Home Novel Keluarga BERTAUTLAH KIAMBANG
BERTAUTLAH KIAMBANG
Fida Rohani
11/4/2014 18:18:30
44,170
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 8

Sudah sebulan Qisya menjadi isteri Affian. Sebulan juga Hajah Afida menjadi ibu yang pemurung. Dia menjalankan semua tugas sebagai isteri seperti biasa, namun keceriaannya tetap pergi bersama Qisya.

“Kalau susah sangat, awak pergilah ikut anak awak tu!” kata Haji Hasnan pada satu hari ketika melihat Hajah Afida bermenung di tepi tingkap.

“Kenapa abang cakap macam tu?”

“Yalah, jasad awak di sini tapi hati awak dah ikut anak awak tu. Budak yang tak mengenang jasa tu yang nak diingat-ingat!” jerkah Haji Hasnan, kasar.

“Sebusuk mana pun dia, rahim saya yang kandungkan dia. Susah payah saya melahirkan dia...”

“Itu saya tahu. Tapi budak tu yang tak tahu jerit perih kita. Dah besar macam ni, senang je dia ikut jantan dan tinggalkan kita.”

“Dia tak ikut jantan. Dia ikut suaminya. Tempat seorang isteri adalah di sisi suaminya. Kita doakan dia menjadi isteri yang baik dan solehah,” balas Hajah Afida dengan sabar. Hati ibu sangat terluka kalau orang mengutuk anaknya.

Haji Hasnan ketawa sinis. Dia senyum perli.

“Huh! Isteri yang baik konon! Kalau dengan mak bapak pun dia derhaka, macam mana dia nak jadi isteri yang baik. Lupakanlah! Entah-entah dia ditinggalkan je nanti dengan budak jantan tu!”

“Abang! Kalau pun abang bencikan dia, janganlah doakan dia yang bukan-bukan. Busuk mana pun dia tetap darah daging abang. Belajarlah menerima takdir bang,” kata Hajah Afida, sedikit meninggi. Dia kadang-kadang rasa kesal dan sebal dengan sikap suaminya.

Haji Hasnan menarik muka masam. Dia meninggalkan Hajah Afida dengan hati yang geram. Luka hatinya masih merah berdarah. Lebih sakit bila disindir begitu.

“Ya ALLAH, selamatkan anakku dunia dan akhirat,” ucap Hajah Afida dengan hati sendu. Dia sangat merindui Qisya. Namun dia tidak mahu mengganggu kehidupan Qisya dengan kerinduannya itu.

Seminggu lepas, Qisya ada menelefonnya. Redalah sedikit ombak rindu di dadanya.

“Mama, Sya rindu mama.”

“Mama juga rindukan Sya.”

“Abah macam mana, sihat ke dia, mama?” tanya Qisya. Hati Hajah Afida bergetar sebak. Ternyata Qisya merindui ayahnya juga.

“Alhamdulillah. Dia sihat. Cuma hatinya tu, masih sakit.” Hajah Afida berkata jujur. Memang itu yang sedang berlaku. Siang malam, mulut suaminya penuh dengan kata benci. Dia tidak lalai dari luahan geramnya. Setiap patah yang keluar dari bibirnya adalah panah yang menembusi dada Hajah Afida.

“Sya berdosa pada abah. Kesian abah.” Suara Qisya berubah nada. Tidak lama, kedengaran esakan halus Qisya di hujung talian.

Hajah Afida faham akan rasa bersalah yang sedang bersarang di hati Qisya.

“Sya, kalau Sya kesiankan abah Sya kena banyak berdoa untuk dia. Jangan lupakan dia dalam setiap doa Sya. Walaupun Sya dah jadi milik suami, tapi jangan lupa walau sekali untuk mendoakan abah. Apapun yang dia kata, pedulikan.”

“Insya-ALLAH. Sya tak akan pernah lupakan mama dan papa.”

Ketika itu air matanya menuruni pipi dengan sangat perlahan. Hajah Afida menarik nafas. Sungguh berat menanggung rindu.

“Tak nak tidur ke? Hari dah jauh malam ni!” laung Haji Hasnan dari dalam bilik.

Hajah Afida segera bangun. Air mata segera dikesat. Dia tidak mahu Haji Hasnan nampak air mata itu. Dia akan memujuk hatinya agar tabah dengan musim rindu itu.

“Apa lagi yang awak nak ingat-ingat? Dia sendiri langsung tak ingat awak!” kata Haji Hasnan, kasar.

Hajah Afida segera merebahkan dirinya ke katil. Dia tidak mahu bertengkar lagi dengan suaminya. Biarlah. ALLAH tahu apa perasaan anaknya dan perasaan dia juga. Dengan tenang dia cuba pejamkan mata.

“Sejak bila awak nak tidur tak bersalam dengan saya ni? Awak pun nak derhaka dengan saya macam anak awak tu!” sergah Haji Hasnan, semakin keras.

Hati Hajah Afida tersentak seketika. Serta merta dia bangun, menarik tangan Haji Hasnan dan mengucupnya.

“Maafkan saya bang. Ampuni segala dosa saya pada abang yang lama atau yang baru. Maafkan saya zahir dan batin,” ucap Hajah Afida.

“Ni yang melebih-lebih ni kenapa pulak? Ni bukan hari raya,” balas Haji Hasnan, memperli.

Hajah Afida melepaskan tangan suaminya. Tidak kuasa untuk dia melayan kerenah lelaki itu lagi. Kalau dilayan akan berlaku pergaduhan. Dia terpaksa menahan hati. Semua yang dibuat tidak kena pada pandangan Haji Hasnan. Bukan hanya sekali ini malah sejak dulu. Yang betul hanya dia. Yang benar cakap dia!

Hajah Afida menarik selimut.

“Maafkan saya. Saya nak berpusing ke sebelah sana ya bang,” kata Hajah Afida, dengan penuh hormat.

“Nak menangislah tu!” sindir Haji Hasnan dengan senyum sinis. Namun ketika itu, Hajah Afida sudah berpusing tubuhnya mengadap ke dinding. Senyuman suaminya sudah tidak dilihat lagi. Dia menyimpan duka.

Dia rasa lebih aman mengadap dinding batu yang bisu, daripada mengadap muka Haji Hasnan yang suaranya seperti duri yang menyucuk hati. Kenapalah, ego suaminya semakin lama semakin meninggi. Padalah, dia sudah beransur tua. Sudah saatnya dia berubah menjadi lebih memahami dan lembut hatinya!

Perubahan mendadak berlaku selepas keputusan yang dibuat oleh Qisya. Haji Hasnan seperti melepaskan semua beban yang ditanggungnya kepada Hajah Afida.

Panas barannya semakin melampau-lampau. Maki hamunnya semakin menjadi-jadi. Langsung tidak ada lagi kelembutan dan kasih sayang.

Sudah tiga puluh tahun mereka hidup bersama. Suka duka sudah dilalui dengan tabah. Semasa muda, hidup mereka aman dan tidak diduga langsung. Mereka bahagia dengan anak-anak yang membesar dengan baik. Qisya anak sulung yang selalu cemerlang. Begitu juga dengan Qais dan Qaisara. Dengan tiga cahaya mata ini, mereka membina hidup yang sangat bahagia.

Namun, kini sikap panas baran dan ego Haji Hasnan sering mencabar kesabarannya. Namun, dia berpegang kepada tali ALLAH. Dia cuba memahami kesakitan yang sedang ditanggung suaminya. Luka yang ditinggalkan oleh Qisya begitu parah.

“Sejahat mana pun, dia tetap suami kamu. Kamu tak boleh derhaka. Syurga seorang isteri di bawah kaki suami.”

Itu kata-kata azimat yang mengikat kesabarannya dari pecah. Dengan azimat itu dia menjadi isteri yang taat. Dia merelakan dirinya menjadi tempat suaminya melepaskan marah. Biarlah, asal Haji Hasnan rasa lega.

Kadang-kadang, kemarahan itu tidak ada kena mengena dengan dirinya. Kadang-kadang, hal kemarahan di pejabat dibawa pulang ke rumah. Lalu dialah yang menjadi mangsanya. Dan yang lebih menyentuh hatinya, bila sampai di muka pintu sahaja Haji Hasnan berubah watak. Dia seperti memusuhi semua yang ada dalam rumah itu.

“Kenapa lambat sangat buka pintu ni? Tak ada lain, membutalah tu!”

“Ida kat dapur bang, tak dengar abang balik. Maafkan Ida.”

“Maaf, maaf. Itu saja yang kau tahu. Dah mana air aku?”

“Ada atas meja tu. Ida juga dah goreng jemput-jemput bawang kegemaran abang.”

“Hei, tak reti nak bawa ke sini? Pemalasnya kau ni!”

Itulah yang sering diterimanya. Kadang-kadang dia ingin menangis dan menghamburkan air mata di hadapan Haji Hasnan. Namun, dengan cepat pula dia sedar bahawa hal itu hanya akan menambah sakit hatinya.

Haji Hasnan tidak akan bersimpati melihat air matanya!

‘Biarlah. Biarlah dia lepaskan kemarahannya itu. Aku akan sabar berdepan dengan semuanya. Sabarlah hati. Sabarlah jiwa...’ Dia memujuk hati sendiri.

“Mama, mama kena cakap dengan abah tu janganlah marah tak tentu pasal macam tu. Janganlah ikut baran dia aje. Hati mama langsung dia tak jaga. Kami ni kesian dengan mama,” kata Qais, pada satu hari. Kebetulan dia pulang bercuti dan melihat kemarahan abahnya yang melampau-lampau.

“Biarlah Is. Abah tertekan. Biarkan dia lepaskan tekanan itu.”

“Dia tertekan dengan Kak Sya, kenapa pula ibu yang jadi mangsa? Sepatutnya dia lebih profesional. Dia kena rasional melawan nafsu amarahnya,” kata Qais, sangat tidak berpuas hati.

“Is, tak baik cakap abah macam tu. Kalau mama mampu terima semua ni, Is juga kena terima. Sebelum ni, abah tak macam ni. Sebelum ni abah seorang yang penyayang. Kita kena faham dan tabah dengan perangai abah,” pujuk Hajah Afida.

Akhirnya Qais hanya mempu mengeluh.

Hajah Afida tidak mahu anak-anaknya yang lain membenci Haji Hasnan. Sebab itu bila di hadapan mereka, dia cuba seupaya mungkin menyimpan lara. Air mata langsung tidak diizin keluar. Sebak di dada juga dibendung serapat-rapatnya.

Sabarlah hati. Tenanglah jiwa. Hanya itu yang diminta dari ALLAH saban sujudnya.


Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.