Home Novel Keluarga BERTAUTLAH KIAMBANG
BERTAUTLAH KIAMBANG
Fida Rohani
11/4/2014 18:18:30
44,202
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 9

Hati Hajah Norlida tidak sama dengan hati Hajah Afida. Kalau Hajah Afida hidup dilamun rindu terhadap anak kesayangannya Qisya, Hajah Norlida pula hidup dalam rasa benci dan marah yang teramat sangat.

Haji Zahari, apa lagi. Marahnya seolah-olah Affian sudah melakukan jenayah besar. Semua barang-barang milik Affian dibuang. Tidak ada satu yang tinggal. Bilik Affian dikosongkan. Semua perabut dan barang-barang milik Affian dibuang ke dalam tong sampah. Motor milik Affian, dijual. Pendeknya dalam rumah itu langsung tidak ada barang-barang Affian lagi. Benar-benar mereka membuang Affian dari keluarga itu.

“Jangan ada lagi cerita mengenai dia dalam rumah ni. Siapa yang sebut nama anak derhaka itu, jaga dia!” Itu amaran Haji Zahari.

“Ibu juga tak suka siapapun ambil tahu atau berhubungan dengan dia. Kalau ibu dapat tahu ada yang langgar perintah ibu, tahulah ibu nak ajar orang tu!” balas Hajah Norlida pula.

“Ibu, abah... kenapa sampai macam ni. Besar sangatkah kesalahan Fian hingga macam ni dia dihukum,” kata Safrina dengan mata yang basah. Dia sangat rapat dengan Affian namun dia tidak meramal adiknya akan bertindak begitu.

“Why? Rina juga nak ikut dibuang macam budak tu?” Mata Hajah Norlida melorot tajam ke arah Safrina.

“Kita sepatutnya beri dia ruang untuk fikirkan masa depan dia, ibu.” Safwan pula menyampuk.

No means no!. Siapa lagi nak bantah? Siapa lagi nak derhaka? Silakan. Pergi semua, biar tinggal kami berdua di rumah ini,” kata Hajah Norlida, dengan suara meninggi.

Akhirnya, Alawiah sebagai kakak hanya mampu mengesat air mata. Dia kenal ibu bapanya. Begitu juga dengan Safwan dan Safrina. Masing-masing mengangguk perlahan. Perintah ibu tidak berani dibantah walau hati sangat meruntun sedih melihat saudara mereka dibuang dari senarai keluarga.

“Sesiapa yang membantu atau menolong dia, sama derhaka dengan dia!” kata Haji Zahari berupa ancaman.

Safrina rasa tindakan dan ancaman itu begitu tidak adil kepada adiknya Affian. Betulkah mereka akan menjadi anak derhaka kalau melanggar perintah itu?

“Tolonglah ustaz. Saya rasa sangat keliru dengan fatwa yang dibuat oleh ibu bapa saya ni. Betulkah kami akan jadi anak derhaka?” tanya Safrina di hadapan seorang ustaz.

“Memang ibu dan ayah adalah dua orang yang diberi kemuliaan oleh ALLAH untuk mendapat hak yang baik daripada anak-anak. Memang benar ada hadis menyatakan ‘keredaan ibu bapa adalah keredaan ALLAH.’ Tetapi ALLAH juga tidak suka pada permusuhan dan putusnya hubungan silaturrahim. Jadi, kamu mesti bertindak bijak asal tidak melukakan hati kedua-duanya.”

Safrina menyimpan semuanya dalam hati.

Kehidupan Qisya dan Affian sebagai siswa berubah selepas menjadi suami isteri. Mereka mula mengatur masa dan jadual study bersama. Begitu juga mereka berkongsi pendapat dan ilmu dalam menyiapkan assignment.

Mereka rasa lebih aman dan tenang. Affian menggunakan duit simpanannya untuk menyewa sebuah flat yang berdekatan dengan kampus.

“Maafkan abang kalau Sya rasa tak selesa dengan rumah ni. Hanya ini yang abang mampu. Abang janji, akan sediakan rumah yang lebih baik selepas kita habis belajar. Abang akan buat apa saja demi Sya,” kata Affian.

“Ini pun dah cukup untuk Sya. Sya bersyukur dengan apa yang ada. Janji kita ada tempat tinggal. Janji kita dapat study bersama. Kita tak ada banyak masa lagi. Final exam akan tiba tak lama lagi. Kita tak boleh lengah lagi,” balas Qisya pula.

Itu ikrar mereka. Selain untuk mencapai kejayaan cemerlang, juga untuk membuktikan kepada keluarga mereka bahawa niat mereka berkahwin kerana ALLAH.

Kerinduan kepada keluarga tetap ada dalam hati Affian.

Affian juga tidak mahu menjadi anak derhaka. Dia cuba mendekati ibu bapa dan adik beradiknya yang lain. Namun, semua usahanya tidak berhasil. Panggilannya tidak pernah berjawab. E-mail juga tidak pernah diendahkan.

“Mereka tak angkat,” kata Affian kepada Qisya setiap kali dia cuba menelefon.

“Tak apalah, esok kita cuba lagi.” Qisya cuba memberi harapan. Walaupun dia sendiri tidak pasti apa yang diucap itu akan menjadi benar.

“Apa kata kalau cuti hujung minggu ni kita cuba balik ke rumah abang,”ajak Affian.

“Sya ikut saja. Kalau itu yang abang nak. Tapi kalau mereka tak izinkan kita masuk, macam mana?” tanya Qisya.

“Tak cuba kita tak tahu. Abang pun tak berani nak beri andaian.”

Qisya diam. Dia amat memahami perasaan Affian kerana dia sendiri amat merindui keluarganya.

“Lepas kita balik rumah abang, kita balik rumah Sya pula. Kita kena berusaha cari jalan berdamai dan mengalah dengan semua keluarga, Sya,” kata Affian lagi.

“Tapi, Sya takut nak balik. Abah dah beri amaran keras. Sya tak diizin pijak rumah itu sampai dia mati.”

“Itu cakap orang yang sedang marah. Kita kena cuba.”

Qisya sudah berjanji kepada dirinya untuk menjadi isteri yang taat dan solehah. Lalu ap sahaja langkah Affian akan diekorinya walau hatinya sangat berat.

Hari minggu yang dijanjikan. Seawal pagi, selesai menunaikan solat subuh Affian dan Qisya bergerak ke Rawang, rumah keluarga Affian.

“Kita mesti pergi pagi-pagi sebelum mereka keluar. Biasanya hari minggu, ibu dan abah ada aktiviti luar selepas bersarapan.”

Qisya mengangguk dengan hati berdebar. Dia belum pernah mengenali ibu dan ayah Affian. Dia hanya mendengar cerita dari mulut Affian bahawa ayah dan ibunya adalah orang yang bersifat tegas dan susah untuk bertolak ansur.

“Sya, jangan takut. Kita akan hadapi semua kemungkinan bersama-sama.” Affian menggenggam tangan Qisya dengan erat. Dia memberi semangat dan dalam masa yang sama dia juga sedang mengumpul kekuatan diri sendiri.

Selepas hampir satu jam perjalanan menaiki Komuter dari Bangi, mereka akhirnya sampai ke Stesen Rawang. Dari Stesen itu mereka menaiki teksi ke Bandar Puteri Rawang. Hinggalah mereka berdiri di hadapan pintu pagar sebuah rumah.

Affian menekan loceng yang ada di pagar. Dia tahu pembantu rumahnya pasti sudah bangun dan sedang menyiapkan makanan. Mbak Ratmi, orangnya sangat rajin dan pengasih.

Dua tiga kali menekan, akhirnya seorang wanita Indonesia kelaur tergopoh gapah dengan tangan yang masih basah.

“Affian! Maafkan mbak kerana lambat keluar. Mbak tengah memasak tadi,” kata Mbak Ratmi, mesra.

“Tak apa mbak. Ibu dan ayah ada tak, mbak?”

“Ada. Mari masuk.” Mbak Ratmi membuka pagar.

“Mbak, kenalkan ini Qisya isteri saya,” kata Affian memperkenalkan. Qisya bersalam dengan santun. Wajah Mbak Ratmi berubah. Dia meneliti Qisya dari hujung rambut sampai ke hujung kaki.

“Affian, mbak harap kamu bersabar dengan apa saja dugaan ya! Kamu memang anak baik. Sejak mbak kerja di sini, mbak sangat sayang sama kamu. Tapi...” Mbak Ratmi terhenti. Dia menelan air liur. Dia gelisah. Ada sesuatu yang ingin disampaikan tetapi dia tidak mampu.

Affian segera faham maksud kata-kata Mbak Ratmi yang terputus itu.

“Mbak, doakan saya diterima semula di rumah ini ya,” kata Affian sambil menarik tangan Mbk Ratmi dan mengucupnya. Ketika berbuat begitu, dia tidak anggap wanita itu orang gaji di rumah itu.

Mbak Ratmi lebih dari itu. Sekian lama dia makan dan minum hasil air tangan wanita itu. Kain baju dan tempat tidurnya, wanita itu yang uruskan. Semasa akan menghadapi peperiksaan, wanita itu yang menunggu ketika dia sedang belajar.

Tiba-tiba Mbak Ratmi terharu. Dia menangis tanpa malu. Tangan Affian yang sedang menggenggam tangannya membuatkan hatinya sangat tersentuh. Hanya Affian yang rajin menemaninya. Anak majikannya ini tidak pernah melayan dia sebagai pembantu rumah.

Affian memimpin tangan Qisya masuk ke ruang tamu.

“Duduklah, biar mbak panggilkan ibu dan bapa dulu,” kata Mbak Ratmi segera meninggalkan mereka berdua di situ.

Qisya duduk dan meneliti ke sekeliling. Gambar keluarga disusun cantik. Gambar Dr.Hajah Norlida dan Dr. Haji Zahari tergantung dengan senyuman megah.

“Itulah gambar ibu dan ayah mertua Sya. Ibu yang jelita dan abah yang kacak,” kata Affian dengan ketawa perlahan.

Qisya ikut ketawa. “Patutlah anaknya kacak,” balas Qisya.

“Abang kacak ke? Terima kasih Sya,” kata Affian, semakin gelak.

Sedang mereka leka melayan ketawa, Mbak Ratmi keluar dengan sedulang minuman.

“Mbak dah cakap dengan ibu dan ayah saya?” tanya Affian, tidak sabar.

“Sudah. Mungkin sekejap lagi mereka turun,” jawab Mbak Ratmi. Dia meletakkan di atas meja makan yang letaknya tidak jauh dari ruang tamu itu.

“Mari sarapan dulu. Affian mungkin rindu masakan mbak,” kata Mbak Ratmi.

Affian memimpin tangan Qisya ke arah meja makan. Kemudian dengan penuh kasih sayang dia menarik kerusi untuk Qisya duduk.


Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.