Home Novel Keluarga BERTAUTLAH KIAMBANG
BERTAUTLAH KIAMBANG
Fida Rohani
11/4/2014 18:18:30
44,209
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 6

Urusan pernikahan berjalan lancar. Semua borang yang penting sudah diisi. Begitu juga dengan kursus perkahwinan serta ujian HIV. Semuanya sudah siap. Hanya menunggu majlisnya dilangsungkan.

Hajah Afida semakin lega, walaupun dia tahu semuanya itu adalah satu permulaan untuk sebuah perpisahan antara dia dan Qisya.

“Mama tak nak adakan majlis tu di sini. Kamu kena bernikah di tempat lain.”

“Tapi kenapa, ma?”

“Sebab mama tak nak orang tahu ada krisis dalam keluarga kita.”

“Tapi, kan abah dah berikan izin. Dia dah tanda tangan surat izin wali hakim itu,” kata Qisya.

“Sya tahu apa maknanya?”

Qisya menggelengkan kepala. Hajah Afida merenung anaknya yang begitu lurus dan polos. Sangat muda untuk memahami erti sebuah luka dan rajuk hati seorang ayah.

“Maknanya, dia tak akan datang. Surat itu adalah wakil dirinya. Kalau dia nak hadir, dia tak perlu tanda tangan surat itu. Sya, mama tak nak semua orang tertanya-tanya di mana abah dan kenapa majlis ini dibuat secara tergesa-gesa. Abah dah kata, dia tak nak ambil tahu.”

Qisya merenung wajah ibunya Hajah Afida. Dia rasa belas melihat wajah yang muram dan tidak seceria dulu. Semuanya kerana dia!

“Ma, sekali lagi Sya minta maaf. Sya ni keterlaluan menyeksa mama...” Qisya tunduk sebak.

“Dahlah. Perkara dah berlaku. Mama cuma nak yang terbaik dan selamat untuk Sya. Mama tak nak Sya keluar dari rumah ini tanpa sesiapa. Sebab itu, mama sanggup buat apa sahaja untuk Sya.”

Mereka berpelukan. Kasih anak dan ibu bersatu dalam sendu. Pilu menghayutkan mereka.

“Minggu depan kita langsungkan pernikahan kamu di Johor Bahru, rumah kawan mama. Dia dah uruskan semuanya. Esok mama akan ke sana untuk menyerahkan semua surat-surat yang penting.”

“Mama tak nak jumpa Affian dulu? Mama belum kenal dia lagi,” kata Qisya pula.

“Hari pernikahan nanti, kita boleh jumpa,” jawab Hajah Afida dengan nada berat.

Qisya terdiam. Terasa sangat janggal bila semua urusan untuk pernikahan dibuat oleh mamanya tanpa mengenali dan bersua muka dengan Affian.

“Mama tak nak tengok rupa dan berkenalan dengan Affian?”

Geleng.

“Tapi kenapa? Mama pun nak benci kami?”

“Bertemu atau tidak, Sya memang dah sukakan dia. Mama dah tak ada hak untuk memilih dan menilai. Baik pada Sya, eloklah pada mama,” jawab Hajah Afida perlahan. Dia sedang sembunyikan hatinya yang tidak tenteram. Hati ibu mana yang gembira kalau anak gadisnya berkahwin dengan cara itu.

Qisya terdiam. Dia tunduk. Muncul rasa bersalah di celah hati.

“Tak apalah. Mama tahu dia terbaik untuk Sya. Sya yang pilih dia. Maknanya Sya dah kenal hati budinya. Rupa paras tak penting sangat. Asalkan dia akan sayang dan jaga Sya dengan baik. Itu dah cukup untuk mama,” tambah Hajah Afida, mula tersenyum nipis. Dia cuba memujuk hatinya yang kecewa. Dia cuba membuat Qisya tidak bersedih dengan apa yang sedang berlaku.

“Terima kasih mama. Banyaknya jasa mama pada Sya. Namun tak satu pun Sya balas.Sya ni hanya memberikan kesedihan dan air mata kepada mama. Sya minta ampun ma...” Qisya merebahkan dirinya ke dalam pelukan Hajah Afida.

Hati seorang ibu tersentuh.

“Jangan cakap macam tu. Tugas ibu bapa memberikan yang terbaik untuk anak-anak kerana anak adalah amanah ALLAH. Asal dalam setiap doa Sya ada bahagian kami, itu sudah cukup buat kami,” kata Hajah Afida sambil mencium-cium kepala Qisya.

“Sudahlah. Pergi berkemas dan bersiap apa yang patut. Bawalah apa yang Sya nak bawa dari rumah ini, mama izinkan.”

Qisya mendongak. Wajah Hajah Afida direnung lama.

“Apakah tak ada ruang lagi untuk Sya di rumah ini?”

“Sya kena hadapi semua kemungkinan. Sya kenal abah Sya macam mana. Mama tak minta ini berlaku. Tapi, dia suami mama. Mama kena ikut syarat dia.”

Qisya tunduk. Dia menahan air mata.

“Sya tetap ada di hati mama. Cuma mungkin jasad kita yang terpisah tetapi bukan hati kita. Mama harap Sya tak akan lupakan mama. Abah pun sangat sayangkan Sya. Cuma keputusan Sya ni dah rentap hati abah. Sabarlah. Kita kena sentiasa berdoa agar hati abah sembuh dan berubah juga nanti.” Hajah Afida berkata jujur.

Walaupun berat untuk meluahkan namun itu lebih baik dari membiarkan Qisya menaruh harapan yang tinggi.

Ramai rakan-rakan siswa yang sudah tahu hal Qisya yang akan berkahwin dengan Affian. Bermacam reaksi yang diberi. Ada yang menyokong dan tidak kurang yang membantah.

“Sya, aku tak nak cakap apa-apa lagi. Aku tahu kau dan Fian memang dah nekad. Jadi, cakap apapun dah memang kau tak dengar. Aku doakan agar kau bahagia dengan pilihan dan keputusan kau ni,” kata Mas Inani, sahabat baiknya pada satu hari selepas habis kuliah.

Qisya hanya diam tersenyum.

“Kenapa kau tak boleh nak tunggu. Habiskan dulu pengajian kita ni dan kerja. Lepas tu, kahwinlah,” kata Aiza Zizan pula.

“Nani, Aiza, aku tahu kau berdua tak suka dengan keputusan aku. Aku hargai pendapat kau berdua tapi aku rasa hanya ini keputusan yang terbaik untuk aku dan Fian. Kami dah bersedia untuk jadi suami isteri. Tapi aku janji dengan kau berdua bahawa aku akan habiskan study. Aku akan naik pentas untuk terima ijazah bersama-sama kamu. Percayalah...” kata Qisya bersungguh-sungguh.

“Fian macam mana?”

“Itu yang aku kesian dengan dia. Dia dihalau dari rumah. Keluarga dia membuang dia... kerana aku...” Suara Qisya bergetar menahan rasa.

Mas Inani dan Aiza Zizan ikut bersimpati.

“Sabarlah Sya. Kau dan Fian dah buat keputusan ni. Maknanya kau berdua dah bersedia nak hadapi dugaannya. Inilah cabaran yang akan kau lalui,” kata Mas Inani.

Qisya mengeluh. Memang berat keluhannya.

Seperti Qisya, Affian juga resah. Dia sangat berdebar. Menanti hari pernikahan seperti menanti hari untuk ke medan perang. Dia berdebar untuk memikul tugas sebagai suami. Kadang-kadang dia juga rasa takut pada tugas dan tanggungjawab itu. Apalagi dengan tugas sebagai siswa tahun akhir jurusan kedoktoran.

“Dah terlambat untuk kau rasa takut Fian. Tinggal dua hari lagi kau akan jadi suami. Semuanya dah siap. Langkah yang kau buat ni tak boleh diundur lagi. Susah atau senang, kau kena hadapinya,” kata Mukhriz yang sudi membenarkan Affian tinggal bersamanya di bilik sewaan untuk sementara waktu.

“Aku tahu Riz. Aku kena kuatkan semangat. Mungkin kami akan berdepan dengan berbagai kesusahan pada peringkat awal ini. Maklumlah, berkahwin ketika sedang belajar. Mungkin aku terpaksa cari kerja part time untuk menyambung hidup,” balas Affian.

Mukhriz angguk perlahan. Dia faham situasi yang sedang dihadapi oleh Affian. Keputusan Affian telah menimbulkan kemarahan ibu bapanya. Lalu semua kemudahan yang diberikan kepada Affian ditarik balik termasuk motorsikal yang sering digunakan ke kuliah!


Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.