Home Novel Keluarga BERTAUTLAH KIAMBANG
BERTAUTLAH KIAMBANG
Fida Rohani
11/4/2014 18:18:30
44,210
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 10

Namun, sebelum sempat mereka duduk dengan selesa kedengaran bunyi langkah kaki mendekati mereka. Mereka segera menoleh. Hajah Norlida dan Haji Zahari tercegat, bercekak pinggang dengan mata yang merah berapi marah!

Affian dan Qisya segera bangun.

“Siapa suruh kau datang ke sini? Kan aku dah cakap, kalau kaki kau dah langkah keluar jangan mimpi nak balik ke sini lagi!” tengking Haji Zahari.

“Kami dah delete nama kau dalam senarai nama keluarga ini Fian. Jadi, silakan keluar sekarang!” tambah Hajah Norlida pula.

Affian segera meluru ke arah mereka. Dia memegang lutut kedua-duanya.

“Abah, ampuni Fian. Ibu ampuni Fian...Fian tahu Fian salah. Tapi Fian tak ada niat nak menderhaka,” rintih Affian.

“Heh, aku bagi amaran sekali lagi pada kau! Jangan berani nak pijak kaki kau ke sini lagi. Seperti kami dah buang kau dari hati kami, kau juga kena buang kami dari hati kau!” jerit Haji Zahari dengan kuat. Dia menarik kakinya dari pegangan Affian dengan kuat. Dia melangkah pergi.

Affian tergolek jatuh. Qisya meluru ke arah Affian. Dia cuba membantu Affian untuk bangun.

“Jadi, inilah bini kau ya? Inilah orang yang merampas kau dari kami?” Hajah Norlida merenung tepat ke wajah Qisya.

Renungan itu membuatkan Qisya gugup ketakutan.

“Ibu, Sya tak merampas apa-apa. Fian tetap anak ibu. Sekarang Fian balik sebagai anak. Fian nak minta restu ibu,” kata Affian sambil terus memeluk lutut Hajah Norlida.

“Sudah! Aku tak nak dengar apa-apa. Ratmi! Kalau sekali lagi kau bersubahat dengan orang ini, saya berhentikan kamu!” Hajah Norlida memberi amaran kepada Mbak Ratmi. Wanita itu pucat ketakutan. Dengan perlahan dan teragak-agak dia angguk.

“Kamu berdua tak ada urusan lagi di rumah ini. Sila keluar sebelum kami panggil polis,” kata Hajah Norlida.

“Ibu...”

“Siapa ibu awak? Saya tak ada anak yang degil dan derhaka macam awak. Keturunan saya juga tak ada yang gatal macam awak.” Hajah Norlida membeliakkan matanya.

Tangisan Affian semakin memuncak. Air mata Qisya ikut melaju di pipi.

“Bila kau ambil keputusan melanggar perintah kami, maknanya kau dah rela untuk keluar dari keluarga ini. Jadi, untuk apa kau nak menangis lagi?”

“Suruh dia keluar sebelum saya ambil pistol. Saya rela bunuh dia dari tengok dia berlama-lama tunjuk muka kesian dia dalam rumah ini!” jerkah Haji Zahari dari arah tangga.

“Abang, marilah kita keluar dari sini. Kita datang lain kali. Nampaknya mereka masih marah,” bisik Qisya ke telinga Affian. Dia tidak mahu suasana bertambah tegang.

Affian bangun dengan perlahan. Dia menarik tangan Qisya dan berjalan ke pintu. Langkah mereka diiringi tangisan yang sangat hiba dan pilu.

Haji Zahari dan Hajah Norlida tidak menahan. Mereka malah terus memanjat tangga untuk ke bilik semula. Langsung tidak menoleh lagi.

Mbak Ratmi ikut menangis. Dia belas melihat kedua suami isteri muda itu. Affian dan Qisya tidak sempat pun menjamah juadah yang terhidang di meja. Alangkah kempunannya mereka. Dia segera mencapai sebuah bekas dan mengisi nasi lemak dan ayam goreng berempah. Dia tahu itu makanan kesukaan Affian.

Kemudian Mbak Ratmi berlari keluar mengejar mereka.

“Fian, ambillah ni. Mbak tahu Fian belum sarapan. Makanlah dalam perjalanan,” hulur Mbak Ratmi sambil menyapu air matanya.

“Terima kasih mbak. Tolong jaga ibu dan abah saya. Kalau ada apa-apa, mbak tolong call saya. Hanya kepada mbak harapan terakhir saya,” kata Affian pula. Dia bersalaman dengan penuh hormat dengan Mbak Ratmi.

“Jaga diri kamu dan isteri kamu. Selalulah hubungi saya. Harap kamu berdua sabar ya,” kata Mbak Ratmi di celah esakannya.

Affian angguk.

Sebuah teksi melintas di situ. Affian menahannya. Teksi itu berhenti. Namun sebelum kaki mereka melangkah masuk ke dalam perut teksi, sebuah kereta berhenti di hadapan pagar.

“Fian?” teriak Safrina dari dalam kereta. Dia segera keluar dan berlari memeluk Affian. Mereka bertangisan lama.

“Kak Rina, maafkan Fian. Kenalkan, ini Qisya isteri Fian,” kata Affian.

Safrina menarik Qisya ke dalam pelukannya.

“Maafkan akak kerana tak mampu nak lindungi Fian dari kemarahan ibu dan abah. Kami semua terpaksa akur pada kehendak mereka. Kami tak nak melukakan hati mereka.”

“Kak, Fian tahu. Fian datang kerana nak minta maaf dari ibu dan abah. Tapi, nampaknya mereka dah tutup pintu hati mereka kepada kami. Tak apalah. Kami akan berserah kepada ALLAH. ”

“Fian, macam mana dengan study kamu?”

“Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Tak lama lagi kami akan menghadapi final exam. Doakan kami ya kak,” kata Affian.

“Akak cuma nak kamu tahu bahawa akak tak pernah bencikan kamu. Akak tak pernah lupakan kamu dan buang kamu seperti kehendak ibu dan abah. Cuma, akak tak berdaya. Kamu jagalah diri baik-baik. Kalau ada masalah, call akak. Apapun terjadi, kita masih adik beradik,” balas Safrina pula.

Affian dan Qisya angguk.

“Kami pergi dulu kak. Ada umur kita akan berjumpa lagi. Kalau kita tak jumpa di dunia, kita akan jumpa di akhirat,” kata Affian, sambil bersalaman dengan Safrina.

Sekali lagi air mata mereka merembes keluar. Sekali lagi mereka berpelukan.

Safrina mengeluarkan beberapa helai duit kertas RM50 dari beg tangannya dan menghulurkan kepada Saffian.

“Nah, ambillah ni. Mungkin dapat juga membantu kamu dalam saat yang terdesak.”

Affian menggenggamnya kemas. Dia tidak menolak pemberian itu. Memang ketika itu, dia sangat-sangat perlukan bantuan kewangan. Semua kemudahan yang dia ada, sudah ditarik balik oleh Haji Zahari.

Mereka masuk ke dalam teksi. Dengan perlahan, teksi itu bergerak meninggalkan kawasan itu.

“Encik nak ke mana?” tanya pemandu teksi itu.

“Hantarkan kami ke stesen komuter,” jawab Affian, perlahan dan lemah.

“Abang, Sya rasa kita balik saja ke rumah kita.”

“Tak nak balik rumah keluarga Sya?”

Geleng. Wajah Qisya masih kelihatan muram. Kata-kata yang dilemparkan oleh Hajah Norlida tadi masih melekat kuat di dalam fikirannya.

“Tapi kenapa? Sya kata Sya rindukan mama Sya?”

“Sya memang rindukan mama dan abah. Tapi Sya takut. Mungkin abah akan buat kita macam ni juga. Abah Sya tengah tertekan. Biarlah dulu. Kita tunggu keadaan reda sikit,” kata Qisya sambil menepuk belakang tangan Affian, mohon pengertian.

Affian angguk. Hatinya masih bersedih dengan apa yang baru mereka lalui. Dia tidak sangka begitu keras hati ibu bapanya. Semakin dia rasa bersalah. Sangat besar dosanya kepada kedua-duanya...

“Abang, kita sama-sama berdoa kepada ALLAH,” pujuk Qisya lagi selepas melihat wajah Affian muram.

Teksi sampai ke destinasi. Affian membayar tambang dan mereka turun.

“Sya, simpanlah duit yang Kak Rina beri ni. Kita memang perlukan duit ni untuk belanja kita sementara selesai exam nanti. Lepas tu, abang akan cari kerja,” kata Affian menghulurkan segumpal not kelabu yang diterima dari Safrina tadi.

“Sya juga akan cari kerja. Kita akan buat sama-sama, bukan abang sorang je,” balas Qisya.

Affian angguk. Mereka duduk menunggu tren. Akal Affian masih beku.

“Abang, jangan fikir apa-apa lagi. Kita dah janji untuk hadapi dengan tabah. Kalau abang lemah macam ni, Sya lagi lemah.”

“Ya, abang tak boleh lemah. Abang adalah ketua dalam rumah tangga kita ni kan?” Affian memaksa sebuah senyuman. Dia membetulkan dirinya. Dia menanam semula pasak semangat yang hampir patah.

“Ya, abang segalanya untuk Sya. Jadi, jangan lemah semangat,” kata Qisya sambil menarik tangan Affian dan menggenggamnya erat. Tidak mahu dia melepaskan lagi tangan suaminya.

“Terima kasih Sya, kerana memberi abang peluang menjadi suami Sya. Abang janji tak akan sia-siakan cinta kita. Abang janji...”

“Dah, cukuplah. Tak payah banyak berjanji.” Qisya menutup mulut Affian dengan jarinya.

“Kenapa?”

“Sebab, orang bijak pandai ada sebut kalau kita banyak berjanji kemungkinan untuk kita mungkir itu lebih besar,” jawab Qisya sambil mengenyit mata, cuba membuat Affian tersenyum.

Percubaan Qisya berjaya. Affian bukan sahaja tersenyum, malah dia mula ketawa. Walaupun Qisya rasa ketawa Affian itu kedengaran sumbang dan tidak ceria, namun dia suka. Sekurang-kurangnya ada sinar segar pada matanya yang baru kering dari air mata itu.


Previous: Bab 9
Next: Bab11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.