Home Novel Keluarga BERTAUTLAH KIAMBANG
BERTAUTLAH KIAMBANG
Fida Rohani
11/4/2014 18:18:30
44,205
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 4

Tempoh yang diberikan oleh Hajah Norlida untuk Affian membuat keputusan, tamat. Malam itu, dia dipanggil bersemuka di ruang tamu. Malam itu dia berdepan dengan saat sukar menentukan jalan hidupnya.

“Apa keputusan Fian?” tanya Hajah Norlida. Haji Zahari hanya diam menunggu.

Affian membetulkan duduk. Dia cuba bertenang.

“Ibu, ayah... terlebih dulu Fian minta maaf. Fian memang anak yang tak guna. Anak yang lemah. Keputusan Fian ini langsung tak bermaksud nak hancurkan hati ibu dan ayah. Tak juga berniat nak kecewakan ibu dan ayah. Fian harap ibu dan ayah dapat terima keputusan ini dengan hati terbuka. Maafkan Fian ayah... ibu... ” Affian tunduk. Dia meredakan debar.

“Jadi, kamu memilih untuk berkahwin dari belajar? Kamu memilih gadis itu daripada memilih kami?” tengking Haji Zahari dengan kuat.

“Ayah, Fian pilih kedua-duanya. Fian tak nak tinggalkan sesiapa,” balas Affian, tegas.

“Tidak! Kamu berhak pilih salah satu saja!” sergah Hajah Norlida pula. Wajahnya masam.

Affian tunduk, mencari kekuatan.

“Fian tetap akan berkahwin. Fian sangat cintakan Qisya. Fian dah janji dengan dia,” kata Affian dengan nekad.

Hajah Norlida menoleh kepada suaminya. Mata mereka bertemu dalam rona yang sama, kesal.

“Kamu dah habis fikir?” tanya Haji Zahari dengan suara yang hilang mesra.

Angguk.

“Kamu tak menyesal?” tanya Hajah Norlida pula.

Geleng.

“Baiklah. Kalau itu yang kamu nak, kami terima keputusan kamu. Tapi, kami akan anggap kami dah tak ada anak bernama Affian lagi. Kamu boleh buat apa yang kamu suka dan hidup dengan cara kamu!” tegas Haji Zahari sambil bangun.

Hajah Norlida ikut bangun. Kesetiaannya terserlah.

“Ayah, ibu, tolonglah...”

“Kamu yang buat keputusan itu. Kami nak tolong apa. Pergilah kahwin dan jangan sekali-kali bawa isteri kamu pijak rumah kami. Faham?” sergah Haji Zahari. Kali ini kakiknya melangkah pergi dan tidak menoleh lagi.

“Kamu boleh ambil semua barang-barang kamu. Kami izinkan,” kata Hajah Norlida pula. Dia ikut melangkah pergi.

Affian tunduk menahan air mata. Kemudian esakannya kedengaran, sangat perlahan tetapi meruntun hati sesiapa yang mendengar. Kakaknya, yang sejak tadi mendengar perbincangan itu dari dalam bilik, ikut terdengar esakan itu.

“Fian, sabarlah. Masih ada masa untuk Fian ubah keputusan Fian itu. Fikirlah sekali lagi demi ayah dan ibu,” kata Kak Alawiah sambil memeluk bahu Affian.

“Keputusan Fian dah tak boleh ubah lagi kak. Fian nak kahwin juga dengan Qisya. Kami dah janji.”

“Janji manusia boleh ubah. Lagipun, ayah bukan nak halang terus. Dia hanya minta Fian habiskan pengajian. Hanya satu semester lagi. Tak lama. Pejam celik pejam celik dah habis masa tu. Sabarlah sikit,” pujuk Kak Alawiah lagi.

“Tak apalah kak. Kalau itu keputusan ayah dan ibu, Fian terima. Bukan Fian nak derhaka, tapi Fian sangat cintakan Qisya.” Affian mengesat air mata. Dia membetulkan dirinya. Tidak lama, dia berjalan masuk ke biliknya.

Bilik itu direnung lama. Segala perhiasan dan perabot disusun cantik oleh ibunya. Di atas meja tulis diletakkan sebuah frame gambar mereka anak beranak. Diambil gambar itu dan dipeluknya. Lalu dia berbaring bersama frame gambar itu. Dia memeluknya dengan erat, tanda tidak mahu berenggang dengan ahli keluarganya.

“Ya ALLAH, tolong kuatkan semangatku. Aku adalah hamba-MU yang lemah. ENGKAU yang berikan perasaan cinta dalam hatiku ini. ENGKAU Yang Maha Tahu apakah hikmah di sebaliknya. Aku pasrah pada ketentuan-MU. Jika ini takdirku, aku akan menerimanya. Tolong ampuni aku kerana menjadi anak yang engkar...”

Perlahan-lahan dia bangun dan mencapai sebuah beg besar. Dia mula mengemas barang-barang kepunyaannya. Fikirannya kusut. Dia langsung tidak tahu ke mana akan pergi dengan beg itu nanti. Semuanya kerana dia tidak sangka, secepat itu dia kena keluar dari rumah besar itu.

Telefon berdering.

“Fian okey tak?” Suara Qisya lembut di telinganya. Dia tidak mampu berbohong. Semua dugaan telah bermula.

“Fian?” desak Qisya dengan cemas.

“Mereka tetap tak setuju dan Fian tetap tidak mahu berganjak.”

“Fian...” Suara Qisya didengarnya sebak.

“Kita kena kuatkan semangat Sya.”

“Tapi, kita terpaksa lukakan hati ramai orang. Ibu dan ayah kita...”

“Habis, Sya nak undur?”

Diam.

“Sya, biar apapun terjadi kita tak boleh undur lagi.”

“Bukan undur, tapi kita tunda.”

Giliran Affian pula diam.

“Sya, tak apalah kalau Sya nak undur. Tapi Fian tetap tak nak undur. Alang-alang kita dah buka mulut. Kita dah janji untuk harungi bersama kan?”

“Mama dan abah Sya tidak setuju. Ayah dan ibu Fian juga begitu. Sya semakin takut kita akan kalah. Sya tak berdaya nak lawan mereka...” rungut Qisya perlahan.

“Sya, percayalah. Kita tak buat perkara salah. Hanya ALLAH yang tahu hajat kita.” Pujukan itu bukan hanya untuk Qisya, tetapi untuk dirinya juga.

Affian duduk di tepi tingkap. Dia melihat kawasan rumah yang bersih dan cantik kerana dijaga rapi. Ibunya memang seorang yang teliti. Setiap pagi, dia akan pastikan pembantu rumah mengemas halaman. Jangan ada sehelai daun dan sampah. Jangan pokok tidak bersiram. Jangan ada rumput sehelai. Kalau ada, akan gegak gempita dengan leterannya.

‘Macam mana nak buat ayah dan ibu faham tujuan aku nak berkahwin ini?’ Dia menyoal dirinya. Bukan sekali ini, malah sudah berkali-kali soalan itu muncul.

Dia terlalu cintakan Qisya. Tidak sanggup berenggang walau sekejap. Rasa cinta itu sering membuatkan mereka bersama. Di universiti hubungan mereka sudah menjadi buah mulut siswa dan warga kampus. Dia hanya senyum bila kawan-kawan menyindir dan memerli.

Namun, satu ketika dia rasa sindiran itu amat menyakitkan.

“Sya, apa kata kita kawin,” usulnya kepada Qisya. Ketika itu mereka baru saja keluar dari perpustakaan. Qisya ajak keluar makan dahulu sebelum balik ke hostel.

“Tapi kenapa?”

“Fian takut kehilangan Sya.”

“Tapi, kitakan masih belajar. Dari mana kita nak dapatkan duit untuk belanja kahwin.”

“Kita tak payah buat kenduri besar-besaran. Kita nikah je. Kita buat yang wajib dan yang afdal.”

“Tapi, keluarga kita macam mana?”

“Kita cuba fahamkan mereka. Sya, setiap hari kita bersama. Walaupun kita tak lakukan apa-apa dosa, tapi Fian rasa tak selesa. Kita sering digandingkan bersama dalam setiap tugasan. Tugas praktikal di hospital pun kita sering digandingkan bersama. Dengan rasa cinta yang ada dalam dada kita ini, lebih baik kalau kita kahwin.”

Dia melihat wajah Qisya yang berubah muram.

“Sya tak suka nak kahwin dengan Fian?”

“Fian, bukan itu maksud Sya. Saya cuma takut keluarga menghalang.”

“Kita cuba dulu.”

“Kalau mereka tak suka?”

Diam. Waktu itu dia sendiri tidak menduga akan berlaku suasasan seperti itu. Dia tidak terfikir langsung bahawa hajatnya itu menjadi ombak besar yang melanda pantai kemarahan ayah dan ibunya.

Lalu dia tertanya-tanya, salahkah kalau dia ingin menghentikan fitnah dan menghalalkan sebuah hubungan agar dia dapat belajar dengan tenang?

“Pada kau mungkin perkara ini kecil dan tak menjejaskan apa-apa. Tapi pada keluarga kau, mungkin ini perkara besar. Sudah tentu ibu bapa ingin melihat anaknya terima ijazah dan bekerja dulu sebelum fikirkan hal kahwin. Malah ada ibu bapa yang nak rasa dulu hasil penat jerih mereka membesarkan anak,” kata Hairi, teman baiknya.

“Tapi Ri, niat aku baik. Aku nak elakkan maksiat. Kau ingat kata Ustaz Din masa kuliah subuh semalam, bahawa bila kita berdua-duaan orang ketiga adalah iblis. Aku takut pada fitnah dan hasutan iblis. Sebab itu aku nak segera kahwin dengan Qisya. Aku nak belajar bersama-sama dengan tenang dengan dia,” balasnya, minta pengertian seorang sahabat.

“Itu aku faham. Kau berfikiran dari sudut diri kau sendiri. Kau tak fikir dari sudut ibu bapa kau. Sudah tentu mereka tak suka dengan keputusan tergesa-gesa kau ni. Hanya satu semester lagi Fian. Sabarlah,” pujuk Hairi pula.

“Pasal itu juga aku nak segerakan pernikahan ini. Aku nak habiskan pengajian ini bersama dan posting ke mana sahaja bersama-sama Qisya. Dengan adanya hubungan suami isteri, mungkin semuanya akan menjadi lebih senang.”

Dia melihat Hairi diam termenung. Mungkin Hairi fikir alasan itu terlalu tidak logik atau dia tidak setuju dengan alasan itu.

“Kalau kau dah nekad, apa lagi yang boleh aku kata. Tapi, kau kenalah hadapi semua ujian dan rintangannya nanti. Kau kena kuat sebab aku yakin Qisya akan bergantung kepada kekuatan kau.” Itu kata Hairi. Memang benar. Dia tidak boleh kalah. Kalau dia lemah dan kalah, Qisya apa lagi.

Tangannya kembali mengemas. Hatinya semakin nekad. Semangatnya semakin membuak.

Haji Zahari dan Hajah Norlida pula masuk ke bilik dengan rasa marah dan geram yang tidak tertanggung.

“Apalah yang lebih sangat dengan budak perempuan tu hingga dia tak sanggup nak tunggu satu semester lagi,” keluh Hajah Norlida.

“Kalau dah degil, tak payah nak cakap apa lagi. Biarkan dia. Nanti satu hari dia akan menyesal juga!” tambah Haji Zahari pula sambil mengetap bibir.

Hajah Norlida diam. Sakit sungguh hatinya melihat perubahan Affian yang semakin tidak mendengar kata. Siapakah gadis yang sedang menggoda Affian itu? Itu yang menjadi tanda tanya di hatinya.

“Esok saya nak ke Kuantan. Pastikan dia keluar dari rumah ini sebelum saya balik. Saya tak nak tengok muka dia menyemak dalam rumah saya ini lagi. Dia dah malukan saya dengan tindakannya itu,” kata Haji Zahari.

Hajah Norlida angguk. Kalau itu keputusan suaminya, itu juga keputusannya. Malah, hatinya lebih keras dan tidak ada diplomasi dalam hal itu.

“Awak pergilah. Saya akan pastikan dia keluar dari rumah ini sebelum awak balik. Saya akan ajar dia kali ini. Dia dah terlebih manja hingga berani melawan kita. Dia tak seperti abang dan kakaknya yang lain. Saya akan pastikan dia susah!” kata Hajah Norlida, melepaskan geram.


Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.