Home Novel Keluarga BERTAUTLAH KIAMBANG
BERTAUTLAH KIAMBANG
Fida Rohani
11/4/2014 18:18:30
44,185
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab11

Hajah Afida masih bersimpuh di sejadah. Selepas menunaikan solat sunat hajat empat rakaat, dia merafak doa kepada Illahi. Dia minta bersungguh-sungguh, dengan air matanya. Seluruh hajat dan hasrat dipohon dari ALLAH S.W.T.

Dia tahu ALLAH Maha Pemberi.

“Ma, esok Sya akan exam. Sya perlukan doa mama. Sya tahu Sya berdosa pada mama dan abah, tapi tolonglah doakan Sya. Tidak ada harta yang paling berharga untuk seorang anak selain doa ibu bapanya. Mama... Sya perlukan doa mama dan abah.”

Itu permintaan Qisya semalam. Sebagai ibu, dia memang tidak pernah lupa mendoakan anak-anaknya. Namun kali ini, doanya berlipat ganda. Dia memang berharap Qisya akan lulus cemerlang. Untuk masa depannya. Juga untuk membuktikan kepada Haji Hasnan bahawa semua tohmahannya salah.

“Hanya kepada-MU tempat aku memohon ya ALLAH. KAU tabahkan hati anakku. KAU tenangkan jiwanya. KAU terangi hatinya untuk menghadapi kertas ujiannya esok. Ya ALLAH... berikan kejayaan kepada anakku Qisya.”

Air matanya membasahi pipi. Kemudian dalam kelam malam, dia teresak-esak. Baru disedari, sudah enam bulan dia terpisah dengan Qisya. Wajah mulus anak bongsunya itu sudah tidak dilihat lagi. Dia tidak diberi izin untuk bertemu Qisya.

“Saya tak nak awak jumpa dia. Saya tak izinkan!”

“Tapi, dia anak saya.”

“Awak nak derhaka pada saya?”

Hajah Afida terus terdiam. Dia menerima hukuman itu dengan rindu. Sungguh rindu. Setiap kali makan, dia akan teringatkan Qisya. Anak itu sangat manja dengannya.

“Awak dah selesai solat ke? Saya ni nak minta segelas air. Rasa haus sangat,” kata Haji Hasnan.

Tanpa berlengah, dia bangun dan menanggalkan telekung. Dengan pantas pula dia berjalan ke dapur. Segelas air dihulurkan dengan penuh hormat dan kasih sayang.

“Panjangnya wirid awak malam ni?” tanya Haji Hasnan, cuba bergurau selepas air yang dihulurkan habis diminum.

“Saya buat solat hajat. Esok Sya nak periksa. Periksa akhir,” jawab Hajah Afida.

Haji Hasnan terus diam. Dia menghulurkan gelas yang ada di tangannya. Kemudian dia kembali berbaring dan menarik selimut ke paras dada. Matanya segera dipejamkan.

“Abang, tak sudikah abang berdoa untuk anak kita itu?”

“Aku tak ada anak. Dia bukan anak aku!”

“Sampai bila abang nak menolak kenyataan. Walau abang berkeras macam mana pun, tetap tertulis nama abang di belakang namanya. Di akhirat esok, dia tetap hadir sebagai anak kita,” kata Hajah Afida, lembut dan sopan.

“Hei! Kau ni memang tak faham bahasa kan? Berapa kali aku nak cakap dengan kau. Aku tak ada anak macam dia. Dia dah mati. Tolong jangan sebut nama dia di hadapanku dan dalam rumah ini! Kenapa susah sangat nak faham ni?’ tengking Haji Hasnan.

Malam yang sepi itu tiba-tiba menjadi malam yang sangat menggetarkan hati seorang ibu.

Hajah Afida bangun dan berjalan ke dapur dengan alasan untuk menghantar gelas. Tetapi yang sebenarnya ialah dia ingin melarikan air matanya. Dia tahu suaminya tidak suka pada tangisannya.

“Ya ALLAH, tabahkan hatiku ya ALLAH...” rintih Hajah Afida perlahan. Dia tidak tahu sampai bila kemarau kasih di hati Haji Hasnan akan berakhir. Begitu juga api marah yang terus menjulang. Sudah enam bulan, langsung kemarahan itu tidak reda.

Biarlah. Biarlah seorang ayah membenci anaknya.

Namun hati seorang ibu tidak akan pernah berubah. Kasih sayang ibu hingga ke syurga. Itulah yang ada dalam fikiran Hajah Afida. Dia tidak akan mengalah...

Selama Qisya menghadapi kertas peperiksaan, selama itulah Hajah Afida berpuasa. Sepanjang masa itu pula dia bersujud kepada ALLAH agar Qisya mampu menjawab semua soalan dengan mudah.

“Saya tak faham kenapa awak masih nak bersusah payah dan berlapar dahaga kerana dia,” kata Haji Hasnan dengan senyum sinis.

“Sebab dia anak saya.”

“Dia dah derhaka pada awak. Dia balas susu yang awak beri dengan tuba. Dia dah malukan awak. Itupun awak tak nak faham juga!” tengking Haji Hasnan.

Hajah Afida diam sahaja. Dia tidak mahu berlawan cakap dengan suaminya. Dia sedang berpuasa sunat untuk Qisya. Dia tidak mahu kesabaran puasanya tergugat. Dia juga tidak mahu pahalanya berkurangan.

Hari-hari seterusnya kerinduan Hajah Afida semakin memuncak. Dia menjadi semakin pendiam, memendam rasa.

“Kalau mama rindukan Sya, mama call dia. Atau mama pergi je jumpa dia,” kata Qaisara melihat wajah Hajah Afida dengan belas.

“Sara, mama tak nak derhaka pada abah. Abah dah beri amaran. Abah tak izinkan mama call Sya. Dia tak izinkan mama pergi cari Sya. Mama kena ikut cakap abah.”

“Tapi, sampai bila ma?”

“Sampai dia sendiri yang suruh mama call Sya. Sekarang, mama tunggu saja Sya yang call.”

Qaisara hanya menggelengkan kepala. Dia faham kesetiaan mamanya sebagai isteri. Dan dia rasa amat kagum dengan kesetiaan itu. Dalam masa yang sama, dia rasa kesetiaan itu terlalu zalim kepada rindu seorang ibu. Ia seperti sedang memakan diri mamanya hari demi hari.

“Biar Sara cakap dengan abah,” kata Qaisara sambil bangun.

“Nak cakap apa?” Hajah Afida menarik tangan anaknya. Qaisara melorot duduk. Tatapan matanya tepat ke wajah Hajah Afida.

“Sara minta abah lepaskan izin kepada seorang ibu. Sara akan merayu agar abah bersimpati dengan rindu ibu. Kita cari Sya. Sara akan bawa mama ke tempat Sya!”

“Jangan buat macam tu!”

“Tapi kenapa? Kalau abah tak dengar suara mama, mungkin dia dengar permintaan Sara. Sara cuma nak bantu mama,” kata Qaisara bersungguh-sungguh.

“Sara, itu bukan menolong tapi menambahkan lagi masalah kepada mama. Sara tahu perangai abah. Dia tak suka orang memberi arahan kepadanya. Dia marah kalau oran gmasuk campur dalam keputusannya.”

Qaisara mengeluh perlahan.

“Biarlah Sara. Mama hanya mohon dengan ALLAH. Satu hari nanti, hati abah pasti akan lembut. Dan mama akan tunggu masa itu sampai. Mama akan sabar,” kata Hajah Afida menepuk bahu Qaisara.

Akhirnya, Qaisara tidak berani bersungut lagi mengenai hal itu. Dia melihat kegelisahan jiwa mamanya. Dia mendengar desas rindu dalam setiap tutut katanya. Namun dia tidak mampu berbuat apa-apa, selain ikut pasrah dengan keadaan.

Hajah Afida memang nampak tabah. Namun ketabahan itu semakin lama semakin lemah. Ia ibarat lilin yang akhirnya cair di penghujung malam. Beberapa hari dia terbaring. Dia demam. Demam rindu.

“Mari saya bawa awak ke klinik,” kata Haji Hasnan ketika melihat keadaan Hajah Afida yang pucat dan lemah.

“Tak apalah. Saya tak apa-apa. Cuma demam sikit. Dah makan panadol.”

“Tapi saya tengok dah tiga hari awak demam. Panadol tu dah tak jalan untuk demam awak ni. Lebih baik kita ke klinik.” Haji Hasnan tiba-tiba rasa resah melihat keadaan isterinya.

Hajah Afida tidak menjawab. Matanya dipejamkan dengan segala keletihan. Akhirnya dia tertidur. Lama. Dia seperti hilang dalam dunianya sendiri.

“Mama, bangunlah ma. Kita ke klinik. Demam mama semakin panas ni.” Tiba-tiba dia terdengar sayu-sayup suara Qais.

“Betul ma. Mama tak boleh nak bertahan dengan panadol tu saja. Mama kena berjumpa doktor. Sara tak nak ia melarat.” Suara Qaisara pula berbisik di hujung telinga. Dia membuka mata. Mencari-cari.

Matanya bertembung dengan mata Haji Hasnan. Dia pejamkan semula matanya. Kecut hatinya melihat sorotan mata lelaki itu. Masih bernyala api marah dalam bola matanya!

“Mama, tolonglah jangan buat kami susah hati. Mari, Sara tukarkan baju mama. Kita ke klinik sekarang,” pujuk Qaisara lagi.

Hajah Afida buka mata sekali lagi. Dia melilau, mencari. “Sya dah balik sekolah?” katanya dengan suara separuh berbisik.

Qaisara tersentak. Dia menoleh kepada Qais, kemudian kepada Haji Hasnan.

“Cakap dengan Sya, lauk kesukaannya mama dah masak. Ada atas meja. Suruh dia makan kenyang-kenyang sebelum ke kelas tuisyen,” sambung Hajah Afida.

Qaisara menangis. Qais tunduk muram. Mereka dapat membaca apa yang membuatkan Hajah Afida demam.

“Abah...” Qaisara angkat muka dan cuba berkata sesuatu. Namun, dengan cepat Haji Hasnan bangun dan meninggalkan bilik itu. Dia langsung tidak bersimpati.

“Sungguh keras hati abah,” bisik Qaisara di celah tangisnya.

“Mari kita beritahu Sya,” kata Qais pula.

“Jangan, nanti mama tak suka.”

“Tapi, mama rindukan Sya. Takkan kita nak tengok saja keadaan mama ni?” Qais beliakkan mata.

“Is tak faham. Mama memang rindukan Sya. Dalam masa yang sama, mama juga taat kepada abah. Abah tak izinkan mama call Sya. Abah tak izinkan mama jumpa Sya,” balas Qaisara.

 

Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.