Home Novel Keluarga BERTAUTLAH KIAMBANG
BERTAUTLAH KIAMBANG
Fida Rohani
11/4/2014 18:18:30
44,179
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 13

Qais hilang kata-kata. Dia tidak upaya melawan lagi. Dengan perlahan dia bangun dan berjalan meninggalkan ruang tamu itu.

“Apa kata abah?” tanya Qaisara ketika Qais duduk di sebelahnya.

Qais menjawab dengan gelengan kepala. Hanya itu yang mampu dibuat untuk menjawab soalan adiknya.

“Sampai hati abah...” rintih Qaisara dengan tangisan. Dia tidak mampu bertahan lagi. Esakannya membuat Hajah Afida terjaga dari tidur dan merenung wajah Qaisara dirundung pilu itu.

“Abah terlalu ikutkan hati marahnya. Abah langsung tak sabarkan hatinya. Abah tak ingat takdir dan ketentuan ALLAH. Sya tak akan kahwin dengan Affian kalau ALLAH tak takdirkan begitu. Kenapa abah tak ingat janji ALLAH...” sambung Qaisara.

“Sara, jangan marahkan abah. Dia berhak buat macam tu. Ini rumah dia. Mama ni isteri dia. Mama masih boleh bertahan. Tolong jangan engkar perintah abah. Tolong jangan derhaka kepada abah,” kata Hajah Afida dengan perlahan. Kemudian dia terlena.

“Mama...” Qais berkata sebak. Dia sangat terharu, dalam saat seperti itupun mamanya masih mempertahankan abahnya. Alangkah tabahnya dia. Itu muncul dalam hati Qais.

Seluruh rindu yang ditanggung oleh Hajah Afida dirasai dengan simpati oleh Qais dan Qaisara.

“Apa kita nak buat sekarang? Takkan kita nak biarkan mama terus menerus macam ni?” tanya Qaisara dengan lesu.

“Entahlah Sara. Bila abah dah kata macam tu, abang tak berani nak buat apa-apa lagi. Sya tak diizinkan pijak rumah ni. Mama pula tak diizinkan keluar dari rumah untuk jumpa Sya. Apa lagi cara kita nak temukan mereka.”

Suasana sepi. Mereka diam dengan akal yang ligat berfikir.

Telefon bimbit Qaisara berdering. Tanpa membiarkan deringan itu mengganggu tidur Hajah Afida, Qaisara segera menjawab.

“Kak, macammana keadaan mama?” Suara Qisya kedengaran resah.

“Demam mama belum kebah Sya.”

“Kak, Sya nak balik tengok mama. Sya nak...”

“Sya, jangan! Abah tak izinkan.” Qaisara menegah dengan cepat.

“Tapi, mama sakit. Sya kena tengok mama, kak. Tolonglah kak. Tolonglah pujuk abah,” rayu Qisya dengan hiba.

“Kami dah cuba Sya. Tapi, abah tetap berkeras. Dan mama, tak nak kita semua bantah cakap abah. Tolonglah juga faham keadaan sekarang, Sya,” kata Qaisara pula.

Tidak ada yang bersuara. Qaisara diam. Qisya juga diam. Namun esakannya tiba-tiba kedengaran jelas di telinga Qaisara.

“Sya, sabarlah.”

“Sya nak tengok mama. Sekejap pun jadilah.”

“Macam mana Sya nak tengok kalau abah tak izinkan Sya masuk ke rumah ini.”

“Berilah peluang kepada Sya, kak. Dari jauh pun tak apa. Janji Sya dapat tengok mama.”

“Nanti akak hantar gambar mama di facebook Sya.”

“Kak, sebenarnya Sya dah ada depan pagar ni.”

Qaisara tersentak. Dia segera bangun dan menjengah keluar. Memang benar. Qisya dan suaminya ada di hadapan pagar rumah itu.

“Ya ALLAH! Sya... tolong jangan buat abah marah. Tolong balik dulu. Abah tengah naik angin tu!” kata Qaisara sambil melambai-lambaikan tangan kepada adiknya. Kerinduannya juga sedang menusuk jiwa.

“Sya nak tengok mama. Mana mama?”

“Mama tak boleh bangun Sya. Sya, tolonglah pergi dari sini sebelum abah nampak Sya...” rayu Qaisara.

“Sara, mana Sya?” Tiba-tiba Hajah Afida membuka matanya. Dia melilau lagi.

Qaisara dan Qais saling berpandangan. Mereka serba salah. Kerinduan anak dan ibu sudah memuncak.

“Mama, Sya ada di hadapan pagar. Tapi, mama tak boleh ke sana.”

Mendengar nama Qisya disebut, Hajah Afida segera bangun. Dia ingin turun dari katil. Qais memegangnya.

“Mama, jangan turun. Nanti mama terjatuh,” kata Qais.

“Mama nak jumpa Sya... suruh Sya tunggu.” Sekali lagi Hajah Afida cuba bangun, tetapi dia tidak berdaya.

Sementara Qaisara sedang memujuk Qisya dan Qais memujuk Puan Afida, Haji Hasnan sudah berdiri di muka pintu.

“Apa yang kecoh sangat ni?” tanya Haji Hasnan. Qaisara mematikan talian dengan cepat.

“Bang, anak menantu kita ada di hadapan pagar. Tolonglah izinkan mereka masuk. Saya rindu sangat pada mereka, bang.” Hajah Afida cuba merayu

Haji Hasnan segera berjalan ke tepi tingkap. Matanya menyambar susuk tubuh tetamu yang ada di hadapan pagar rumahnya. Dengan cepat dia berpaling dan wajahnya juga segera berubah. Langsung tidak ada belas kasihan dan kasih sayang lagi!

“Saya tak izinkan budak tu masuk ke rumah saya. Saya juga tak izinkan awak keluar berjumpa dia. titik.” Haji Hasnan berjalan keluar. Mungkin dia tidak mahu mendengar suara rayuan Hajah Afida yang lemah itu.

Hajah Afida mula menangis. Dia tahu, keputusan Haji Hasnan tidak mungkin akan berubah. Itulah yang muktamadnya. Bukan senang untuk mengubah segala yang diputuskan oleh lelaki itu.

“Sya, pergilah dari sini. Jangan sampai abah halau. Kalau kecoh, malu dengan jiran-jiran. Nanti akak usahakan pertemuan dalam masa terdekat. Pergilah dulu...” kata Qaisara, merayu.

“Sara, Is, tolong pimpin mama ke tingkap. Mama nak tengok Sya. Mama rindukan dia... tolonglah...” Hajah Afida pula menggapaikan tangannya minta dikasihani.

Qaisara dan Qais akur. Mereka memimpin tubuh lemah Hajah Afida ke tepi tingkap.

“Sya...” Hajah Afida melihat Qisya sambil melambai-lambaikan tangannya. Dia memeluk dirinya sendiri seolah-olah dia sedang memeluk Qisya.

Mereka berbalas lambaian. Mereka berbalas memeluk diri. Qaisara memandang dengan esakan. Qais tunduk sebak. Alangkah syahdunya kasih sayang...

Qaisara akhirnya melekapkan telefonnya ke telinga Hajah Afida.

“Sya...anak mama...” panggil Hajah Afida dengan air mata. Dia melambai. Qisya membalas lambaian itu. Esakan didengar jelas.

“Mama, Sya rindu mama.”

“Mama juga.”

“Mama jaga diri baik-baik ya,” kata Qisya.

“Sya juga kena jaga diri. Mama akan doakan Sya selamat.”

“Mama juga jangan risau sangat pasal Sya. Mama kena sihat. Cepat sembuh, ya mama.”

“Ya, mama akan kuatkan diri. Sya juga kena kuat. Mama sayang Sya.”

“Insya-ALLAH, ma. Sya sayangkan mama dan abah juga.” Qisya melambai lagi. Kali ini dengan senyuman manis. Hajah Afida senang melihat senyuman Qisya itu. Dia membalas senyuman itu dengan senyuman juga.

“Mama, Sya ada berita gembira. Sya dah mengandung. Tak lama lagi, mama akan dapat cucu.”

“Ya ke? Alhamdulillah... mama gembira sangat.” Senyuman Hajah Afida semakin melebar. Air matanya segera dikesat. Tiba-tiba dia rasa kuat serta merta. Demamnya dirasakan kebah!

“Sya jaga cucu mama baik-baik.”

“Insya-ALLAH mama.”

“Sya, mama nak cakap dengan menantu mama sekejap,” kata Hajah Afida.

Qisya menghulurkan telefon kepada Affian.

“Assalamualaikum, mama.”

“Waalaikummusalam. Fian tolong jaga anak dan cucu mama. Mama tak dapat nak jaga Sya. Tapi mama yakin dia akan gembira dan bahagia bersama Fian. Fian...” Air mata Hajah Afida menitik lagi.

“Insya-ALLAH mama. Fian akan jaga Sya dan cucu mama seperti Fian menjaga diri Fian sendiri. Mama jangan susah hati. Mereka adalah nyawa Fian.”

Affian melambai tangan sebagai tanda berjanji. Hajah Afida membalasnya dengan yakin.

Dari luar bilik, kedengaran batuk Haji Hasnan mula mendekat. Dengan cepat Hajah Afida mematikan talian. Dia melambai untuk kali terakhir sebelum berjalan ke katil. Dia menangis.

Qaisara dan Qais menepuk-nepuk tubuh Hajah Afida dengan sebak. Air mata memang tidak malu menuruni pipi masing-masing. Namun esakan cuba ditahan sebaik mungkin kerana mereka tidak mahu ia didengar oleh Haji Hasnan.


Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.