik-titik air mata.

Suapan kedua pula disuakan ke mulut Affian. Seperti Qisya, Affian juga menerima makanan dari tangan Hajah Afida dengan air mata.

“Terima kasih ma. Mama telah berikan sesuatu yang Fian tak dapat sebelum ini.”

“Apa maksud Fian?” Hajah Afida merenung mata Affian yang basah.

Qisya ikut bersimpati mendengar kata-kata Affian. Selama mengenali suaminya, dia memang tahu akan semua pergolakan dan kepincangan yang berlaku dalam hidup Affian. Ibunya Dr Hajah Norlida ayahnya Dr. Haji Zahari, adalah dua nama yang menjadi sebutan dan sanjungan ramai orang. Kebahagiaan yang ditunjukkan sering menjadi idola. Namun, apa yang berlaku adalah sebaliknya.

“Tak apalah... biar semuanya Fian simpan. ALLAH Maha Mengetahui dan Maha Pemberi. DIA dah kurniakan sebuah keluarga kepada Fian sekarang. Fian janji akan berbakti kepada mama selagi hayat dikandung badan.”

Affian menyapu air matanya. Dia belum berhajat untuk mendedahkan pekong di dadanya. Biarlah ia membusuk di dada sendiri.

Hajah Afida terus menyuap kepada kedua-dua pengantin baru itu bergilir-gilir. Dia cuba mengubati hatinya dengan melayan anak menantunya itu.

“Mama ingat masa Sya kecil dulu, Sya akan makan dari tangan abah. Kalau abah ada, Sya langsung tak nak makan dengan mama. Sya dan abah sangat rapat. Dari bayi abah sangat sayangkan Sya. Hingga dewasa dia menyanjung Sya...” Hati Hajah Afida tidak tertahan lagi. Dia menangis. Alangkah tidak disangka kalau hubungan yang sangat erat itu boleh menjadi renggang.

“Ma, janganlah buat Sya rasa bersalah lagi. Memang Sya yang jadi punca semua ini berlaku,” kata Qisya, berhenti mengunyah. Rona wajahnya berubah.

“Sebenarnya mama tak salahkan Sya. Abah juga tak salah. Takdir sedang menguji kita.”

“Sya dah sakitkan hati abah.”

“Abah yang kurang sabar untuk berdepan dengan dugaan ini,” balas Hajah Afida.

“Dan mama yang jadi mangsa kemarahan abah pada Sya,” kata Qisya lagi.

Hajah Afida tersenyum. Namun di mata Qisya senyuman itu mengandungi seribu sengsara. Dia kenal perangai abahnya. Bila kemarahan membuak, semua maki hamun akan keluar dari mulutnya. Dia memang kurang sabar.

“Dahlah. Mama buat ni semua demi Sya. Mama nak Sya bahagia. Mama nak Sya berjaya. Satu hari, Sya mesti pulang ke rumah dengan segulung ijazah. Apapun dugaan, Sya mesti jadi doktor. Hanya itu harapan mama. Sya kena buktikan pada abah bahawa Sya akan berjaya dalam pelajaran dan bahagia dalam hidup,” ujar Hajah Afida. Dia membasuh tangan. Sepinggan nasi habis disuap. Hatinya rasa girang seketika.

“Ma, Sya janji. Satu hari Sya akan pulang ke rumah dengan ijazah dan baju doktor yang mama impikan,” kata Qisya sambil memeluk tubuh Hajah Afida.

“Fian juga berjanji, mama,” kata Affian pula.

“Ya. Mama memang harapkan kamu berdua berjaya. Fian, tolong jaga Sya untuk mama. Ingat, mama sentiasa bersama kamu berdua di kala susah dan senang.” Hajah Afida memeluk kedua-duanya. Kemudian dia mengeluarkan sebuah kotak dari beg tangannya.

“Sya, ambil ni,” hulur Hajah Afida.

“Apa ni ma?” Qisya mengambil kotak itu.

“Hanya ini kenang-kenangan dari mama. Sedikit duit untuk kamu berdua mulakan hidup baru dan barang-barang kemas milik mama.”

“Tapi ma...”

“Jangan menolak Sya. Mama tahu satu masa Sya akan memerlukan sumbangan kecil ini. Ini barang-barang milik mama sendiri. Pemberian arwah nenek Sya.”

“Tapi, kan lebih baik mama berikan kepada kak long dan kak ngah.”

Hajah Afida diam termenung. Dia tahu dia tidak berlaku adil kepada anak-anaknya yang lain ketika dia mengambil keputusan untuk memberikan seutas rantai dan gelang emas itu kepada Qisya. Namun, dia rasa hanya Qisya yang layak. Anak-anak yang lain semuanya sudah hidup senang dengan pendapatan masing-masing. Tetapi Qisya? Belum tahu lagi nasib Qisya akan timbul atau tenggelam.

“Sya, ini permintaan mama. Terimalah. Kalau Sya tak nak pakai, Sya simpan sebagai hadiah dari mama. Hal-hal yang lain, biar mama yang hadapinya.”

Qisya menerima hadiah itu dengan berat hati. Dia bimbang hal itu akan menjadi bahan kemarahan ahli keluarganya yang lain. Dia tidak mahu Hajah Afida dimarahi lagi.

“Terima kasih mama. Sya akan jaga hadiah mama ini dengan baik.”

Mereka berpelukan. Lama. Air mata menjadi saksi. Kesedihan memang tidak mampu dibendung. Hajah Afida tahu, malam itu mereka akan berpisah. Dalam keadaan tegang begitu, dia tidak tahu bilakah pertemuan akan berlaku lagi.

“Mama minta kamu cepat tinggalkan tempat ini sebelum hari siang. Mama bimbang api kemarahan abah akan marah dan melemahkan akalnya. Pergilah. Mulakan hidup baru,” kata Hajah Afida meleraikan pelukan Qisya. Dia cuba untuk tidak tunduk kepada perasaan.

Affian memimpin tangan Qisya keluar dari rumah Puan Zieta.

“Sya, sabarlah. Betul kata mama. Kita kena pergi dari sini dengan segera. Fian juga tak nak keluarga Fian cari kita. Marilah kita pergi,” pujuk Affian.

Hajah Afida menghantar Qisya dan Affian dengan esakan kecil yang sangat lara.

“Ida, sabar dan biarkan mereka pergi untuk mulakan hidup baru. Kita doakan agar ALLAH lindungi mereka,” kata Puan Zieta sambil memeluk tubuh Hajah Afida yang bergegar!


Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.