Home Novel Keluarga BERTAUTLAH KIAMBANG
BERTAUTLAH KIAMBANG
Fida Rohani
11/4/2014 18:18:30
44,210
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 14

Memang benar tohmahan Qaisara. Demam Hajah Afida adalah demam rindu. Rindu seorang ibu terhadap anaknya. Buktinya, dua hari selepas pertemuan jarak jauh dengan Qisya itu demam Hajah Afida mula kebah. Dia mula berselera makan dan minum.

“Mama mesti makan. Mama mesti kuat. Kalau mama tak kuat siapa nak jaga anak Sya nanti. Cucu pertama mama mesti comel kan?” kata Qaisara, memujuk dan memberi semangat.

“Nampaknya Sara dan Is akan dapat anak saudara,” kata Hajah Afida tersenyum senang.

“Ya. Kami akan dapat anak saudara dan mama akan jadi nenek. Abah akan jadi atuk...” kata Qais sambil menoleh-noleh bimbang didengar oleh Haji Hasnan.

Bibir Hajah Afida menguntum senyuman. Sejak Qisya berkahwin, baru kali ini Qaisara melihat senyuman mamanya semanis itu.

“Sara, esok belikan mama jarum kait dan benang sekali.”

“Mama nak buat apa?”

“Mama nak kait stokin dan baju baby. Mama nak buat cantik-cantik untuk cucu mama. Beli juga kain corak kartun. Mama nak jahit sarung bantal dan tilam,” jawab Hajah Afida dengan mata bercahaya.

Qaisara senyum senang. Hatinya berbuai riang melihat mamanya gembira. Dia tahu mamanya memang pandai mengait dan menjahit. Dulu, kalau ada saudara mara yang bakal jadi ibu mamanya akan mengait pakaian bayi untuk dihadiahkan kepada mereka.

Seperti Hajah Afida, Affian juga sangat gembira dan teruja. Dia rasa sangat terkejut dan ingin menjerit sekuat-kuatnya ketika mendengar berita itu dari mulut Qisya.

“Sya? Sya tak cakap dengan abang pun?” tanya Affian selepas perbualan telefon antara Qisya dan Hajah Afida usai di luar pagar itu.

“Sya saja nak buat kejutan pada abang. Sya ingat nak berahsia dari semua orang. Tapi, bila dengar suara mama yang lemah macam tu Sya rasa Sya kena beritahu. Sekurang-kurangnya dia gembira dan bersemangat,” kata Qisya sambil menarik tangan Affian dan mengucupnya tanda minta maaf.

Affian senyum. Dia mencium pipi Qisya tanda terima kasih dan bahagia.

“Semalam Sya ke klinik. Doktor dah sahkan Sya mengandung. Dua bulan.”

“Maknanya, abang kena kerja kuat demi Sya dan anak kita. Sementara belum dapat keputusan exam, abang akan kerja dengan kawan abang dulu.”

“Siapa?”

“Dr. Danish anak Datuk Zahid.”

Qisya angguk. Dia kenal Dr. Danish. Dia ada beberapa buah klinik di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. Doktor muda itu memang sangat berjaya. Selepas mendapat ijazah, dia terus membuka klinik sendiri.

“Abang tak nak beritahu ibu dan abah abang mengenai berita gembira ini?” Tiba-tiba Qisya bertanya. Dia merenung mata Affian.

Geleng.

“Kenapa?”

“Apa yang berlaku kepada Sya siang tadi, cukup untuk membuat abang sedar bahawa kita memang telah menyakiti hati ibu bapa dan mereka tak akan ampunkan kita lagi. Jadi, biarlah kita hadapi hidup ini dengan cara kita. Kalau kita susah, kita jangan meminta bantuan mereka kerana itu akan lebih menyusahkan mereka,” jawab Affian dengan perlahan.

Qisya terdiam. Dia faham perasaan Affian.

“Kalau macam tu, tak apalah. Kita sama-sama cari kerja dan kumpul duit untuk menyambut bayi kita ni,” kata Qisya, cuba memberikan semangat kepada Affian.

“Terima kasih Sya. Kerana sudi menjadi ibu kepada anak abang.”

“Sya juga nak ucapkan terima kasih,” balas Qisya dengan senyuman.

“Untuk apa?” Affian angkat muka. Senyuman Qisya menyentuh hatinya. Sangat cantik wajah Qisya ketika itu.

“Kerana sanggup jadi papa kepada anak Sya,” jawab Qisya dengan manja.

Affian ketawa. Hatinya sangat girang. Dia akan jadi ayah. Dia akan ada tanggungjawab baru.

“Kalau Sya nak makan apa-apa Sya cakap saja dengan abang. Abang akan cari sampai dapat.”

“Betul Sya boleh minta apa saja?”

“Yalah. Tapi janganlah yang mahal-mahal sangat sebab Sya pun tahu abang ni belum ada kerja tetap lagi,” jawab Affian.

“Baby, tengok papa baby ni. Kedekutnya...” kata Qisya sambil mengusap perutnya.

“Sya, jaga diri dan baby kita ya. Sya tak payah buat kerja banyak-banyak. Sya rehat je. Biar abang yang buat kerja-kerja rumah.”

“Habis, abang kata nak keluar bekerja. Bila masa pulak abang nak buat kerja rumah?”

“Sebelum pergi kerja dan selepas balik kerja.”

“Habis, Sya ni nak buat apa?”

“Sya rehat. Sya jaga baby sudahlah,” kata Affian.

“Ish, janganlah bang. Abang pergi kerja, biar Sya buat kerja rumah. Kalau Sya pun dah dapat kerja, kita buat kerja rumah sama-sama. Lagipun, ibu mengandung mesti banyak bergerak/ mana boleh nak duduk rehat-rehat je,” balas Qisya pula.

“Yalah... abang lupa isteri abang ni bakal doktor juga.” Affian menarik tangan Qisya dan menggenggamnya.

“Abang sayang Sya. Abang cintakan Sya,” bisik Affian. Qisya kerdipkan mata. Memang dia sedia maklum akan perasaan Affian itu.

Kandungan Qisya masuk bulan ketiga.

Dia tiba-tiba mengalami alahan yang teruk. Muntah tidak berhenti hingga tubuhnya menjadi sangat lemah. Akhirnya dia mula keluar masuk hospital. Dua tiha hari di hospital, dua tiga hari di rumah.

“Sya, sabarlah. Kalau abang boleh jadi galang ganti untuk Sya, abang rela. Abang tak sanggup nak tengok Sya macam ni...”

“Tak apalah bang. Sya akan sabar. Ini dugaan untuk menjadi seorang ibu. Cuma... ”

“Ada apa Sya?”

“Sya rindukan mama.”

“Abang dah call mama. Abang dah beritahu keadaan Sya. Tapi, Sya pun faham kan? Mama tak dizinkan jumpa Sya. Dan mama adalah isteri yang sangat taat. Jadi, kita kena hormati dan kagum dengan sifat mama.”

Qisya pejamkan mata. Dia mula terasa betapa perlunya ada seorang ibu di saat kesakitan seperti itu. Namun dia tahu, semuanya tidak akan berlaku lagi. Kalau dulu, demam sikit sahaja mamanya akan menjaga dan merawatnya. Kini, semuanya sudah berlalu.

“Mama... maafkan Sya...” rintih Qisya dengan esakan kecil.

Affian tidak sanggup melihat Qisya begitu. Meruntun jiwanya. Lalu dia segera keluar dari situ. Dia segera menelefon Hajah Afida.

“Mama, kesian dengan Sya. Dia rindu sangat kat mama.”

“Bagaimana keadaannya, Fian?

“Dia sangat lemah. Dia langsung tak dapat makan apa-apa. Bolehkah mama datang tengok Sya? Dah dua bulan kami ulang alik masuk ke hospital. Sekarang kandungan Sya dah nak masuk 5 bulan tapi dia tetap mengalami alahan yang teruk. Fian tak boleh nak tinggalkan Sya, mama. Fian dah berhenti kerja.”

Kedengaran esakan halus Hajah Afida. Affian tahu itu yang akan didengarnya.

“Fian, tolong jaga dia untuk mama. Kesian anak mama...” kata Hajah Afida di celah tangisnya.

“Fian tak akan tinggalkan Sya. Tapi, dia tetap nakkan mama...”

“Mama tak upaya. Maafkan mama Fian.”

Akhirnya, Affian tidak mampu berbuat apa-apa. Dia menahan sebak ketika mematikan talian. Dia sedih dengan keadaan Qisya. Dia sayu dengan keadaan Hajah Afida. Dua beranak itu terpaksa menanggung lara rindu yang hebat.

Dia juga merindui keluarganya. Namun tidak sehebat rindu Qisya. Dia memang dilahirkan tanpa belaian sayang seorang ibu. Hajah Norlida terlalu sibuk. Banyak masanya dihabiskan di klinik dan bersama persatuan yang disertai. Affian dah membesar dengan kasih pembantu rumah. Namun Qisya, sangat kaya dengan limpahan kasih sayang.

Kini, Qisya hilang semuanya. Gara-gara cinta mereka. Gara-gara keputusan mereka yang mendadak.


Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.