Home Novel Keluarga BERTAUTLAH KIAMBANG
BERTAUTLAH KIAMBANG
Fida Rohani
11/4/2014 18:18:30
44,200
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 2

Qisya terus ke biliknya. Debar pertamanya mula reda. Namun, dia rasa itu baru permulaan sebuah perjuangan. Dia tahu bukan senang untuk merealisasikan hajat dan impiannya berkahwin dengan Affian.

Dia sudah mengadap Puan Afida. Dia sudah menyuarakan hasrat hatinya. Namun, kata putus belum diketahui lagi. Mungkin dia akan mendapat persetujuan terpaksa mamanya, Hajah Afida. Bagaimana dengan abahnya, Haji Hasnan?

Seperti kata mamanya kemungkinan untuk abahnya bersetuju amat tipis. Banyak perkara dan sebab yang akan dipersoalkan. Dia anak sulung. Dia masih belajar. Pasti itu yang akan dibahaskan.

‘Ya ALLAH... semoga abah dapat terima dengan baik.’

Dia menekan nombor telefon Affian. Dia ingin berkongsi rasa dan kegelisahan.

“Sya dah beritahu mama,” kata Qisya selepas talian bersambung.

“Apa kata mama Sya?”

“Mama tak beri apa-apa keputusan. Dia kena bincang dengan abah dulu. Sya makin takut, Fian.”

“Jangan takut. Kita tak buat benda salah. Malah, kita nak buat perkara yang boleh menghalalkan hubungan kita. Kita nak jadi hamba yang dirahmati ALLAH.”

Qisya terdiam. Semangatnya kembali kuat. Dia tahu dan sedar keputusannya itu mendadak. Dia sudah lama mengenali Affian. Sejak semester pertama lagi. Namun, sekadar kenalan biasa. Tidak pernah rapat dan langsung tidak ada apa-apa perasaan selain rasa hormat persahabatan. Semester kedua dan ketiga pun sama. Hanya sekali sekala terserempak di perpustakaan, mereka berbual lama. Kalau dalam bilik kuliah, hanya berbual biasa seperti kawan-kawan yang lain.

Namun masuk semester kelima, mereka sering digandingkan dalam sesebuah projek atau tugasan. Itu yang menyebabkan masa mereka banyak dihabiskan bersama. Lama kelamaan, hati mereka mula tergugat. Cinta mula bersemi.

“Sya, Fian pun dah beritahu keluarga.”

“Apa kata mereka?”

Diam.

“Fian, kenapa? Mereka tak setuju?”

“Kita akan hadapi semuanya bersama. Sabarlah. Tetapkan hati dan berdoa selalu agar kita ada jodoh,” kata Affian penuh yakin.

Ketika mematikan talian, Qisya berjanji untuk sabar menunggu keputusan mama dan abahnya. Demi Affian dan demi cintanya, dia akan hadapi semua kemungkinan.

Kegelisahan yang sama dirasai oleh Affian. Sejak dua hari ini, dia dihantui rasa resah. Sungguh tidak keruan fikirannya memikirkan rancangan perkahwinan itu yang tidak mendapat restu keluarganya.

Qisya gelisah menanti keputusan. Dia pula resah kerana sudah mendapat keputusan.

“Ayah tak setuju! Belum masa untuk kamu berkahwin. Belajar pun belum habis dah nak kahwin ni kenapa? Habis kau nak tanggung anak orang dengan apa? Nak bayar duit hantaran dengan apa?” jerkah Haji Zahari.

“Ibu pun tak setuju! Kamu masih terlalu muda untuk berkahwin. Habiskan belajar dan kerja dulu!” sampuk Hajah Norlida pula.

“Tapi, kami dah setuju ibu.”

“Siapa yang dah setuju?” Haji Zahari menatap garang.

“Saya dan Qisya dah setuju nak kahwin kemudian kami dah janji nak habiskan semester ini bersama-sama hingga tamat. Kami janji akan bawa balik ijazah... ”

“Aku kata tidak. Akan tidak selama-lamanya.”

“Ayah... tolonglah faham,” pujuk Affian.

“Kau tu yang kena faham. Jangan nak ikutkan hati kau saja!” jawab Haji Zahari semakin meninggi.

“Apa yang mendesak kamu ni, Fian? Apa yang kau dah buat pada anak orang?” Hajah Norlida semakin cuak.

“Apa maksud ibu?”

“Adakah kamu sudah terlanjur dengan dia?”

“Sumpah tidak, ibu. Malah kami ambil keputusan ini kerana takut pada godaan syaitan. Kami sering terlibat dalam tugasan yang sama. Kadang-kadang berdua-duan sampai malam. Kami jadi takut pada nafsu sendiri. Abah, ibu... tolong faham situasi kami,” jawab Affian dengan harapan yang sangat tinggi.

Haji Zahari terdiam seketika. Begitu juga dengan Hajah Norlida. Affian memberi peluang mereka berfikir dengan fakta yang diberikannya.

“Alasan itu logik, tapi aku tetap tidak setuju. Bukan itu jalan penyelesaiannya. Kalau semua orang ambil pendekatan ini, semua siswa akan berkahwin sebelum terima ijazah sebab memang membuat tugasa bersama itu biasa.” Haji Zahari tetap bertegas.

“Betul kata abah kamu tu. Ibu tetap kata tidak. Tapi kalau kamu nak teruskan juga, kami terpaksa bertindak tegas,” sampuk Hajah Norlida pula.

“Maksud ibu?”

“Kami tak akan pedulikan kamu lagi. Semua kemudahan yang kamu ada sekarang akan ditarik balik.” Hajah Norlida berkata dengan senyum perli. Dia merenung wajah Affian dengan mata mengejek.

“Bukan itu sahaja, kamu terpaksa keluar dari rumah ini. Jangan balik lagi dan jangan jadi anak kami lagi!” sambung Haji Zahari.

Affian tersentak. Dia tidak sangka itu yang akan didengarnya. Kedua ibu bapanya bukan calang-calang orang. Mereka orang yang berilmu dan berjawatan yang baik. Abahnya seorang pegawai di Kementerian Luar Negeri sementara ibunya pula seorang doktor di sebuah hospital kerajaan. Namun, kenapa begitu cetek fikiran mereka. Itu yang difikirkannya.

“Kami beri masa kamu berfikir. Seminggu dari sekarang kamu boleh berikan kami keputusannya. Terserah kepada kamu untuk memilih kami atau gadis itu. Titik.” Itu keputusan tegas yang diberikan kepadanya.

Dia buntu dan keliru.

Dia tidak sanggup melukakan hati kedua ibu bapanya. Jasa mereka terlalu besar kepadanya. Ibunya mengandung dan melahirkannya dengan penuh sengsara. Ayahnya mencari rezeki untuk membesar dan menyekolahkannya hingga berjaya sampai ke universiti. Apakah mungkin dia mampu melupakan semua jasa itu begitu sahaja? Sedangkan sepatutnya dia perlu membalas semua jasa itu dengan kebaikan.

Dia tidak sanggup. Sungguh tidak sanggup untuk menderhaka kepada mereka.

Qisya? Bagaimana dia boleh melupakan gadis itu begitu sahaja. Itulah cinta pertamanya. Sebelum ini, dia tidak pernah jatuh cinta. Tidak sekali pun dia tertarik hati kepada seorang gadis selain kepada Qisya.

“Fian janji tak akan tinggalkan Qisya. Kita akan hidup bersama hingga hujung nyawa. Percayalah pada Fian.” Itu yang pernah dilafazkan kepada Qisya.

Dia sudah berjanji. Tidak mungkin dia akan memungkirinya. Tidakkah nanti akan munafik orang yang tidak menunaikan janji?

‘Ya ALLAH! Buntunya...’ Dia menepuk dahi dan mengeluh berpuluh kali.


Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.