Home Novel Keluarga BERTAUTLAH KIAMBANG
BERTAUTLAH KIAMBANG
Fida Rohani
11/4/2014 18:18:30
44,173
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 15

Hajah Afida teresak-esak ketika talian dimatikan. Perkhabaran yang baru diterima dari Affian, sangat menyentuh hatinya. Ia mengundang tangisnya. Air mata memang amat murah dan senang sekali mengalir.

“Kesian anakku...” rintihnya. Sejak dua minggu ini, dia hanya mendengar kisah sedih mengenai anaknya. Qisya sedang menghadapi dugaan untuk menjadi ibu. Anaknya itu sedang terlantar.

Siang malam dia berdoa agar ALLAH berikan kesejahteraan untuk Qisya. Selain berdoa, dia juga tidak jemu memujuk Haji Hasnan agar berlembut hati dan mengizinkan dia pergi melihat Qisya di hospital.

“Abang, bolehkah saya minta sesuatu dari abang?” tanya Hajah Afida sebelum suis lampu dimatikan.

“Apa dia?”

Hajah Afida menelan air liur. Dia keberatan kerana bimbang suara suaminya akan meninggi di tengah malam itu.

“Ada apa? Kalau nak tanya tu, tanyalah.”

“Boleh tak izinkan saya ke hospital esok.”

Haji Hasnan segera berpaling.

“Nak buat apa? Siapa yang sakit?”

“Anak kita, Qisya. Sejak dia mengandung ni, dia keluar masuk hospital. Kesian dia bang. Saya nak tengok dia,” jawab Hajah Afida beranikan diri.

“Anak awak, bukan anak saya!” tengking Haji Hasnan dengan kuat. Sangkaan Hajah Afida benar. Dia menelan air liur yang mula pahit. Kenapa begitu keras hati suaminya...

“Saya tak akan izinkan. Noktah.” Haji Hasnan menarik selimut. Dia berpusing tubuhnya membelakangi Hajah Afida.

“Abang, sampai bila abang nak dendam Sya macam ni? Kalau terjadi apa-apa pada dia, abang akan menyesal nanti,” kata Hajah Afida, masih ingin mencuba.

“Aku memang dah menyesal kerana besarkan dia. Kalau aku tahu dia nak balas semua jasa aku dengan cara macam ni, dari kecil aku tak akan biarkan dia hidup!”

Hati seorang ibu lebur.

“Sampai hati abang...”

“Dia lebih sampai hati buat saya macam ni. Sudahlah. Jangan ganggu fikiran saya dengan budak tu. Kalau dia nak sakit ke? Nak mati ke? Bukan saya punya pasal. Itu dia punya pasal. Yang awak nak sibuk-sibuk hal dia tu kenapa?” leter Haji Hasnan, tanpa menoleh.

“Sebab dia anak saya. Saya yang mengandungkan dia. Walau sebesar mana pun dosa dia, dia tetap anak kita. Darah daging kita.”

“Sudah!” tengking Haji Hasnan lagi. Hajah Afida terus matikan diri. Air matanya dibiarkan merembes keluar tetapi esakannya cuba ditahan. Dia rasa sangat sengsara.

Hari terus berlalu. Namun setiap hari berita yang didengar mengenai Qisya tetap sama. Kalau dia dibawa pulang ke rumah, keadaannya tetap sama. Terlantar lemah dan tidak bermaya.

Sehingga kandungan Qisya masuk bulan ke tujuh. Sekali pun Hajah Afida tidak berpeluang untuk melihat dan merawat anaknya. Mujur Affian begitu setia memberi khabar kepada Hajah Afida mengenai keadaan Qisya. Setiap kali mendapat khabar, setiap kali itu juga air mata dan esakannya kedengaran.

Pagi itu, seperti biasa dia mendapat panggilan telefon dari Affian selepas Haji Hasnan keluar ke tempat kerja.

“Mama, Fian ada hal nak cakap dengan mama.”

“Ada apa Fian? Sya macam mana?”

“Sya dah sihat sikit. Tapi dia masih tidak kuat untuk bangun,” jawab Affian.

Suasana sepi. Lama.

“Fian, ada apa? Cakaplah. Fian tak perlu nak malu dengan mama,” kata Hajah Afida selepas lama membiarkan Affian senyap.

“Fian nak minta maaf dari mama,” kata Affian dengan perlahan. Hati Hajah Afida berdebar.

“Fian, katakan. Apa yang berlaku?”

“Fian dah dapat tawaran kerja di sebuah hospital. Nak kena lapor diri minggu depan. Tapi, keadaan Sya macam ni...”

Hajah Afida segera faham. Affian tentunya tidak sampai hati untuk meninggalkan Qisya sendirian di rumah. Dia diam berfikir.

“Lagi satu mama, dah tiga bulan Fian dah tak bayar sewa rumah. Duit kami dah habis. Fian dah tak ada duit langsung. Jadi, Fian nak minta tolong pada mama. Tolong pinjamkan Fian sedikit duit. Lepas Sya dah sihat, Fian akan cari kerja dan bayar hutang mama,” jawab Affian, lancar.

Hajah Afida sebak. Dia rasa sangat belas dengan pengakuan jujur menantunya itu. Apa lagi bila membayangkan ketika Qisya akan melahirkan anak pertamanya, dia diduga dengan kesakitan dan kesusahan itu.

“Fian, hal itu jangan susah hati. Nanti mama masukkan dalam akaun Sya. Fian, tolong mama. Jaga Sya. Kesian dia,” rintih Hajah Afida.

“Itulah yang Fian tengah risau, mama. Dengan siapa Fian nak tinggalkan Sya ketika Fian keluar bekerja. Fian serba salah, mama.”

Fikiran Hajah Afida tersendat gelisah. Benar kata Affian. Dengan siapa Qisya yang lemah itu akan ditinggalkan. Kalau apa-apa terjadi kepada Qisya, kepada siapa dia harus mengadu.

“Kalau macam tu, biar mama bincang dengan Kak Sara dan Abang Is dulu. Mungkin mereka ada cara nak selesaikan masalah ni. Fian janganlah susah hati. ALLAH bersama orang-orang yang sabar,” pujuk Hajah Afida. Dia rasa seperti sedang memujuk Qisya.

Selepas habis bercakap dengan Affian, Hajah Afida menghubungi Qaisara.

“Mama, kalau macam tu mama pujuklah abah sekali lagi. Kalau dia tak nak bagi Sya balik ke rumah pun, mintalah dia izinkan mama jumpa Sya.”

“Itu perkara yang tak mungkin berlaku, Sara. Sara tahu perangai abah tu macam mana, kan?”

“Tak salah kalau mama terus mencuba. Mungkin lama kelamaan dia jatuh kesian pada mama,” balas Qaisara.

Hajah Afida terdiam. Mungkin benar kata Qaisara. Dia perlu terus merayu. Biarlah dia diherdik dan dimaki hamun, demi Qisya dia rela.

“Kalau dia tak izinkan juga?” tanya Hajah Afida dengan sangsi.

“Kita cari rumah sewa yang berdekatan. Kita bawa Sya tinggal dekat-dekat dengan mama.”

Sekali lagi Hajah Afida terdiam. Kali ini dia amat ragu-ragu dengan usul Qaisara.

“Mama, jangan bebankan fikiran mama dengan hal ini. Mesti ada jalan untuk kita bantu Sya. Nanti Sara dengan Is akan pergi tengok Sya,” kata Qaisara selepas Hajah Afida terdiam lama.

“Kalau abah tahu?”

“Biarlah kami dianggap derhaka. Tapi kami tak akan biarkan adik kami dalam keadaan macam tu,” jawap Qaisara.

Sepanjang hari itu, fikiran Hajah Afida memang terganggu. Dia gelisah memikirkan hal Qisya. Dia resah menanti malam, untuk berdepan sekali lagi dengan kemarahan Haji Hasnan.

Dalam kegelisahan itu, dia mengisi masanya dengan mengait stokin dan pakaian bayi yang sudah separuh siap. Dia mencuri-curi masa ketika suaminya tiada. Dia tidak mahu Haji Hasnan nampak apa yang dibuatnya.

Malam itu selepas solat isyak, Hajah Afida bersimpuh di hadapan Haji Hasnan dengan penuh doa dan harapan.

“Ada apa lagi ni? Kalau pasal anak derhaka tu, baik awak lupakan saja!”

“Abang, beri peluang saya cakap dulu. Kita baru saja mengadap ALLAH.”

Hajah Afida menarik tangan Haji Hasnan. Dia menggenggamnya erat. Dia bersedia menerima apa sahaja tindakan suaminya.

“Cakaplah, apa dia?” sergah Haji Hasnan ketika Hajah Afida masih termangu-mangu mencari ayat yang sesuai.

“Abang, kita akan dapat cucu.”

“Cucu awak, bukan cucu saya!”

“Sya sedang sakit teruk. Affian pula akan mula bekerja.”

“Tak ada kena mengena dengan saya!”

“Dia risaukan keadaan Sya kalau dia tinggalkan pergi kerja. Sya akan tinggal sendirian dalam keadaan lemah begitu.”

“Jadi, awak nak usung dia bawa balik ke rumah ini? Tidak. Jangan buat yang saya tak suka. Kalau awak nak saya terus tinggal di sini, jangan bawa anak derhaka itu balik! Kalau tidak, awak kena pilih antara dua. Dengar tu?” tengking Haji Hasnan. Dia menarik tangannya dari genggaman Hajah Afida dengan kuat.

“Abang, saya tahu hati abang memang dah keras macam batu. Sedangkan nabi ampuni umat, tapi abang tetap dengan ego abang.”

“Jangan bandingkan aku dengan nabi. Nabi itu utusan ALLAH. Mereka bersifat maksum. Tapi, aku manusia biasa yang ada perasaan. Anak awak tu dah conteng arang ke muka saya. Saya tak akan ampunkan dia sampai bila-bila!” tegas Haji Hasnan.

“Apakah dosa dia? Dia tak melakukan perkara berdosa. Dia berkahwin mengikut hukum.” Hajah Afida masih ingin cuba memberikan pendapat. Dia tidak mahu Qisya terus dianggap anak berdosa, hanya kerana dia berkahwin ketika sedang belajar.

“Aku tak nak bincang hal ini lagi dengan kau. Kalau kau rasa dia tak berdosa, terserah kau. Tapi jangan suruh aku ubah fikiran aku!”

Haji Hasnan cuba bangun. Tetapi, Hajah Afida menarik tangannya.

“Abang, terserah abang juga abang nak anggap dia anak jenis apa. Saya cuma nak minta sungguh-sungguh dengan abang, tolonglah izinkan saya pergi tengok dia. Dia anak saya. Dia sedang sakit. Busuk macam mana pun, dia tetap darah daging kita. Kalau terjadi apa-apa pada dia, kita juga yang menyesal,” kata Hajah Afida dengan suara bergetar, sedih.

Haji Hasnan diam membatu.

“Tak apalah kalau abang tak sudi tengok dia. Saya mak yang kandungkan dia. Sakit dia tetap sakit saya. Tolonglah bang...”

Haji Hasnan tetap matikan diri. Sepatah pun dia tidak bersuara.

“Saya tak akan bawa dia balik ke sini. Saya tak akan kotorkan rumah abang ini dengan langkah kaki dia. Saya cuma minta abang izinkan saya pergi melihat dia. Berilah saya izin. Hanya izin abang itu yang saya minta. Tolonglah...” rayu Hajah Afida. Kali ini dia mula teresak-esak. Sungguh pilu rasa hati mengenangkan nasib Qisya.

Lama Hajah Afida menangis. Lama juga Haji Hasnan mendiamkan diri. Akhirnya, dia bangun dan cuba melangkah pergi dari situ.

“Baiklah, dah awak nak sangat tengok anak awak tu saya izinkan awak pergi. Awak boleh tengok, boleh jaga dan apa saja asal awak tak bawa cerita dia ke rumah ini dan awak jangan menyusahkan saya. Pergilah. Saya tahu awak ada di rumah semasa saya ada,” kata Haji Hasnan menoleh sebelum melangkah.

Hajah Afida mendongak. Dengan cepat air matanya diseka. Kelibat suaminya dihantar dengan ucapan syukur. Dia tersenyum. Hatinya berbuai gembira. Akhirnya, dia dapat juga bertemu anaknya.

Dia segera mencapai telefon. Dia mesti berkongsi rasa gembira itu dengan Qaisara. Namun sebelum sempat dia mendail nombor Qaisara, telefon itu berdering. Dia segera menekan butang ‘jawab’.

“Mama, Sya masuk hospital lagi. Dia pengsan!” Suara Affian kedengaran cemas. Hati Hajah Afida yang mula berputik riang, kembali berdebar!


Previous: Bab 14
Next: Bab 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.