Home Novel Keluarga BERTAUTLAH KIAMBANG
BERTAUTLAH KIAMBANG
Fida Rohani
11/4/2014 18:18:30
44,199
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 12

Qisya terkejut dari tidurnya. Dia bingkas bangun dengan cepat. Badannya basah berpeluh. Dia seperti orang ketakutan.

“Sya, kenapa ni?” Affian ikut terkejut dan terbangun.

“Sya mimpikan mama,” jawab Qisya menutup mukanya dengan kedua tapak tangan. Dia menangis.

Affian memeluk isterinya dan memujuk dengan penuh kasih sayang.

“Sya rindukan mama.”

“Siang esok kita call mama. Mungkin kita boleh ke sana waktu abah tak ada,” kata Affian sambil memeluk Qisya untuk menenangkan tangisnya.

Tidak lama, tangis Qisya mula reda. Dia membetulkan dirinya. Kemudian dia berbaring semula.

“Tidurlah. Esok kita call mama ya.” Affian menarik selimut dan menutup kaki Qisya.

“Bang, sampai bilakah kita akan dibuang keluarga macam ni. Sya rasa tak sanggup nak menanggung rindu. Mama pun mesti rindukan Sya.”

“Abang pun tak tahu Sya. Kita kena sabar,” jawab Affian. Soalan itu juga yang sering menghantui fikirannya.

Qisya tidur dalam mimpi rindu yang manis. Dia bertemu mamanya dalam mimpi. Belum pernah dia berpisah begini lama dengan Hajah Afida. Rindu yang semakin menyesakkan dada.

Pagi-pagi selesai menunaikan solat subuh, telefon bimbit Qisya berdering. Dia menjeling nombor di skrin. Kak Qaisara! Hatinya bergetar resah. Dia bimbangkan sesuatu yang tidak diingini berlaku kepada mamanya, kerana kakaknya tidak pernah menelefonnya sebelum ini.

“Helo Sya, dah solat?” Suara Qaisara mesra di hujung talian. Seperti tidak pernah berlaku apa-apa dalam hidup mereka.

“Dah, kak. Akak apa khabar?”

“Alhamdulillah. Cuma mama kurang sihat.”

Qisya semakin berdebar. Dia teringat mimpinya malam tadi. Mimpi bahagian dapur rumah mereka terbakar. Api marak menyala. Dia melihat mamanya di celah asap yang berkepul itu. Ya ALLAH!

“Sya, mama tak apa-apa. Dia cuma demam. Akak agak dia rindukan Sya. Nanti jam 9, selepas abah pergi kerja Sya call mama. Mungkin kalau dah dengar suara Sya, demamnya akan kebah.” Qaisara seperti tahu apa yang difikirkan oleh Qisya ketika itu.

“Kak, terima kasih,” jawab Qisya dengan suara sebak. Dia cuba menahan air matanya. Namun ternyata, ketabahannya tidak mampu membendung titik-titik jernih itu jatuh berguguran bersama sebuah esakan kecil.

“Sabar Sya. Mama tak apa-apa,” pujuk Qaisara selepas mendengar esakan Qisya.

“Sya rindu mama. Sya rindau abah. Sya nak balik tengok mama dan abah,” balas Qisya di celah esakannya.

“Belum masanya. Marah abah belum reda. Sya hanya akan menyemarakkan api yang sedang menyala. Sabarlah dan teruskan berdoa. Kalau Sya rindu, sedekahkan al-fatihah untuk mereka.”

Qisya menahan esakan. Dia cuba memujuk hatinya agar tabah. Dia yang membuat keputusan ini. Maka dia harus berani menghadapi semua dugaannya.

“Jangan lupa call mama. Akak nak bersiap ni. Nak ke ofis. Jaga diri baik-baik,” kata Qaisara sebelum talian dimatikan.

Qisya angguk perlahan. Dia termenung.

“Siapa call, Sya?” tanya Affian.

“Kak Sara. Dia suruh call mama. Mama demam.” Qisya menjawab tanpa menoleh ke arah suaminya.

Affian tidak bertanya lagi. Dia berjalan ke dapur dan cuba melarikan mata belasnya daripada melihat kerinduan di mata Qisya.

Jam 9.00 pagi.

Qisya segera mendail nombor telefon mamanya. Dia tahu waktu itu abahnya mesti sudah ke ofis. Kebiasaannya begitu. Namun tidak hari itu.

“Assalamualaikum, mama!” sapa Qisya selepas talian bersambung.

Diam. Tidak ada suara yang menjawab. Hati Qisya cuak.

“Mama, mama sihat ke?”

“Hei, dia sihat ke, sakit ke kau peduli apa? Apa hal kau nak tanya lagi selepas kau buat semua ni. Biarlah kami mati, yang kau nak tanya lagi buat apa?” Suara Haji Hasnan berdentum seperti guruh.

“Abah...”

“Siapa abah kau?”

Talian dimatikan. Tidak sempat Qisya menyebut kata ampun dari abahnya. Dia terduduk dengan tangisan yang mengongoi. Dia tidak dapat mendengar suara mamanya untuk melepaskan rindu. Sebaliknya dia mendengar suara abahnya yang masih tidak berubah.

“Sya, sabarlah.” Hanya itu yang mampu diucapkan oleh Affiana ketika itu. Dia menarik Qisya ke dalam pelukannya dan membiarkan tangisan Qisya membasahi bahunya.

Lama, baru tangisan itu reda.

“Macam mana Sya nak jumpa mama. Mama sedang rindukan Sya...” rintih Qisya. Affian tidak berani berjanji apa-apa. Dia tahu keadaan amat sukar sekarang.

Hajah Afida pula terkejut mendengar suara keras suaminya, menengking sesaorang. Tidurnya terganggu. Dia memasang telinga.

“Siapa abah kau?”

Dia tahu itu panggilan dari Qisya. Hatinya teruja. Kerinduannya memuncak. Dia terlalu ingin mendengar suara anaknya itu.

“Jangan awak pandai-pandai nak buat hubungan dengan dia di belakang saya. Kalau sekali lagi saya tahu dia call awak, saya akan hempaskan telefon ni!” kata Haji Hasnan sebelum sempat Hajah Afida merayu untuk mendengar suara Qisya.

Air mata seorang ibu menitik lagi. Hanya matanya yang memandang keluar tingkap. Suaranya tidak kedengaran. Ia tersekat di celah kerongkong. Sangat sakit dadanya.

Haji Hasnan langsung tidak memberikan dia peluang untuk menagih haknya sebagai ibu.

‘Ya ALLAH, berikan aku kekuatan untuk meneruskan takdir hidup yang KAU tentukan ini.’

Hanya itu yang mampu didoakan dari hati yang tulus. Dia ingin teresak, namun dia terpaksa menyimpan esakan itu. Bimbang akan membakar lagi hati suaminya.

“Tak payahlah awak nak menangis kerana budak kurang ajar tu! Awak menangis air mata darah sekalipun, kalau saya kata tidak maknanya tidak!” tegas Haji Hasnan. Dia melangkah pergi. Kali ini baru Hajah Afida berani melepaskan tangisnya. Dia terhinggut-hinggut.

‘Tolong selamatkan anakku, ya ALLAH. Tolong jauhi dia dari segala bahaya dunia dan bahaya akhirat.’

Beberapa hari demam Hajah Afida tidak kebah. Ubat yang diberikan oleh doktor langsung tidak memberi kesan. Malah dia rasa semakin lesu. Demamnya terasa semakin membahang. Ia sangat membimbangkan Qaisara dan Qais.

“Sya, ambilkan mama air. Mama haus,” kata Hajah Afida. Matanya terpejam rapat. Qaisara menahan tangis.

“Ma, minum airnya, ma.” Qaisara menyua gelas air ke lulut Hajah Afida.

Hajah Afida membuka mata. Dia melilau, mencari.

“Mana Sya? Tadi dia janji nak jaga mama sampai mama sembuh,” kata Hajah Afida dengan suara yang hampir tidak kedengaran.

“Mama, mama mengigau tu. Sya belum balik lagi. Dia masih...”

“Oh! Mama lupa dia masih di kolej. Dia kata habis periksa dia akan balik. Mama akan tunggu Sya,” potong Hajah Afida dengan cepat.

Qaisara semakin sengsara mendengar kata-kata mamanya. Dia menoleh mencari simpati dari abangnya Qais.

“Mama, minumlah dulu. Nanti kalau Sya dah habis periksa, mesti dia akan jaga mama dan tak akan tinggalkan mama lagi,” kata Qais, sambil memicit kaki Hajah Afida. Dadanya sebak.

“Abang, pujuklah abah. Kesian mama... kesian Sya...” bisik Qaisara ke telinga Qais.

Qais angguk. Dia bangun dengan berat. Walaupun sudah tahu jawapannya, dia masih ingin mencuba. Mana tahu hari itu ALLAH sudah lembutkan hati Haji Hasnan.

Haji Hasnan sedang menonton rancangan berita. Dia begitu tekun hingga tidak sedar Qais duduk di sebelahnya.

“Abah, boleh Is cakap sikit,” kata Qais.

Haji Hasnan angguk tanpa menoleh. Matanya masih tertumpu pada kaca putih di hadapannya.

“Izinkanlah Sya balik. Mama tu rindukan Sya,” kata Qais penuh berhati-hati. Dia tahu dia sedang berdepan dengan seorang ayah yang pemarah dan panas baran.

Kata-kata Qais seperti sengaja mengejutkan harimau yang sedang lena. Haji Hasnan menoleh dengan mata yang merenung tajam.

Qais tunduk. Dia bersedia menerima semua kemungkinan, demi ibunya.

“Abah kata tidak. Is jangan nak pandai-pandai memujuk abah. Sekarang abah belum marah pada Is. Jangan sampai Is juga abah buang dari hidup abah,” kata Haji Hasnan dengan keras.

“Abah...”

“Sudah! Kalau Is nak buat juga, Is bunuh abah dulu. Selagi abah hidup, budak kurang ajar tu jangan pijak rumah ini!” tengking Haji Hasnan. Api marah mula menyala!


Previous: Bab11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.