Home Novel Keluarga DI ATAS LANTAI TAKDIR
DI ATAS LANTAI TAKDIR
Fida Rohani
1/3/2013 09:30:25
74,621
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 19

SAMPAI di bilik penginapan, Zulfikar merebahkan dirinya ke atas katil. Dia ingin merehatkan fikiran. Dia cuba bertenang. Dia cuba melupakan semua kata-kata Shamira mahupun sikap kurang ajar Shamira sebentar tadi.

‘Pergilah, kau... jauh... jauh... jauh...’ Dia berbisik dengan mata yang berat.

“Bangunlah, Zul... kita tak boleh terus tunggu macam ni.” Tiba-tiba Nik Anum muncul bersimpuh di sebelahnya. Dia bingkas. Wajah Nik Anum direnungnya penuh rindu.

“Bila Anum sampai? Macam mana Anum tahu Zul ada di sini?”

“Ayah dah ceritakan hal pertemuan dia dengan Zul. Kemudian Anum ke rumah Zul. Mak Zul kata Zul ke sini. Itu yang Anum datang. Zul tak suka?” Nik Anum menghadiahkan senyuman.

“Anum, Tuhansaja yang tahu betapa Zul gembira dengan pertemuan ini. Dah begitu lama Zul tunggu saat ni, Anum.” Zulfikar membalas senyuman Nik Anum. Dia berasa amat bahagia.

“Kenapa Zul biarkan Anum tertunggu-tunggu?”

“Zul tak tahu macam mana nak cari Anum.”

“Hidup Anum merana Zul.” Nik Anum serta-merta tersedan.

Zulfikar terkedu. Seluruh rasa simpati mengalir deras dalam hatinya.

“Zul tahu.”

“Macam mana Zul tahu? Sedangkan kita tak pernah bertemu sejak kita terpisah dulu,”

“Anum sentiasa ada dalam hati Zul. Kalau Anum berduka, Zul akan ikut rasa,” jawab Zulfikar, bersungguh-sungguh.

Nik Anum senyum sinis. “Anum tak percaya?”

“Entahlah. Anum semakin curiga dengan cinta lelaki selepas apa yang berlaku pada Anum selama ini,” jawab Nik Anum perlahan. Dia tunduk, muram.

Hati Zulfikar bercelaru resah. “Anum, lelaki lain mungkin dusta dalam bercinta. Tapi bukan Zul..”

“Zul, jangan bermain kata kalau sekadar untuk memujuk Anum.” Nik Anum segera memintas cakap Zulfikar.

“Sejak dulu, Anum memang tak pernah yakin dengan cinta Zul. Apa yang Anum nak Zul buat sebagai bukti kata-kata dan cinta Zul pada Anum tak pernah padam?” Wajah Zulfikar berubah rona. Dia berkecil hati dengan kata-kata Nik Anum yang dianggap meragui cintanya selama ini.

“Anum nak Zul terjun bangunan ni, boleh?” Nik Anum kerdipkan mata.

Zulfikar kebingungan. Ketika itu Nik Anum bangun dan berdiri di tepi tingkap.

“Anum usah nak cabar Zul. Anum tak ingat dulu Zul pernah terjatuh dari pokok kelapa, semata-mata nak buktikan cinta Zul. Sekarang, Zul akan terjun bangunan ni kalau itu yang Anum nak,” jawab Zulfikar bersungguh-sungguh.

Nik Anum mengilai sinis.

Hati Zulfikar tercabar. Cara hilaian Nik Anum seolah-olah dia pengecut dan tidak berani membuktikan cintanya.

“Kenapa Anum ketawa?”

“Sebab Zul takkan berani.”

“Betul Anum nak tengok?”

“Zul tak berani dan Zul tak cintakan Anum. Zul dah lupakan Anum. Zul dah ada pengganti Anum.”

Bertubi-tubi Nik Anum mengasaknya. Dia hilang arah. Kejantanannya benar-benar tercabar! Tanpa berfikir panjang dia bangun dan menuju ketingkap. Daun tingkap dibuka luas-luas. Dia berdiri melihat ke bawah. Gayat melihat deretan kereta yang bergerak ibarat semut-semut kecil.

“Takut nak terjun, kan?” Nik Anum ketawa lagi. Suara itu bergema dan meresap dalam hatinya, sakit!

Tanpa berlengah, Zulfikar memejamkan mata dan terjun ke bawah. “Aduh!” Dia bingkas, terpinga-pinga mencari ke sekeliling.

“Anum! Anum!” panggil Zulfikar.

Diam. Tidak ada yang menjawab. Dia memandang lagi ke sekelilingnya.

“Astaghfirullahalazim! Aku bermimpi rupanya,” ucapnya sambil menggosok-gosok tubuhnya yang terasa sakit kerana terjatuh dari katil. Akhirnya dia tersenyum, geli hati.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.