Home Cerpen Keluarga FATWA ISTERI VS FATWA SUAMI
FATWA ISTERI VS FATWA SUAMI
Fida Rohani
3/10/2013 09:20:30
3,448
Kategori: Cerpen
Genre: Keluarga

FATWA ISTERI vs FATWA SUAMI

Halim melangkah masuk dengan longlai. Terlalu banyak kerja pejabat yang membebaninya selama beberapa hari ini. Suasana rumah senyap sunyi. Kemana Hamimah isterinya pergi? Kemana anak-anaknya?

Selepas meletakkan beg di atas meja, Halim masuk ke dapur. Tekaknya memang terasa begitu haus dan kering. Dia mencapai sebiji gelas dan membuka peti sejuk. Namun kemudiannya dia menutup semula pintu peti dengan satu rungutan kecil. Botol-botol air semuanya kosong tak berisi. Malah, keadaan peti sejuk itu berserabut dengan bermacam isi yang lama dan yang baru. Kotor dan tidak dikemas.

Dia menoleh ke arah dapur empat tungku model terbaru itu. Sebiji cerek tertenggek di atasnya. Dia mengangkatnya. Juga kosong. Dia mengeluh lagi. Kemudian dia mengisi air ke dalam cerek dan menjerangnya di atas dapur.

Sementara menunggu air mendidih, dia melangkah ke bilik untuk menyalin baju. Bilik itu sesak dengan kain baju yang tidak berbasuh. Di penjuru yang lain, ada sebakul pakaian yang sudah berbasuh, dibiarkan melambak tidak berlipat. Tempat tidur juga macam tempat kucing beranak tidak berkemas.

“Hai…Apakah yang dibuat perempuan ni di rumah,” rungut Halim sendirian. Dia menukar baju dengan pantas dan keluar dengan cepat dari bilik itu. Rimas sungguh hatinya. Sempit sekali jiwanya berdepan dengan keadaan itu.

Halim malas nak fikir ke mana isterinya pergi. Memang dia sudah terbiasa dengan keadaan itu. Setiap hari pulang dari kerja, jarang disambut oleh isterinya. Isterinya tidak suka berbuat begitu.

Dia lebih suka bersiar dan bertandang ke rumah rakan, daripada tinggal di rumah menunggu suami. Jika dia ada di rumah, menonton TV atau tidur lebih menjadi pilihannya. Tidak romantis dan tidak mesra kasih.

“Dia tu isteri kau Lim, kenalah kau nasihati dia jika dia buat silap. Bukannya membiarkan kesilapan itu berterusan,” kata ayahnya ketika dia mengadu tentang perangai Hamimah.

“Dah banyak kali saya nasihatkan dia ayah. Bukannya dia bertambah baik, malah bertambah teruk. Kononnya dia berkahwin dengan saya bukan untuk menjadi babu dalam rumah tangga. Nanti kalau saya nasihatkan banyak sangat, dia akan merajuk dan membawa anak-anak ke rumah ibu bapanya. Berminggu-minggu pun dia sanggup ayah. Sebab itu saya jadi dah malas nak cakap lagi. Dia tu jenis yang tidak boleh ditegur dan dibentuk. Ibarat buluh yang sudah keras dan boleh patah jika dilentur.”

“Tapi, sampai bila kau nak biarkan keadaan macam tu. ”

“Entahlah ayah, terserahlah pada keadaan dan takdir yang tertulis,” keluh Halim. Keluhan itu semakin berat dan kerap. Hanya itu yang mampu dibuat. Dia rela berdepan dengan suasana rumah yang sepi dan tunggang langgang setiap kali pulang dari kerja daripada berdepan dengan dengan rajuk Hamimah.

Semuanya bukan baru. Sudah hampir enam tahun lamanya sejak awal berkahwin hingga kini. Itulah keadaan yang terpaksa dihadapinya.

Isterinya Hamimah adalah anak bongsu yang begitu dimanjakan oleh keluarganya. Di awal perkahwinan Hamimah bekerja. Masa itu anak pun tidak ada. Jadi urusan rumah tangga tidaklah banyak sangat. Itu pun jarang terurus dengan baik. Rumah memang jarang berkemas, dapur jarang berasap, kain baju jarang terurus rapi. Halim tak kisah sangat kerana faham keadaan isterinya yang terkejar masa saban hari. Kalau ada kelapangan, dia akan ikut membantu untuk mengelak rungutan isteri.

“Penatlah bang, apa kata abang ambil orang gaji saja.”

“Kalau ambil orang gaji, Mimah nak buat apa? Nak menganggur?” usik Halim.

“Saya kan kerja. Kat pejabat tu dah cukup memenatkan. Balik rumah nak buat kerja-kerja rumah pula…”

“Mimah kena belajar biasakan diri dengan semua ini. Nanti kalau dah dapat anak macam mana?”

“Kalau dah dapat anak abang masih tak mahu ambil orang gaji, saya akan berhenti kerja.Tak sanggup kalau setiap hari macam ni…”

“Baguslah kalau macam tu, abang memang suka Mimah duduk di rumah saja. Pendapatan abang pun dah cukup untuk menampung kehidupan kita nanti,” balas Halim dengan senang hati. Memang dia tidak mengharapkan gaji Hamimah untuk membantu perbelanjaan rumah tangga. Sekali pun dia tidak pernah bertanya tentang berapa gaji yang Hamimah perolehi setiap bulan. Itu hak mutlak seorang isteri, begitu fikirnya.

Selepas kelahiran anak pertama, Hamimah menunaikan kata-katanya. Dia berhenti kerja dan menjadi suri rumah tangga sepenuh masa. Hati Halim lapang. Dia meletakkan harapan bahawa semuanya akan berubah. Dia ingin melihat rumah yang kemas tersusun, makanan yang sedap dan lazat terhidang di meja. Atau sekurang-kurangnya senyum manis isteri setiap kali pulang dari kerja supaya luruh seluruh penat lelah seharian bekerja.

Namun semuanya tetap tidak berlaku. Hamimah bukan pantai yang boleh berubah mengikut musim yang berganti arah. Dia lebih peka mengikut rasa hati mencari bahagia sendiri daripada berusaha memupuk cinta dan kasih suami.

“Apa abang ingat Mimah ni babu rumah ni? Mimah kena duduk di rumah menguruskan semuanya untuk abang. Mimah pun nakkan kehidupan sendiri. Kalau abang nak rumah ni kemas bersih, abang keluarkan duit dan bayar orang gaji. Kan senang saja…” Itu yang selalu dikatakan bila Halim mengungkit janjinya atau cuba menegur sikapnya.

Halim terkebil-kebil sendirian. Kemudian dia mengeluh perlahan. Sekali-sekala terasa dia seperti nakhoda yang sudah hilang kuasa dalam pelayarannya. Selalu berdetik juga dalam hati untuk mempunyai isteri seperti isteri orang lain.

Tapi..inilah jodoh dan takdir yang sudah tertulis untuknya, dia memujuk hati sendiri.

Dengan secawan kopi panas di tangan, Halim melangkah ke ruang tamu. Dia memetik suis TV. Siaran berita sedang disiarkan. Wajah-wajah orang yang ditemuramah dengan bermacam topik berita tertayang bersilih ganti. Berita rompakan menjadi berita utama. Diikuti dengan berita hangat ‘kes seorang ayah merogol anak-anak gadisnya…’

MasyaAllah, dunia ini memang sudah tidak beradab lagi. Kemajuan hidup dan pemodenan fikiran membuatkan orang lupa tentang harga diri dan maruah peribadi.

Di celah berita-berita yang sudah tersiar itu, terdapat satu berita mengenai perjuangan kaum wanita menolak poligami. Di kaca TV ramai sekali wajah-wajah wanita yang berkumpul bersama sepanduk fatwa baru ‘satu suami = satu isteri’. Wajah-wajah itu tergambar dengan semangat dan azam yang terpupuk kuat untuk membuktikan perjuangan.

Halim menumpukan sepenuh perhatian. Kagum dan keliru dengan harapan baru kaum Hawa itu. Dia terasa seperti fatwa itu lebih bersifat manipulasi perasaan yang berat sebelah. Ia lebih berupa sebuah lontaran rasa yang langsung tidak beralas hukum yang ditentukan Tuhan.

“Tidak adil, tidak adil..mana demokrasi untuk suami?” Soalan itu muncul dalam hatinya, sebagai mewakili perasaan para suami yang lain.

“Eh! Abang dah balik?” Satu suara yang lunak menegur dari arah pintu. Anak-anaknya masuk dan duduk di sebelahnya. Yang bongsu terus menerpa bakul mainan di ruang tamu itu.

Halim kusyuk menonton. Tidak menjawap dan langsung tidak menoleh ke arah isterinya.

“Memang patut pun…” kata Hamimah sambil melabuhkan punggungnya ke sofa berhadapan dengan Halim.

“Apa yang patut?” Halim tiba-tiba terpanggil untuk menyoal.

“Hukum satu isteri = satu suami itulah.”

“Kenapa pula?”

“Yalah, kalau tak dihalang lelaki memang tak pernah cukup dengan satu isteri. Miang lelaki semakin lama semakin tinggi. Yang teraniaya nanti adalah kaum wanita. Lelaki sedap-sedap enjoy, wanita juga yang makan hati berulam jantung.”

“Tapi, lelaki ada hak dan alasan sendiri untuk melakukannya. Mereka tidak melakukannya tanpa sebab. Sepatutnya….”

“Sebab nafsulah apa lagi…” Hamimah memotong sebelum sempat Halim menghabiskan hujahnya. Serentak itu dia bangun dan berjalan ke dapur. Halim mengeluh. Wanita memang sensitif dan alah dengan perkataan poligami. Jadi mungkin formula baru ini adalah ubat untuk menyembuhkan trauma terhadap penyakit itu. Namun dalam hati nubari Halim sudah mula terfikir, haruskah lelaki sahaja yang disalahkan dalam soal poligami? Kenapa persatuan yang mengeluarkan formula baru tidak mahu menyelongkar dan mengkaji sebab musababnya? Apakah salah seorang suami berkahwin lain jika rumah tangganya bermasalah?

Halim menilik ke dalam dirinya. Mungkin ini juga salah satu sebab yang logik kenapa fatwa itu tidak boleh dianut isteri. Mungkin ini satu penyebab kenapa suami terdorong membilang isteri..

Rupanya fatwa itu tidak tamat dibincangkan di kaca TV sahaja. Hamimah tetap membincangkannya di mana-mana. Dia menjadi orang kuat yang membawa isu dan fatwa itu kepada seluruh kaum wanita di kawasan perumahan itu. Semakin sibuklah Hamimah dengan tugas barunya itu. Dan bertambah serabutlah rumah tangga mereka hingga kadang-kadang mata Halim tidak mampu untuk terus melihatnya. Dan semakin hari dia semakin tidak cekal untuk terus berdepan dengan semua itu!

“Mak, carikan saya seorang calon isteri. Saya nak kahwin mak,”

“Kau jangan nak buat perangai Lim. Ingat pada anak-anak yang sedang membesar. Jangan nak ikut hati nanti kau mati, ikut rasa nanti kau binasa,”

“Habis mak nak saya buat macam mana lagi? Saya sudah tak tahan dengan perangai Mimah yang tak mahu berubah itu. Saya semakin terasing di rumah sendiri mak. Kalau balik rumah fikiran serabut, saya bimbang saya terus tak ada hati nak balik lagi.”

Halim membuat keputusan nekad. Kalau Hamimah begitu sibuk dengan fatwanya, biarlah dia memulakan fatwanya pula!

“Kau seolah-olah membuat keputusan untuk menyakitkan hati Mimah. Itu tidak baik Lim. Perkahwinan bukan perkara yang boleh dipermainkan atau untuk membalas dendam. Kalau Mimah tahu, risikonya tinggi dan mak tak mahu hati pihak lain yang kecewa,”

“Tidak mak. Saya berkahwin lain kerana saya ingin merasai hidup bahagia berumah tangga seperti orang lain,” kata Halim bersungguh-sungguh.

Semuanya berjalan lancar. Impian Hamimah memperjuangkan hak dan fatwa tercapai. Dia dilantik dan dihormati sebagai ketua yang tegas. Begitu pula dengan fatwa Halim yang semakin menjadi. Kalau Hamimah sibuk dengan fatwanya, Halim juga semakin ceria dan bahagia dengan agendanya.

“Mimah tengok abang semakin banyak ambil kerja lebih masa. Kadang-kadang pergi out-station. Ada apa-apa ke bang?”

“Apa maksud Mimah ni?”

“Manalah tahu. Orang lelaki panjang akalnya. Terutama kalau nak membilang isteri.”

“Yalah sebab orang perempuan pendek akalnya ketika memperjuangkan fatwa,” ujar Halim dengan ketawa bergurau. Dia cuba menyembunyikan rasa. Dia cuba menutup gelisah dalam rahsia.

“Apa maksud abang ni? Kami tidak berjuang membabi buta. Kami cuba menyedarkan kaum wanita supaya tidak teraniaya di tangan suami,”

“Bagaimana kalau suami yang teraniaya?”

“Mana ada isteri yang menganiaya suami. Suami yang selalu mendera perasaan isteri.”

“Sebab orang tidak pernah mengkaji perasaan suami. Orang tidak pernah ambil tahu bagaimana pergolakan dan masalah yang ada dalam dada lelaki. Orang tidak pernah nak tahu apa perasaan seorang suami di dalam rumahnya. Bahagiakah dia? Seronokkah dia bila bersama isterinya?”

“Apa pun alasannya, suami tidak boleh engkar pada hukum satu suami=satu isteri,”

“Itu hukum siapa? Itu hukum yang dibuat oleh kaum wanita bukan hukum Tuhan,”

“Jadi abang nak engkar pada hukum kami?”

“Itu lebih baik dari mengengkari perintah dan hukum Tuhan,” kata Halim sambil bangun dan berjalan ke dapur. Dia mencari seteguk air untuk membasahi tekaknya yang mula haus. Dia juga sebenarnya cuba menghindar satu jebakan rasa.

Tiba-tiba dia teringat sesuatu. Lalu dia membatalkan hajat untuk minum. Sebaliknya mencapai kunci kereta dan berjalan keluar.

“Abang nak ke mana pula? Kata nak minum tadi?”

“Saya dah tak haus.”

“Habis tu nak ke mana?” Suara Hamimah semakin kering dan garing di telinga Halim. Semuanya sudah tidak semerdu dulu lagi. Ada satu suara yang akan gemersik merdu di hujung telinganya dan menggamit rasa rindunya.

“Nak pergi buat fatwa baru. Satu suami=dua isteri!” Kata Halim selamba dan bergurau. Hamimah mengetap bibir. Geram dengan sikap selamba dan gurauan Halim itu. Namun dia malas nak melayannya. Dia membiarkan Halim berlalu. Biarlah, biarlah dia pergi. Paling jauh pun mungkin ke kedai mamak di hujung jalan itu, fikir Hamimah.

Masa berlalu dengan cepat. Setahun berlalu tanpa terasa.

“Walau apa pun keadaan dan alasannya, kita jangan sekali-kali mengizinkan suami berpoligami. Madu itu manis bagi mereka, tapi pahit untuk kita. Poligami itu hanya menguntungkan kaum lelaki, tapi menyulitkan kita,” kata Hamimah dalam perjumpaan persatuan tidak resmi kaum Hawa yang sejiran.

“Tapi, kenapa kau sendiri boleh mengizinkan suami kau berkahwin lain?” Satu soalan menerpa rasa. Hamimah menoleh. Dia mencari isi yang tersirat dalam kata-kata yang tersurat.

“Bila pula aku mengizinkan?”

“Mimah..dah setahun kau tu bermadu. Dah ada anak pun mereka, takkan kau tak tahu. Kata kau yang mengizinkan..”

Hamimah tidak terus menerima cerita. Dia mencari bukti di sebalik kata. Dengan alamat yang diberikan kepadanya, dia meringankan langkah ke sana. Dari jauh dia melihat Halim sedang bergurau senda dengan seorang wanita.

“Abang!!!” Teriakannya membelah suasana berserta tubuhnya yang jatuh terkulai..

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.