Home Novel Keluarga BERTAUTLAH KIAMBANG
BERTAUTLAH KIAMBANG
Fida Rohani
11/4/2014 18:18:30
44,204
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 1

-1-

Hajah Afida merenung ke langit. Mendung. Mungkin hujan akan turun. Syukurlah, kerana sudah lama bumi menjadi gersang akibat hujan yang tidak sudi merintik ke bumi. ALLAH belum mengizinkan langit membenih awan hujan, itu sebenarnya.

“Mama, kenapa termenung?” tegur Qisya sambil duduk di sebelah Hajah Afida.

“Mana ada. Mama tak termenung. Hanya melihat langit yang mendung. Kalau malam ni hujan bagus juga. Dah berapa minggu ni panas sangat.”

Qisya mengangguk. Dia ikut mendongak ke langit. Memang gelap. Langsung tidak berbintang. Angin pun tidak bertiup. Itu yang udara terasa membahang panas.

“Ma, Sya ada hal nak cakap dengan mama,” kata Qisya sambil menarik tangan Hajah Afida. Gayanya memang seperti orang yang sedang menagih sesuatu.

Hajah Afida kerdipkan mata, tanda izin.

Qisya tunduk. Tiba-tiba lidahnya menjadi kelu. Ayat-ayat yang sudah disusun dalam fikiran, tiba-tiba hilang. Dia gugup seketika.

“Ada apa ni?” Hajah Afida menepuk-nepuk belakang tangan Qisya dengan penuh kasih sayang. Sebagai ibu yang melahirkan Qisya, dia faham setiap gerak geri anaknya itu.

“Ma, harap mama tak marah dan tak kecil hati dengan apa yang Sya nak cakap ni.”

“Kenapa pelik sangat bunyinya? Cakap je.” Hajah Afida tersenyum.

“Ma, Sya nak kahwin!” kata Qisya dengan lancar.

Namun kelancaran ayat yang terbit dari bibir Qisya itu membuatkan Hajah Afida tersentak. Dia terkedu seketika. Sebelum ini dia tidak pernah tahu anaknya itu ada kekasih hati. Sejak di bangku sekolah menengah hingga ke universiti, belum pernah dia terdengar Qisya ada hubungan dengan sesiapa.

Tidak lama, Hajah Afida tersenyum-senyum. Senyuman itu seolah-olah memperli Qisya.

“Mama, Sya serius.”

Senyuman Hajah Afida terhenti. Wajah anaknya ditatap lama. Kekeliruan jelas menebal di wajahnya.

“Sya sedar apa yang Sya cakap ni?”

“Sya bercakap dalam keadaan waras dan rasional, ma,” jawab Qisya bersungguh-sungguh.

Hajah Afida masih tidak mampu percaya apa yang didengarnya. Qisya pula masih mengharapkan mamanya yakin dengan apa yang dicakapkannya.

“Sya, dengan siapa?”

“Dengan Affian, rakan sekuliah.”

Sekali lagi mata Hajah Afida tidak berkelip. Satu demi satu kata-kata yang keluar dari bibir anaknya menyentak jantungnya.

“Apa yang buat Sya buat keputusan mendadak ni?” tanya Hajah Afida dengan suara yang meninggi. Mata mereka bertembung dalam sebuah rona yang menggetarkan.

“Mama, Sya sangat sayangkan dia. Kami saling menyintai.”

“Tapi, Sya masih belajar. Ada satu semester lagi nak tamat. Tunggulah sampai tamat.”

“Apa bezanya dah tamat atau belum tamat, ma?”

“Banyak bezanya. Tanggungjawab seorang isteri itu tidak mudah. Kalau Sya dah tamat mungkin ia sedikit mudah. Ini, mana nak belajar mana pula nak jaga suami,” jawab Hajah Afida.

Qisya terdiam.

“Lagipun Sya, mama dan abah tak ada duit nak adakan majlis kahwin Sya dalam masa terdekat. Sya pun tahu, simpanan yang ada adalah untuk belanja sekolah Sya dan adik-adik. Abah mesti tak setuju dengan keputusan Sya ni,” tambah Hajah Afida lagi.

“Mama, Sya bukan nak adakan majlis besar-besaran. Cukuplah sekadar majlis nikah yang sederhana. Kita buat yang wajib saja, mama.”

Sungguh mudah Qisya membuat keputusan. Sungguh senang dia berkata-kata. Mungkin dia ingat perkahwinan ini seperti bermain pondok-pondok semasa kecilnya. Itu yang terfikir dalam minda Hajah Afida.

“Sya, jangan buat keputusan terburu-buru. Fikirlah beberapa kali. Bukan mama tak suka Sya kahwin. Tapi rasanya masa belum sesuai. Habiskan dulu pengajian. Kemudian, mama tak akan halang lagi kalau Sya nak kahwin,” kata Hajah Afida dengan suara yang lemah lembut. Dia tidak mahu anak itu terguris.

“Jadi sekarang mama menghalang?” Qisya merenung mata Hajah Afida.

“Sya, cuba fahamkan maksud mama. Mama nak tengok Sya genggam segulung ijazah. Mama nak tengok Sya kerja. Kemudian barulah Sya fikirkan soal kahwin. Sya masih terlalu muda. Baru 21 tahun. Masih banyak yang perlu Sya belajar…”

“Ma, keputusan Sya dah muktamad. Affian pun dah cakap dengan keluarganya. Mama bincanglah dengan abah,” kata Qisya sambil bangun dan meninggalkan Hajah Afida sendirian.

Qisya semakin bertegas.

Hajah Afida serba salah. Kenapa Qisya mengambil keputusan mendadak itu? Sedangkan sebelum ini, dia berjanji untuk belajar dengan tekun hingga mendapat ijazah. Kemudian dia akan bekerja sebelum berfikir tentang kahwin. Apakah dia sudah terlanjur?

‘Ya ALLAH, minta jauh semua itu. Tetapkan iman anakku. Jauhi dia dari kemungkaran dan dekatkan dia kepada-MU.’ Dia mendongak ke langit. Kali ini tidak mencari bintang di dada langit yang kelam itu tetapi dia sedang merafak doa ke hadrat ILLAHI. Doa seorang ibu amat tulus.

Batuk suaminya Haji Hasnan kedengaran bergema kuat dari ruang tamu. Dia segera melangkah masuk.

“Abang, dah makan ubat batuk?”

“Dah. Ida ke mana?” tanya Haji Hasnan.

“Saja keluar ke beranda tu. Panas sangat malam ni. Nak hujan agaknya. Bintang pun tak ada di langit.”

Haji Hasnan tersenyum.

“Kenapa abang senyum?” Hajah Afida rasa cuak dengan senyuman itu. Dia meneliti wajah pucat suaminya. Sudah dua hari Haji Hasnan demam dan batuk. Sejak dua hari ini pula dia menjadi jururawat khas.

“Abang senyum sebab hairan, sejak bila pula Ida jadi pakar kaji cuaca. Nak hujan ke tidak, bukan kuasa kita. Itu hak DIA.”

Hajah Afida ikut tersenyum. Namun senyumannya itu tidak lama. Dia teringat kepada anak sulungnya Qisya. Permintaan Qisya yang mendadak itu tiba-tiba mengganggu fikirannya.

“Ida, kenapa ni?” tegur Haji Hasnan. Wajah Hajah Afida diteliti dengan mata curiga. Mesti ada yang tidak kena. Mesti ada yang sedang mengganggu fikiran isterinya itu.

Hajah Afida tergamam. Perlukah hal itu diberitahu sekarang?

“Apa yang Ida fikirkan ni? Jangan bimbang sangat demam abang ni. Esok lusa baiklah.” Haji Hasnan menepuk bahu Hajah Afida.

Kata-kata Haji Hasnan memberikan kelegaan kepada kebuntuan yang merantai fikiran Hajah Afida. Dia tersenyum dan mengangguk perlahan.

“Ida mungkin penat jaga abang dua hari ni. Tidurlah. Abang janji malam ni, abang tak akan ganggu tidur Ida lagi.”

“Apa maksud abang?” Hajah Afida menoleh. Senyum yang tadinya menguntum di bibirnya, segera hilang. Dia rasa cuak dengan ayat yang diluahkan oleh suaminya.

“Abang akan minum ubat batuk sebelum tidur. Insya-ALLAH abang tak akan batuk lagi.”

Hajah Afida menarik nafas lega. Dia amat tidak suka kalau suaminya bergurau pasal mati. Sungguh dia belum bersedia untuk berdepan dengan kemungkinan itu. Walaupun mati itu memang pasti namun dia amat berharap agar mereka tidak berpisah secepat itu ketika anak-anak masih memerlukan kasih sayang seorang ayah.

Lalu permintaan Qisya melintas lagi.

Hajah Afida rasa dia perlukan masa untuk berbincang mengenai permintaan Qisya itu. Suaminya sedang dalam keadaan uzur. Tidak patut fikiran Haji Hasnan diganggu dengan hal itu.

“Pergilah masuk tidur. Abang nak menonton siaran berita sekejap lagi,” suruh Haji Hasnan dengan senyum.

“Abang jangan tidur lambat sangat. Abang tu kurang sihat, perlukan rehat yang banyak.”

Hajah Afida melangkah masuk ke bilik. Selepas berbaring dengan selesa, dia cuba melelapkan mata. Suara Qisya dan permintaannya cuba dilupakan seketika. Biarlah esok menentukan semuanya.


Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.