Home Novel Keluarga BERTAUTLAH KIAMBANG
BERTAUTLAH KIAMBANG
Fida Rohani
11/4/2014 18:18:30
44,173
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 3

BEBERAPA HARI Hajah Afida menanggung rasa resah itu, sendirian. Dia ingin segera memberitahu suaminya segala hajat Qisya itu. Beberapa kali dia mencuba, namun mulutnya terlalu kelu.

Tidurnya terganggu. Makan minumnya juga tidak sempurna.

“Abang tengok sehari dua ni awak gelisah dan lain macam saja Ida, kenapa?” Akhirnya, keresahan itu mampu diintai juga oleh suaminya.

Dia serba salah. Dia masih dicengkam bimbang yang melata.

“Kalau ada masalah, terus terang. Tak payah simpan dan tanggung sendiri. Ida tu bukannya kuat sangat. Nanti darah naik, abang juga yang susah,” sambung Haji Hasnan lagi.

Hajah Afida mengiakan kata-kata itu di dalam hati. Dia sudah mula rasa pernafasannya yang semakin berat dan kepalanya yang selalu pening. Itu petanda buruk untuk kesihatannya. Qisya sedang membawa satu masalah dalam rumah itu.

Hendak atau tidak, dia terpaksa melaluinya. Dia nekad.

“Memang Ida ada hal nak bincang dengan abang.” Hajah Afida membetulkan duduknya sekali gus membetulkan semangatnya yang goyah. Dia perlu kuat. Hal itu tidak boleh bertangguh lagi.

Haji Hasnan kerdipkan mata. Dia memberi izin kepada Hajah Afida untuk berkata-kata. Tanpa membuang masa, Hajah Afida memenuhi peluang yang diberi. Dia menceritakan apa yang Qisya beritahu. Dia ceritakan semuanya. Sebuah permintaan seorang anak disampaikan dengan baik.

Ketika cerita usai, mata Haji Hasnan menatap tajam ke arah Hajah Afida. Dia mengetap bibir. Darah yang sudah lama beku tiba-tiba panas mendidih. Apa yang baru didengarnya dari mulut isterinya itu sungguh tidak terduga. Dia terkejut dan tersentak. Ia seperti mengejutkan harimau yang sedang tidur.

“Mana budak tu? Panggil dia keluar!” arah Haji Hasnan dengan kuat. Suara itu seperti guruh membelah langit.

Hati Hajah Afida bergetar, gerun.

“Abang, janganlah berkasar sangat dengan dia. Mari kita bincang dengan baik,” kata Hajah Afida dengan perlahan.

“Dia ada bincang dengan kita ke? Tiba-tiba saja beritahu nak kahwin.” Haji Hasnan menjengilkan biji mata ke arah isterinya.

“Ini dia nak bincanglah ni,” Hajah Afida cuba mempertahankan Qisya.

“Ini bukan bincang, ini nak maklumkan. Dia dah buat keputusan akan kahwin baru dia nak cakap dengan kita. Kita ni apa? Kawan-kawan dia?”

Hajah Afida segera ke bilik Qisya. Hatinya memang gementar dan bimbang. Firasat seorang ibu, sesuatu yang buruk pasti akan berlaku di rumah itu. Dia kenal dengan sikap suaminya yang panas baran. Dia juga kenal dengan perangai anaknya yang pendiam tetapi degil.

“Sya, abah nak jumpa,” kata Hajah Afida di muka pintu bilik Qisya. Berkeriut bunyi pintu dibuka. Tersembul wajah anaknya yang muram. Dia tahu Qisya juga gelisah menanti hari itu. Kalau seorang banduan gerun dengan tali gantung, begitulah perasaan mereka dua beranak.

“Abah marah?” tanya Qisya, sedikit gugup. Dirasakan seram sejuk seluruh anggota. Dia tahu dia akan berdepan dengan sebuah ‘peperangan’.

“Abah memang marah. Tapi mama harap, Sya tak melawan cakapnya. Dengar apa yang nak dicakapkan. Tak usah menjawab,” kata Hajah Afida memegang bahu anaknya.

Qisya angguk perlahan. Langkah mereka diatur ke ruang tamu.

“Abah,” sapa Qisya sambil duduk berhadapan dengan Haji Hasnan.

Mata Haji Hasnan menatap sekujur tubuh Qisya dengan tajam.

“Betul kamu dah nak kahwin?”

Angguk.

“Kamu tahu apa yang kamu rancang ini akan menghampakan kami?”

Angguk lagi.

“Kamu tahu kami tak akan setuju?”

Masih angguk.

“Jawaplah! Kenapa angguk saja? Dah bisu?” jerkah Haji Hasnan dengan kuat. Qisya dan Hajah Afida tersentak.

“Sya tahu abah. Sya tahu Sya salah. Tapi, Sya dah tak boleh nak tarik balik keputusan Sya ini,” jawab Qisya, cuba memberanikan diri.

“Siapa yang paksa kamu? Atau kamu dah...”

“Tak abah. Sumpah. Sya masih suci. Kami tak terlanjur. Ajaran agama yang abah berikan masih kuat Sya pegang,” kata Qisya memotong cakap Haji Hasnan.

“Habis, apa masalahnya? Kenapa kelam kabut buat keputusan? Kenapa tak boleh tunggu satu semester lagi. Kenapa? Dah gatal sangat?” tengking Haji Hasnan semakin kuat.

Qisya menelan air liur.

“Abang, tak payahlah nak bising-bising macam ni. Kalau orang dengar kan malu. Kita kan nak berbincang dengan baik, bukan nak bergaduh,” kata Hajah Afida, menepuk belakang tangan suaminya.

“Apa tak bising kalau dapat anak yang macam ni! Kita penat-penat kerja nak sekolahkan dia, macam ni je dia buat kita. Belum sempat nak balas jasa, dah nak kahwin!”

“Abang...”

“Sudah! Awak suka agaknya nak dapat menantu! Awak sukalah anak buat macam ni?” Haji Hasnan berpaling kepada Hajah Afida dengan lorotan mata, garang!

“Saya tak kata macam tu. Tapi, kalau kita bising macam ni masalah tak akan selesai.”

“Masalah akan selesai kalau dia tarik balik hajatnya itu dan tumpukan pada pelajaran. Itu keputusan saya. Tidak ada rayuan!” Haji Hasnan terus bangun dan meninggalkan ruang tamu.

Qisya menangis teresak-esak. Keputusan muktamad abahnya merelaikan harapannya.

“Sya, janganlah menangis. Semua ni Sya dah duga dari awalkan?”

“Tak bolehkah abah bertolak ansur sekali ini? Tak bolehkah mama pujuk dia. Tolonglah mama... Sya nak kahwin juga dengan Affian. Kami dah janji,” kata Qisya dengan esakannya.

“Sya, apa yang abah kata tu betul. Kami bukan tak mahu Sya kahwin. Tapi kami nak Sya habiskan pelajaran dulu. Sya adalah harapan abah. Selama ini abah sangat bangga dengan Sya. Tak ada dalam keluarga kita yang ambil jurusan kedoktoran. Sya akan jadi doktor pertama dalam keluarga kita. Tolong kasihankan abah...” kata Hajah Afida. Dia menahan sebak.

Hati Qisya tersentuh.

“Mama, maafkan Sya. Sya tak bermaksud nak lukakan hati mama dan abah. Sya tak nak derhaka kepada mama dan abah.” Qisya menarik tangan ibunya. Dia mengucup dengan hormat takzim. Titik-titik air mata berderaian.

Hajah Afida terasa belakang tangannya panas dek kehangatan air mata Qisya. Dia terharu. Apa yang ditahan terlerai juga. Dia menangis.

“Kalau Sya tak nak lukakan kami, Sya tolonglah ikut cakap kami. Untuk sekali ini dan untuk habiskan semester ini. Tolonglah berikan kami penghormatan dengan segulung ijazah bukan sekeping surat nikah. Tolonglah Sya... demi kami. Demi air muka kami...” Giliran Hajah Afida pula merayu.

Qisya tidak mengangguk dan tidak juga menggeleng. Dia terus menangis.

“Hanya tunda Sya, bukan batalkan. Tolonglah... mama tak nak keluarga kita huru-hara nanti. Sya faham perangai panas baran abah Sya kan?”

“Sya faham perangai abah. Tapi kenapa abah tak nak faham perasaan Sya. Sya sayang mama dan abah. Dan Sya sayang Affian juga.” Qisya mengongoi.

Hati Hajah Afida bagai direntap. Bukan dek tangis Qisya, tetapi juga dek kata-kata Qisya yang tidak berganjak itu. Anak dan bapa, masing-masing tidak mahu mengalah. Akhirnya dia rasa nanti dia yang akan tersepit di tengah keadaan.

Beberapa hari, telinga Hajah Afida tersumbat dengan leteran panjang Haji Hasnan.

“Tak sangka dia nak buat saya malu macam ni. Memang dia sangat kurang ajar dan sengaja nak malukan saya!”

“Abang, bertenanglah dulu. Berilah masa untuk dia berfikir. Kita kena ikhtiar dengan doa agar dia ubah fikirannya tu. Kalau asyik nak marah saja, buntu fikiran dia nanti.”

“Itulah awak, manjakan sangat dia tu!”

“Abang yang lebih manjakan dia. Kalau dia minta apa-apa tak dapat, dia akan pergi kepada abang. Abang tak pernah tolak semua permintaannya selama ini. Sebab itu kali ini abang tak boleh nak berkasar sangat dengan dia,” kata Hajah Afida, cuba mempertahankan diri dari tuduhan.

Haji Hasnan terdiam. Dia termenung. Qisya adalah anak sulung yang sangat diharapkan. Kepadanya banyak digantungkan harapan. Memang seluruh perhatiannya tertumpu kepada anak itu. Dia selalu membayangkan Qisya dengan segulung ijazah. Kadang-kadang muncul wajah Qisya yang tersenyum manis dengan baju doktornya. Sudah dicanang kepada saudara mara dan teman-teman bahawa dia bakal menjadi ayah kepada seorang doktor.

“Saya tak nak dia kahwin. Saya nak dia jadi doktor. Itu keputusan muktamad saya. Tolong beritahu dia!” tegas Haji Hasnan, cuba menutup kehampaannya.

“Abang, dia hanya nak kahwin. Bukan nak berhenti belajar.”

“Kalau dah kahwin, tak payah belajar lagi. Ingat senang nak jalankan dua tugas dalam satu masa? Sedangkan yang bujang pun selalu gagal, apakan lagi yang dah kahwin. Saya tetap tak setuju dan tetap tidak sampai bila-bila!” Suara Haji Hasnan tetap meninggi dan keras.

Hajah Afida tidak mampu bertelingkah lagi. Dia perlu berdiam diri dari terus berkata-kata. Hanya doa mampu terucap di dalam hati: KAU lembutkan hati mereka, ya ALLAH!


Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.